Sri Ramakrishna (18 Februari 1836 – 16 Ogos 1886) ialah seorang tokoh agama India kurun ke-19 yang terkenal. Pemikiran dan pengalaman rohani beliau merupakan sumber inspirasi bagi kelahiran pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Beliau juga digelar sebagai Ramakrishna Paramahamsa, Sri Sri Thakur dan Bhagavan Ramakrishna oleh pengikut-pengikutnya.

Nama sebenar Ramakrishna ialah Gadadhar Chattopadhyaya. Beliau berasal daripada sebuah keluarga Brahmin yang miskin dari sebuah perkampungan Bengal, India. Beliau

menjadi seorang sami di kuil Kali Dakshineswar. Ramakrishna telah menjalani disiplin rohani di bawah ajaran Bhairavi Brahmani, seorang fakir wanita yang mahir dalam Tantra dan tradisi Bhakti Vaishnava. Kemudian, beliau juga mempelajari meditasi ke atas Brahman daripada seorang rahib Advaita Vedanta.

Biara Belur
Arca marmar Sri Ramakrishna di Biara Belur

Biografi

sunting

Kelahiran

sunting

Sri Ramakrishna telah dilahirkan pada 18 Februari 1836 di Kamarpukur, sebuah kampung kecil di daerah Hooghly, Bengal Barat yang terletak 112 km dari Kolkata, India. Ibu bapanya, Khudiram Chattopadhyaya dan Chandramani Devi, sangat miskin tetapi beriman lagi baik hati. Nama asal Sri Ramakrishna ialah Gadadhar atau secara singkat, Gadai.

Khudiram berasal dari kampung Derepur di Bengal. Oleh sebab dia enggan untuk memberikan keterangan palsu menurut perintah seorang zamindar (tuan tanah) kampung itu, dia telah kehilangan tanah pusaka dan rumahnya. Dengan bergantung kepada Dewa Raghuvir (salah satu nama Rama) Khudiram meninggalkan Derepur bersama-sama isterinya dan dua orang anak lelaki, Ramkumar dan Rameswar.

Apabila Khudiram tiba di Kamarpukur, dia disambut dengan mesra oleh kawan lamanya Dharmadas Laha. Dia menerima sebidang tanah yang subur dan sebuah pondok kecil daripada Dharmadas. Penduduk-penduduk Kamarpukur juga menerima keluarga baru ini dengan gembira dan membekalkan mereka dengan segala keperluan untuk hidup yang sederhana tetapi bahagia.

Pengorbanan Khudiram untuk berpegang kepada kebenaran tentu telah menarik perhatian Takdir. Ya, Khudiram inilah yang ditakdirkan untuk menjadi bapa Ramakrishna.Salah satu ajaran Ramakrishna ialah bahawa “Kebenaran adalah tunjang agama dalam Kaliyuga”.

Zaman Kanak-kanak

sunting

Tidak lama selepas berpindah ke Kamarpukur, Khudiram melakukan satu lawatan ibadah ke  kuil Vishnu (dikenali sebagai Gadadhara) di Gaya (di Bihar) pada tahun 1835 Masihi. Selepas melakukan upacara pemujaan, dia mendapat satu mimpi yang pelik. Dewa Gadadhar muncul dan berkata bahawa Dia akan lahir sebagai anak Khudiram! Hampir pada masa yang sama, Chandra Devi pula melihat satu cahaya dari kuil Shiva menembusi badannya lalu dia jatuh pengsan. Apabila dia menyedar diri, dia merasakan dirinya hamil. Apabila Khudiram pulang ke rumah, dia mendengar tentang pengalaman Chandra Devi dan berasa yakin bahawa sesuatu kejadian yang pelik akan berlaku. Kejadian ini diikuti dengan perubahan yang luarbiasa pada diri Chandra Devi. Dia mula melihat semua orang termasuk dewa-dewi sebagai anaknya sendiri.

 
Kamarpukur, tempat lahir Ramakrishna.

Pada 18 Februari 1836 pada pukul 5.15 pagi, Chandra melahirkan seorang anak lelaki. Mereka menamanya ‘Gadadhar’ kerana sesungguhnya dia ialah penjelmaan semula Dewa Gadadhar-Vishnu. Sejak lahir, Gadadhar menunjukkan ketuhanannya dengan pelbagai kejadian luarbiasa. Semua orang kampung meraikan kelahirannya dan merasakan bahawa dia ialah saudara mereka sendiri.          

Pendidikan awal Gadadhar bermula di sebuah sekolah pondok di mana dia mempelajari Bahasa Benggali. Namun, dia enggan untuk meneruskan dengan pendidikan formal yang dipanggilnya sebagai “ilmu untuk mengisi perut”. Sebaliknya, dia menunjukan bakat dan minatnya dalam mengukir patung, lukisan, lakonan drama dan nyanyian lagu-lagu suci. Dia juga berkawan rapat dengan golongan fakir dan rahib yang sering berehat di Kamarpukur, yang menjadi hentian dalam laluan ke kuil Jagannath, Puri. Ramakrishna menguasai kitab-kitab seperti Purana, Ramayana, Mahabharata dan Bhagavata Purana dengan mendengarnya daripada golongan fakir dan penyanyi-penyanyi Kathak (kumpulan yang menyanyikan Purana).

Gadadhar mengalami keghairahan mistik yang pertama ketika berusia enam tahun. Ketika dia sedang berjalan melalui tapak sawah padi sambil mengunyah emping beras, dia terpandang sekawan burung putih berterbang di bawah awan yang gelap. Pandangan itu membuatnya melupakan segala-galanya dan merasakan kegembiraan yang tidak terkata. Kejadian yang serupa berlaku beberapa kali dalam zaman kanak-kanaknya. Sekali, ketika dalam perjalanan ke kuil Dewi Vishalakshi dan semasa dia melakonkan watak Dewa Shiva dalam satu drama.

Pada tahun 1843, bapa Gadadhar meninggal dunia. Abang sulungnya, Ramkumar menjadi ketua keluarga dan penjaganya. Gadadhar yang berusia enam tahun, mula menghabiskan masa bersama-sama ibunya dengan membantu dalam kerja rumah. Dia juga menghiburkan wanita-wanita di kejiranannya dengan membacakan kitab-kitab suci.

Sifat Gadadhar berpegang kepada kebenaran terserlah ketika dia berumur sembilan tahun. Ramkumar dan ibunya sibuk membuat persediaan untuk upacara Upanayana apabila Gadadhar mendedahkan hasratnya untuk meminta sedekah pertama daripada Dhani. Menurut trasidi, seorang Brahmin hanya boleh meminta sedekah semasa upacara Upanayana daripada seorang yang sama kasta dengannya. Namun, Gadadhar telah berjanji kepada Dhani daripad kasta tukang besi. Walaupun dibantah oleh keluarganya, Gadadhar enggan untuk mungkir janji kerana menurutnya kebenaran adalah sifat utama bagi seorang Brahmin.

