Perlis

negeri Malaysia di Semenanjung Melayu
(Dilencongkan daripada Perlis Indera Kayangan)

Perlis (Jawi: ڤرليس‎, Bahasa Thai: ปะลิส Pâlit, ปลิศ Palit atau เปอร์ลิศ Perlis)[nota 1] merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Wilayah Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara, dan Kedah di sebelah selatan. Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat setelah kerajaan Siam melantik Raja Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis.[6]

Perlis
ڤرليس
Peghelih
Transkripsi lain
 • Cina玻璃市
 • Tamilபெர்லிஸ்
Perlis (Transliterasi)
 • Thaiปะลิส
Lagu: Amin Amin Ya Rabaljalil
امين امين يا رب الجليل
   Perlis dalam    Malaysia
Koordinat: 6°30′N 100°15′E / 6.500°N 100.250°E / 6.500; 100.250Koordinat: 6°30′N 100°15′E / 6.500°N 100.250°E / 6.500; 100.250
Ibu negeriKangar
Bandar dirajaArau
Pentadbiran
 • JenisParlimen Raja berperlembagaan
 • RajaTuanku Syed Sirajuddin
 • Menteri BesarMohd Shukri Ramli
Keluasan
 • Jumlah819 km2 (316 batu persegi)
Aras tertinggi733 m (2,405 ft)
Penduduk
 (2020)[2]
 • Jumlah284,885
 • Kepadatan350/km2 (900/batu persegi)
Bahasa
 • Bahasa rasmiBahasa Melayu
 • Bahasa pertuturanBahasa Melayu Kedah, Hokkien, Thai, Mandarin, Tamil
Indeks negeri
 • IPM (2022) 0.768 (tinggi) (ke-15)[3]
 • KDNK (2019) RM6.518 bilion ($1.564 bilion) (ke-10)[4]
 • Per kapita (2019) RM25,656 ($6,157) (ke-15)[4]
Poskod
01xxx, 02xxx
Kod panggilan04
Pendaftaran kenderaanR
Pembentukan kerajaan20 April 1843
Penyertaan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu1 Februari 1948
Kemerdekaan sebagai sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu31 Ogos 1957
Laman sesawangwww.perlis.gov.my www.perlisroyalty.gov.my

Pusat pentadbiran bagi negeri Perlis ialah Kangar, dan bandar dirajanya ialah Arau. Antara bandar dan pekan utama lain di Perlis termasuklah Padang Besar dan Kuala Perlis.

Perlis mempunyai keluasan sebanyak 821 kilometer persegi menjadikannya sebagai negeri terkecil di Malaysia. Pada tahun 2020, jumlah penduduknya dianggarkan seramai 284,885 orang dengan majoritinya merupakan Bumiputera iaitu 88.8 peratus dari jumlah penduduk.[2]

Penamaan

sunting

Sejarah mengenai asal-usul nama negeri Perlis adalah kurang jelas. Terdapat banyak kisah atau andaian yang menceritakan tentang asal-usul nama Perlis. Berikut merupakan beberapa andaian atau kisah yang diketahui[7]:-

  • Menurut seorang tokoh sejarawan Malaysia iaitu Haji Buyong Adil, terdapat beberapa cerita yang mengisahkan kononnya nama Perlis itu berasal daripada perkataan Siam iaitu “Phrau Loi” (Maphrau Loi มะพร้าวลอย) yang bermaksud kelapa hanyut. Perkataan tersebut telah dipelat dan dipendekkan bunyinya oleh orang Melayu lalu menjadi ‘pereleh’ atau Perlis.
  • Sumber kedua menyatakan bahawa kononnya nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘peroleh’ yang membawa maksud kurnia daripada kerajaan Kedah. Perkataan itu disingkatkan lalu menjadi Perlis.
  • Sumber yang ketiga pula menyebut negeri Perlis mendapat namanya daripada nama sebuah kubur di Bukit Mengulang iaitu kubur Tok Perlis. Kubur tersebut adalah milik seorang tokoh ulama yang terkemuka di Nusantara iaitu Tok Perlis.
  • Sumber yang keempat mengatakan nama negeri Perlis berasal daripada perkataan ‘perlus’. Kebanyakan tanah dalam di Perlis ialah tanah sawah. Pada musim kemarau, tanah sawah akan merekah. Sesiapa yang berjalan akan ‘terperlus’. Dari perkataan ‘perlus’ itulah, Perlis mendapat namanya.
  • Menurut sebuah buku yang ditulis oleh Ahmad Ismail dan Yazid Mat, dipercayai bahawa nama negeri Perlis berasal daripada nama sejenis pokok yang dikenali sebagai pokok perlis yang pernah wujud tumbuh dengan begitu banyak di negeri tersebut terutama sekali di kawasan pinggir sungai namun telah pun pupus. Ia turut disokong kebanyakan sejarawan setempat.

