Perjanjian Burney
Perjanjian Burney adalah satu perjanjian ditandatangani antara Siam dan Pihak British pada 1826. Ia mengakui tuntutan Siam keatas empat negeri Melayu utara iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Perjanjian ini selanjutnya menjamin pemilikan Pulau Pinang bagi British dan memberikan hak kepada British untuk berdagang di Kelantan dan Terengganu tanpa ganguan Siam. Keempat-empat negeri Melayu tidak diwakili dalam rundingan perjanjian ini.
Pada tahun 1909, pihak dalam perjanjian tersebut menandatangani satu perjanjian baru yang menggantikan perjanjian 1826. Perjanjian 1909, dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Siam 1909, atau juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909, memindahkan keempat-empat negeri Melayu daripada Siam menjadi wilayah British.
Latar belakang
suntingPengaruh Siam di negeri-negeri Melayu Utara membimbangkan British kerana perkembangan ini menjejaskan pendudukannya di Pulau Pinang serta kepentingan British di Tanah Melayu. Akibatnya pada Disember 1825, Kapten Henry Burney telah dihantar oleh Robert Fullerton bagi mengadakan rundingan dan membuat perjanjian dengan Siam. Henry Burney telah diarah berbincang mengenai hubungan perdagangan dan persahabatan Siam dengan British, kepentingan British di Tanah Melayu mengenai perdagangan, masalah pembahagian Takhta Sultan Ahmad Tajuddin dan soal kemerdekaan Perak dan Selangor. Selepas berada di Siam selama 6 bulan, Henry Burney berjaya mengadakan perjanjian pada 18 Jun 1826.
Butir perjanjian
sunting- Pedagang-pedagang British dibenarkan berdagang di Bangkok dan dikenakan cukai yang berpatutan;
- Mengenai Kedah:-
- Kedah kekal penuh sebagai tanah jajahan Siam;
- Sultan Kedah tidak dibenarkan tinggal di Pulau Pinang, Seberang Perai, Perak, Selangor atau Burma;
- British bertanggungjawab menghalang Sultan Kedah dan pengikutnya menyerang Siam dan wilayah-wilayahnya;
- British dibenarkan berdagang di Kedah tetapi tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam hal pentadbiran;
- Siam mengiktiraf pendudukan British di Pulau Pinang dan Seberang Perai
- Mengenai Perak:-
- Siam mengiktiraf kemerdekaan Perak dan Selangor;
- British dibenarkan berdagang di Perak tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran
- Siam dibenar menghantar perwakilan antara 40-50 orang ke Perak tetapi tidak boleh menyerang, mengancam dan mencabul Perak;
- British bertanggungjawab menghalang Selangor menyerang Perak
- Mengenai hantaran Bunga Emas dan lain-lain hantaran ke Siam, Perak diberi kebebasan sama ada mahu menghantar atau tidak. Sekiranya Perak setuju menghantar British tidak ada kuasa menghalang.
- Mengenai Kelantan dan Terengganu:-
- Siam berjanji tidak mengganggu Perdagangan British di Kelantan atau Terengganu;
- British boleh berdagang di Terengganu tetapi tidak boleh campur tangan dalam hal pentadbiran;
- Kelantan dan Terengganu akan terus menghantar ufti berupa bunga emas pada tiap-tiap 3 tahun sekali