Stele
Sebuah stele, prasasti atau batu bersurat (Jawi: ستيلي , sebutan: stélé)[Note 1] ialah tugu pipih atau batu nisan yang diukir diperbuat daripada batu (kayu, dsb.) yang menegak, dan didirikan dalam zaman purba sebagai sebuah tugu. Stele di kubur digunakan untuk tujuan peringatan atau pengebumian. Stele dalam bentuk batu bidur (slab) digunakan oleh kerajaan Yunani dan Rom purba sebagai penanda sempadan untuk tandakan garis sempadan atau batasan sesuatu bidang tanah.
Permukaan stele selalunya dibubuh teks, suratan, hiasan, atau semua sekali. Hiasan boleh diukir, ditimbul, atau dicat.
Stele juga kadangkala digunakan sebagai tugu peringatan kepada perang. Misalnya, ada lebih daripada enam stele-stele yang didirikan di medan perang Waterloo.[1]
Batu nisan yang digunakan orang barat boleh dianggap sebagai stele, tetapi ia tidak dikira sebegini oleh mereka. Tambahan pula, objek yang serupa dengan stele tidak dipanggil sebegitu dalam fahaman orang timur dan selalunya dipanggil dengan nama lain, misalnya: Batu Bersurat di Terengganu. Dan perkataan "stele" biasanya digunakan dalam bidang arkeologi untuk objek dari Eropah, Asia Timur kuno dan Mesir,[2] China, dan juga Amerika (Tengah dan Selatan) purba.
Sejarah
suntingStele juga pernah digunakan untuk terbitkan undang-undang dan perintah, untuk catat pencapaian dan penghormatan pemerintah, untuk menanda kawasan dan sempadan, seperti stele sempadan Akhenaten di Amarna,[3] ataupun untuk mengingat kemenangan dalam perang.[4] Stele digunakan di Timur Dekat Kuno, Mesopotamia, Yunani, Mesir, Somalia, Eritrea, Habsyah, China, Timur Jauh, dan oleh peradaban Mesoamerika, seperti Olmek[5] dan Maya.[6]
Sejumlah besar stele, termasuklah prasasti, yang elok dari Mesir purba dan Amerika Tengah menjadi sebahagian besar maklumat yang kita dapat tentang peradaban mereka, terutama sekali stele Maya. Contoh terkenal ialah stele bersurat bernama Batu Rasyid, yang membuka haluan untuk memahami hieroglif Mesir, Tiglath-Pileser III yang berada di Muzium British dan dua stele daripada dinding sebuah gereja yang kini menjadi bahan kajian untuk penyelidikan bahasa Etruska.
Batu berdiri (menhir), yang didirikan tanpa persuratan dari Libya di Afrika Utara ke Scotland, ialah tugu dari perbudayaan Megalit pracelik huruf dari Zaman Batu Lewat. Batu Pictish dari Scotland ditarikhkan berasal dari julat kurun ke-6 dan ke-9.
Sebuah obelisk, atau tugu tiang, ialah sejenis stele yang khas. Salib tinggi dalam citra Insular di Ireland dan Britain ialah stele khas. Tiang totem dari Amerika Utara dan Selatan yang diperbuat daripada batu boleh dikira sebagai stele khas. Batu nisan barat, biasanya ditambahkan epitaf, ialah jenis stele yang biasa dilihat dalam budaya barat.
Dalam Memorial to the Murdered Jews of Europe (Tapak Peringatan Bangsa Yahudi yang Dibunuh di Eropah) di Berlin, jurureka bina Peter Eisenman hasilkan sebidang padang dengan 2,700 stele kosong.[7] Tapak peringatan itu bukan sahaja untuk dibaca, tetapi juga untuk peringatkan penghapusan maklumat yang dilakukan semasa Holocaust.
