Si Tjonat
Si Tjonat (Jawi: سي تجونت ; EYD: Si Conat) merupakan sebuah filem mengenai perompak tahun 1929 dari Hindia Timur Belanda (sekarang Indonesia) yang diarahkan oleh Nelson Wong dan diterbitkan oleh Wong dan Jo Eng Sek. Diubah suai daripada novel karya F.D.J. Pangemanann, filem senyap ini mengisahkan seorang pemuda peribumi yang bersembunyi di Betawi (sekarang Jakarta) selepas membunuh kawannya dan menjadi seorang perompak.
Si Tjonat | |
---|---|
Pengarah | Nelson Wong |
Berdasarkan | Tjerita Si Tjonat oleh F.D.J. Pangemanan |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi |
|
Syarikat penerbitan | Batavia Motion Picture |
Tarikh tayangan |
|
Negara | Hindia Belanda |
Bahasa | Senyap |
Secara komersialnya, filem senyap yang lebih ditujukan kepada penonton berbangsa Cina ini mendapat sambutan bercampur dan pendapatan penjualan yang tidak jelas. Meskipun disasarkan sebagai filem bersiri, susulannya tidak pernah dihasilkan dan syarikat penerbitnya, Batavia Motion Picture ditutup tidak lama kemudian. Filem ini dianggap filem yang hilang daripada peredaran. Walau bagaimanapun, beberapa karya dalam genre yang sama seperti ini telah dikeluarkan tidak lama selepas itu, termasuklah filem Si Pitoeng yang menggunakan pengarah dan bintang yang sama.
Jalan cerita
suntingTjonat, seorang lelaki daripada suku Sunda telah membunuh kawannya dan melarikan diri ke Betawi, ibu kota Hindia Belanda, lalu bekerja untuk seorang pemuda Belanda. Tjonat lantas merompak pemuda tersebut dan menggoda gundik lelaki itu. Tjonat kemudiannya meninggalkan rumah tersebut dan menjadi seorang perompak. Ketika dia meminta Lie Gouw Nio (Ku Fung May), anak gadis seorang petani peranakan Cina agar menjadi kekasihnya, Lie menolaknya. Kerana marah, Tjonat berusaha menculiknya namun digagalkan oleh tunang Lie, Thio Sing Sang (Herman Sim) yang sangat handal dalam seni mempertahankan diri.[1]
Penerbitan
suntingSi Tjonat diarahkan oleh Nelson Wong, yang menerbitkan filem ini bersama rakan niaganya Jo Eng Sek. Mereka berdua membuka Batavia Motion Picture pada tahun 1929.[2] Wong sebelum ini pernah mengarahkan sebuah filem cereka, Lily van Java (1928) yang dibiayai oleh seorang pekerja berpangkat tinggi daripada syarikat General Motors di Betawi, David Wong.[a][3] Jo Eng Sek pula merupakan seorang pemilik kedai dan beliau belum pernah menerbitkan sebarang filem.[4]
Cerita Si Tjonat diubah suai daripada novel Tjerita Si Tjonat yang ditulis oleh wartawan bernama F.D.J. Pangemanann dan pertama kali diterbitkan pada tahun 1900.[5] Cerita ini sangat popular dalam kalangan pembaca etnik Cina.[4] Novel ini sering dilakonkan dalam pementasan panggung oleh kumpulan sandiwara Betawi dalam bentuk lenong.[b][5] Cerita ini dipilih oleh Jo Eng Sek.[6] Beberapa perubahan diperkenalkan dalam cerita tersebut. Contohnya, dalam novel Lie A Tjip, salah satu wataknya adalah seorang peladang miskin, tetapi di dalam dia adalah seorang yang berada. Sementara itu, Lie Gouw Nio, tidak digambarkan sebagai seorang wanita Cina yang miskin tetapi seorang "gadis moden yang memakai skirt, sepatu, stoking dan berambut bob".[c][7]
