Shirō Emiya

(Dilencongkan daripada Shiro Emiya)

Shirō Emiya (衛宮 士郎, Emiya Shirō) (kadang-kala dieja sebagai Shirou Emiya) merupakan watak fiksyen daripada novel visual dan siri anime Jepun Fate/stay night oleh TYPE-MOON.

Shirō Emiya

Shirō merupakan watak utama siri ini. Seorang remaja yang serius tapi jujur, juga seorang pekerja yang rajin yang suka membantu orang lain, Shirō gemar membaiki benda-benda rosak, memasak dan mengemas rumah. Dia bersekolah dalam tahun dua di sebuah sekolah menengah, dan menggunakan satu jenis magik dalam kehidupan sehariannya. Shirō mempunyai bakat yang tidak terasah dalam penggunaan magik pengukuhan, walaupun tidak digalakkan Kiritsugu Emiya, ayah angkatnya. Pada awal peperangan Holy Grail, Shirō agak keliru akan realiti sebenar "permainan" itu, dan cuba melindungi mereka di sekelilingnya, termasuklah Saber sendiri.

Seiyū watak Shirō ialah Noriaki Sugiyama, dan alihan suara bahasa Inggeris oleh Sam Riegel.[1]

Sejarah

sunting

Seabad yang lalu, menghampiri pengakhiran perang Holy Grail keempat, Fuyuki City ditelan api yang membara. Api ini telah memusnahkan sebahagian besar bandar itu dan mengorbankan mereka yang tidak bersalah, termasuklah ibu bapa kandung Shirō. Meskipun Shirō sendiri terselemat daripada kejadian tersebut, Shirō di pinggir maut menunggu ajalnya apabila ditemui Kiritsugu. Lelaki itu, bernama Kiritgusu Emiya, berasa bertanggungjawab dan bersalah di atas kegagalannya menghentikan kemusnahan itu, justeru menyembuhkan budak yang ditemuinya itu dan menerimanya sebagai anak angkatnya sendiri.

Kiritsugu telah mendedahkan identitinya sebagai seorang ahli sihir dan membuat keputusan untuk membesarkan Shirō sebagai pengganti kepada ajaran sihirnya (walaupun dia enggan pada awalnya), namun dia mendapati Shirō tidak mempunyai sebarang kebolehan mahupun kemampuan untuk melakukan sihir-sihir yang asas. Hanya satu sihir sahaja yang mampu dilaksanakan Shirō dengan berkesan, iaitu sihir "Pengukuhan", tetapi malangnya sihir ini dianggap tidak berguna dan sukar dilakukan seorang ahli sihir biasa, dan tidak praktikal.

Kiritsugu telah cuba untuk menyelamatkan mereka yang tidak bersalah walaupun dengan nyawanya sendiri, namun setelah beberapa percubaan, dia telah menyedari fakta kehidupan, iaitu jika seseorang itu diselamatkan, seorang lagi akan terkorban. Kelalaiannya menceritakan pengalamannya ini kepada Shirō sudah cukup untuk memaksa anak angkatnya itu untuk hidup dengan falsafah ini. Meskipun ayah angkatnya sering berasa kesal dan terseksa atas kegagalannya menyelamatkan setiap nyawa manusia dalam bahaya, Shirō tetap menyanjung tinggi usaha ayahnya. Kiritsugu juga mempunyai perspektif yang buruk terhadap magik dan sihir, di mana dia menganggap bahawa sihir mengakibatkan kemusnahan dan kehancuran kehidupan, lalu tidak membenarkan Shirō untuk mempelajarinya dengan mendalam. Kiritsugu tidak memberitahu Shirō secara lisan supaya berhenti mempelajari sihir, sebaliknya dia menyatakan supaya Shirō menggunakan sihir yang dipelajarinya dalam rahsia dan dengan tujuan membantu orang lain untuk mengelakkan sebarang syak wasangka.

Beberapa tahun sebelum perang Holy Grail yang kelima berlangsung, Kiritsugu telah meninggal dunia. Shirō yang penuh dengan kesedihan, tekanan dan kesunyian, telah ditemani guru dan jiran lamanya iaitu Taiga Fujimura sebagai penjaga Shirō. Tidak lama kemudian, Sakura Matō, rakan sekolah Shirō, juga sering membantu dengan kerja-kerja rumah walaupun tidak diminta Shirō.