Pada tahun 1852, Ramkumar membawa Gadadhar yang berusia enam belas tahun ke Calcutta. Gadadhar membantu Ramkumar melakukan upacara pemujaan di rumah-rumah persendirian. Walaupun sedih untuk berpisah dengan ibu dan kampungnya, Gadadhar berasa gembira untuk meringankan beban abangnya.

Kuil Kali, Dakshineswar

sunting

Rani Rasmani (A.D.1793-1861), seorang wanita kaya di Janbazar, Kolkata memutuskan untuk melakukan ibadah di Varanasi. Namun, beliau terpaksa membatalkan rancangannya apabila Dewi Kali, Ibu Yang Maha Esa muncul dalam mimpinya dan mengarahkannya untuk membina sebuah kuil untuk-Nya di tebing sungai Ganges. Rani mula membina sebuah kuil yang besar di Dakshineswar. Namun, oleh kerana Rani Rasmani berasal daripada kasta nelayan, sami-sami Brahmin enggan untuk melakukan pemujaan di kuil itu. Rani dalam keadaan terdesak, menghantar utusan kepada ramai pendeta-pendeta untuk meminta nasihat. Semua pendeta, dengan sebulat suara mengatakan bahawa orang Brahmin tidak boleh bekerja di kuil yang dibina oleh orang kasta rendah.

Apabila Ramkumar menerima surat Rani Rasmani, dia menasihatkannya untuk mendaftarkan hakmilik kuil itu di atas nama seorang Brahmin dan Rani bertindak hanya sebagai wakil. Gembira dengan nasihat Ramkumar, Rani mendaftarkan hakmilik kuil itu atas nama gurunya. Kemudian, dia meminta Ramkumar sendiri untuk menjalankan upacara perasmian kuil itu dan seterusnya melantiknya sebagai ketua sami.

 
Kamar Ramakrishna di kuil Dakshineswar

Pada tahun 1855, selepas kuil Kali di Dakshineswar ini dirasmikan, Ramkumar membawa Gadadhar (selepas ini, dikenali sebagai Ramakrishna) untuk tinggal di kuil itu. Kedua-dua Rani dan Mathurnath Biswas (menantu Rani) mula menyayangi Ramakrishna. Mathurnath teringin untuk melantik Ramakrishna sebagai sami untuk menghiasi Dewi Kali. Ramakrishna mula mengelakannya apabila dia mendapat tahu tentang hasrat Mathur. Sementara itu, Hriday, anak saudara Ramakrishna, datang untuk mencari pekerjaan di Dakshineswar. Dia memujuk Ramakrishna dan berjanji bahawa dia akan menjaga barangan kemas Dewi. Jadi, apabila Mathur meminta Ramakrishna untuk menjadi sami, dia bersetuju. Hriday juga mendapat pekerjaan di kuil itu. Tidak lama kemudian, Ramakrishna mendapatkan mantera Shakti daripada seorang guru dan mempelajari cara-cara pemujaan Shakti.

Sadhana

sunting

Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya, Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.  

Setahun kemudian, Ramkumar meninggal dunia secara tiba-tiba. Walaupun terkejut dengan kematian abangnya, Ramakrishna bersetuju untuk mengambil alih tugas abangnya sebagai sami kuil Kali. Pada mulanya, Ramakrishna melakukan upacara pemujaan harian yang teratur mengikut tradisi. Namun, tidak lama kemudian, suatu keinginan menguasai fikirannya. Belia mahu mengetahui sama ada Dewi benar-benar wujud dalam berhala dan menerima pemujaan yang dilakukan.  

Selama beberapa bulan, Ramakrishna melakukan pelbagai disiplin rohani yang rumit lagi luarbiasa. Setiap hari, kerinduannya untuk melihat Tuhan yang dipanggilnya sebagai ‘Ibu’ makin bertambah. Siang dan malam, hatinya memikirkan ‘Ibu’ sehingga makan, minum dan tidur dilupakannya. Apabila ‘Ibu’ enggan untuk mendengar tangisannya, beliau memutuskan untuk menamatkan hidupnya dengan pedang Kali yang disimpan di kuil. Dengan serta-merta, beliau diberkati dengan pandangan mistik Dewi Kali dan beliau sedar bahawa manusia boleh menyedari kewujudan Tuhan.

Selepas kejadian ini, Sri Ramakrishna mula merasakan kewujudan Tuhan setiap masa. Beliau bukan sahaja melihat Tuhan tetapi juga bercakap dengan-Nya secara intim. Beliau tidak lagi dapat menjalankan upacara sembahyang dan pemujaan secara teratur.

Perkahwinan

sunting

Keadaan yang dialami oleh Ramakrishna sesungguhnya sukar dipercayai menyebabkan saudara-maranya khuatir bahawa Ramakrishna telah menjadi tidak siuman.

Oleh itu, bagi menyembuhkan Ramakrishna daripada kegilaannya, Chandra Devi dan abangnya Rameswar mendesaknya untuk kembali ke Kamarpukur. Bagi menenangkan hati ibunya, Ramakrishna mendapatkan rawatan tradisional dan berkelakukan normal. Malah, apabila dia mendapat tahu bahawa keluarganya sedang mencari jodoh untuknya, beliau mencadangakan kepada mereka untuk mencari jodohnya di rumah Ramchandra Mukhyopadhyaya di Jayrambati (sebuah kampung berdekatan Kamarpukur).  Ramchandra mempunyai seorang anak perempuan bernama Sri Sarada Devi.  

Selepas kedua-dua pihak bersetuju, perkahwinan Ramakrishna, yang berumur dua puluh tiga tahun dilangsungkan dengan Sri Sarada Devi yang berumur lima tahun. Selepas perkahwinan ini, Ramakrishna kembali ke Dakshineswar untuk meneruskan kerjanya sebagai sami. Sarada pula kembali ke rumah bapanya di Jayrambati.  

Pelbagai Jalan yang Berlainan

sunting

Selepas kembali ke Dakshineswar, Ramakrishna sekali lagi memulakan disiplin rohaninya. Walaupun, beliau telahpun menyedari Kebenaran dengan usahanya sendiri, beliau teringin untuk mendapatkan bantuan guru untuk mencapai matlamat yang sama. Peliknya, beliau tidak perlu mencari gurunya di mana-mana. Guru-gurunya sendiri datang kepadanya, seorang demi seorang!

Guru pertama Ramakrishna ialah seorang rahib wanita yang dikenali sebagai Bhairavi Brahmani (nama asalnya ialah Yogeswari).  Sebaik sahaja melihat Ramakrishna, Bhairavi meluahkan hasratnya untuk mengajarnya kerana itu ialah kehendak Ibu Yang Maha Esa. Di bawah tunjuk ajar Bhairavi, Ramakrishna melakukan disiplin Tantra yang rumit dan berjaya. Bhairavi menjadi kagum dengan perkembangan rohani yang telah dicapai oleh Ramakrishna dalam masa yang singkat.

