Sembahyang Yahudi (Ibrani: תְּפִלָּה, tefillah [tfiˈla]; jamak תְּפִלּוֹת tefillot [tfiˈlot]; yi Templat:IPA-yi, jamak תּפֿלות tfilles [ˈtfɪləs]; Inggeris Yahudi: davening /ˈdɑːvənɪŋ/ daripada bahasa Yiddish דאַוון davn "sembahyang") ialah pembacaan sembahyang yang merupakan salah satu bentuk ibadat Yahudi Rabinik. Sembahyang-sembahyang ini boleh dijumpai dalam Siddur, kitab sembahyang Yahudi tradisional yang biasanya mengandungi arahan dan tafsir.

Sembahyang Pagi, 2005.
Orang Yahudi bersembahyang di Tembok Meratap, Baitulmuqaddis, 2010.
Klip video sembahyang Yahudi, daripada arkib Syarikat Berita Israel Saluran 2 Israel

Sembahyang ialah satu "upacara hati"—iaitu melibatkan keikhlasan, takwa, khusyuk dan iman—dan telah diperintahkan dalam kitab Taurat.[1] Ia tidak mempunyai waktu khusus untuk menunaikannya dan wajib untuk lelaki dan wanita Yahudi.[2] Walau bagaimanapun, bacaan untuk lelaki dan wanita dibezakan dalam hukum rabinik: Lelaki Yahudi wajib sembahyang tiga kali sehari dalam jangka waktu tertentu (zmanim), sedangkan mengikut banyak pendapat wanita hanya diwajibkan untuk sembahyang sekali dua sehari, dan mungkin tidak perlu membaca bacaan tertentu.[3]

Menurut cara tradisional, terdapat tiga sembahyang setiap hari:

  • Sembahyang pagi: Syakharit atau Syaharit (שַחֲרִית, "pagi")
  • Sembahyang petang: Minkha atau Minha (מִנְחָה), dinamakan sempena persembahan tepung yang menyertai korban di Bait Suci Baitulmuqaddis dahulu,
  • Sembahyang malam:[4] Arvit (עַרְבִית, "malam, maghrib") atau Maariv (מַעֲרִיב, "penanda malam")

Dua sembahyang tambahan dibacakan pada Sabat dan hari perayaan:

  • Musaf (מוּסָף, "tambahan") dibacakan oleh jemaah Ortodoks dan Konservatif pada hari Sabat, hari raya Yahudi utama (termasuk Khol HaMoed), dan Rosy Khodesy.
  • Ne'ilah (נְעִילָה, "penutupan"), dibacakan hanya pada Yom Kippur.

Perbezaan dibuat antara sembahyang bersendirian dan sembahyang berjemaah, yang memerlukan korum yang dikenali sebagai minyan. Sembahyang berjemaah lebih utama kerana sesetengah bacaan yang tidak dibaca berseorangan dapat disertakan.

Menurut riwayat Yahudi, banyak bacaan standard kontemporari telah dikarangkan oleh para pendeta Perhimpunan Agung dari awal zaman Bait Suci Kedua (516 SM – 70 TM). Bahasa bacaan-bacaan ini, walaupun jelas dari zaman tersebut, sering menggunakan simpulan bahasa Alkitab. Rukun-rukun sembahyang untuk zaman sekarang telah dimantapkan pada era Tannaim (zaman pendeta dan ulama mengembangkan, mencatat dan mengulas syariat, hukum-hakam, riwayat dan tafsir Taurat, pada abad ke-1–2 TM), dengan beberapa penokokan dan bacaan berkenaan rahmat ditambahkan kemudian. Buku sembahyang Yahudi muncul pada awal Zaman Pertengahan semasa zaman Geonim Babylonia (abad ke-6–11 TM).[5]

Sepanjang 2000 tahun yang lalu, kelainan tradisi telah muncul dalam adat liturgii—yakni pemujaan, ibadat, sembahyang—beberapa komuniti Yahudi, seperti Yahudi Ashkenaz, Sefardi, Yaman, Palestin dan lain-lain, ataupun liturgi yang agak baharu seperti Hasidut, dan Khabad. Walau bagaimanapun, perbezaannya kecil jika dibanding dengan persamaannya. Kebanyakan liturgi Yahudi dinyanyikan atau didikirkan dengan melodi tradisional atau trop. Saumaah boleh melantik atau mengupah seorang hazzan (pendikir) profesional atau orang awam untuk mengimami jemaah dalam sembahyang, terutamanya pada hari Sabat atau perayaan.