Mesir
suntingBanyak stele telah digunakan sejak wangsa Pertama Mesir. Bidur seperti ini digunakan untuk makam, batu nisan, tujuan agama, dan menanda sempadan.[8]
Urartu
suntingStele tamadun Urartu ialah tugu tiang batu yang memainkan pelbagai peranan, adakalanya ia ditempatkan dalam perkarangan kuil, atau pada ceruk dalam batu (seperti dalam ceruk Batu Van, yang ditemui oleh Marr dan Orbeli pada 1916[9]) atau didirikan berhampiran makam. Ada pula yang berada di lokasi yang terpencil dan mempunyai fungsi peringatan atau dijadikan batas sempadan, contohnya Stele Kelashin. Walaupun biasanya kosong, kebanyakan stele mempunyai catatan pepaku yang menyatakan fungsi stele atau mengapa stele tersebut didirikan. Stele dari "ceruk barat" Van mempunyai catatan daripada pemerintahan Sarduri II, dengan peristiwa tahunan diceritakan dan setiap tahun dipisahkan dengan ungkapan "Demi Tuhan Haldi telah aku laksanakan jasa-jasa ini".[9] Stele Urartu kadangkala diguna semula sebagai batu nisan orang Armenia Kristian atau sebagai digunakan semula dalam gereja Armenia - Maranci berpendapat ini kerana mereka mahu padamkan sejarah silam.[10] Ada pakar dalam bidang ini mencadangkan bahawa stele Urartu mungkin telah mempengaruh kewujudan simbol Armenia, khachkar.[11]
Yunani
suntingPenanda makam Yunani berasal dari Athens, terutama sekali yang berada di Attica. Penanda makam dalam budaya Yunani patut dibuat dengan besar, tidak kira untuk pengebumian biasa mahupun menggunakan tembikar sahaja untuk meletak abu mayat selepas dibakar. Stele dalam zaman Gaya Arkaik di Athens Purba (600 SM) biasanya tunjukkan kehebatan orang-orang hebat seperti olahragawan.[12] Orang yang diceritakan biasanya seorang, tetapi ada yang menceritakan dua atau lebih orang dari zaman ini.[13] Dalam abad ke-6 dan ke-5 SM, kepopularan stele Yunani merosot dan meningkat semula di Athens dan telah berubah untuk gambarkan sekumpulan orang, seperti sebuah keluarga atau rumah tangga, contohnya Stele Hegeso. Stela nisan diperbuat daripada marmar dan diukir secara menimbul, yang juga biasa dicat.[14] Untuk lihat lebih banyak lagi contoh stele, Muzium Getty ada terbitkan Katalog Arca Pemakaman Yunani dan merupakan sumber yang bagus untuk ketahui lebih lanjut.[15]
China
suntingStele (bahasa China: bēi 碑) merupakan medium ukiran utama di China sejak wangsa Tang.[16] Stele China biasanya berbentuk segi empat tepat dengan aksara China yang diukir benam, menulis tentang orang mati, peringatan, atau akhlak. Ia boleh digunakan untuk memperingati penulis terkenal dan pegawai, menulis sajak, peta, potret, dan juga pamerkan kaligrafi tokoh sejarah terkenal.[17] Tambahan pula, banyak stele China mengandungi skrip cina tradisional, lebih-lebih lagi skrip sami.[18]
Stele cina dari sebelum wangsa Tang amat jarang dijumpai: hanya sebilangan kecil dari wangsa Qin, kira-kira dua belas jumlahnya dari Han Barat, 160 dari Han Timur, dan beberapa ratus dari wangsa-wangsa Wei, Jin, Utara dan Selatan, dan Sui.[19] Semasa wangsa Han, ukiran di makam (墓誌 , mùzhì) yang mengandungi maklumat berkenaan si mati mula diperbuat daripada batu dan bukan lagi kayu.[19]
Mendirikan stele akhirnya menjadi kebiasaan meleluasa untuk makam, kuil, dan sebagainya. Maharaja-maharaja rasa mereka patut letakkan undang-undang penggunaan stele, untuk kawal penggunaan stele pemakaman oleh rakyat. Undang-undang wangsa Ming, yang diisytiharkan dalam abad ke-14 oleh Maharaja Hongwu, senaraikan jenis-jenis stele yang khas untuk bangsawan dan golongan pegawai: bangsawan dan menteri tinggi dibenar meletak stele di atas kura-kura batu (赑屃, bixi) dan diletakkan naga tidak bertanduk (螭魅, chimei), manakala pegawai yang rendah hanya boleh dapat stele dengan atas yang melengkung (seperti batu nisan barat) yang diletakkan di atas kekaki segi empat.[20]