Gelaran Indera Kayangan pernah diberikan oleh Tuanku Raja Syed Hussein Jamalullail (1843-1873) yang diilhamkan dari bandar Indera Kayangan II, kota diraja negeri tersebut dari 1797 sehingga 1813 yang pernah terletak di Kampung Langgar, Kayang.[8] Namun demikian, gelaran ini menjadi kurang digalakkan berikutan suatu titah Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada tahun 2015 yang menurut baginda, gelaran tersebut tidak selari dengan penamaan rasmi yang termaktub dan bagi mengelakkan konotasi berkaitan dewa tertentu (yakni seperti Indra yang hampir sama sebutannya).[5]

Sejarah

sunting
 
Peta jajahan Siam pada tahun 1900, dengan Perlis merupakan salah satunya.

Perlis dipercayai telah dihuni masyarakat prasejarah sejak lima ke 10 ribu tahun dahulu, dibuktikan dengan tinggalan prasejarah seperti artifak dan lukisan purba yang ditemui di beberapa lokasi sekitar Perlis seperti Gua Semadong dan Gua Berhala.[9] Kehidupan masyarakat di Perlis juga dipercayai telah dipengaruhi pengaruh Hindu dan Buddha menerusi peninggalan kalam semah berunsurkan kebudayaan Buddha dan Hindu.[10] Bermula pada abad ke-12, masyarakat di negeri ini mula dipengaruhi kebudayaan Islam.

Perlis pada asalnya berada di bawah jajahan Kesultanan Kedah. Perlis juga pernah menjadi pusat pentadbiran Kedah apabila Kota Sena mula didirikan dan dijadikan pusat pentadbiran semasa pemerintahan Sultan Muhyiddin Mansur Shah. Semasa pemerintahan Sultan Dhiauddin I, pusat pentadbiran Kedah telah dipindahkan ke Kota Indera Kayangan yang didirikan di tepi hilir Sungai Perlis. Semasa pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah, adinda baginda, Tengku Dhiauddin telah memerintah Perlis dengan gelaran Raja Muda Kayang. Baginda juga telah mendirikan semula Kota Indera Kayangan. Raja Muda Kayang kemudiannya ditabalkan sebagai sultan dengan gelaran Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Semasa pemerintahan baginda, Kota Indera Kayangan II telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran Kedah. Baginda turut digelar "Raja Muda Perlis dan Kedah". Pemerintahan Kedah yang berpusat di jajahan Perlis berakhir dengan kemangkatan baginda pada tahun 1687.[11]

Kewujudan Wangsa Jamalullail di Perlis bermula apabila Syed Harun Jamalullail, ayahanda kepada Raja Perlis pertama mengasaskan Mukim Arau bersama pengikutnya. Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II telah menganugerahkan Mukim Arau untuk ditadbir oleh Syed Harun Jamalullail dan keturunannya sebagai penghulu selepas perkahwinannya dengan puteri baginda. Namun perkahwinan mereka berdua tidak menghasilkan zuriat. Syed Harun Jamalullail kemudiannya berkahwin dengan cucu salah seorang pembesar Sultan Kedah lalu dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Syed Hussein Jamalullail pada tahun 1805. Syed Harun Jamalullail telah meninggal dunia pada tahun 1825 dan digantikan dengan anaknya, Syed Hussein Jamalullail sebagai Penghulu Mukim Arau yang kedua.[12]