Asal usul dan sejarah

sunting

Asalnya menurut Alkitab

sunting

Menurut Talmud Babylonia, sembahyang ialah satu suruhan kitab:

Beribadat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwamu'[6] – Upacara apakah yang dilakukan dengan hati? Iaitu sembahyang.[7]

Berdasarkan petikan ini, ahli falsafah Yahudi zaman pertengahan bernama Mosye ben Maimon menyenaraikan sembahyang harian sebagai salah satu daripada 613 suruhan agama.[8] Beliau memutuskan bahawa perintah itu tertunai dengan mana-mana doa pada bila-bila masa dalam sehari, bukan dengan bacaan tertentu; oleh itu ia tidak bergantung pada masa, dan wajib bagi kedua-dua lelaki dan wanita Yahudi.[2] Namun lain pula halnya dengan keperluan untuk mengucapkan bacaan-bacaan tertentu pada waktu-waktu tertentu, yang ditentukan oleh rabai dan bukan berdasarkan hukum kitab.[9]

Bilangan sembahyang setiap hari

sunting
 
Rabbi Yisrael Meir HaCohen Kagan, "Khofetz Khaim", dalam sembahyang semasa usia lanjut

Rujukan tambahan dalam Alkitab Ibrani telah ditafsirkan untuk menunjukkan bahawa Raja Daud dan nabi Daniel bersembahyang tiga kali sehari. Dalam Mazmur, Daud bersabda:

Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat, dan Dia akan mendengar suaraku.[10]

Dan dalam Kitab Daniel:

Apabila Daniel mengetahui bahawa surat itu telah ditandatangani, masuklah dia ke rumahnya. Dalam bilik atasnya terdapat jendela-jendela yang terbuka menghadap Yerusalem. Tiga kali sehari dia bertelut, berdoa, dan mengucap syukur kepada Allahnya, seperti yang biasa dilakukannya selama ini.[11]

Talmud memberikan dua sebab mengapa terdapat tiga sembahyang asas setiap hari:[12]

  1. Setiap upacara sembahyang berbetulan dengan upacara korban di Bait Suci Baitulmuqaddis: persembahan Tamid pagi, persembahan Tamid petang, dan pembakaran semalaman persembahan terakhir.
  2. Menurut Rabai Jose bar Hanina, setiap daripada tiga orang nabi bersamaan dengan satu sembahyang: Abraham pagi, Ishak tengah hari dan Yaakub petang. Pandangan ini disokong dengan ayat-ayat kitab yang menyatakan setiap seorang nabi bersembahyang pada waktu yang disebutkan. Akan tetapi, walaupun dengan pandangan ini, waktu tepat sembahyang itu diadakan, dan lebih-lebih lagi seluruh konsep sembahyang musaf, semuanya tetap berasaskan korban.

Perkembangan Teks Sembahyang

sunting

Bahagian terawal bacaan sembahyang Yahudi ialah Syema Yisrael dan Berkat Pendeta, yang terdapat dalam Taurat.[13]

Maimonides menegaskan bahawa sebelum kaum Yahudi ditawan Babylonia pada abad ke-6 SM, orang Yahudi menyusun bacaan sembahyang sendiri. Selepas ditawan, apabila kaum Yahudi kurang faham bahasa Ibrani dan sukar menyusun bacaan sembahyang dalam bahasa Ibrani, Pendeta Besar Ezra dan para pendeta lain menyusun Amidah.[14] Penyelidikan moden daripada gerakan Wissenschaft des Judentums abad ke-19 di Jerman, serta analisis teks yang dipengaruhkan penemuan Naskhah Laut Mati pada abad ke-20, menunjukkan bahawa bermula dari zaman Bait Kedua, terdapat upacara dan bacaan tertentu untuk acara-acara agama, dan dibuat di tempat lain selain Baitulmuqaddis dan Bait Suci. Upacara dan bacaan ini semua menggunakan bahasa dan konsep-konsep keagamaan yang kemudiannya menjadi dominan dalam sembahyang Yahudi dan dalam sesetengah kes Kristian juga.[15]

Rukun sembahyang Yahudi moden ditetapkan semasa zaman Tannaim, "daripada periwayatan mereka, yang kemudiannya diturunkan dalam bentuk bertulis, kita ketahui bahawa generasi rabai yang aktif pada masa penghancuran Bait Kedua (70 Masihi) memberikan rukun sembahyang Yahudi dan isi kandungannya—walaupun hanya dalam bentuk garis kasar."[16] Liturgi ini termasuk bacaan dua kali sehari Syema, Amidah, dan bacaan beramai-ramai Taurat secara bergilir-gilir.[16]

Bacaan Amidah (atau Syemoneh Esreh) dikatakan berasal daripada Perhimpunan Agung pendeta (pada zaman Ezra, semasa Alkitab hampir lengkap ditulis), namun sumber lain mengesyaki ia dimantapkan oleh Simeon HaPakoli pada akhir abad pertama. Walaupun begitu, pada abad ke-1 susunan kata-kata doa berkat belum lagi tetap, dan berbeza dari tempat ke tempat. Namun pada Zaman Pertengahan, teks doa berkat hampir mantap, dan serupa dengan yang digunakan pada masa kini.

Bacaan Taurat (lima kitab Nabi Musa) dan Nevi'im ("Nabi-nabi") dalam sembahyang telah ditentukan dalam kitab Misynah dan Talmud, begitu juga doa berkat yang perlu dibacakan sebelum dan selepas membaca Syema. Bahagian lain dalam upacara sembahyang, seperti Pesukei dezimra (membaca mazmur dan ayat-ayat kitab lain), tidak banyak disebut dalam sumber-sumber awal tetapi telah menjadi mantap melalui adat.