Filem senyap ini dirakamkan dalam hitam putih dan dibintangi oleh Ku Fung May dan Herman Sim.[8] Sim, seorang yang berketurunan Peranakan, sebelumnya pernah terlibat dalam industri perfileman di Shanghai, China[9] manakala Ku Fung May pula tidak mempunyai pengalaman berlakon. Adegan-adegan seni bela diri dalam filem ini diilhamkan daripada filem-filem Hollywood yang terkenal di Hindia Belanda pada waktu itu.[6]
Penerbitan dan tanggapan
suntingSi Tjonat diterbitkan pada tahun 1929. Meskipun filem ini merupakan sebuah cereka, filem ini dipasarkan sebagai kisah yang benar-benar terjadi.[8] Filem ini ialah satu daripada beberapa filem tempatan yang disasarkan kepada penonton etnik Cina, setelah Lily van Java dan Setangan Berloemoer Darah (kedua-duanya diterbitkan pada tahun 1928). Sejarawan filem Misbach Yusa Biran menulis bahawa salah satu faktor kepopularan filem ini dalam kalangan kaum Cina dapat dilihat daripada dominasi etnik Cina dalam tenaga kerja pembuatan dan lakonannya.[d] Penonton bumiputera juga menikmati filem ini terutamanya adegan-adegan aksinya.[4] Pengkritik filem Indonesia, Salim Said menulis bahawa filem ini berorientasi komersial dan bermakna ia adalah filem yang dihasilkan hanya untuk keuntungan[10]
Jumlah jualan filem ini tidak jelas. Salim Said mengatakan filem ini berjaya di pawagam,[11] sementara Biran pula mencatatkan bahawa Batavia Motion Picture dibubarkan tidak lama selepas Si Tjonat diterbitkan dan berpendapat filem ini gagal.[9] Ulasannya juga beragam. Pada umumnya, pihak akhbar mengkritik penekanan plot pembunuhan dan jenayah. Sementara itu, di majalah Panorama, Kwee Tek Hoay menulis bahawa filem ini "dihasilkan dengan baik",[e][4] yang tertumpu pada lakonan Sim terutama kemampuan seni bela dirinya.[9]
Walaupun Si Tjonat pada awalnya dirancang untuk menjadi filem bersiri, penerbitan filem kedua tidak pernah diteruskan setelah Batavia Motion Picture ditutup.[11] Jo Eng Sek menarik diri daripada industri perfileman tetapi kembali pada tahun 1935 untuk menerbitkan Poei Sie Giok Pa Loei Tay.[12] Wong tetap aktif dalam industri ini bersama saudara-saudaranya, Joshua dan Othniel. Dengan nama Halimoen Film, mereka mengambil Sim untuk filem Si Pitoeng (1931).[13] Lie A. Tjip mahupun Ku Fung May tidak lagi terlibat dalam industri perfileman.[14] Beberapa filem yang bercerita tentang perompak termasuklah Si Ronda (1929) arahan Lie Tek Swie dan Si Pitoeng arahan Wong Bersaudara serta Rampok Preanger (1929) diterbitkan tidak lama selepas Si Tjonat.[15]
Si Tjonat berkemungkinan tergolong dalam filem hilang. Ahli antropologi visual Amerika Syarikat Karl G. Heider menulis bahawa semua filem Indonesia yang dibuat sebelum tahun 1950 tidak diketahui lagi keberadaannya ataupun kewujudan salinannya.[16] Walau bagaimanapun, Katalog Filem Indonesia yang disusun JB Kristanto merekodkan beberapa filem masih tersimpan di Sinematek Indonesia dan Biran menulis bahawa beberapa filem propaganda Jepun masih wujud dalam simpanan Perkhidmatan Maklumat Kerajaan Belanda.[17]
Catatan penjelasan
sunting- ^ Tiada hubungan dengan Nelson.
- ^ Cerita ini tetap popular selepas kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. (Toer 1982, pp. 28–9).
- ^ Asal: "... gadis modern jang berpakean rok, spatoe, kous, dan ramboet di-bob."
