Aishah (penyanyi)

penyanyi wanita Malaysia
(Dilencongkan daripada Wan Aishah binti Wan Ariffin)

Dato' Wan Aishah binti Wan Ariffin (Jawi: وان عاءشة بنت وان عارفين ; lahir 3 Januari 1965) merupakan seorang penyanyi, penulis lagu, pelakon dan ahli politik Malaysia. Beliau memulakan kerjaya awalnya dalam bidang muzik bersama kumpulan Fan Club dari New Zealand sehingga dikenali seluruh dunia sebelum meneruskan kerjaya solo di tanahairnya. Album nyanyian Aishah bersama Fan Club iaitu Sensation telah menaikkan namanya sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia yang berjaya ke peringkat antarabangsa malahan pernah menduduki carta Billboard Hot 100 menerusi lagu "Don't Make Me Fall Alone" pada tahun 1990.[1] Setelah beliau tidak lagi bersama Fan Club, Aishah pulang ke Malaysia dan meneruskan kerjaya muzik solo sekaligus dikenali sebagai salah seorang lagenda pop negara dengan deretan lagu-lagu hits dan album terlaris. Pada tahun 2011, beliau terjun ke dunia politik bersama parti pilihannya, PAS dan bertanding untuk kerusi Parlimen di Jempol pada Pilihan raya umum Malaysia 2013.[2]


Wan Aishah Wan Ariffin
وان عاءشة بنت وان عارفين

Kelahiran
Wan Aishah binti
Wan Ariffin

(1965-01-03) 3 Januari 1965 (umur 59)
PendidikanIjazah Sarjana (Sains Politik) (Master's Degree)
Ijazah Sarjana Muda (Perkembangan Awal Kanak-Kanak) (Bachelor's Degree)
Pusat pendidikanUniversity of Auckland
Pekerjaan
Tahun aktif1983–kini
Anak-anak2
IbuKamariah binti
Dato' Ujang
BapaWan Ariffin bin
Pawan Teh
Kerjaya muzik
GenrePop . Pop Rock . Dance-Pop . Balada . Klasik Tradisional . Irama Malaysia . Etnik Kreatif . Nasyid
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
CBS (1984-1996)
BMG (1990-2004)
Sony BMG (2004-2008)
Sony Music Entertainment Malaysia (1990-kini)
Pengkarya berkait
Fan Club, Adnan Abu Hassan, Adam Ahmad, Habsah Hassan, Jari Idris, Malek Ridzuan, Ahmad Jais, Dato' M Nasir

Kerjaya muzik

sunting

Permulaan

sunting

Pada 1983, Aishah memenangi satu pertandingan talentime di Kuala Lumpur. Nasibnya begitu baik kerana terus ditawarkan menjadi artis syarikat rakaman Life Records dan muncul dengan dua lagu bersama Malek Ridzuan dalam album Jilid 5 kepunyaan Malek. Lagu yang popular ialah "Mawar Putih Mawar Merah". Walau bagaimanapun, Aishah ketika ini menggunakan nama Natasha Aminah kerana takut dimarahi ayahnya kerana menyanyi. Ayahnya seorang yang sangat mementingkan pendidikan anak mereka. Walau bagaimanapun, apabila rahsia itu terbongkar, nama Aminah terus lenyap dalam senarai penyanyi tanah air. Peminat langsung tidak mempedulikan 'kehilangannya'. Natasha tidak sempat merakamkan album solo kerana tidak lama selepas itu, dia terbang ke New Zealand untuk menyambung pengajian dalam jurusan Sains Politik di Universiti of Auckland. Bagaimanapun atas beberapa faktor, dia hanya lulus dalam bidang Pendidikan Kanak-Kanak. Pun begitu, pada tahun 1996 beliau akhirnya berjaya mendapatkan ijazah sarjana dalam Sains Politik yang kemudian menjadi antara titik tolak penglibatannya dalam dunia politik Malaysia.