Dengan pengalamannya menggunakan sihir Pengukuhan, Shirō telah membantu membaiki beberapa jenis alatan dan mesin elektronik. Dengan aspirasi bapanya yang ingin bangkit sebagai "Wira Keadilan" tidak tercapai, Shirō bertekad untuk memenuhi objektif ayah angkatnya itu dengan memperkukuhkan kekuatan magiknya dengan satu-satunya sihir yang mampu dikuasainya.

Kebolehan

sunting

Meskipun Shirō mempunyai potensi yang tinggi dalam sesetengah aspek, secara tradisionalnya, Shirō kekurangan kemahiran sihir. Dalam permulaan siri Fate/stay night, satu-satunya kebolehannya, ialah Pengukuhan, sejenis magik untuk menganalisis komposisi struktur objek-objek, dan bersertakan pemahaman terhadap komposisi kimia dan fizikal mereka, keberkesanan objek tersebut dalam penggunaannya dapat ditingkatkan, seperti mengasah ketajaman bilah pisau atau ketahanan perisai. Tetapi, Shirō kurang penguasaan dalam magik ini juga, justeru penerapan penggunaannya adalah terhad.

Bakat sebenar Shirō disaksikan dalam tahap Pengukuhan yang lebih tinggi, yang dikenali sebagai Penyurihan. Kebolehan ini membenarkan Shirō menjelmakan objek-objek sedia ada melalui imaginasinya. Melalui kebolehan ini, Shirō mampu mengubah objek-objek biasa seperti dahan kayu menjadi pedang besi. Namun begitu, teknik penyurihan memerlukan Mana dan fokus yang tinggi, dan replikasi adalah terhad oleh bahan-bahan mentah untuk penjelmaan. Tambahan pula, setiap objek yang dijelmakan kurang sifat ketahanannya ataupun tidak "berkualiti", lalu perlu dibekalkan terus dengan Mana, menjadikan kebolehan ini tidak berguna dalam pertarungan.

Walaubagaimanapun, kebolehan penyurihan Shirō berbeza dan unik kerana dia tidak memerlukan bahan-bahan mentah untuk menjelmakan sebuah objek mahupun membekalkannya Mana secara berterusan untuk mengekalkan objek itu. Shirō sendiri tidak menyedari keistimewaan kebolehannya ini, disebabkan latihannya menyurih sebelum perang Holy Grail ini tertakluk kepada objek-objek yang tidak mempunyai sebarang komponen dalaman. Semasa perang Holy Grail kelima, dia mendapati bahawa kebolehan menyurihnya khusus secara ekslusifnya terhadap senjata-senjata berbilah seperti pedang. Dia mampu mencipta kembali sebarang pedang hanya dengan melihat yang asal.

Dalam senario Fate, Shirō menyurih Caliburn untuk membantu Saber selepas memerhatinya dalam mimpi. Ini adalah hasil nasihat Archer: "Jika engkau tak boleh menewaskannya, bayangkanlah apa yang boleh."

Dalam senario Unlimited Blade Works, Shirō menjadi seorang pakar dalam kemahiran selepas menyaksikan Marmar Realiti Archer, Unlimited Blade Works.

Dalam senario Heaven's Feel, menggunakan ilmu yang "dipinjam" daripada minda Archer, Shirō mampu menunjukkan beberapa Marmar Realiti Archer, Unlimited Blade Works. Marmar Realiti Shirō menyediakan sebuah dunia untuknya di mana setiap komponen yang diperlukan untuk memudahkan penyurihan wujud, membenarkan Shirō mencipta semula apa sahaja objek yang pernah dilihatnya. Berbeza dengan penyurihan biasa, Shirō boleh mencipta objek-objek terus daripada udara, tanpa perlu mengubahsuai elemen yang telah wujud. Apabila tangan kiri Archer dipindahkan ke tubuh Shirō dalam bentuk Khayalan Palsu (Artificial Phantasm), dia mempunyai kebolehan menggunakan litar-litar sihir Archer. Tetapi, kuasa ini mempunyai risiko yang tinggi; pada saat pengaktifan, litar-litar Archer akan membebankan tubuh badan Shirō, akhirnya membawa kepada kematiannya. Namun sebelum ini terjadi, kekuatan Shirō meningkat dengan mendadak sekali, membolehkannya mengalahkan Black Berserker sembilan kali dengan teknik tunggal berdasarkan Noble Phantasm Berserker sendiri iaitu "Sembilan Nyawa". Teknik ini diberi nama "Kejadian Pedang Sembilan Nyawa" oleh Shirō.