Pendudukan Siam ke atas Kedah dan jajahannya pada tahun 1821 menggusarkan pihak British yang terasa diancam kedudukan mereka di Perak, maka Perjanjian Burney termeterai dengan pengakuan tuntutan Siam ke atas negeri-negeri utara Perak dan menidakkan kedudukan Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin.[13] Perjanjian ini telah mencetuskan Perang Musuh Bisik selama 12 tahun dari 1830 hingga 1842 oleh baginda sultan dan para pengikutnya.[14] Di akhir peperangan ini, Perlis, Kubang Pasu dan Setul telah dipisahkan dari jajahan Kedah. Pada tahun 1842, Sultan Kedah telah dikembalikan takhtanya setelah menerima syarat Siam. Namun, Perlis telah dipisahkan menjadi kerajaan berasingan di mana seorang gabenor dilantik Siam bagi mentadbir Perlis.

Raja Long Krok dilantik sebagai gabenor Perlis pertama, manakala Syed Hussein Jamalullail dilantik sebagai timbalannya.[15] Raja Long Krok mangkat setelah empat bulan dilantik sebagai gabenor Perlis. Syed Hussein Jamalullail kemudiannya telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor Perlis. Pada tahun 1843, Raja Syed Hussein Jamalullail telah ditabal sebagai Raja Perlis pertama, menjadikan Perlis sebuah negeri berdaulat. Baginda ditabal oleh Raja Rama III, Raja Siam dengan gelaran Phya Songkram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Polit atau disingkatkan sebagai Phya Polit.[16]

Perlis kekal berada di bawah naungan Siam, dan diletakkan di bawah kawasan Monthon Syburi yang turut meliputi Kedah dan Setul. Pada tahun 1897, kerajaan Kedah mula menuntut semula status Perlis sebagai jajahan mereka. Namun tuntutan mereka gagal setelah Raja Chulalongkorn berpihak kepada Perlis. Beberapa pertikaian juga terjadi antara Perlis dan Setul. Pada tahun 1909, negeri-negeri utara Melayu termasuklah Perlis telah dijadikan negeri naungan Britain setelah termeterainya Perjanjian Bangkok antara Siam dan kerajaan Britain. Kerajaan Britain kemudiannya menempatkan seorang Residen di Arau.

Pada 12 Disember 1941, Perlis mula berada di bawah pemerintahan Jepun. Jepun seterusnya menyerahkan Perlis bersama empat negeri Melayu utara yang lain kepada Siam pada 18 Oktober 1943. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Perlis telah diserahkan semula kepada pemerintahan Britain. Pada tahun 1946, Perlis telah menjadi sebahagian daripada Malayan Union, dan kemudiannya diubah kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1957, Perlis telah mencapai kemerdekaan daripada Britain sebagai sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu. Perlis kemudiannya turut menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Kerajaan

sunting
 
Dewan Undangan Negeri Perlis

Negeri Perlis ditadbir oleh Keluarga Diraja Jamalullail yang digelar sebagai "Raja" tidak seperti negeri Melayu lain yang menggunakan gelaran "Sultan".

Kuasa perundangan negeri ini dilaksanakan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis di mana semua 15 kerusi dipilih daripada kawasan pilihan raya ahli tunggal. Gabungan Perikatan Nasional telah memegang 14 daripada 15 kerusi dewan sejak Pilihan Raya Umum 2022.

Raja melantik Menteri Besar (Ketua Menteri) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (sama dengan Kabinet). Secara amnya, ketua menteri ialah ahli dewan undangan yang boleh mendapat majoriti di peringkat dewan. Perlis telah memilih tiga ahli Dewan Rakyat Persekutuan, iaitu kawasan Arau, Kangar dan Padang Besar. Semua kerusi ini kini disandang oleh ahli Perikatan Nasional sejak Pilihan Raya Umum 2022. Perlis juga mempunyai dua senator persekutuan yang dilantik melalui undian Dewan Undangan Negeri.