- ^ Kelompok etnik Cina dan bumiputera di Hindia Belanda pada waktu itu sangat berbeza daripada segi seni dan budaya. Pemerintah kolonial Belanda menerapkan undang-undang yang membahagikan penduduk Hindia Belanda kepada tiga peringkat iaitu orang Cina berada di kelas pertengahan, orang Belanda di kelas atasan manakala golongan bumiputera di kelas bawahan. Dari segi budaya, peranakan Cina cenderung menyatukan diri mereka dengan kebudayaan di tanah besar China, bukan dengan budaya bumiputera Indonesia seperti orang Sunda atau Jawa. Meskipun etnik Cina adalah minoriti di Hindia Belanda, mereka menikmati tahap hidup yang lebih tinggi daripada bumiputera (Sukma 1999, pp. 171–172).
- ^ Asal: "... atoerannja loemajan djoega"
Rujukan
sunting- ^ Filmindonesia.or.id, Si Tjonat; Said 1982, halaman 18; Sen 2006, halaman 123
- ^ Filmindonesia.or.id, Si Tjonat; Biran 2009, halaman 234; Said 1982, halaman 17
- ^ Biran 2009, m/s. 82.
- ^ a b c d Biran 2009, m/s. 93.
- ^ a b Toer 1982, m/s. 28–9.
- ^ a b Sen 2006, m/s. 123.
- ^ Kwee, 1930, m/s. 10.
- ^ a b Filmindonesia.or.id, Si Tjonat.
- ^ a b c Biran 2009, m/s. 94.
- ^ Said 1982, m/s. 18.
- ^ a b Said 1982, m/s. 19.
- ^ Biran 2009, m/s. 94, 152.
- ^ Biran 2009, m/s. 113–4.
- ^ Filmindonesia.or.id, Ku Fung May; Filmindonesia.or.id, Lie A Tjip
- ^ Biran 2009, m/s. 105, 113.
- ^ Heider 1991, m/s. 14.
- ^ Biran 2009, m/s. 351.
Bibliografi
sunting- Biran, Misbach Yusa (2009). Sejarah Film 1900–1950: Bikin Film di Jawa [Sejarah Filem 1900–1950: Pembuatan Filem di Jawa]. Jakarta: Komunitas Bamboo bekerjasama dengan Majlis Seni Jakarta. ISBN 978-979-3731-58-2.CS1 maint: ref=harv (link)
- Heider, Karl G (1991). Indonesian Cinema: National Culture on Screen [Pawagam Indonesia: Kebudayaan Negara pada Layar]. Honolulu: University of Hawaii Press. ISBN 978-0-8248-1367-3.CS1 maint: ref=harv (link)
- "Ku Fung May". filmindonesia.or.id. Jakarta: Konfiden Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-06-09. Dicapai pada 9 Jun 2013.
- Kwee, Tek Hoay (20 Mei 1930). "Film Si Tjonat: Kaloearan Pertama dari Batavia Motion Picture Company" [Filem Si Conat: Keluaran Pertama dari Batavia Motion Picture Company]. Panorama. 4 (173): 9–11. (dicapai sebagai keratan di Sinematek Indonesia)
- "Lie A Tjip". filmindonesia.or.id. Jakarta: Konfiden Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-06-09. Dicapai pada 9 Jun 2013.
- Said, Salim (1982). Profil Dunia Film Indonesia [Profil Dunia Filem Indonesia]. Jakarta: Grafiti Pers. OCLC 9507803.CS1 maint: ref=harv (link)
- "Si Tjonat". filmindonesia.or.id. Jakarta: Konfiden Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-07-21. Dicapai pada 21 Julai 2012.
- Sukma, Rizal (1999). Indonesia and China: The Politics of a Troubled Relationship [Indonesia dan China: Politik Perhubungan yang Bermasalah]. New York: Routledge. ISBN 978-0-203-16535-5.CS1 maint: ref=harv (link)
- Toer, Pramoedya Ananta, penyunting (1982). Tempo Doeloe: Antologi Sastra Pra-Indonesia [Tempoh Dulu: Antologi Sastera Pra-Indonesia]. Jakarta: Hasta Mitra. OCLC 9797224.CS1 maint: ref=harv (link)
Pautan luar
sunting