Di New Zealand, Aishah terus mencari peluang menyanyi. Pada 1986, dia memberanikan diri memasuki satu lagi talentime, "Telequest" dan mendapat tempat ketiga. Walaupun tidak menjadi johan, dia tetap terharu kerana Aishah satu-satunya peserta Melayu ketika itu. Selepas pertandingan itu, Aishah membuat pita demo sendiri dan di bawa ke sana ke mari untuk mencuba nasibnya. Kebetulan ketika itu, sebuah band, Soul On Ice, sedang mencari vokalis pengganti. Mereka berjaya mengesan bakat Aishah lalu mempelawanya menyertai band itu. Bagi Aishah, peluang menyertai Soul On Ice sesuatu yang menarik walaupun dia juga ditawarkan memasuki sebuah lagi kumpulan yang cukup popular ketika di negara itu iaitu Peking Man. Walau bagaimanapun, beliau menolak tawaran Peking Man kerana bekas vokalisnya, Margaret Urlich mempunyai imej yang hebat dan beliau enggan dibayangi populariti Margaret kerana beliau mahu membina identiti sendiri.

Selain Aishah, Soul On Ice juga dianggotai Paul Moss (gitar), Malcolm Smith (keyboard), Dave Larsen (dram) dan Glenn Peters (bass). Apabila menyertai CBS New Zealand, Soul On Ice akhirnya menukarkan namanya menjadi The Fan Club. Bersama kumpulan itu, Aishah sempat merakamkan dua album - Sensation (1988) dan Respect The Beat (1989). Maka, pada tahun 1988, tiba-tiba industri hiburan sejagat digegarkan dengan kejayaan anak Malaysia - Aishah - bersama kumpulannya dari New Zealand, The Fan Club. Aishah and Fan Club bukan saja popular di New Zealand, Australia dan Malaysia, malah berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Menerusi dua buah album bersama The Fan Club, Aishah dikenali seluruh dunia sebagai penyanyi antarabangsa. Lagu-lagu pop dance seperti "Sensation", "Call Me", "Never Give Up On You", "Paradise" menduduki banyak carta muzik dunia dan single "Dont Let Me Fall Alone" pernah menduduki carta Billboard Hot 100 sekaligus menjadikan satu-satunya artis Malaysia yang berjaya mendaki carta Billboard di Amerika Syarikat. Namun setelah empat tahun bersama The Fan Club, kumpulan tersebut mengambil keputusan untuk berehat dan membawa haluan masing-masing buat sementara. Aishah yang ketika itu di kemuncak kerjaya mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air pada tahun 1990. Salah seorang ahli kumpulannya Paul Moss juga mengambil keputusan untuk berhijrah ke Malaysia dan menjadi penerbit dan penggubah lagu.

Karya solo

sunting

Kemunculan album solo studio pertamanya Aishah adalah pada tahun 1990 iaitu berjudul "Aishah" terbitan Adnan Abu Hassan memuatkan 10 lagu termasuk satu instrumental Camar Yang Pulang. Malah, untuk membuktikan kehebatannya mendendangkan lagu Melayu, Aishah menampilkan dua lagu berirama Melayu asli - "Bahtera Merdeka" dan "Syurga Di Telapak Kaki Ibu" - dalam album itu. Hasilnya didapati memang luar biasa hingga mendapat tempat di pasaran muzik berbahsa Melayu di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Album ini turut mengangkat nama dan muzik yang dibawa Adnan Abu Hassan dalam arus industri muzik tempatan pada masa itu. Semua sembilan lagu dalam album itu hebat, namun "Janji Manismu", ciptaan Adam Ahmad dan lirik oleh Aishah paling mendapat tempat di hati pendengar. Lagu itu dinobatkan Anugerah Juara Lagu ke-5 anjuran TV3 dengan mengalahkan "Suci Dalam Debu", Iklim dan "Sejati", Awie. Aishah cukup diingati di pentas AJL kerana aksi campak beg berjenama Louis Vuitton atas pentas yang ketika masih baharu dikenal di Malaysia [3]. Fenomena Aishah berterusan apabila meraih kejayaan sebagai Artis Paling Popular dan Artis Wanita Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular anjuran Salem, Berita Harian dan RTM. Aishah turut memenangi anugerah Penghibur TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa anjuran RTM.