Geografi

sunting
 
Sungai Perlis

Perlis merupakan sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia bersempadan dengan negara Thailand di utara, negeri Kedah di selatan dan Selat Melaka di barat. Perlis mempunyai keluasan sebanyak 819 kilometer persegi menjadikannya sebagai negeri terkecil di Malaysia. Gunung Perlis yang mempunyai ketinggian 733 meter menjadi titik tertinggi di negeri ini.

Di bahagian utara dan barat daya negeri ini, terbentangnya Banjaran Nakawan yang merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia. Di banjaran ini terdapat bukit-bukit batu kapur yang sebahagian besarnya terdiri daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia yang dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun. Di banjaran ini juga terletaknya Taman Negeri Perlis yang berkeluasan 4,379.81 hektar dan beberapa hutan simpan yang lain seperti Hutan Simpan Kekal Mata Ayer dan Hutan Simpan Kekal Wang Mu.[17]

Dianggarkan jumlah panjang sungai dan terusan di negeri Perlis ialah sepanjang 174.2 kilometer. Sungai Arau menjadi sungai terpanjang di negeri Perlis iaitu sepanjang 21.5 kilometer diikuti Sungai Korok dengan panjang 17 kilometer.[18]

Iklim di negeri Perlis ialah iklim khatulistiwa. Purata suhu ialah 28 °C (82.4 °F). Bulan April merupakan bulan yang paling panas di kawasan ini dengan suhu mencecah 29.1 °C (84.4 °F). Bulan Disember dikategorikan sebagai bulan paling sejuk dengan suhu 26.8 °C (80.2 °F).[19] Purata kerpasan di Perlis adalah 1954.4 milimeter pertahun. Bulan November merupakan bulan yang tinggi kerpasan dengan 262.5 milimeter manakala bulan yang paling rendah pula Februari dengan 29.8 milimeter.[19]

Data iklim untuk Perlis (1990-2019)
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata suhu harian, °C (°F) 27.3
(81.1)
28.1
(82.6)
29
(84)
29.1
(84.4)
28.7
(83.7)
28.4
(83.1)
27.9
(82.2)
28
(82)
27.6
(81.7)
27.4
(81.3)
27.2
(81.0)
26.8
(80.2)
28.0
(82.3)
Purata kerpasan, mm (inci) 40.9
(1.61)
29.8
(1.17)
88.8
(3.50)
160.5
(6.32)
214.7
(8.45)
142
(5.6)
173.5
(6.83)
194.3
(7.65)
227.3
(8.95)
238.6
(9.39)
262.5
(10.33)
181.4
(7.14)
1,954.3
(76.94)
Sumber: ClimateCharts[19]

Pembahagian pentadbiran

sunting
 
Arau
 
Kuala Perlis

Disebabkan keluasan negeri Perlis yang amat kecil, tiada daerah di negeri Perlis. Oleh itu, negeri Perlis dibahagikan kepada 22 buah mukim.

 
Bil Mukim Keluasan
(km²)
Jumlah Penduduk
(2010)
1 Abi 5.25 2,084
2 Arau 33.87 22,274
3 Beseri 67.5 13,485
4 Chuping 102 12,779
5 Utan Aji 27.16 17,906
6 Jejawi 12.36 7,957
7 Kayang 36.68 10,672
8 Kechor 9.32 6,588
9 Kuala Perlis 26.71 20,277
10 Kurong Anai 49.58 15,967
11 Kurong Batang 41.73 3,266
12 Ngulang 6.27 3,149
13 Oran 8.62 3,684
14 Padang Pauh 7.24 4,185
15 Padang Siding 69.25 6,495
16 Paya 10.61 4,986
17 Sanglang 61.22 16,004
18 Sena 14.71 16,476
19 Seriab 10.47 7,713
20 Sungai Adam 5.02 1,861
21 Titi Tinggi 200 15,969
22 Wang Bintong 11.96 11,853

