Rakyat jati ialah golongan bumiputera atau peribumi dalam masyarakat Brunei. Dan terma puak jati Brunei adalah berdasarkan kepada Lembaga Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1984 yang memberikan terma yang mengkhusus kepada tujuh puak jati sewaktu negara Brunei merdeka dari pihak empayar British dan secara rasminya rakyat jati seperti diwartakan dalam Akta Taraf Kebangsaan 1961, terdiri dari tujuh puak etnik di Brunei iaitu Melayu Brunei, Kedayan, Bisaya, Tutong, Dusun, Belait dan Murut.[1]


Tujuh Puak Brunei adalah:

1. Puak Melayu Brunei

2. Puak Dusun

3. Puak Belait

4. Puak Murut

5. Puak Bisaya

6. Puak Tutong

7. Puak Kedayan

Disamping masyarakat Brunei yang terdiri daripada tujuh puak jati ini juga terdapat kaum lain yang berbilang bangsa seperti kaum Cina, India, Iban, Kadazan serta golongan bangsa Eropah yang memilih Brunei untuk menjadi tempat tinggal mereka walaupun bukan berasal dari Brunei secara sejarahnya.

1. Puak Melayu Brunei

Pada awal penempatan puak Melayu Brunei adalah di persisiran pantai di Brunei. Mereka membina binaan penempatan mereka di atas air iaitu rumah papan. Dan masyarakat Melayu Brunei sinonim dengan perkampungan sejarah mereka seperti Kampong Ayer yang masih wujud sehingga sekarang.

Suatu waktu dahulu sumber ekonomi mereka adalah sebagai pelaut mahupun nelayan. Juga tidak boleh dipisahkan dengan perniagaan runcit yang menggunakan perahu suatu waktu dahulu seperti padian. Namun sekarang aktiviti seperti itu sudah tiada lagi kerana Kerajaan Brunei sudah menempatkan mereka di satu kawasan yang kekal untuk berniaga.

Terkenal dengan seni kraftangan yang tinggi nilainya seperti pertukangan emas, perak, tembaga, besi serta tenunan songket Brunei yang begitu unik yang dikenali sebagai “Jong Sarat”.

2. Puak Dusun

Kaum Dusun merupakan sub-etnik bagi Kaum Kadazan-Dusun di Sabah, Malaysia namun di Brunei mereka merupakan antara 7 puak jati Brunei. Digelar “Dusun” kerana kegiatan ekonomi mereka iaitu mengusahakan dusun buah-buahan. Suatu waktu dahulu, mereka juga mengamalkan pertanian nomad demi mencari tanah pamah yang subur untuk bercucuk tanam. Selain itu mereka juga antara yang gah namanya dengan penternakan lembu, kerbau, ayam juga itik.

Oleh kerana nenek moyang puak Dusun adalah asalnya berfahaman animism maka ada sesetengah Dusun di Brunei sehingga ke hari ini masih lagi berpegang teguh kepada kefahaman ini. Namun sejajar dengan waktu ramailah juga puak Dusun yang sudah memeluk Islam sebagai salah satu pegangan agama mereka.

3. Puak Belait

Dikenali dengan nama puak Belait kerana penempatan mereka tertumpu di Sungai Belait seperti Kampung Kuala Balai, Kampung Mumong, Kampung Rampayoh dan Kampung Mungkom. Dahulu sumber ekonomi mereka adalah bersawah padi serta membuat sagu seperti juga etnik-etnik di Sarawak.

Menurut sejarahnya, puak Belait ini adalah pecahan daripada etnik Kiput atau Lakiput di Sarawak yang ramai di kawasan Baram, Miri, Sarawak. Menurut laporan yang dibuat oleh Hughes-Hallet (1980), penghijrahan orang Belait ke wilayah Brunei Darussalam pada awal abad ke 19 Masihi iaitu antara 1830an sehingga ke 1890an.

Dan keberadaan mereka di Brunei sekarang dikatakan adalah kerana demi survival kaum mereka iaitu mengelak perang kayau atau perang perluasan kuasa yang sememangnya menjadi tradisi di bumi Sarawak suatu waktu itu. Ketika itu dikatakan bahawa nenek moyang puak Belait melarikan diri daripada kawasan yang bernama Ulu Tinjar, Baram yang didominasikan oleh etnik Kayan.

Nenek moyang puak Belait mungkin mengamalkan kefahaman animism dahulu tetapi sekarang mereka sudah memeluk Islam sepenuhnya.

4. Puak Murut

Terdapat banyak terma panggilan bagi merungkai satu puak jati bernama Murut kerana di Sarawak misalnya ianya dikenali dengan nama “Lun Bawang” manakala di Sabah dikenali sebagai “Lun Dayeh”. Dan Murut di Brunei sudah tentu bukan merujuk kepada etnik Murut di Sabah. Menurut sejarahnya nama “Murut” diberikan oleh Brunei bagi merujuk kepada satu komuniti yang mendiami kawasan berbukit bukau di Brunei.