Mengikuti kejayaan itu, muncul pula keduanya, "Aishah II" juga terbitan Adnan Abu Hassan pada 1991 yang meletup dengan lagu "Kemaafan Dendam Yang Terindah" dan "Fatwa Pujangga". Tahun yang sama, Aishah muncul dalam filem Shakila bersama Rahim Maarof dan Kuza Muzani. Walaupun berbakat sebagai pelakon, itulah sahaja satu-satunya lakonan Aishah dalam filem. Seterusnya Aishah tampil pula dengan album "Aishah III - Asia Sedunia" (1992). Lagu yang popular masa ni "Selanjur Bercinta". Tahun itu juga Aishah dan anggota The Fan Club mengumumkan pembubaran mereka kerana masalah dalaman.

Langit tidak selalu cerah, pada tahun 1993 Aishah diboikot wartawan Malaysia gara-gara merahsiakan perkahwinan pertamanya yang juga warga New Zealand. Aishah juga menyambut kelahiran anak sulungnya Armand Azhari tanpa publisiti media pada penghujung 1993. Peristiwa diboikot wartawan hiburan menyebabkan karier Aishah menyepi seketika. Aishah mengambil keputusan untuk melengahkan sedikit pelancaran album keempatnya setelah situasi reda. Album keempat beliau berjudul "Klasik" diluncurkan pada tahun 1994 dan berkonsepkan irama tradisional sepenuhnya. Ia membariskan lagu-lagu pop etnik seperti "Doa", "Ubekkan Denai", "Tari Silat Melayu" dan beberapa lagi nyanyian nafas baharu untuk lagu-lagu klasik Melayu Nusantara. Album ini begitu mendapat perhatian pendengar serantau hingga berjaya meletakkan Aishah sebagai penyanyi pop yang begitu unggul membawakan lagu-lagu tradisional. Pada tahun itu juga , Aishah menerima pengiktirafan Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Album di acara Anugerah Industri Muzik ke-2 sekaligus menjadi penyanyi pertama memenangi anugerah tersebut menerusi album tradisional.

Album "Wajah" diterbitkan pada tahun 1995 kembali membuktikan Aishah masih hebat apabila lagu "Cinta Beralih Arah" (ciptaan Jari Idris dan lirik Habsah Hassan) menjadi Anugerah Juara Lagu ke-10. Lagu itu turut memenangi kategori Balada. Aishah pula menerima anugerah Persembahan Terbaik melalui lagu itu. Lagu "Wajah" dan "Panggilan Rindu" petikan album itu juga begitu popular pada tahun tersebut. Album itu juga diiktiraf sebagai Album Pop Terbaik Anugerah Industri Muzik di acara Anugerah Industri Muzik ke-3.

Pada tahun 1996 Aishah mengambil keputusan untuk memperlahankan karier nyanyian buat sementara waktu kerana hal peribadi (diyakini kerana kes perceraian dengan suami pertamanya) dan juga ingin menyudahkan pengajiannya di New Zealand. Pada tahun itu Aishah muncul album kompilasi "Merenung Bulan" dengan single "Merenung Bulan" yang begitu hits dan kemudian disusuli dengan sekuel album tradisionalnya berjudul "Memori Klasik" yang mempopularkan kembali lagu dangdut "Kau Pergi Tanpa Pesan" dan lagu asal Ahmad Jais berjudul "Harapan Kecewa".

Pada tahun 1997 Aishah meninggalkan syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia dan menyertai syarikat rakaman EMI. Aishah yang masih berulang alik dari New Zealand ketika itu bereksperimentasi dengan bunyian etnik dan pop secara fusion untuk album "Tiada Duka Untuk Apa" yang mempopularkan lagu seperti "Tiada Duka" dan "Antara Cinta dan Kasih" pada tahun 1997. Pun begitu kebangkitan penyanyi-penyanyi baharu seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Nora Ariffin ketika itu sedikit sebanyak menambahkan persaingan buat Aishah.

Aishah menikahi seorang lelaki warga New Zealand bernama Muhammad Abdullah pada 1 September 1997 dan menyepi seketika dari publisiti apabila melahirkan anak kedua , Ahzad Ahlami Muhammad[4]. Pada penghujung tahun 1998 beliau muncul dengan album solo ketujuh berjudul "Tiada Akhirnya" yang mengandungi sebuah lagu gubahan semula "Tangisan Semalam"; sebuah lagu melankolik yang dipopularkan oleh Uji Rashid. Aishah ternyata berjaya memberi nafas baru kepada lagu tersebut tanpa dibayangi aura penyanyi asalnya. Kemudian disusuli dengan album khas untuk musim perayaan Aidilfitri iaitu "Pulanglah Perantau" pada tahun 2000. Kedua-dua album ini kurang dipromosikan dan ditambah pula dengan krisis antara Aishah dan syarikat rakamannya, EMI.