Bandar-bandar utama di Perlis termasuk :-

Pekan-pekan kecil pula termasuk :-

Demografi

sunting
Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
1970121,062—    
1980144,782+19.6%
1991183,824+27.0%
2000198,288+7.9%
2010225,630+13.8%
2020284,885+26.3%
Sumber:[2]
Kumpulan etnik warganegara (2020)[2]
Etnik Peratusan
Bumiputera
  
88.8%
Cina
  
7.4%
India
  
1.8%
Lain-lain
  
2.0%

Berdasarkan bancian penduduk Malaysia tahun 2020, jumlah penduduk di Perlis dianggarkan seramai 284,885 orang. Majoriti penduduk merupakan bumiputera iaitu 88.8 peratus dari jumlah penduduk. Selebihnya terdiri daripada penduduk beretnik Cina, India dan lain-lain etnik.[2]

Agama di Perlis - Banci 2020[2]
Agama Peratusan
Islam
  
87.8%
Buddha
  
9.2%
Hindu
  
1.3%
Kristian
  
0.6%
Lain-lain
  
0.2%
Tiada agama
tidak diketahui
  
1.0%

Agama اݢام

sunting

Pada tahun 2020, majoriti penduduk Perlis beragama Islam iaitu 87.8 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 9.2 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Perlis termasuklah agama Hindu dengan 1.3 peratus dan agama Kristian dengan 0.6 peratus. Sebanyak satu peratus penduduk Perlis tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.

Bahasa بهاس

sunting

Majoriti penduduk Perlis berbahasa Melayu Perlis iaitu subdialek Bahasa Melayu Kedah tetapi mempunyai sedikit perbezaan dalam beberapa perkataan. Terdapat juga penduduk yang berbahasa Hokkien, Cina, Tamil dan Malayalam. Penduduk Siam Malaysia di Perlis pula kebanyakannya berbahasa Thailand Selatan. Namun, majoriti penduduk Perlis menggunakan Bahasa Melayu Perlis dalam urusan kehidupan seharian.

Dianggarkan terdapat lebih 22 dialek Bahasa Melayu Perlis yang berlainan dalam segi sebutan beberapa perkataan yang lazimnya mengikut sesuatu kawasan atau mukim. Penduduk yang tinggal berdekatan sempadan Thailand menggunakan dialek yang berbaur Siam manakala penduduk yang tinggal berdekatan sempadan negeri Kedah lazimnya menggunakan dialek yang berbaur Melayu Kedah.[20]

Ekonomi

sunting

Pada tahun 2018, ekonomi Perlis didominasi oleh sektor perkhidmatan iaitu sebanyak 66.2 peratus, diikuti dengan sektor pertanian iaitu sebanyak 21.7 peratus. Antara sektor lain yang menyumbang dalam ekonomi Perlis ialah sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.[21]

Antara pendorong sektor perkhidmatan di Perlis ialah perdagangan borong dan runcit serta pembangunan baharu seperti Pembangunan Bercampur Padang Besar. Sektor pertanian pula didorong oleh beberapa projek tanaman yang diusahakan penduduk dan kerajaan negeri seperti projek tanaman harumanis, nanas dan beberapa projek tenusu.[21]

Kebudayaan

sunting
 
Laksa Perlis

Seni persembahan

sunting

Dalam seni persembahan, terdapat beberapa muzik yang berasal dari Perlis iaitu Beduan, Gendang Terinai dan Gendang Perlis. Antara muzik lain yang terkenal di Perlis termasuklah Alu Bunyi, Muzik Asli, Pergendangan Cina, Hadrah, Berendoi, Urumi Melam dan Gendang Panjang Siam.[22]

Dalam seni tarian pula, terdapat beberapa tarian yang berasal dari Perlis iaitu Canggung, Terinai, Layang Mas, Ayam Didik, Inang Kayangan, Cik Lang, Cinta Sayang, Joget Kain Batik dan Inang Tua.[22]

Dalam seni teater, terdapat beberapa seni teater yang terkenal di Perlis iaitu Selampit, Menora dan Awang Batil.[22]

