Kacang botor
Kacang botor, kacang botol atau nama saintifiknya Psophocarpus tetragonolobus ialah tumbuhan kekacang tropika anggota cabang Leguminosae keluarga Fabaceae. Ia dikatakan berasal dari Papua New Guinea tetapi tumbuh dengan baik dalam iklim tropika lembap dengan hujan lebat sehinggakan banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina, rantau Nusantara, Myanmar sampai sejauh India dan Sri Lanka di sebelah barat.
Kacang botol | |
---|---|
Bunga dan daun kacang botor | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
(tanpa pangkat): | |
(tanpa pangkat): | |
(tanpa pangkat): | |
Order: | |
Keluarga: | |
Subkeluarga: | |
Tribus: | |
Genus: | |
Spesies: | P. tetragonolobus
|
Nama binomial | |
Psophocarpus tetragonolobus (L.) D.C.
|
Peristilahan
suntingNama "kacang botor" atau "kacang botol" dipakai serata Semenanjung Melayu, Sumatera serta kawasan tertentu di Kalimantan Borneo. Terdapat juga banyak nama setempat lain yang diketahui untuk tumbuhan ini:
- bahasa Melayu Pontianak: kacang kumbotor
- bahasa Melayu Palembang: kacang embing
- bahasa Minangkabau: kacang belingbing (كاچڠ بلينبيڠ)[1] - kerana bentuknya yang bersayap mirip atau bahkan menyerupai sedikit dengan belimbing, nama turut dipakai seberapa etnik lain di Sumatera
- bahasa Jawa: cipir ꦕꦶꦥꦶꦂ, cicipir ꦕꦶꦕꦶꦥꦶꦂ, kēcipir ꦏꦼꦕꦶꦥꦶꦂ
- bahasa Sunda: jaat[2]
- bahasa Bali: kēlongkang
- Di Manado dan Ternate: biraro[3]
- Di Semenanjung Melayu: kacang kelisa, kacang sirek, kalkang
Morfologi
suntingSpesies ini tumbuh merambat, memanjat atau membelit, membentuk perdu,[2] atau semak yang menahun; penanaman ia secara bertani biasanya diberi penyangga untuk ia tumbuh bersokong, tetapi jika ia dibiarkan tumbuh meliar akan menutupi permukaan tanah. Akarnya majmuk samping yang panjang, menjalar datar dekat permukaan tanah, sebagian di antaranya menebal, membentuk umbi.[4]
Batangnya separa berkayu berbentuk silinder, beruas licin tanpa bulu dan liat di mana ia berwarna hijau ketika muda dan bertukar perang setelah tua; ia mampu memanjang sejauh 4 m panjang. Dedaun jenis majmuk beranak tiga ("trifoliat"), susunan berselang-seli, tangkai panjang, halus. Anak daun ini pula sederhana besar berbentuk bujur dengan hujung menirus, nipis, berwarna hijau ketika muda dan bertukar hijau tua setelah matang, tepi rata; lebarnya diamati berukuran sekitar 4–15 cm × 3.5–12 cm,
Bunganya tumbuh banyak majmuk dengan bentuk seakan kupu-kupu bersaiz sederhana dengan kelopak berwarna ungu, terdapat 1-10 kuntum sejambak yang keluar dari celah ketiak daun.
Buah polong ia muncul memanjang, bersegi empat dengan "sayap" bersudut di setiap sisi, sepanjang tepi sayap bergerigi kecil berukuran 6–40 cm × 2–3,5 cm, ia berwarna hijau ketika muda bertukar coklat apabila tua, mengandungi banyak biji benih di tengahnya sebanyak 5–21 butir. Biji ini bulat sederhana besar dengan diameter 5–10 mm di mana ia berwarna hijau ketika muda, coklat kehitaman apabila telah tua, berbentuk bulat membujur, keras seperti biji kacang soya; biji-biji ini kadangkala boleh kelihatan putih atau berbintik.[4]
Kandungan
suntingBuah kacang muda mengandungi 1-3% protein dan kaya dengan mineral besi, kalsium dan vitamin A. Rangting ubi pula mengandungi 8-10% protein, 30% karbohidrat, banyak fosforus dan kalsium. Daunnya mengandungi 5-7% protein dan banyak mineral, vitamin A dan C. Manakala bij masak mengandungi 11% air, 33% protein, 32% karbohidrat, 16% lemak dan 5% serat.[5] Kandungan asid amino dalam kacang botor seakan-akan kacang soya tetapi kacang botor mengandungi lebih lisin dan leusin. Minyak kacang botor seakan-akan minyak kacang tanah, 67% minyak kacang botor adalah asid linoleik dan asid oleik. Kandungan tokoferol dalam minyak kacang botor juga adalah tinggi. Bahan lain dalam minyak kacang botor yang sederhana banyak ialah fosforus, kalsium, zink, sedikit mineral lain, sederhana banyak tiamina dan riboflavin.[6]
Penanaman
suntingPokok kacang botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa yang lain. Ia ialah tumbuhan herba saka dengan tempoh pengeluaran optimum di antara tiga hingga empat tahun, tetapi juga boleh ditanam sebagai pokok semusim mengikut kegunaan penanamannya.[7]
Pokok kacang botor merupakan salah satu tumbuhan pengikat nitrogen yang terbaik dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan banyak baja nitrogen tetapi masih memerlukan baja lain seperti fosforus dan kalium.