Stele dijumpai di hampir semua gunung dan tempat bersejarah penting di China. Maharaja Qin pernah adakan lima kunjungan di sekitar kerajaan baginda pada abad ke-3 SM dan titahkan Li Si untuk buatkan tujuh batu bersurat untuk mengingati dan memuji kerja baginda, namun sekarang hanya dua sahaja maih elok.[21] Antara stele gunung yang terkenal ialah stele 13 m (43 ka) di Gunung Tai dengan kaligrafi tangan Maharaja Xuanzong dari Tang yang memperingatkan pengorbanan baginda pada tahun 725.[21]
Batu-batu peringatan seperti ini telah menjaga sejarah dan asal-usul kelompok agama minoriti China. Orang Kristian Xi'an dari abad ke-8 ada tinggalkan Stele Nestoria yang simpan maklumat bersejarah, dan dijumpai selepas berkurun tertanam dalam tanah. Stele yang dibuat oleh Yahudi Kaifeng dari tahun 1489, 1512 dan 1663 beritahu tentang dunia mereka, dan lalui banyak banjir di Sungai Kuning yang telah beberapa kali musnahkan saumaah mereka. Muslim China juga ada stele yang dari zaman dahulu juga, biasanya dengan tulisan Cina dan Arab.
Beribu-ribu stele, yang dihasilkan secara berlebihan dan tidak lagi berkaitan dengan individu tujuan mereka, dihimpunkan di Muzium Rimba Stele Xi'an, sebuah tempat tarikan pelancong yang popular. Ada juga tempat lain yang menghimpunkan stele-stele yang tidak diperlukan di Beijing, seperti di Dong Yue Miao, Kuil Lima Pagoda, dan Menara Loceng sebagai penyelesaian bagi mereka yang tidak mahukan stele mereka lagi dan berfungsi sebagai sebuah daya tarikan pelancong. Tulisan stele-stele yang panjang dan teliti amatlah susah dibaca kerana aksara yang diukirkan ke dalam marmar putih hanyalah sebesar seinci, manakala batu-batu ia setinggi 3 atau lebih meter.
Ada lebih daripada 100,000 batu bertulis yang masih wujud di China. Namun, hanya kira-kira 30,000 sahaja yang pernah dialih tulis atau ditekap, dan bilangan tersebut lebih berkurangan jika kita lihat berapa banyak yang dikaji secara ilmiah.[19]
Stele Maya
suntingStele Maya diperbuat oleh peradaban Maya dari Mesoamerika kuno. Stele mereka diperbuat daripada bidur atau bongkah batu dan biasanya ada batu berbentuk bulat di bawah yang dipanggil mihrab, tetapi kegunaan sebenar ia tidak tentu.[22] Banyak stele diukir benam,[23] tetapi stele yang leper masih dijumpai serata rantau Maya.[24] Pengukiran tugu-tugu begini menjadi popular semasa Zaman Klasik Maya (250–900 TM),[22] dan pembandungan stele dan mihrab menjadi penanda tamadun Maya Klasik.[25] Stele paling tua yang ditemui di rantau tanah pamah kerajaan Maya dan diperoleh dari kota raya Tikal di Guatemala. Semasa Zaman Klasik, hampir kesemua kerajaan-kerajaan Maya di tanah pamah selatan mendirikan stele di pusat daerah agama.[24]
Stele semakin berkait rapat dengan konsep dewa raja dan kepopularan ia jatuh pada masa ia diperkenalkan. Penghasilan stele oleh peradaban Maya bermula pada lingkungan 400 SM sehingga hujung Zaman Klasik, dalam lingkungan 900 TM, namun ada seberapa batu stele digunakan semula semasa zaman Pascaklasik (c. 900–1521). Bandar Calakmul di Mexico telah hasilkan bilangan stele yang paling banyak berbanding semua bandar Maya yang lain, setidaknya 166, tetapi ia tidak dipeliharakan dengan elok.