Makanan

sunting

Antara makanan yang terkenal di serata negeri Perlis ialah Jeruk Maman, Ketupat Palas, Kuih Dangai, Kuih Karas, Mentarang Bakar, Pekasam Puyu, Pulut Harumanis, Pulut Ikan Kering, Ringgi dan Laksa Perlis.[23]

Adat resam

sunting

Adat berendoi merupakan sebuah adat resam yang terkenal di negeri Perlis yang mula berkembang sekitar tahun 60-an.[24]

Busana tradisional

sunting

Baju Kebaya Perlis merupakan busana tradisional negeri Perlis yang sering dipakai dalam majlis keraian dan keramaian seperti kenduri perkahwinan.[25]

Pengangkutan

sunting

Pada tahun 2018, jumlah panjang jalan di seluruh negeri Perlis dianggarkan sepanjang 2446.53 kilometer. Antara jalan persekutuan yang penting bagi pengangkutan penduduk negeri Perlis ialah Jalan Kangar–Padang Besar   LP 7 yang menghubungkan Kangar dan Padang Besar. Kangar juga boleh dihubungkan ke Bandar Alor Setar, Kedah melalui Jalan Kangar–Alor Setar   LP 7.[26]

Pulau Langkawi juga boleh dihubungkan dengan Kuala Perlis melalui perkhidmatan feri yang bermula di Jeti Kuala Perlis.

Pada tahun 2015, Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata bahawa sebuah lapangan terbang akan dibina di Perlis iaitu di kawasan pertumbuhan baharu Chuping.[27]

Pendidikan

sunting
 
Universiti Malaysia Perlis

Berikut merupakan statistik institusi pendidikan di negeri Perlis sehingga tahun 2019[28];

Sekolah*

Jenis sekolah Bilangan

sekolah

Jumlah murid Jumlah guru
Lelaki Perempuan Lelaki Perempuan
Sekolah rendah 74 12,198 11,452 705 1,672
Jumlah 74 23,650 2,377
Sekolah menengah 30 9,706 10,035 814 1,536
Jumlah 30 19,741 2,350
Keseluruhan 104 21,904 21,487 1,519 3,208
Jumlah keseluruhan 104 43,391 4,727

*tidak termasuk sekolah swasta atau sekolah di bawah Jabatan Agama Negeri

Pengajian Tinggi

Institusi Jumlah staf

akademik

Jumlah

pelajar

Universiti Malaysia Perlis 1,095 12,741
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin 293 4,011
Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis 69 163
Universiti Teknologi Mara (Kampus Arau) 390 7,869
Kolej Komuniti Arau 83 576
Kolej Komuniti Cawangan Kangar - 74
Jumlah 1,540 17,565

Sekolah swasta

Jenis Bilangan Jumlah

pelajar

Jumlah

guru

Sekolah menengah swasta 1 451 47

Kemudahan awam

sunting
 
Klinik Kesihatan Kangar

Sektor kesihatan

Berikut merupakan statistik pusat kemudahan awam dalam sektor kesihatan mengikut jenis di Perlis;

Jenis Bilangan Ruj.
Hospital kerajaan 1 [29]
Klinik kesihatan 9 [30]
Klinik desa 32 [31]
Klinik pergigian 10 [32]
Hospital swasta 2 [33]

Penduduk ternama

sunting

Lihat juga

sunting
  1. ^ Nama Perlis secara tunggal sahaja yang digunakan secara rasmi pada perlembagaan negeri tersebut ditandatangani Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.[5]