Sebagai pokok tropika, ia amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benihnya mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam hanya tempoh beberapa minggu sahaja.
Ia ditanam secara biji dan akan bercambah antara 5-7 hari selepas disemai, bergantung kepada varieti. Lebih kurang dua bulan setengah selepas disemai, ia akan mula berbunga, tetapi ada jenis baka yang berbunga selepas lima bulan ia ditanam. Buah kacang botor mencapai panjang maksimum dalam masa 20 hari selepas berbunga dan masih lembut ketika itu, serta sesuai dijadikan sayur. Ia matang dalam masa 65 hari selepas berbunga.
Perosak dan Penyakit
suntingPerosak utama kacang botor adalah ulat pengorek lenggai (Maruca testulalis Geyer) dan kutu daun atau afid kacang (Aphis craccivora Koch). Larva ulat pengorek lengai menyerang pucuk, daun muda, bunga, lenggai menyebabkan bunga gugur dan lenggai berlubang. Manakala afid kacang menghisap cecair di bawah daun, pucuk, bunga dan lenggai menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut.
Penyakit utama kacang botor adalah karat (false rust) (Synchytrium psophocorpi) dan bintik daun cercospora (Cercospora capsici).[8] Penyakit ini menyerang batang, daun dan lenggai. Kawasan serangan akan terhasil spora berwarna jingga cerah. Bintik mata burung pada daun kelihatan.
Selain itu, kacang botor boleh dijangkiti penyakit virus dan mikoplasma. Penyakit lain disebabkan oleh bakteria dan kulat. Satu cara untuk mengatasi penyakit adalah dengan menanam baka yang baik yang akan menghasilkan tanaman yang tahan lasak. Akarnya kerap diserang oleh nematod. Manakala daun mudah diserang pelbagai jenis ulat dan serangga.
Khasiat
suntingMakanan
suntingPokok kacang botor amat berguna kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan:
- Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
- Buah yang muda dan lebut dijadikan sayur mentah, digoreng, dibuat kerabut atau jenis makanan lain dan ia mempunyai rasa yang hampir sama dengan pucuk asparagus.
- Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
- Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun dan rasanya hampir serupa dengan daun bayam.
- Ubinya yang mempunyai perisa seperti kacang tanah boleh digunakan sebagai sayur berubi dan ia hampir serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya protein berbanding ubi kentang.[9] Ia amat digemari di Papua New Guinea dan juga amat popular di negara Myanmar sebagai juadah makanan.
- Biji yang masak telah diiktiraf sebagai makanan yang berkhasiat kerana mengandungi banyak protein seperti kacang soya. Biji kacang botor boleh diproses seperti kacang soya iaitu dijadikan pelbagai produk yang boleh dimakan atau diminum.
Perubatan
suntingDaun kacang botor boleh dibuat teh dan sesuai digunakan sebagai ubat pencuci mata yang bengkak serta bisul dan kudis.[perlu rujukan] Daun ditumbuk lumat dan ditampa pada bisul. Daun dan biji kacang botor dimasak dan dimakan untuk mengubati penyakit kulit seperti bisul dan ulser. Manakala akar direbus dan diminum untuk merawat penyakit vertigo.[perlu rujukan]
Rujukan
sunting- ^ Slamet Soeseno (1985). Sayur-Mayaur untuk Karang Gizi. Jakarta: Penebar Swadaya. m/s. 28–30.
- ^ a b Nana Supriatna (2007). Bercocok Tanam Sayuran. Jakarta: Azka Press. m/s. 7–10. ISBN 978-979-1211-78-9.
- ^ Heyne, K. (1987). Tumbuhan Berguna Indonesia. 2 (ed. 1916). Bogor: Badan Penelitian dan Pengembangan Kehutanan. m/s. 1068-69.: 348]
- ^ a b Grubben, G.J.H. 2004. Psophocarpus tetragonolobus (L.) DC.[pautan mati kekal] [Internet] Record from PROTA4U. Grubben, G.J.H. & Denton, O.A. (Editors). PROTA (Plant Resources of Tropical Africa / Ressources végétales de l’Afrique tropicale), Wageningen, Netherlands. <http://www.prota4u.org/search.asp Diarkibkan 2013-11-08 di Wayback Machine>. Accessed 11 September 2013.
- ^ Maklumat nutrisi biji kacang botor.
- ^ Ong, H.C. (2003) Sayuran: Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. ISBN 9-789676-113900
- ^ Zaleha Ujang. (17 Oktober 2011) Agrobiz: Tip tanam kacang botor. Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia. Capaian 4 Ogos 2012.
- ^ Drinkall, M. J. (1978) False rust disease of the winged bean. PANS, 24, 160 - 166. (Abs. 324).
- ^ Poulter, N. H. (1982). Some characteristics of the roots of the winged bean (Psophocarpus tetragonolobus (L.) DC). Journal of the Science of Food and Agriculture, 33, 107- 114.
- Sumber utama
- Venketeswaran, S., M.A.D.L. Dias, dan U.V. Weyers. (1990) The winged bean: A potential protein crop (Pokok Kacang Botor: Tanaman protein yang berpotensi), m.s. 445. Dalam buku: J. Janick dan J.E. Simon (ed.), Advances in new crops (Kemajuan dalam tanaman-tanaman baru). Portland: Timber Publication.
- Winged bean[pautan mati kekal]. Humanity Development Library 2.0. Capaian 5 Ogos 2012.