Bhairavi yang arif dalam sastera agama mendapati bahawa tanda-tanda yang dilihatnya pada Ramakrishna hanya pernah berlaku dalam hidup Jelmaan Tuhan seperti Sri Krishna Chaitanya (juga dikenali sebagai Caitanya Mahaprabhu) dan Srimati Radha. Oleh itu, dia mengisytiharkan bahawa Ramakrishna juga ialah seorang Jelmaan Tuhan atau Avatar!  Dia juga mencabar para pendeta untuk menafikannya dalam satu persidangan.

Mathurnath menjemput ramai golongan pendeta untuk menguji Ramakrishna dan menafikan kenyataan Bhairavi. Pendeta-pendeta yang berpelajaran dalam Veda dan Purana seperti Vaishnavcharan, Gauri Pandit, Padmalochan dan Narayana Shastri datang untuk menguji Ramakrishna. Namun mereka tidak dapat menafikan kenyataan Bhairavi. Sebaliknya, mereka juga bersetuju bahawa Ramakrishna ialah Jelmaan Tuhan seperti Rama dan Sri Krishna.  

Selepas Ramakrishna melalui disiplin Tantra, seorang rahib Vaishnava bernama Jatadhari tiba di Dakshineswar. Jatadhari membawa bersama-samanya sebuah patung kayu Ramlala (Dewa Rama sebagai budak kecil) yang hidup. Sebaik sahaja, Ramakrishna menyedari rahsia Jatadhari, beliau sedar bahawa Jatadhari ialah seorang yang hebat lalu beliau berkawan dengannya. Ramakrishna juga merasakan rasa keibubapaan yang kuat terhadap Ramlala. Perasaan keibubapaan terhadap Tuhan dinamakan sebagai vatsalya bhava dalam sastera Vaishnava. Dalam vatsalya bhava, seseorang melihat Tuhan seperti seorang anak kecil yang perlu dikasihi dan dilindungi! Demikian, selama beberapa bulan Ramakrishna menyayangi Ramlala yang enggan berpisah dengannya. Akhirnya, Jatadhari meninggalkan Dakshineswar selepas memberikan Ramlala kepada Ramakrishna.

Seorang lagi guru yang datang kepada Ramakrishna ialah Totapuri, seorang rahib Advaita Vedantin. Selepas mendapatkan kebenaran Ibu Yang Maha Esa, Ramakrishna mengambil ikrar rahib (Samnyasa) dan memulakan latihan rohani menurut falsafah Advaita (satu mazhab falsafah Vedanta yang popular) di bawah ajaran Totapuri. Sebaik sahaja beliau memulakan latihan, beliau mengalami Nirvikalpa Samadhi dan kekal dalam keadaan itu selama tiga hari berturut-turut. Totapuri amat kagum dengan kejadian ini kerana beliau sendiri telah mengambil masa empat puluh tahun untuk mencapainya!

Semua eksperimen beliau untuk menyedari pelbagai agama dan jalan-jalan rohani berterusan selama dua belas tahun. Akhirnya Ramakrishna mendedahkan bahawa semua agama adalah benar dan membawa kepada pengalaman mistik yang sama. Selepas menjalani latihan-latihan rohani ini, pada tahun 1868, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke Varanasi, Prayag dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.

Selepas menjalani latihan-latihan rohani ini, Ramakrishna melakukan lawatan ibadah ke Varanasi dan Vrindavan bersama-sama Mathurnath.

Pasangan Hidup

sunting

Sementara Ramakrishna menjalani disiplin rohani di Dakshineswar, isterinya, Sarada Devi telah menjadi dewasa. Berita tentang ‘kegilaan’ Ramakrishna telah tersebar ke Jayrambati menyebabkan Sarada risau. Akhirnya, Sarada memutuskan untuk pergi ke Dakshineswar untuk menjaga suaminya yang ‘gila’. Namun, apabila Sarada tiba di Dakshineswar, Ramakrishna menerimanya dengan penuh kasih sayang dan prihatin.

Sama seperti Ramakrishna, Sarada juga tidak berminat dengan kehidupan duniawi. Ramakrishna mula memberikan ajaran rohani kepada Sarada dan melatihnya melakukan kerja-kerja rumah. Oleh kerana, Ramakrishna telah mengambil ikrar Samnyasa, beliau tidak menjalinkan hubungan kelamin dengan isterinya, tetapi melihatnya sama seperti ibunya.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1872, pada hari Phalaharini Kali Puja, Ramakrishna memuja Sarada sebagai Dewi Kali dan mempersembahkan semua hasil kehidupan rohaninya kepada Sarada. Peristiwa unik ini amat bermakna dalam sejarah kerohanian manusia. Ia membuktikan bahawa hawa nafsu dapat dihapuskan sepenuhnya dengan sikap melihat semua wanita sebagai ibu. Melalui pemujaan ini juga, Ramakrishna memberikan Sarada semua kuasa-kuasa rohaninya dan membangkitkan sifat keibuan sejagat dalam diri Sarada.

Kedatangan Para Pengikut

sunting
 
Ramakrishna dalam keadaan keghairahan rohani

Berita bahawa seorang Paramahamsa atau orang alim sedang tinggal di kuil Dakshineswar tersebar secara perlahan-perlahan. Pada mulanya, secara lisan orang mendengar tentangnya daripada orang-orang yang pernah melihatnya. Kemudian, ia menjadi berita sensasi dalam surat khabar dan jurnal yang ditulis oleh Keshab Chandra Sen (A.D. 1838-1884), seorang pemimpin Brahmo Samaj yang terkenal. Penulisan Keshab menarik perhatian golongan pemuda Bengal ketika itu dan mereka juga mula melawat Ramakrishna.

Demikian, ramai orang daripada pelbagai strata masyarakat datang kepada Ramakrishna untuk mendengar ajarannya. Ramai dalam kalangan mereka menjadi pengikut-pengikutnya. Beberapa pengikut yang telah berumahtangga ialah Balaram Bose (A.D. 1842-1890), Girish Chandra Ghosh (A.D. 1844-1912), Mahendranath Gupta (A.D.1854-1932), Ramachandra Datta (A.D.1851-1899), Durgacharan Nag (A.D.1846-1899) dan Surendranath Mitra (A.D.1850-1890).

Ramakrishna tahu bahawa matlamat utama hidupnya ialah untuk menghidupkan kembali agama Hindu dan menyelamatkan manusia sejagat. Kebanyakan pergerakan pembaharuan agama Hindu pada ketika itu hanya dapat mempengaruhi sebahagian kecil masyarakat Hindu. Pengaruh budaya kuning dan fahaman Barat telah menular ke dalam masyarakat Hindu, terutamanya golongan yang berpendidikan moden. Agama Hindu yang telah berpecah kepada ratusan fahaman, yang bertentangan antara satu sama lain, yang penuh dengan kepercayaan karut masyarakat menyebabkan ramai golongan yang berpendidikan menolak agama Hindu.

Ramakrishna sebaliknya telah menyedari dengan pengalamannya sendiri bahawa kitab-kitab agama Hindu seperti Upanishad, Agamas, dan Tantra mempunyai intipati agama yang masih sah dan relevan untuk zaman moden. Beliau yakin bahawa agama Hindu dapat dipulihkan dan dibangunkan semula dengan menekankan pada pengalaman rohani yang terus. Untuk ini, beliau memerlukan sekumpulan pemuda yang berbakti dan berkebolehan.