Kembali aktif

sunting

Gara-gara pengundurannya dari syarikat rakaman EMI, nama Aishah terus sepi dari industri muzik selama 5 tahun. Aishah sempat merakamkan dua buah lagu untuk runut bunyi filem animasi Putih pada tahun 2001 iaitu lagu "Kasih Putih" dan duet bersama M. Nasir berjudul "Senandung Sayang". Aishah juga berpeluang membuat persembahan di Dewan Filhamonik Petronas pada tahun 2001. Hanya pada tahun 2005 Aishah kembali menggegarkan industri seni apabila merakamkan kembali lagu yang asalnya dinyanyikan Misha Omar untuk album keduanya iaitu "Tiada Lagi Tangisan" ciptaan Adnan Abu Hassan. Kerjasama Aishah dan Adnan ini berjaya mempopularkan lagu yang tidak dipromosikan oleh Misha dan BMG Music sebelum ini. Dari situ mereka bekerjasama menghasilkan album solo Aishah yang kelapan berjudul "Kurnia" pada tahun 2006 dengan hits lain seperti "Melukut Di Tepi Gantang" dan "Kasihnya Balkis". Lagu "Kasihnya Balkis" berjaya membawa Aishah kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2007, penyertaan ketiganya dan terakhir setakat ini[5].

Pada tahun 2009 Aishah bekerjasama pula dengan Azlan Abu Hassan dan Habsah Hassan untuk single "Yang Ada Hanya Kenangan" terbitan Sony BMG. Pun begitu single ini kurang dipromosikan menyebabkan perancangan menerbitkan album solo pop terbaru gagal dilaksanakan[6]. Aishah membuat konsert tradisional "Konsert Aishah - Irama Warisan Kita" di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun itu dengan mendendangkan lagu-lagu tradisional dan klasiknya [7]. Aishah mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat rakaman tersebut dan menerbitkan sendiri album solo berkonsepkan kerohanian pada tahun 2010 berjudul "Anak" . Album ini meluncurkan dua single berirama nasyid berjudul "Anak" dan "Ayuhai Anak".

Namun sejak aktif dalam dunia politik pada tahun 2013, nama Aishah kian dilupakan media. Biarpun masih utuh di hati peminat, penampilan beliau sejak itu semakin berkurangan. Aishah menabur jasa dan kreativiti selama lebih 30 tahun di dalam industri muzik Malaysia dan sedunia hingga menjadi idola dan rujukan ramai penyanyi-penyanyi baharu yang lahir selepasnya seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar dan menjadi inspirasi buat penyanyi muda yang menerjah pasaran antarabangsa seperti Yuna Zarai dan Shila Amzah. Aishah juga berjaya mengembalikan semula populariti lagu-lagu bernuansa Melayu dan mengangkat muzik tradisional ke peringkat yang lebih komersial pada era 1990an. Pencapaian Aishah di dalam industri Muzik sememangnya sukar untuk dicapai oleh generasi kini dan beliau tetap satu-satunya biduanita kebanggaan negara dan rantau ini.

Kehilangan Aishah dalam dunia nyanyian terhenti lagi apabila Aishah bersetuju menyertai program Gegar Vaganza (musim 4) pada tahun 2017 atas tujuan untuk menghilangkan kerinduan peminat-peminatnya yang ingin kembali mendengar nyanyian beliau. Beliau turut berhasrat untuk menyanyi selagi beliau masih mampu untuk mencapai nota-nota tinggi yang pernah dinyanyikannya dahulu. Aishah telah digelar "the legend" dalam program Gegar Vaganza kerana pengalaman dan usia beliau yang melangkaui penyanyi lain yang pernah menyertai program tersebut. Kemenangan Aishah sebagai juara memberikan semangat baharu buat beliau untuk terus memberikan persembahan terbaik untuk generasi lama yang merindui beliau dan generasi muda yang baru sahaja mengenali beliau.

