Hutan montane, hutan oak gunung atau hutan gunung rendah merujuk kepada kawasan hutan pergunungan rendah yang terdapat pada ketinggian 1,200 sehingga 1,500 meter dari paras laut yang kebanyakan spesiesnya bersaiz sederhana seperti mempening, berangan, damar minyak dan podo.[1][2][3] Spesies pokok ini mempunyai buah yang berbiji tunggal dan ia disebarkan oleh hidupan liar seperti monyet dan tikus serta buahnya seolah-olah menyerupai buah oak di negara beriklim sederhana.[1] Maka kawasan tumbuhan ini dikenali sebagai hutan montane atau hutan oak gunung dengan diselubungi kabus dan lembap.[1][3] Kejadian hutan ini berubah-ubah mengikut kawasan setempat. Rafflesia juga mampu hidup di kawasan hutan montane dan ia juga habitatnya.[2] Lapisan renjong bagi pokok tidak terdapat di kawasan hutan ini.[1] Burung-burung seperti helang dan enggang juga boleh dilihat di sekitar kawasan ini.[3]

Gunung Brinchang yang terletak di dalam Taman Eko-Rimba Mossy Forest dalam Hutan Simpan Batu Gangan, Tanah Tinggi Cameron di Pahang.

Perkataan "montane" pada dirinya merupakan istilah biogeografi yang merujuk kepada kawasan tanah tinggi yang terletak di bawah garisan pokok. Kawasan montane umumnya mempunyai suhu yang lebih dingin dan seringnya hujan yang lebih lebat, berbanding dengan kawasan tanah pamah yang berhampiran.[3] Kawasan itu juga merupakan tempat kediaman untuk komuniti tumbuhan dan haiwan yang tersendiri. Kawasan di atas garisan pokok dikenali sebagai kawasan iklim alp.

Contoh kawasan yang berhutan montane di Malaysia ialah Gunung Brinchang yang terletak di Hutan Simpan Batu Gangan, Gunung Serudum di Hutan Simpan Berkelah serta kawasan Banjaran Bintang di Kedah dan Perak.[1][2][4]

Galeri

sunting

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d e Khairuddin Hj. Kamaruddin (2013). Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). m/s. 317. ISBN 978-983-46-0838-5.
  2. ^ a b c Dato' Dr. Md. Hizamri Md. Yasin, Norlela Sulaiman & Shamsul Khamis (2023). Rafflesia di Pahang. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). m/s. 117. ISBN 978-629-7547-79-4.
  3. ^ a b c d Masitah Mohammad Yusof, Azizi Hj. Muda & Khaidir Alias (2010). Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hutan Hujan Tropika. Siri Pendidikan Alam Sekitar. Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM). m/s. 131. ISBN 978-967-344-147-1.
  4. ^ "Peninsular Malaysia". hutanwatch.com (dalam bahasa Inggeris). Hutanwatch. Dicapai pada 13 Januari 2025.

Pautan luar

sunting