Oleh itu, Ramakrishna melatih beberapa orang pemuda dan mengarahkan mereka untuk mengabdikan hidup mereka demi kebaikan dunia. Selepas kematian Ramakrishna, enam belas orang pemuda ini menjadi rahib dan membentuk Ramakrishna Sangha di bawah pimpinan Narendra (Swami Vivekananda).

Apakah yang Sri Ramakrishna ajar?

sunting
  1. Ramakrishna tidak mengajar sebarang dogma atau kepercayaan agama. Beliau hanya berminat tentang kemajuan manusia. Menurutnya, manusia mempunyai potensi moral dan rohani yang tidak terhad. Tugas utama manusia ialah untuk mencapai potensi kerohaniannya. Sri Ramakrishna mengajar manusia untuk berusaha bagi mencapai potensinya tanpa membazirkan masanya dengan nikmat duniawi atau bertengkar atas nama agama.
  2. Agama-agama ialah jalan-jalan berlainan yang menuju ke destinasi yang sama, iaitu Tuhan. Manusia mencapai matlamat keagamaannya apabila dia mencapai perkembangan moral yang tertinggi.
  3. Tuhan mempunyai keperibadian. Tuhan juga tiada keperibadian. Bukan mudah untuk memikirkan Tuhan tanpa keperibadian. Jadi, pada mula-mulanya, Tuhan difikirkan sebagai seorang individu. Bolehkah seseorang memikirkan tentang warna putih tanpa membayangkan sesuatu objek berwarna putih? Orang boleh melihat matahari waktu pagi tetapi bukannya matahari waktu tengah hari. Begitu juga, apabila Tuhan menjelma dalam rupa manusia, kita boleh memahami apakah itu Tuhan. Kalau tidak, kita tidak boleh membayangkan Tuhan tanpa keperibadian dan di luar fikiran dan percakapan.
  4. Hiduplah di dunia tetapi jangan menjadi duniawi. Laksanakan tugas-tugas sebaik mungkin tetapi jangan menggira hasilnya. Sebaliknya, serahan semua hasil tugasmu kepada Tuhan. Cuba berfikir bahawa kamu cuma sebuah peralatan dalam tangan-Nya.
  5. Agama ialah satu pengalaman. Agama tidak ada sebarang makna melainkan ajarannya disedari. Adakah kedahagaan kamu akan reda melainkan kamu meminum air?
  6. Tuhan berada dalam segala-galanya. Namun, dalam manusia, penjelmaan Tuhan adalah lebih ketara. Jadi, berkhidmatlah kepada manusia seperti mana kamu berkhidmat kepada Tuhan. Ini juga sama seperti bersembahyang atau memuja Tuhan.[1]

Hari-hari Terakhir

sunting

Latihan-latihan rohani yang luarbiasa, tekanan berterusan akibat mengajar, bercakap, bernyanyi dan menari, akhirnya menjejaskan kesihatan Ramakrishna. Pada tahun 1885, para doktor mengesahkan bahawa Ramakrishna menghidap kanser tekak. Bagi memudahkan rawatan, Ramakrishan dipindahkan ke Syampukur, Kolkata dan kemudiannya ke taman Kasipur.

Walaupun rawatan yang terbaik diberikan, kesihatannya semakin merosot. Ketika itu, tidak ada sebarang ubat untuk penyakit kanser. Narendra dan pemuda-pemuda lain tinggal bersama-sama Ramakrishna dan menjaganya. Sarada Devi mengambil tugas memasak, sementara pengikut-pengikut yang telah berumahtangga pula menguruskan perbelanjaannya.

Meskipun, badannya sakit, Ramakrishna meneruskan dengan latihan rohani pengikut-pengikutnya. Beliau mengikat pengikut-pengikutnya dengan ikatan persaudaraan yang unik, yang berterusan walaupun selepas kematiannya.

Pada 1 Januari 1886, Ramakrishna keluar dari biliknya di Kasipur dan berjalan-jalan di taman. Ramai pengikut-pengikutnya telah berkumpul untuk bertemu dengannya. Ramakrishna merestui semua orang agar mereka berjaya dalam disiplin rohani masing-masing. Seperti terkena sihir, setiap orang mendapat pengalaman mistik yang berlainan, mengikut kecendurungan masing-masing. Sehingga kini, semua pengikut Ramakrishna menyambut peristiwa ini sebagai ‘Hari Kalpataru’ (merujuk kepada pokok Kalpataru iaitu sebatang pokok dalam mitologi India yang dipercayai akan memenuhi semua permintaan).

Ketika berada di Kasipur juga, Ramakrishna mengagihkan dua belas pasang kain jingga rahib dan kalungan rudraksha kepada dua belas orang pengikutnya. Selepas memberikan mereka kain jingga, beliau juga meminta mereka untuk mengemis makanan seperti fakir Hindu tradisional. Apabila mereka membawa makanan yang diperolehi secara sedekah, beliau juga merasakan sedikit makanan itu. Peristiwa ini dianggap sebagai perasmian pertubuhan rahib yang dikenali sebagai Ramakrishna Sangha (gabungan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission).

Pada suatu hari, Ramakrishna memanggil pengikut setianya, Narendra dan menyerahkan semua kuasa rohaninya. Selepas itu, beliau mengarahkan Narendra untuk menjaga saudara-saudara segurunya dan meneruskan kerja yang diamanatkan kepadanya.

Beberapa hari sebelum kematiannya, dalam keadaan tenat, Ramakrishna mendedahkan kepada Narendra bahawa Dewa Rama dan Dewa Krishna telah lahir semula sebagai Ramakrishna.

Pada 16 Ogos 1886 pada pukul 1.02 pagi, Ramakrishna menyeru nama Devi Kali tiga kali dan meninggalkan jasadnya dalam Mahasamadhi. Pengikut-pengikutnya melaksanakan upacara pembakaran mayatnya di Kasipur. Lama kemudian, sebuah memorial dibina di tempat itu. Abu suci Ramakrishna kini disimpan di kuil Biara Belur ('Belur Math'), di Howrah.