Gegar Vaganza 2017

sunting

Aishah merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim keempat pada 2017. Beliau telah dinobatkan sebagai Juara keseluruhan sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000. Berikut ialah senarai persembahan beliau:

Konsert Tema Lagu Tugasan Penyanyi Asal Kedudukan Keputusan
Minggu 1 Masihkah Kau Ingat "Janji Manismu" Dirinya Sendiri Pertama SELAMAT
Minggu 2 Sekali Dengar Terus Melekat "Dingin" Ziana Zain Ke-5 SELAMAT
Minggu 3 Berani Ke Tidak? "Terukir Di Bintang" Yuna Ke-6 SELAMAT
Minggu 4 Berdua Lebih Baik "Ceritera Cinta" (duet bersama Sam Innuendo) Jaclyn Victor & Lah Ahmad Ketiga SELAMAT
Minggu 5 Kaum Kerabat "Menghitung Hari" Krisdayanti Pertama SELAMAT
Minggu 6 Jangan Kata Tak Tahu "Tergantung Sepi" Haqiem Rusli Ketiga SELAMAT
Minggu 7 Separuh Akhir: Goyang Kaki Goyang Tangan & Runut Bunyi Pusingan 1: "Keranamu Kekasih"

Pusingan 2: "River Deep Mountain High"

Illa Sabry/Tina Turner Kedua SELAMAT
Minggu 8 Akhir: Berani Ke Tidak Bebas: "All By Myself" Eric Carmen (dipopularkan oleh Celine Dion) Juara JUARA

Gegar Vaganza 2023

sunting
Konsert Tema Lagu Tugasan Penyanyi Asal Kedudukan Keputusan
Minggu 1 Kembali Menyengat "Gemilang" Jaclyn Victor Ke-15 SELAMAT
Minggu 2 Ikut Tekak Sendiri "Flashdance What A Feeling" Irene Cara Kelima SELAMAT
Minggu 3 Putar Kiri Kanan "Pematah Hati" Nabila Razali Ke-12 SELAMAT
Minggu 4 Berdua Bersatu "Terlanjur Cinta" (duet bersama Vince Chong) Dato' Sri Rossa & Pasha Ungu Ke-14 TERSINGKIR

Kerjaya politik

sunting

Aishah mula tampil di pentas ceramah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Beliau yang sebelum ini merupakan orang kuat UMNO[8] sebelum ini mengakui sudah berubah. Beliau memilih PAS kerana Islam dan ingin berdakwah melalui PAS kerana mendakwa parti ini mempertahankan agama Islam.[9][10] Beliau bertanding untuk kerusi parlimen P127 di Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan raya umum Malaysia 2013, yang mana beliau ditewaskan oleh calon dari Barisan Nasional, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Abdul Samad dengan majoriti 8,629 undi.[11]

Beliau meluahkan kebimbangan terhadap UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat tidak menjamin akidah anak-anak masa hadapan disamping mendakwa gejala penyelewengan rasuah yang berleluasa. Beliau juga menyeru ibu–ibu agar celik IT didalam membesarkan anak-anak. Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap Ketua Wanita UMNO kerana menganggap Menteri Kebajikan dan Masyarakat itu tidak amanah dalam menjalankan tugas.[12]

Beliau bertanding dalam pilihan raya umum Malaysia 2013 untuk kerusi Parlimen di Jempol.[13]

Kemudian beliau menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas penubuhannya pada tahun 2015, komponen utama gabungan Pakatan Harapan (PH).[14]

Tahun Pembangkang Undi Pct Kerajaan Undi Pct Jumlah undi Majoriti Peratus unjuran
2013 Wan Aishah Wan Ariffin (PAS) 22,495 41.95% Isa Abdul Samad (UMNO) 31,124 58.05% 54,858 8,629 54,858%