Beratus-ratus stele ditemui di rantau Maya,[26] dengan pelbagai aneka rupa dan gaya seni.[24] Banyak daripadanya bidur batu kapur yang berdiri tegak dengan satu atau dua permukaan yang diukir[24] dan dihiasi dengan ukiran timbul menggambarkan lukisan dan teks hieroglif. Ada stele dari beberapa tempat yang ada sumber yang mencukupi mempunyai rupa yang lebih tiga dimensi, seperti di Copán dan Toniná.[24] Stele kosong kelihatan seakan-akan tidak dihiasi mahupun dikiaskan dengan stuko,[27] tetapi barangkalinya stele Maya dicantikkan dengan warna-warna merah, kuning, biru, hitam dan sebagainya.[28]
Ireland
suntingBatu Ogham ialah sejenis penanda kubur dan sempadan yang berdiri menegak, dan didirikan di beratus-ratus tempat di Ireland sepanjang alaf pertama tahun masihi, dan dipenuhi tulisan dalam bahasa Ireland Primitif. Kadangkala ia digelar "stele."[29][30][31]
Tanduk Afrika
suntingTanduk Afrika mempunyai banyak stele. Di tanah tinggi Habsyah dan Eritrea, orang-orang kerajaan Aksum pernah mendirikan berbilang stele yang besar, yang digunakan untuk tujuan keagamaan sebelum kedatangan agama Kristian. Salah satu tiang-tiang granit ini merupakan stele yang terbesar di dunia, berketinggian 27 meter.[32]
Tambahan pula, Tiya ialah satu daripada sembilan tapak tiang besar di pusat Zon Gurage di Habsyah. Menjelang 1997, 118 stele ditemui di kawasan tersebut. Sekali dengan stele-stele di Zon Hadiya, struktur-struktur tersebut digelar oleh orang tempatan sebagai Yegragn Dingay atau "batu Gran", sempena Imam Ahmad bin Ibrahim Al-Ghazi (Ahmad "Gurey" atau "Gran"), pemerintah Kesultanan Adal.[33]
Stele-stele di Tiya dan kawasan lain di tengah-tengah Habsyah adalah serupa dengan stele yang berada dalam perjalanan antara Bandar Djibouti dan Loyada di Djibouti. Di Loyada, ada beberapa stele yang digunakan sebagai batu kubur berbentuk segi empat diapit dengan bidur menegak. Stele Djibouti-Loyada tidak mempunyai usia yang diketahui, dan beberapa dihiasi dengan simbol berbentuk T.[34]
Berdekatan bandar purba Amud di barat laut Somalia, jika tapak purba mempunyai imbuhan awalan Aw dalam namanya (seperti puing-puing Aw Bare dan Aw Bube[35]), ia menandakan tempat persemadian seorang santo.[36] Kaji selidik A.T. Curle (1934) pada beberapa kota purba utama memperoleh pelbagai artifak, seperti tembikar dan syiling, yang membuka jendela ke zaman penghujung pemerintahan Kesultanan Adal.[35] Di antara penempatan-penempatan ini, Aw Barkhadle dikelilingi berbilang stele purba.[37] Tapak pengebumian berdekatan Burao juga mempunyai stele.[38]
Stele ternama
sunting- Stele Vespasian
- Kod Hammurabi
- Stele Gwanggaeto
- Stele Raja Ezana
- Kul Tigin
- Stele Lemnos
- Lapis Niger
- Stele Mesa
- Naram-Sin
- Stele Nestoria
- Stele khinzir Edessa
- Batu Terpon
- Stele Doktor di Kuil Sastera, Hanoi
- Stele Ram Khamhaeng
- Stele Kurgan
- Di Afrika:
- Stele Merneptah
- Batu Rasyid
- Stele Persempadanan Akhenaten
- Batu Palermo
- Stele Ankh-ef-en-Khonsu
- Ọranyan
- Gao-Saney
- Stele-stele Burao
- Batu Guanches
- Di benua Amerika:
- Mexico: Stele Tres Zapotes C, Stela Izapa Stela 5, Stela La Mojarra 1
- Guatemala: Stela 14 dari Piedras Negras
- Honduras: Stela H dari Copan
- Peru: Stele Raimondi
Galeri
sunting-
Stele kubur Nehemes-Ra-tawy, c. 760–656 SM, Mesir
-
Stele #25 (sekitar 2500 BC) dari Petit Chasseur di Sion, Switzerland
-
Menhir neolitik Sardinia (sekitar 2500 SM) dari Laconi dan dikaitkan dengan budaya Abealzu-Filigosa
-
Lunet Kod Hammurabi (sekitar 1750 SM), menggambarkan raja menerima undang-undang daripada dewa matahari Shamash
-
Stele Merneptah (sekitar 1200 SM), ditulis di belakang stele Amenhotep III, dan yang terawal menyebut menyebut nama Israel
-
Sebuah herm dari Demosthenes, rekaan semula dari sekitar 1520 daripada yang asal dari sekitar 280 SM yang berasal dari pasar Athens
-
Stele 35 dari Yaxchilan (abad ke-8), menggambarkan Dang Ikʼ Skull, permaisuri raja Itzamnaaj Bʻalam II
-
Stele Nestoria (781) mencatatkan kejayaan mubaligh Alopen di China Tang dalam tulisan China danSuyriani. Ia mempunyai sebuah Bixi dan diharamkan untuk dipamerkan luar negara.