Kronologi Peristiwa

sunting
Tahun Peristiwa
1775 Kelahiran Kshudiram, bapa Sri Ramakrishna.
1791 Kelahiran Chandra Devi, ibu Sri Ramakrishna.
1805 Kelahiran Ramkumar, abang sulung Sri Ramakrishna.
1814 Kshudiram berpindah ke Kamarpukur, tempat lahir Sri Ramakrishna.
1826 Kelahiran Rameshwar, abang Sri Ramakrishna.
1835 Kshudiram melakukan lawatan ibadah ke Gaya.
1836 Kelahiran Sri Ramakrishna, dikenali sebagai Gadadhar pada Februari 18, lebih kurang pukul 5:15 pagi.
1842/1843 Gadadhar mengalami keghairahan rohani yang pertama ketika menghayati sekawan burung putih dan awan yang hitam.
1843 Kematian Kshudiram. 
1845 Upacara Upanayana Gadadhar.
1850 Ramkumar membuka sekolah di Kolkata.
1852 Gadadhar datang ke Kolkata.
1853 Kelahiran Sri Sarada Devi, pada Disember 22.
1855 Perasmian kuil Kali Dakshineshwar Kali. Ramkumar menerima jawatan sami di Kuil Kali.  Gadadhar, menerima kerja menghiasi Dewi Kali.  Hriday, anak saudara Sri Ramakrishna, menjadi pembantu Ramkumar dan Sri Ramakrishna.  Sri Ramakrishna dilantik sebagai sami kuil Vishnu pada mulanya dan kemudiannya sebagai sami kuil Kali.  Ramkumar menjadi sami kuil Vishnu.
1856 Kematian Ramkumar.  Sri Ramakrishna melihat Dewi Kali sebagai Samudera Cahaya Kesedaran.
1857 Sri Ramakrishna berada dalam keadaan kemabukan ketuhanan. Beliau dirawat oleh Ganga Prasad Sen.
1858 Haladhari, abang saudara Sri Ramakrishna dilantik sebagai sami kuil Dakshineshwar. Sri Ramakrishna pergi ke Kamarpukur.
1859 Perkahwinan Sri Ramakrishna dengan Sri Sarada Devi. Berada di Kamarpukur selama 1½ tahun.
1860 Kembali ke Dakshineshwar.  Mathur melihat Sri Ramakrishna sebagai Shiva dan Kali.
1861 Kematian Rani Rasmani. Kedatangan Bhairavi Brahmani. Memulakan disiplin Tantra di bawah tunjuk ajar Brahmani.
1863 Menamatkan disiplin Tantra. Chandra Devi datang ke Dakshineshwar.
1864 Sri Ramakrishna mengamalkan disiplin vatsalya bhava di bawah Jatadhari. Mengamalkan madhur bhava.  Mengambil ikrar Sannyasa daripada Totapuri.
1865 Akshay, anak saudara Sri Ramakrishna menggantikan Haladhari. Totapuri meninggalkan Dakshineshwar.
1866 Sri Ramakrishna berada dalam alam Advaita selama 6 bulan. Mengamalkan disiplin rohani menurut ajaran Sufi.
1867 Sri Ramakrishna di Kamarpukur. Pemergian Brahmani.
1868 Lawatan ibadah bersama-sama Mathur ke Deoghar, Varanasi, Allahabad dan Vrindaban. Pertemuan dengan Ganga Ma, seorang Vaishnava alim.
1870 Lawatan bersama-sama Mathur ke bahagian timur Bengal termasuk Kalna dan Navadvip. Pertemuan dengan Bhagavandas Babaji di Colootola Harisabha.
1871 Kematian Mathur.
1872 Lawatan pertama Sri Sarada Devi ke Dakshineshwar. Melakukan Shodashi Puja.
1873 Kematian Rameshwar, abang Sri Ramakrishna.
1874 Lawatan kedua Sri Sarada Devi ke Dakshineshwar.  Sri Ramakrishna mengamalkan disiplin rohani Kristian dan melihat Jesus.
1875 Pertemuan dengan Keshab Chandra Sen. 
1876 Kematian Chandra Devi.
1877 Kematian Shambhu Mallick. Lawatan ketiga Sri Sarada Devi ke Dakshineshwar.
1878 Hubungan rapat dengan Keshab dan ahli-ahli Brahmo.
1879 Kedatangan pengikut-pengikut.  Ramachandra Datta dan Manomohan Mitra datang ke Dakshineswar.
1880 Surendra Nath Mitra datang ke Dakshineswar.
Sri Ramakrishna melawat Kamarpukur untuk kali terakhir.
1881 Pemecatan Hriday. Kedatangan  Rakhal (Swami Brahmananda), Narendra (Swami Vivekananda) dan Balaram Bose.
1882 Kedatangan M. (Mahendra Nath Gupta) dan Baburam (Swami Premananda). Melawat Vidyasagar. Sri Sarada Devi kembali ke Dakshineswar.
1883 Kedatangan Adhar, Shashi (Swami Ramakrishnananda) dan Sarat (Swami Saradananda).
1884 Kedatangan Kalipada dan Kaliprasad (Swami Abhedananda). Kematian Keshab. Pertemuan dengan Shashadhar. Kedatangan Gopal Ma dan Nag Mahashay. 
1885 Sri Sarada Devi kembali ke Dakshineswar. Kedatangan Purna yang melengkapkan kumpulan pengikut intim Sri Ramakrishna.  Lawatan akhir ke Panihati. Jatuh sakit dan berpindah ke Shyampukur.  Rawatan Dr. Sarkar.  Berpindah ke Cossipore.
1886 Rawatan di Cossipore. Perhimpunan pengikut-pengikut.  Mahasamadhi pada 16 Ogos, pada pukul 1.02 pagi.

Falsafah

sunting

Ramakrishna tidak mengutarakan sebarang sistem falsafahnya sendiri. Beliau hanya mendedahkan pengalamannya sendiri yang memberikan nafas baharu kepada falsafah Vedanta. [2]

 
Foto asal Sri Ramakrishna

Brahman

sunting

Seperti Sri Sankara, Ramakrishna juga menerima Brahman sebagai realiti yang tertinggi dan mutlak. Beliau juga bersetuju bahawa Brahman yang Mutlak adalah nirguna dan nirakara. Sebaliknya, beliau tidak bersetuju bahawa Tuhan (Isvara) iaitu aspek Brahman yang berupa (sakara) dan bersifat (saguna) sebagai ilusi atau realiti yang lebih rendah. Sri Ramakrishna menyatakan bahawa Tuhan mempunyai rupa dan Tuhan juga tidak berupa. Bukan itu sahaja, Tuhan juga mengatasi kedua-dua keadaan ini![3]

“Tuhan tidak ada rupa dan Tuhan juga mempunyai rupa. Tuhan juga merentasi rupa dan ketakrupaan.” (Sayings of Sri Ramakrishna, 871)

Ramakrishna menamakan yang Mutlak sebagai Brahman dalam aspek abadi-Nya (Nitya) iaitu apabila Ia tidak aktif. Apabila Ia bertindak (lila) iaitu melakukan aktiviti ciptaan, pemeliharaan dan pemusnahan, Ia dipanggil sebagai Shakti atau Kali. Ramakrishna juga menyamakan Shakti dengan Isvara atau Tuhan. Oleh itu, Brahman dan Sakti sebenarnya adalah satu dan tidak boleh dipisahkan.[4]

“Tidak ada perbezaan sebenar antara Brahman dan Sakti. Brahman dan Sakti adalah satu (Abhinna), sama seperti api dan kuasa pembakarannya. Brahman dan Sakti adalah sama seperti susu dan keputihan susu. Brahman dan Shakti adalah sama seperti permata dan kilauannya. Kamu tidak boleh menggambarkan satu tanpa yang lain atau membezakannya.” (ibid, 857.)