Rujukan

sunting
  1. ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Disember 2010. Dicapai pada 24 Januari 2011.
  2. ^ a b c d e f "PENEMUAN UTAMABANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. Dicapai pada 24 Mac 2022.
  3. ^ "Subnational Human Development Index (2.1) [Kedah – Malaysia]". Global Data Lab of Institute for Management Research, Radboud University. Dicapai pada 22 Disember 2019.
  4. ^ a b "Department of Statistics Malaysia Official Portal". www.dosm.gov.my. Dicapai pada 2020-09-30.
  5. ^ a b "State should be called 'Perlis' only, no 'Indera Kayangan', says Raja of Perlis". The Star. 26 May 2015.
  6. ^ "Institusi Beraja". Raja Perlis.
  7. ^ "Pengenalan Negeri Perlis". Portal Rasmi Diraja Perlis.
  8. ^ Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (PDF). Kangar, Perlis: Kerajaan Negeri Perlis & Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis. 2001. m/s. 18, 20. ISBN 983-99768-2-6.
  9. ^ "Taman Arkeologi Gua Semadong – Perlis Geopark" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-05.
  10. ^ Ramli, Zuliskandar; Omar, Muhammad Afiq; Hasni, Muhammad Termizi; Mohd Ali, Muhamad Syafiq (2015). "Zaman Prasejarah di Negeri Perlis dalam Konteks Arkeologi" (PDF). International Journal of the Malay World and Civilisation: 127–137.
  11. ^ "Sejarah Pusat Pentadbiran". Raja Perlis.
  12. ^ "Salasilah Diraja: Penghulu Mukim Arau Pertama: Syed Harun Jamalluail". Raja Perlis.
  13. ^ Stern, Duncan (14–20 Mei 2004). "Dr. John Crawfurd and the Mission to Thailand, 1822" (Column). A Slice of Thai History. Pattaya Mail. Dicapai pada 11 Ogos 2011. This in turn helped Captain Henry Burney conclude a treaty of commerce with Thailand in June 1826.
  14. ^ Suzalina Halid (18 Mac 2015). "Sultan Kubang Pasu". Berita Harian.
  15. ^ "Sejarah Kewujudan Perlis". Raja Perlis.
  16. ^ "Salasilah Diraja : Penghulu Arau Kedua/Raja Perlis Pertama : Raja Syed Hussein Jamalullail". Diraja Perlis.
  17. ^ "Taman Negeri Perlis". Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. Dicapai pada 2022-03-25.
  18. ^ "Kejuruteraan Sungai dan Zon Pantai". Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 2022-03-25.
  19. ^ a b c Laura Zepner; Pierre Karrasch; Felix Wiemann; Lars Bernard (2020). "ClimateCharts.net – Perlis". Technical University of Dresden. doi:10.1080/17538947.2020.1829112. Dicapai pada 2021-06-20.
  20. ^ "Perlis punyai 25 dialek berbeza". Utusan. 20 Januari 2022. Dicapai pada 25 Mac 2022.
  21. ^ a b "Laporan Sosioekonomi Perlis 2019" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 61–62. Dicapai pada 29 Disember 2021.
  22. ^ a b c "JKKN Pemetaan Budaya | Seni Persembahan Perlis". Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Dicapai pada 29 Disember 2021.
  23. ^ "JKKN Pemetaan Budaya | Makanan Tradisional Perlis". Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Dicapai pada 29 Disember 2021.
  24. ^ "JKKN Pemetaan Budaya | Adat Resam Perlis". Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Dicapai pada 29 Disember 2021.
  25. ^ "JKKN Pemetaan Budaya | Busana Tradisional Perlis". Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Dicapai pada 29 Disember 2021.
  26. ^ "Buku Statistik Jalan 2018" (PDF). Jabatan Kerja Raya Malaysia. m/s. 17, 20. Dicapai pada 2022-03-30.
  27. ^ "Lapangan Terbang Akan Dibina Di Perlis - MB". mStar. 18 Ogos 2015.
  28. ^ "Statistik Pendidikan". Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 30 Disember 2021.
  29. ^ "Perlis - Hospital Kerajaan". Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 11 Januari 2022.
  30. ^ "Perlis - Klinik Kesihatan/Poliklinik Komuniti". Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 11 Januari 2022.
  31. ^ "Perlis - Klinik Desa". Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 11 Januari 2022.
  32. ^ "Perlis - Klinik Pergigian". Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 11 Januari 2022.
  33. ^ "Perlis - Hospital Swasta". Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 11 Januari 2022.

Pautan luar

sunting