Menurut sejarah juga menyatakan bahawa puak Murut di Brunei, dikenali sebagai etnik Lun Bawang di Sarawak dan etnik Lundayeh di Sabah ini merupakan satu kumpulan masyarakat yang berasal daripada satu kawasan yang terletak di tengah-tengah Pulau Borneo yang dikenali sebagai Dataran Tanah Tinggi Kerayan Kelabit. Dan mereka juga dikatakan telah membuat penghijrahan ke seluruh Borneo yang meliputi Sabah, Sarawak dan Brunei sejak dari kurun ke-17 hingga 18 Masihi lagi.

Suatu waktu dahulu, sumber ekonomi mereka adalah bertani iaitu menanam padi dan mengamalkan pertanian nomad bagi mencari tanah-pamah yang subur. Dan atas aktiviti ini adalah difahamkan populasi puak Murut di Brunei juga bertebaran iaitu berbeza-beza perkampungannya serta tidak mengkhusus di satu tempat sahaja.

Jika dahulu nenek moyang mereka mengamalkan kepercayaan animism namun sekarang puak Murut ramai yang sudah memeluk agama Kristian sebagai pegangan penghidupan mereka.

5. Puak Bisaya

Puak Bisaya bukan sahaja ada di Brunei malah turut ada di Sarawak dan Sabah sehingga ke hari ini. Dan apabila ada yang berkata bahawa Bisaya merupakan masyarakat yang berasal dari Filipina iaitu merujuk kepada bangsa Visaya adalah penyataan yang salah kerana ianya tidak selari dengan sejarah bangsa Filipina itu malah bahasa juga langsung tiada persamaan.

Di katakan bahawa sewaktu dahulu, pemerintahan di Pulau Borneo agak kucar-kacir dan banyak penindasan sehingga mengwajarkan masyarakat Bisaya berhijrah daripada tempat asal iaitu dari wilayah Kerajaan Baruni yang telah wujud seawal kurun 977 Masihi lagi. Penghijrahan bagi survival inilah yang telah membentuk masyarakat Bisaya di Sabah, Sarawak mahupun Brunei sekarang.

Berdasarkan laporan yang diterangkan oleh pakar sejarah antropologi seperti Bewsher (1958), Sandin (1971) dan Hussain & Newman (1987), kewujudan etnik Bisaya di bumi Borneo boleh disahkan seawal tahun 1370an lagi. Ini dapat dibuktikan apabila tahun 1370an Empayar Tanah Besar China telah menghantar satu misi ke Negara Barunai (Negara Brunei) yang mana ketika itu Chang Ching Tze telah membantu Maha Mokhsa, Raja Barunai bagi mengawal pemberontakan.

Pemberontakan itu telah menyebabkan ibukota Barunai pada masa itu telah terbakar teruk dan Maha Mokhsa hanya bersandarkan kepada 1,000 masyarakat tempatan Barunai yang dikenali sebagai Bisaya untuk tujuan pertahanan dan keselamatan. Bantuan daripada Maharaja Tembok Besar China telah dapat meredakan Kerajaan Barunai pada masa itu. Dan sebagai membalas jasa itu, maka Maha Mokhsa telah menghantar satu rombongan bagi misi penghormatan ke Negara China pada Ogos 1371.

Selain daripada itu dari segi pengkajian sejarahwan menyatakan bahawa etnik Bisaya yang menghuni bumi Borneo sekarang menurut laporan Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada tahun 1956 sependapat menyatakan bahawa etnik Bisaya merupakan kumpulan masyarakat yang berasal daripada Kerajaan Srivijaya melalui panglima mereka yang bernama Sri Bisaya. Pendapat ini juga disahkan oleh seorang pengkaji sejarahwan iaitu Sonza pada tahun 1972.

Sekarang, puak Bisaya di Brunei sudahpun memeluk agama Islam sepenuhnya.

6. Puak Tutong

Puak Tutong juga seperti puak Belait mempunyai jalan cerita sejarah yang sama Cuma berbeza daripada asal etniknya kerana Puak Tutong dikatakan adalah sub etnik pecahan Kaum Kayan yang ada di Sarawak.

Menurut sejarah oral diceritakan bahawa etnik Tutong ini merupakan merupakan rakyat kepada satu kerajaan kuno yang hilang di bumi Sarawak yang dinamakan Kerajaan Negeri Malano yang dikatakan wujud pada awal abad ke 13 Masihi. Pada ketika itu, etnik Tutong dipimpin oleh seorang pemimpin yang juga merupakan abang ipar kepada Raja Tugau iaitu Basiung.

Pada ketika itu Tutong merupakan salah satu daerah jajahan empayar Kerajaan Negeri Malano. Di dalam sebuah buku yang ditulis oleh Lawrence yang diterbitkan pada tahun 1911 dengan tajuknya “The First Brunei Conquests On The Sarawak Coast” ada menceritakan bahawa Tutong merupakan wilayah pertama yang dimenangi oleh Kerajaan Kesultanan Brunei pada perang perluasan wilayah sekitar abad ke-13 Masihi lagi.