“Tuhan Yang Maha Mutlak dan Tuhan dengan Peribadi adalah satu. Kepercayaan kepada satu juga bermaksud kepercayaan kepada yang lain. Api tidak boleh digambarkan berlainan dari kuasa pembakarannya. Kuasa pembakarannya tidak boleh dibezakan dari api dan sebaliknya. Cahaya matahari tidak boleh difikirkan tanpa matahari, atau matahari tidak boleh difikirkan tanpa cahayanya. Kamu tidak boleh memikirkan tentang keputihan susu tanpa susu. Demikian, Yang Maha Mutlak tidak boleh difikirkan tanpa idea tentang Tuhan yang bersifat iaitu Tuhan yang Peribadi dan sebaliknya.” (ibid, 856.)

Tuhan atau Isvara

sunting

Dalam falsafah Advaita Sankara, Brahman tidak mengendahkan doa atau perasaan manusia. Sankara juga menganggap Isvara sebagai ilusi. Sebaliknya menurut Ramakrishna, Isvara ialah Brahman dalam aspek Lila. Oleh itu, Isvara adalah benar. Pendekatan ini memberikan Bhakti satu kedudukan yang sah sebagai satu disiplin rohani. Dalam tradisi Advaita, Bhakti tidak diberikan kepentingan. Sebaliknya, Sri Ramakrishna memberikan Bhakti kedudukan yang sama taraf dengan Jnana dengan meluaskan skop Advaita.[5]

Sri Ramakrishna mengakui aspek Lila dan oleh itu beliau juga menerima konsep Avatara atau Jelmaan Tuhan dalam Bhagavad Gita. Tuhan adalah Maha Berkuasa, maka Tuhan boleh melakukan apa-apa sahaja. Tiada sesiapapun yang dapat menyekat kuasa Tuhan. Jika mahu, Tuhan boleh lahir dalam rupa manusia dan hidup sebagai manusia. Demi kebaikan dunia, Tuhan menjelma sebagai manusia. Ramakrishna juga menegaskan bahawa Avatara ialah sama dengan Tuhan. Jika manusia melihat seorang Avatara, ianya sama seperti melihat Tuhan!

Ramakrishna menerima maya sebagai tirai yang menyelindungi Tuhan dari pandangan kita. Beliau menyamakan maya dengan awan kecil yang menutup matahari yang besar.[6]

Ramakrishna juga berpendapat seperti ahli-ahli Sankhya bahawa sebaik sahaja maya dikenalpasti, ia melarikan diri. Beliau juga menerima bahawa maya mempunyai dua aspek iaitu avidya maya dan vidya maya. Vidya maya membantu jiwa mencapai kebebasan. Avidya maya menyebabkan jiwa dibelenggu dengan nafsu syahwat, ketamakan dan keegoan.[7]

Seseorang harus menggunakan Vidya maya untuk melepaskan diri daripada belenggu avidya maya. Duri digunakan untuk membuang duri lain, dan selepas itu, kedua-dua duri dibuang. Begitu juga, Vidya digunakan untuk menyingkirkan avidya dan selepas itu, Vidya maya juga dibuang.[8]

Dalam kalangan mazhab-mazhab tradisional, wujud percanggahan mengenai lokus maya. Ramakrishna menyelesaikan masalah ini dengan menyatakan bahawa maya wujud dalam Brahman tetapi ia bertindak ke atas jiwa. Ini sama seperti bisa ular yang berada dalam mulut ular. Bisa tidak meracuni ular tetapi ia bertindak ke atas orang yang dipatuk ular. Demikian, Ramakrishna menunjukkan bahawa Brahman tidak dijejaskan oleh maya.

Ciptaan

sunting

Ramakrishna memberikan maksud yang mendalam bagi ciptaan berbanding Sankara. Menurutnya, ciptaan ialah aspek lila atau permainan Brahman dan oleh itu, ia benar-benar wujud. Seperti bongkah ais yang terbentuk dalam kolam dan akhirnya mencair. Walaupun bongkah ais wujud tetapi ia tidak tetap.

Pada mulanya, seorang jnani menafikan kewujudan dunia. Selepas mendapat kesedaran Brahman dan menjadi seorang ‘vijnani’ iaitu ilmu yang agung, dia menerima bahawa dunia juga ialah Brahman kerana tiada apa-apa yang wujud selain Brahman. Teori ini meluaskan pemikiran kita untuk memahami perbuatan seorang jivanmukta (orang yang telah bebas). Seorang jivanmukta meneruskan kerja-kerjanya demi kebaikan dunia kerana dia melihat bahawa dunia juga ialah Brahman.

Ramakrishna mengakui bahawa jiwa manusia ialah Tuhan.[9] “Jiwa yang terikat ialah manusia. Apabila ia mencapai kebebasan daripada belenggu Maya, jiwa ialah Tuhan.”

'Apakah perhubungan antara Jivatman dan Paramatman? Air kelihatan terbahagi dua apabila sesuatu papan kayu diletak untuk menghalang alirannya. Begitu juga, Maha Sempurna, kelihatan terbahagi dua, sebagai Jivatman dan Paramatman disebabkan halangan Maya.'

'Air dan buih di atasnya ialah satu. Buih terbentuk di atas air, terapung di atasnya, dan akhirnya ia lenyap dalam air. Begitu juga Jivatman dan Paramatman adalah satu yang sama. Hanya perbezaan tahap yang wujud antara mereka kerana satu adalah terhad dan terikat dan satu lagi tidak terhad dan bebas.'

Penyebab Belenggu

sunting

Apakah yang menyebabkan jiwa dibelenggui? Menurut Ramakrishna, ia disebabkan oleh ego akibat Avidya-Maya.[10] Kalau kita terus mengupas bawang, akhirnya, tiada apa yang tinggal. Begitu juga, kalau kita meneliti ‘Aku’ dengan mendalam, akhirnya kita akan mendapati bahawa sebenarnya ia tidak wujud. Tambahan lagi, bukannya mudah untuk melepaskan diri daripada keegoan! Jadi, macam mana kita boleh menyingkirkan ego? Ramakrishna mengelaskan ego kepada dua jenis : ego yang masak dan ego yang belum masak. ‘Jika kamu tidak dapat menyingkirkan perasaan ‘Aku’, biarlah ia tinggal sebagai “Aku orang gaji.” Perasaan “Aku orang gaji Tuhan, aku pemuja-Nya” tidak membawa bahaya.

Beliau juga menjelaskan bahawa jiwa yang bebas terus berada di dunia ini demi mengajar manusia meskipun mereka tidak ada ego.[11] ‘Apabila seutas tali dibakar, abunya kekal dalam bentuk tali. Namun, ia tidak boleh mengikat lagi. Begitu juga, ego yang telah hangus dalam api Ilmu Yang Agung, tidak dapat mengikat jiwa.’