Kehidupan peribadi

sunting

Selain berbakat dalam dunia tarik suara, Aishah juga dikenali kerana kemahirannya dalam membuat kraftangan. Beliau sering terlibat dalam ekspo kraftangan dan pernah membuka perniagaan berkaitan kraftangan. Dari segi kehidupan peribadi pula Aishah sememangnya dikenali kerana prinsip tidak berkongsi ceritanya. Menerusi dua perkahwinan pertamanya, Aishah dikurniaakan dua orang cahaya mata iaitu Armand Azhari (lahir 1993, dari perkahwinan pertama yang dirahsiakan), dan Azhad Ahlami (lahir 1998 dari perkahwinan kedua yang berakhir pada 2005 setelah berpisah selama beberapa tahun). Aishah pernah mencetuskan kontroversi apabila perkahwinan ketiganya berlangsung secara rahsia di Selatan Thailand. Perkahwinan bersama seorang lelaki bernama Faizal Sazali Zulkifli pada tahun 2010 itu akhirnya dimaklumkan kepada umum ketika pelancaran album "Anak" [15]. Namun perkahwinan itu juga berakhir dengan penceraian pada tahun 2012.

Diskografi

sunting

Album studio (solo)

sunting

Penampilan khas

sunting
  • Jilid 5 (1984) album Malek Ridhuan
  • Sebelum Kau (1994) album Datuk Shake

Album kompilasi

sunting

The Fan Club

sunting
  • Sensation (1988)
  • Respect The Beat (1989)

Lagu-lagu lain

sunting

Single

sunting
Tahun Judul Lagu Kedudukan Tertinggi Carta Album
Era Pujaan 10/ Radio Muzik Baik Banget Muzik-muzik
1984 "Mawar Putih Mawar Merah"
duet bersama Malek Riduan
Jilid 5
1990 "Janji Manismu" 1 1 1 Aishah
"Kau Yang Istimewa"
"Camar Yang Pulang" 2
1991 "Bahtera Merdeka"
"Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu"
"Pulanglah" Bingkisan Aidilfitri Vol. 1
"Setitis Cahaya di Aidilfitri"
"Kemaafan Dendam Yang Terindah" 1 Aishah II
"Kasih Kita" 1
1992 "Fatwa Pujangga"
"Seloka Rindu"
"Selanjur Bercinta" 1 Aishah III: Asia Sedunia
1993 "Kau Sahabat, Kekasih dan Teman"
"Hanakage"
"Bayangan" 1
"Doa" Klasik
1994 "Ubekkan Denai"
"Tari Silat Melayu"
"Joget Memikat Janji"
duet bersama Ahmad Jais
"Tari Tualang Tiga"
"Menjadi Satu" duet bersama Datuk Shake 2 Sebelum Kau
1995 "Kata dan Rupa" 2 Wajah
"Cinta Beralih Arah" 1
"Panggilan Rindu" 3
"Wajah"
1996 "Merenung Bulan" 1 Merenung Bulan
"Biarlah Aku Pergi"
"Kau Pergi Tanpa Pesan" Memori Klasik
"Harapan Kecewa"
1997 "Tiada Duka" Tiada Duka Untuk Apa
"Antara Cinta dan Kasih" 4
"Untuk Apa"
1998 "Rela" 5 Tiada Akhirnya
"Tangisan Dalam Senyuman"
1999 "Cinta Di Hatiku"
2000 "Pulanglah Perantau" Pulanglah Perantau
"Cahaya Di Aidilfitri"
2001 "Senandung Sayang"
duet bersama M. Nasir
OST Putih
2005 "Tiada Lagi Tangisan" 1 Kurnia
2006 "Haruskah Ku Menyuarakan"
"Melukut Di Tepi Gantang" 8
2007 "Kasihnya Balqis" 5
"Songkok Mereng"
2008 "Rindu Lukisan"
ditampilkan oleh The Fabulous Cats
Hyperkosmik
2009 "Yang Ada Hanya Kenangan" Yang Ada Hanya Kenangan (Single)
2010 "Anak" Anak
2011 "Ayuhai Anak"
2018 "Malar" Malar

Anugerah dan Pengiktirafan

sunting

Anugerah Industri Muzik

sunting
Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album / Material Keputusan Tewas Kepada
1993 (AIM1) Rakaman Album Terbaik Aishah III: Asia Sedunia Tercalon Wings - Bazooka Penaka
1995 (AIM2) Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Klasik Menang
Album Tradisional Terbaik Tercalon M. Nasir - Canggung Mendonan
1996 (AIM3) Album Pop Terbaik Wajah Menang
Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Tercalon Ziana Zain - Setia Ku Di Sini
Lagu Terbaik Cinta Beralih Arah Tercalon Nora, Sheila Majid & Johan Nawawi - Jentayu
Album Terbaik Tercalon Search - Gema Di Timur Jauh
1999 (AIM6) Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Tiada Akhirnya Tercalon Siti Nurhaliza - Adiwarna
2001 (AIM8) Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Pulanglah Perantau Tercalon Siti Nurhaliza - Sahmura
2007 (AIM14) Album Pop Terbaik Kurnia Tercalon Siti Nurhaliza - Transkripsi
Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Tercalon Jaclyn Victor - Inilah Jac