-
Batu Rodney, salib bidur dari Scotland Zaman Pertengahan Awal
-
Batu nisan berbentuk bulat, juga dipanggil hilarri di Bidarray, Pyrenees barat, Wilayah Basque, menggambarkan bentuk-bentuk geometri dan cakera suria, resam dari zaman pra-Romawi
Lihat juga
suntingNota
suntingRujukan
sunting- ^ Commons:Category:Battle of Waterloo steles; Timmermans, D. (7 Mac 2012). "Waterloo Campaign". The British monuments.
- ^ Collon, Dominique, et al. "Stele." Grove Art Online. Oxford Art Online. Oxford University Press. Web. 3 Jun. 2015
- ^ Davies, N. D. (1908). Memoirs by Egypt Exploration Society Archaeological Survey of Egypt (Jilid 17). London. Bab V, h. 19. Dicapai 10 Jun 2019 dari archive.org.
- ^ Contohnya, stele kemenangan Piye (Lichtheim, M. (1980). Ancient Egyptian Literature, Jilid 3). The University of California Press. h. 66) atau stela Shalmaneser di Saluria (Boardman, op. cit., h. 335).
- ^ Pool, Christopher A. Olmec Archaeology and Early Mesoamerica. h. 265.
- ^ Pool, op. cit., h. 277
- ^ Till, Karen E. (2005).The New Berlin: Memory, Politics, Place. h. 168.
- ^ Dunn, Jimmy. "The Stelae of Ancient Egypt". Tour Egypt. Dicapai pada 8 July 2014.
- ^ a b Azarpay, G. (1968). Urartian Art and Artifacts: A Chronological Study. Berkeley, California: University of California Press. m/s 32. ISBN 9780520000520
- ^ C. Maranci (2015). Vigilant Powers: Three Churches of Early Medieval Armenia. h. 177–182.
- ^ C. Maranci (2015). Vigilant Powers: Three Churches of Early Medieval Armenia. Nota kaki 311, h. 198.
- ^ Caskey, L. D. (1911). An Archaic Greek Grave Stele in Boston. American Journal of Archaeology,15(3), 293. doi:10.2307/497409 Diarkibkan pada 19 Mac 2013 di sini.
- ^ Robinson, Edward. “An Archaic Greek Grave Monument.” The Metropolitan Museum of Art Bulletin 8.5 (1913): h. 94. CrossRef. Web.
- ^ Campbell, Gordon. The Grove Encyclopedia of Classical Art and Architecture. Oxford; New York: Oxford University Press, 2007. Print.
- ^ Grossman, Janet Burnett. Greek Funerary Sculpture : Catalogue of the Collections at the Getty Villa. Los Angeles: JPaul Getty Museum, 2001. Print.
- ^ Endymion Wilkinson, Chinese History: A Manual (Cambridge, Massachusetts: Harvard-Yenching Institute, 2000): 436.
- ^ Wilkinson (2000): 436-437.
- ^ "The Stele of Mount Hua Temple at The West Alp". Vincent's Calligraphy (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2017-05-16.