Kebolehan Shirō menyurih adalah disebabkan keunikannya sendiri, di mana dia menganggap orang lain lebih penting berbanding dirinya. Tidak seperti manusia biasa yang akan merasai kegembiraan orang lain disebabkan kegembiraan diri sendiri, kegembiraan Shirō muncul daripada kegembiraan orang lain, walaupun disebabkan kesejahteraannya sendiri. Perwatakan tersebut berasal daripada trauma yang dhihadapinya daripada kejadian kebakaran besar yang melanda Fuyuki City 10 tahun lalu, di mana dia hampir terbunuh. Meskipun dia seorang sahaja diselamatkan Kiritsugu, Shirō sudahpun kehilangan kesedaran dirinya dalam api besar itu. Akibatnya, dia tidak lagi menghargai nyawanya sendiri dan cuba mencari jalan dalam kewujudannya untuk membantu yang lain. Shirō meneruskan kehidupannya untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan dan bukan untuk dirinya. Dengan falsafah kehidupan ini yang dipegangnya teguh, Shirō bebas mencipta senjata menerusi tubuh badannya sebagai kaedah melindungi mereka disekelilingnya. Seorang ahlir sihir biasa harus menjelmakan jirim objek menggunakan Mananya dan mengekalkannya dengan menggunakan Mana kali kedua, tetapi Shirō memerlukan Mana hanya untuk mengubah sebahagian daripada kewujudannya menjadi objek-objek keinginannya, menjadikannya seorang Penyurih yang unik, dan membenarkannya mencipta Marmar Realiti untuk dirinya sendiri.

Berikut merupakan baris-baris dalam Marmar Realiti Shirō yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Beberapa baris dalam mentera ini berbeza sedikit berbanding mentera Archer.

 
Versi Unlimited Blade Works Shirō.

Aku tulang pedangku.
Besi keluli tubuhku, dan semarak api darahku.
Aku telah mencipta lebih seribu pedang.
Tidak sedar akan kerugian.
Tidak sedar akan keuntungan.
Menahan keperitan untuk mencipta banyak senjata.
Menunggu kedatangan seseorang.
Aku tidak mempunyai kekesalan, ini sahaja hala tujuku.
Sepanjang kehidupanku adalah "Kejadian Pedang Tidak Terhad".


Peranan

sunting

Shirō tidak berminat dalam peperangan Holy Grail, sebaliknya membencinya pula. Tetapi, dia betekad untuk memenangi perang tersebut bersama-sama Saber, kerana dia berharap usahanya akan memastikan kejadian kebakaran yang melanda Fuyuki City tidak akan berlaku sekali lagi. Sepanjang kisah ini, meskipun kemahiran Shirō dengan sihir bertambah maju, dia tetap berpegang teguh kepada ideal "tidak mementingkan diri sendiri"nya, walaupun mula-mula kelihatan kurang realistik.

Walaupun dia masih memegang watak "hero" dalam senario-senario Fate/stay night, hala tuju yang diambilnya adalah berbeza dalam setiapnya. Dalam Fate, dia membuat keputusan untuk mewujudkan keamanan dengan masa silamnya, dan kisah ini berakhir dengan perasaan cinta Shirō terhadap Saber. Dalam UBW, meskipun mengejar idealnya walaupun harus menghadapi keperitan bawaanya, dia berasa lega dengan cintanya terhadap Rin. Dalam Heaven's Feel, Shirō pada akhirnya meninggalkan idealnya, menukarkannya dengan kebahagiaan Sakura. Dalam setiap senario, dia mewakili tiga jenis dan tahap kehidupan seorang keturunan Adam: sebagai seorang budak lelaki yang bermimpikan sebuah ideal, sebagai seorang remaja yang inginkan kedua-dua realiti dan idealnya, dan sebagai seorang dewasa yang menerima kemustahilan idealnya sendiri dan bertolak ansur dengan realiti.

Rujukan

sunting
  1. ^ "Fate/stay night (TV)". Anime News Network. Disember 2006. Dicapai pada 2006-12-01.