Empat Jenis Jiwa

sunting

Meskipun Ramakrishna mengakui bahawa semua jiwa ialah setaraf, namun beliau mengelaskannya kepada empat kumpulan: Baddha (terikat), Mumukshu (cuba untuk bebas), Mukta (terbebas) dan Nitya-Siddha (sentiasa bebas). Jiwa yang sentiasa bebas atau golongan Nitya-Siddha lahir demi mengajar manusia. Jenis yang terikat pula langsung tidak memikirkan tentang kerohanian kerana asyik dengan kehidupan duniawi. Kumpulan kedua perlu diberi perhatian kerana mereka sedang berusaha untuk bebas.[12]

Matlamat Hidup

sunting

Menurut Ramakrishna, matlamat hidup adalah untuk menyedari Tuhan. Semua masalah kita, semua penderitaan akan berakhir, apabila kita menyedari Tuhan. Sri Ramakrishna mengikuti jejak tradisi dan menasihatkan bahawa dengan mendapatkan seorang guru rohani yang mahir dan mengamalkan disiplin rohani menurut ajarannya, seseorang boleh bebas.[13]

Ajaran Ramakrishna tidak dogmatik tentang amalan yang diikuti oleh seseorang. Seperti jalan-jalan berlainan yang menuju ke suatu destinasi, begitu juga, Tuhan boleh dicapai dengan pelbagai jalan atau disiplin rohani. Jnana, Bhakti, Yoga dan Karma, kesemuanya ada dalam ajaran beliau. Seseorang boleh mengamalkan satu atau beberapa disiplin rohani ini. Apa yang penting ialah Vyakulata, kedahagaan kuat dan mendalam untuk mencapai matlamat. Pendekatan Ramakrishna merangkumi, bukan sahaja pelbagai disiplin rohani agama Hindu, tetapi juga agama-agama lain. Malah beliau juga mengakui beberapa amalan keji Tantra sebagai ‘pintu belakang’, meskipun beliau tidak mengajar atau menyarankannya.

Jnana dan Bhakti

sunting

Dalam mazhab-mazhab tradisional, sering wujud persengketaan pendapat antara Jnana dan Bhakti sebagai satu-satunya jalan kebebasan. Sri Ramakrishna menyelesaikan persengketaan ini dengan mengajar Bhakti yang mengandungi Jnana (Jnana Misrita Bhakti) sebagai jalan yang paling sesuai untuk zaman Kali. Pendekatan ini mengelakkan seseorang menjadi fanatik dan menjadi terlalu hambar atau beremosi.[14]

Kehidupan Selepas Kesedaran Tuhan

sunting

Apakah yang berlaku kepada orang yang menyedari Tuhan? Ramakrishna mengesahkan sastera agama dan mengajar bahawa orang yang menyedari Tuhan menikmati kebahagiaan yang tidak terputus dan melihat Tuhan dalam segala-galanya. Dia mungkin tidak akan menunjuk sebarang tanda tentang keadaannya dan mungkin berkelakukan ganjil untuk mengelakkan orang lain. Dia juga tidak terjejas dengan suka duka kehidupan dan sentiasa tenang dalam semua situasi. Hidupnya bertumpu pada Tuhan dan dia bertindak hanya demi kebaikan dunia.[15]

Mengenai Prarabdha Karma (hasil tindakan dalam kelahiran lepas yang memberi berkesan dalam kelahiran semasa) Ramakrishna berkata bahawa ia seperti anak panah yang telah dilepaskan dari busur. Ia pasti akan membawa padahnya dan tidak boleh dielakkan. Namun, dengan kuasa nama Tuhan, sebahagian besar kesannya boleh dikurangkan. (Teachings of Sri Ramakrishna, 913)  

Kebaikan dan Kejahatan

sunting

Soal kebaikan dan kejahatan merupakan satu masalah yang sering dibincangkan dalam hampir semua sistem falsafah. Ramakrishna mengatakan bahawa ciptaan tidak boleh berlaku tanpa kecacatan atau kekurangan. Emas tulen tidak boleh dijadikan cincin atau rantai. Emas mesti dicampurkan dengan logam lain untuk memberinya sesuatu bentuk. Demikian, dunia tidak boleh wujud tanpa Maya. Kebaikan dan kejahatan perlu wujud agar ciptaan dapat diteruskan. Namun, kejahatan boleh diatasi dengan menambahkan kebaikan. Namun, matlamat hidup ialah untuk mengatasi kedua-dua kebaikan dan kejahatan dan mencapai Tuhan. Apabila seseorang mencapai Tuhan, dia akan melihat baik dan buruk dengan sama rata.[16]

Penyebab Percanggahan

sunting

Mengapakah wujud percanggahan dan perselisihan faham antara pelbagai agama dan mazhab berlainan? Ramakrishna memberikan dua penjelasan iaitu yang objektif dan subjektif. Secara subjektif, Ramakrishna memberikan contoh sebuah cerita popular tentang beberapa orang buta dan seekor gajah. Menurut beliau, percanggahan pendapat wujud kerana masing-masing hendak membuktikan bahawa pendapatnya sahaja ialah betul dan semua orang lain yang bercanggah dengannya salah. Secara objektif pula, Ramakrishna mengatakan bahawa Tuhan Maha Mulia dan tiada sesiapa pun yang dapat menggambarkan kemuliaanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu tentang kemuliaan-Nya. Brahman merupakan satu-satunya yang tidak pernah dicemari atau dapat diceritakan oleh manusia. Usaha manusia untuk memahami dan menjelaskan Tuhan ialah sama seperti usaha sebuah patung garam yang ingin mengukur kedalaman laut. Oleh itu, apabila manusia yang telah menyedari Tuhan ingin untuk menjelaskan tentang pengalamannya, dia tidak menjelaskan pengalamannya dengan betul dan kemungkinan pengalamannya bercanggah dengan pengalaman orang lain.

Ajaran Sri Ramakrishna

sunting

Swami Harshananda telah mencipta sebuah Sutra (Ayat-ayat ringkas dan pendek) dengan lapan rangkap dalam bahasa Sanskrit. Lapan ayat ini mengandungi rumusan ajaran Sri Ramakrishna.

īśvaro’styevaḥ sa eva satyam||1||

taṁ draṣṭuṁ jñā­tuṁ tena saha ālā­paṁ kar­tuṁ ca sādhyam||2||
īśvaradarśanaṁ sākṣātkāraśca jīvanasya lakṣyam||3||
tad­darśa­nena sākṣātkāreṇa ca sar­vaṁ kṛtaṁ sar­vaṁ prāptam||4||
tadarthaṁ guruṇā bhavitavyam||5||
kāmakāñ­canatyā­gaḥ prad­hā­naṁ sādhanam||6||
satyaṁ ca||7||
vyākulatayaivā’pi īśvarasākṣātkāraḥ sādhyaḥ||8||

  1. Sesungguhnya Tuhan wujud. Hanya Tuhan yang Benar.
  2. Tuhan boleh dilihat, dikenali, dan manusia boleh bercakap dengan-Nya.
  3. Matlamat hidup ialah untuk melihat-Nya, menyedari-Nya.
  4. Dengan melihat-Nya, dengan menyedari-Nya, segalanya dicapai, segalanya diperolehi.
  5. Seorang guru diperlukan untuk ini.
  6. Pelepasan hawa nafsu dan ketamakan ialah disiplin utama.
  7. Dan juga kebenaran.
  8. Tuhan boleh disedari dengan keinginan yang kuat juga.[1]

Sumbangan Sri Ramakrishna

sunting
 
Panchavati di kuil Dakshineswar. Sri Ramakrishna melakukan disiplin rohani di sini.