Di dalam satu syair purba yang berjudul Syair Awang Semaun yang merupakan antara dokumen purba yang menjadi rujukan sejarah di Negara Brunei Darussalam pula menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Malano telah kalah di dalam satu perang dengan Sultan Muhammad Shah atau Awang Alak Betatar.

Akibat daripada kekalahan itu puak Tutong berserta dengan wilayah mereka telah menjadi hak kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Dinyatakan juga bahawa puak Tutong dibawah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam mempunyai pembesarnya sendiri yang dinamakan Manteri Tutong.

Menurut cerita legenda di dalam etnik Kayan pula menceritakan bahawa etnik Tutong sebenarnya adalah satu masyarakat yang mempunyai susur galor keturunan dengan seorang pahlawan etnik Kayan yang bernama Tutong. Dan mereka dinamakan orang Tutong mengambil bersempena dengan nama pemimpin mereka itu.

Dari sudut cerita legenda dari puak jati Murut di Brunei pula memberikan penafsiran yang berbeza mengenai asal keturunan puak Tutong. Dikatakan bahawa puak Tutong yang mendiami utara Sarawak dan Brunei sekarang adalah asalnya daripada seorang saudagar pengembara daripada Pulau Sulawesi yang bernama Sri Letong. Hasil perkahwinan Sri Letong dengan anak kepada pemimpin puak Murut yang mendiami Kampung Suran iaitu satu perkampungan puak Murut di Sungai Tutong akhirnya membentuk masyarakat Tutong yang mendiami Sarawak dan Brunei sekarang.

Di Brunei sekarang, puak Tutong adalah beragama Islam dan sudah meninggalkan norma-norma animism yang diamalkan oleh nenek moyang mereka suatu waktu dahulu.

7. Puak Kedayan

Puak Kedayan bukan sahaja ada di Brunei tetapi turut ada di Sabah mahupun Sarawak itu sendiri. Dan walau terpisah oleh Negara yang berbeza namun begitu sehingga ke hari ini orang-orang Kedayan di 2 negara ini masih lagi mempunyai adat tradisi serta budaya yang sama contohnya acara Makan Tahun yang sentiasa dilestarikan saban tahun bagi merayakan kejayaan dan perolehan menanam padi.

Sejarahwan mempercayai bahawa asal usul keturunan puak kedayan adalah berasal dari 40 orang tukang dan pengikut Raden Angsuka Dewa iaitu putera raja Majapahit yang kalah bersabung ayam dengan Awang Alak Betatar. Mereka menjadi taruhan dan gadaian untuk pertandingan itu. Peristiwa ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1340an. Penempatan asal mereka dikatakan terletak di Mejawa Jerudong Brunei.

Diceritakan juga bahawa etnik Kedayan ini adalah satu kaum yang gemar membantu mereka yang datang memohon pertolongan dan kerana itulah suatu waktu dahulu mereka pernah membantu angkatan Laut Kerajaan Johor untuk mencari Puteri Dayang Pingai yang diculik oleh Awang Semaun bagi diperisterikan oleh Awang Alak Betatar.

Disamping itu ada juga yang berkata bahawa puak Kedayan merupakan pengikut puteri Lela Menchanai iaitu permaisuri Sultan Bolkiah, Sultan Brunei yang ke 5 dalam Kerajaan Brunei suatu ketika dulu. Mereka ini merupakan keturunan rombongan kapal yang dibawa bersama-sama dengan Puteri Lela Menchanai sewaktu majlis perkahwinan puteri ini dengan Sultan Bolkiah di Brunei.

Dikatakan sewaktu Sultan Bolkiah berada di Jawa bagi menguruskan perkahwinan baginda, baginda telah menawarkan beberapa orang Jawa untuk berhijrah ke Brunei dan menanam padi serta tanaman di sana. Ini kerana baginda kagum dengan keahlian mereka di dalam bidang pertanian. Ini dikuatkan lagi di dalam rekod persejarahan di Negara Brunei Darussalam yang mencatatkan bahawa orang Kedayan merupakan yang pertama memperkenalkan penanaman padi sawah di negara tersebut.

Oleh kerana ikatan yang kuat dari segi sejarah, sehingga sekarang untuk di Brunei misalnya puak Melayu Brunei dan puak Kedayan bagai aur dengan tebing muafakahnya. Dan puak Kedayan juga adalah antara mereka yang terawal menganut Islam di Borneo.

Sesungguhnya terlalu banyak perkaitan antara masyarakat yang mendiami Borneo biarpun terpisah oleh tiga negara. Keunikan inilah yang menjadikan Borneo itu sungguh berbeza dan walau berlainan bangsa mahupun agama serta Negara namun tetap sentiasa melestarikan adat, budaya dan tradisi yang sama. Bahasa mahupun dialek mungkin sudah tidak sama kerana adanya asimilasi dengan masyarakat yang lain tetapi ini tidak bermakna mana-mana penduduk Borneo tidak boleh berkomunikasi sesama kita.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "Menjadi rakyat Brunei : Perlu mematuhi syarat dibawah undang-undang". www.pelitabrunei.gov.bn. Dicapai pada 2018-04-12. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)