Anugerah Juara Lagu

sunting
Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
1990 Janji Manismu Aishah Adam Ahmad Wan Aishah Terbuka Menang
1995 Cinta Beralih Arah Wajah Jari Habsah Hassan Balada Menang
Persembahan Terbaik Menang
Juara Lagu Menang
2007 Kasihnya Balkis Kurnia Adnan Abu Hassan Moharis Yaakup Etnik Kreatif Tercalon

Anugerah Seri Angkasa

sunting
Anugerah Seri Angkasa
Tahun Kategori Catatan Keputusan
1989/90 Penghibur TV Terbaik HMI Istimewa Aishah Menang
Penyanyi Radio Solo Pilihan Menang
1995 Penghibur TV Terbaik Menang
sunting
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1990 Penyanyi Wanita Popular Menang
Artis Paling Popular Menang
1991 Penyanyi Wanita Popular Menang
1992 Penyanyi Wanita Popular Menang
1995 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
1996 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
2011 Anugerah Seri Perak Tercalon
2019 Penyanyi Wanita Popular Tercalon

Darjah Kebesaran

sunting

Pada 14 Januari 2022, Aishah menjadi artis tempatan tunggal menerima Darjah Setia Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati - Peringkat Kedua Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S.) yang membawa kepada gelaran Dato' sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ke-74.

Filemografi

sunting
Tahun Tajuk Watak Catatan
1991 Shakila Yasmin Filem pertama
2024 Iskandar Hani
Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1995-1996 Sambal Melah TV3 Penampilan khas, episod 5 & 6

Televisyen

sunting
Tahun Tajuk Saluran TV Catatan
2017 Sepahtu Reunion Live Astro Warna Penampilan kameo, episod: "Suci Dalam Debu"

Rujukan

sunting
  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 2015-12-20.
  2. ^ ""Kegiatan Politik Aishah"". 9 Mei 2013.
  3. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 2015-12-20.
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 2015-12-20.
  5. ^ http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm[pautan mati kekal]
  6. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 2015-12-20.
  7. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-12-22. Dicapai pada 2015-12-20.
  8. ^ Stephanie Sta Maria (17 April 2013). "Aishah sings a different tune". The Edge. Dicapai pada 22 April 2013.
  9. ^ Mus, Sabah. "Aisyah: Saya Pilih PAS kerana Islam" Diarkibkan 2016-03-05 di Wayback Machine SabahDaily, Kuala Lumpur, 21 Julai 2012. Dicapai 20 Februari 2013.
  10. ^ Sapinah Ab Ghani "Peminat Hormati Keputusan Aishah", Sinar, Kuala Lumpur, 13 Oktober 2012. Dicapai pada 20 Februari 2013.
  11. ^ "Archived copy". Diarkibkan daripada yang asal pada 11 June 2013. Dicapai pada 16 May 2018.CS1 maint: archived copy as title (link)
  12. ^ TVpas,hd. "Saya Jumpa Datuk Bukan Nak Minta Lembu", Youtube, 5 April 2012. Dicapai pada 20 Februari 2013.
  13. ^ Muhammad Faizal dan Hazayani Zakaria (20 Apr 2013). "Lebih 1,000 iringi calon di Kapar, Aishah serah borang di Jempol". HarakahDaily. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-23. Dicapai pada 20 April 2013.
  14. ^ Faiz Zainudin (1 November 2017). "Teruskan menyanyi, Amanah beritahu Aishah". Free Malaysia Today. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-05. Dicapai pada 1 November 2017.
  15. ^ http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
  16. ^ BERNAMA (Januari 14, 2022). "Zamrose ketuai senarai penerima darjah kebesaran, bintang, pingat N.Sembilan". Berita Harian. Dicapai pada Januari 14, 2022.

Pautan luar

sunting