Ideal Rohani

sunting

Salah satu sumbangan utama Sri Ramakrishna kepada dunia ialah menghidupkan semula ideal pencapaian kesedaran Tuhan dalam zaman moden. Manusia zaman moden telah hilang kepercayaan kepada agama-agama tradisional disebabkan pengaruh dan serangan berterusan daripada pemikiran ateisme, materialistik, dan sains. Sri Ramakrishna membuktikan bahawa manusia boleh mendapat pengalaman terus tentang Tuhan. Hidupnya memberikan keyakinan dan mengukuhkan kepercayaan kepada Tuhan dan agama.

Mutiara Kata Sri Ramakrishna

sunting
  • Jika seorang lelaki mengekalkan kesuciannya selama dua belas tahun, suatu kuasa akan berkembang dalam dirinya. Inteleknya menjadi tajam dan dia akan dapat memahami perkara-perkara rohani. Hanya dengan intelek begini sahaja, seseorang boleh menemui Tuhan. Tuhan mendedahkan diri-Nya pada orang yang mempunyai hati yang suci. Iman kepada Tuhan adalah mustahil tanpa hati yang suci. Orang yang tidak suci tidak boleh mencapai Bhakti yang tidak berbelah bahagi. Fikirannya berkecamuk dan berbelah bahagi pada banyak perkara. Kamu tidak boleh mengharapkan apa-apa jika fikiran kamu asyik dengan 'perempuan dan emas'.
  • “Tuhan dan keagungan-Nya. Alam semesta ini adalah keagungan-Nya. Orang melihat keagungan-Nya dan melupakan segala-galanya. Mereka tidak mencari Tuhan yang mencipta dunia ini. Semua orang mahu keseronokan daripada ‘perempuan dan emas’. ‘Perempuan dan emas’ juga memberikan penderitaan dan kesusahan.
  • Brahman tidak boleh dijelaskan. Semua benda di dunia ini – kitab Veda, Purana, Tantra, dan enam sistem falsafah – telah dicemari. Seperti makanan yang dirasai oleh lidah, kitab-kitab suci ini telah disebut dan dibaca oleh mulut manusia. Hanya Brahman sahaja yang belum dicemari begini. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang dapat memberitahu tentang Brahman.
  • Tuhan boleh dilihat. Seseorang boleh melihat Tuhan melalui rahmat-Nya dengan mengamalkan disiplin rohani.
  • Ulangi nama-Nya dan segala dosa kamu akan terhapus. Dengan mengulangi nama-Nya, kamu akan menghapuskan nafsu, kemarahan, keinginan untuk keselesaan diri, dan sebagainya

Sumber Biografi Utama

sunting
 
Mahendranath Gupta, atau nama samarannya 'M' menulis Sri Sri Ramakrishna Kathamrta

The Gospel of Sri Ramakrishna

sunting

Sri Ramakrishna yang langsung tidak berpendidikan, tidak menulis sebarang buku atau memberikan ceramah umum. Beliau bercakap dalam bahasa Bengali menggunakan peribahasa dan perumpamaan. Perbualan beliau direkodkan oleh salah seorang pengikutnya, Mahendranath Gupta. Catatan Mahendranath kemudiannya diterbitkan sebagai Sri Sri Rāmakrishna Kathāmrita dalam bahasa Bengali. Pada tahun 1942, Kathamrita diterjemahkan oleh Swami Nikhilananda dalam bahasa Inggeris sebagai The Gospel of Sri Ramakrishna.

Swami Nikhilananda dibantu oleh Margaret Woodrow Wilson, anak Presiden Woodrow Wilson untuk menyediakan terjemahan ini. Puisi-puisi suci dalam buku ini telah diterjemahkan oleh John Moffitt, seorang penyair Amerika. Wilson dan Joseph Campbell, seorang ilmiawan Amerika membantu penyuntingan manuskrip ini. Swami Nikhilananda menulis bahawa beliau telah memberikan penterjemahan literal Kathamrita dan bahawa beliau telah menyingkirkan beberapa mukasurat yang tidak relevan untuk pembaca Inggerisnya.

Aldous Huxley menyamakan buku ini dengan buku Life of Samuel Johnson oleh James Boswell.[4] The Gospel of Sri Ramakrishna juga telah disenaraikan antara '100 Buku Rohani yang Paling Penting dalam Abad ke-20' oleh ilmiawan Amerika.

Sri Sri Ramakrishna Lilaprasanga

sunting

Seorang lagi pengikut Ramakrishna, Swami Saradananda menulis kisah hidupnya dalam Bahasa Bengali sebagai Sri Sri Ramakrishna Lilaprasanga''. Buku ini diterjemahkan sebagai ‘The Great Master’ oleh Swami Jagadananda. Satu terjemahan baru buku ini dikeluarkan oleh Swami Chetananda dengan tajuk 'Sri Ramakrishna and His Divine Play'.

Selain itu, 'The Sayings of Sri Ramakrishna' oleh Swami Brahmananda juga merupakan buku yang ditulis oleh seorang pengikut Ramakrishna yang menjadi rahib.

Senarai Bacaan Tambahan

sunting
  • Chetanananda, Swami (1990). Ramakrishna As We Saw Him. St. Louis: Vedanta Society of St Louis. ISBN 978-0-916356-64-4.
  • Torwesten, Hans (1999). Ramakrishna and Christ, or, The paradox of the incarnation. The Ramakrishna Mission Institute of Culture. ISBN 978-81-85843-97-1.
  • Roland, Romain The Life of Ramakrishna (1984), Advaita Ashram
  • Nikhilananda, The Gospel of Sri Ramakrishna
  • Chetanananda, Swami (1989). They Lived with God. St. Louis: Vedanta Society of St. Louis
  • Friedrich Max Müller, Râmakrishna: His Life and Sayings
  • Isherwood, Christopher (1980). Ramakrishna and His Disciples. Hollywood, Calif: Vedanta Press. ISBN 0-87481-037-X. (reprint, orig. 1965)
  • Saradananda, Swami; Swami Chetanananda (2003). Sri Ramakrishna and His Divine Play. St.Louis: Vedanta Society. ISBN 978-0-916356-81-1.

Pautan Luar

sunting

Lihat juga

sunting
Sankara Swami Vivekananda Ramakrishna Mission Hinduisme
Madhvacharya Sri Sarada Devi Ramakrishna Math
Ramanujacharya Sri Krishna Caitanya Falsafah Vedanta


Nota Kaki

sunting
  1. ^ Swami Lokeswarananda, Ramakrishna Movement
  2. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  3. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  4. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  5. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  7. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  8. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  9. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  10. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  11. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  12. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  13. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  14. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  15. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3
  16. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol 3