- ^ a b c Wilkinson (2000): 437.
- ^ de Groot, Jan Jakob Maria (1892), The Religious System of China, II, Brill Archive, m/s. 451–452.
- ^ a b Wilkinson (2000): 438.
- ^ a b Miller (1999). h. 9.
- ^ Fuente et al. (1999). h. 187.
- ^ a b c d e Stuart 1996, h. 149.
- ^ Sharer & Traxler 2006, h. 235.
- ^ Stewart 2009, h. 8.
- ^ Stuart 1996, h. 158.
- ^ Sharer & Traxler 2006, h. 183.
- ^ Goudsward, David (5 May 2014). "Ancient Stone Sites of New England and the Debate Over Early European Exploration". McFarland – melalui Google Books.
- ^ elisabetta. "connemara.irish". www.connemara.irish.
- ^ Menninger, Karl (10 April 2013). "Number Words and Number Symbols: A Cultural History of Numbers". Courier Corporation – melalui Google Books.
- ^ Brockman, Norbert (2011). Encyclopedia of Sacred Places, Volume 1. ABC-CLIO. m/s. 30. ISBN 159884654X.
- ^ Fukui, Katsuyoshi (1997). Ethiopia in broader perspective: papers of the XIIIth International Conference of Ethiopian Studies Kyoto 12-17 December 1997. Shokado Book Sellers. m/s. 370. ISBN 4879749761. Dicapai pada 23 December 2014.
- ^ Fattovich, Rodolfo (1987). "Some remarks on the origins of the Aksumite Stelae" (PDF). Annales d'Éthiopie. 14 (14): 43–69. Dicapai pada 7 September 2014.
- ^ a b Lewis, I.M. (1998). Saints and Somalis: Popular Islam in a Clan-based Society. The Red Sea Press. m/s. 90. ISBN 978-1-56902-103-3.
- ^ G.W.B. Huntingford, "The Town of Amud, Somalia", Azania, 13 (1978), h. 184
- ^ Briggs, Phillip (2012). Somaliland. Bradt Travel Guides. m/s. 98. ISBN 1-84162-371-7.
- ^ "National Museums". Somali Heritage and Archaeology. Dicapai pada 13 October 2013.
Bibliografi
sunting- Boardman, John, ed. The Cambridge Ancient History, Part 1, edisi ke-2, (ISBN 978-0-521-22496-3)
- Collon, Dominique, et al. "Stele." Grove Art Online. Oxford Art Online. Oxford University Press. Web. 3 Jun. 2015. Perlu langganan
- Miller, Mary (1999). Maya Art and Architecture. London, UK and New York, USA: Thames & Hudson. ISBN 0-500-20327-X. OCLC 41659173.
- Pool, Christopher A. Olmec Archaeology and Early Mesoamerica. Cambridge University Press, 2007 (ISBN 978-0-521-78312-5)
- Sharer, Robert J.; Loa P. Traxler (2006). The Ancient Maya (ed. ke-6). Stanford, California, USA: Stanford University Press. ISBN 0-8047-4817-9. OCLC 57577446.
- Stewart, Daniel Moroni (2009). "Parentage Statements and Paired Stelae: Signs of Dynastic Succession for the Classic Maya" (PDF). Provo, Utah, USA: Brigham Young University. Dicapai 2016-02-09.
- Stuart, David (Spring–Autumn 1996). "Kings of Stone: A Consideration of Stelae in Ancient Maya Ritual and Representation". RES: Anthropology and Aesthetics. Cambridge, Massachusetts, USA: President and Fellows of Harvard College acting through the Peabody Museum of Archaeology and Ethnology (29/30 The Pre-Columbian): 148–171. JSTOR 20166947.
- Till, Karen E. The New Berlin: Memory, Politics, Place. University of Minnesota Press, 2005
- Wilkinson, Endymion (2000), Chinese History: A Manual (ed. ke-2), Cambridge, Massachusetts: Harvard-Yenching Institute, ISBN 0-674-00249-0.
Pautan luar
sunting- The Cesnola collection of Cypriot art: stone sculpture, katalog himpunan digital dari The Metropolitan Museum of Art Libraries, yang mengandungi bahan-bahan berkenaan stele