Buku sembahyang tertua berasal dari zaman Geonim Babylonia, ketua-ketua pendeta Yahudi terkemuka yang berfungsi seperti ulama dan mufti; "beberapa antara buku-buku tersebut disusun oleh ulama rabai terkemuka atas permintaan komuniti yang tinggal jauh serta inginkan teks berwibawa untuk bacaan sembahyang yang diperlukan bagi kegunaan harian, Sabat, dan perayaan."[16] Pengkodifikasian terawal buku sembahyang ini diusahakan oleh Rav Amram Gaon dari Sura, Babylon, sekitar tahun 850 Masihi. Separuh abad kemudian, Rav Saadia Gaon, juga dari Sura, menyusun kitab sembahyang siddur, yang mana arahan dan panduan sembahyangnya ditulis dalam bahasa yang biasa digunakan di rantau tersebut, bahasa Arab. Ini menjadi asas kitab sembahyang Makhzor Vitri oleh Simkha ben Samuel (abad ke-11 di Perancis), yang berdasarkan gagasan rabai dan guru beliau, Rasyi. Satu lagi pengungkapan sembahyang ditambahkan oleh Maimonides kepada hukum-hakam sembahyang dalam Misyneh Torah: ini membentuk asas liturgi Yaman, dan telah mempengaruhi upacara-upacara agama lain. Sejak itu, semua buku sembahyang Yahudi mempunyai turutan dan kandungan asas yang sama.

Siddur dicetak oleh Soncino di Itali seawal-awal tahun 1486 tetapi diedarkan pertama kalinya secara besar-besaran pada tahun 1865. Siddur mula muncul dalam bahasa-bahasa daerah seawal tahun 1538. Terjemahan Inggeris yang pertama, oleh Gamaliel ben Pedahzur (nama samaran), muncul di London pada tahun 1738; terjemahan yang berlainan dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 1837.

Sepanjang 2000 tahun yang lalu, cabang-cabang agama Yahudi telah menghasilkan kelainan dalam adat liturgi Rabinik dalam pelbagai komuniti Yahudi, dan setiap satu memiliki nusakh (liturgi adat) yang sedikit berbeza. Perbezaan paling besarnya adalah antara adat Ashkenaz dan Sefard, namun ada komuniti lain (misalnya, Yahudi Yaman dan Itali, juga pada masa lalu, Yahudi Palestin), dan liturgi-liturgi yang agak baharu seperti Hassid, Khabad, dan yang lain juga memiliki adat, kelainan, dan bacaan khusus yang berbeza. Akan tetapi, perbezaan antara semua adat ini kecil dibandingkan dengan persamaannya. Aliran Yahudi Reformasi juga memiliki versi sendiri.

Teks dan Bahasa

sunting

Menurut halakhah, yakni syariat Yahudi, semua bacaan sembahyang berseorangan dan hampir semua bacaan sembahyang berjemaah boleh dibaca dalam mana-mana bahasa yang difahami penyembahyang itu. Sebagai contoh, Misynah menyebutkan bahawa Syema tidak perlu dibacakan dalam bahasa Ibrani.[17] Senarai bacaan yang harus disebut dalam bahasa Ibrani terdapat dalam Misynah,[18] dan antara semua ini hanya doa Berkat Pendeta sahaja yang masih digunakan hari ini, sementara yang lain ialah doa yang harus disebut hanya di Bait Suci Baitulmuqaddis, oleh seorang pendeta, atau oleh seorang Raja yang berkuasa.

Namun demikian, kebanyakan saumaah Ortodoks Ashkenaz biasanya menggunakan bahasa Ibrani kecuali untuk sejumlah kecil doa, termasuk Kadisy dan Yekum Purkan dalam bahasa Aramia, dan Gott Fun Avraham, yang ditulis dalam bahasa Yiddish. Dalam aliran Yahudi yang lain, terdapat banyak keragaman: komuniti Sephardi mungkin menggunakan bahasa Ibrani-Sepanyol atau Portugis untuk banyak doa, tetapi itu biasanya untuk doa tambahan dan bukan untuk doa-doa yang telah mantap; saumaahKonservatif cenderung menggunakan bahasa tempatan sedikit sebanyak; dan di beberapa saumaah Reformasi, mungkin hampir seluruh upacara sembahyang dilakukan dalam bahasa tempatan.

Bahasa sembahyang, walaupun jelas berasal dari zaman Bait Kedua,[19] sering menggunakan simpulan bahasa daripada Alkitab, dan menurut beberapa pihak berwibawa, seharusnya tidak mengandungi ungkapan-ungkapa daripada rabai atau Misynah kecuali dalam bahagian Misynah yang disertakan.

Kelainan Mengikut Mazhab

sunting

Upacara sembahyang mazhab Yahudi Konservatif umumnya mengikut format asas yang serupa dengan Yahudi Ortodoks, tetapi dengan kelonggaran dalam doktrinnya dan membenarkan doa dalam bahasa Inggeris. Walaupun begitu, terdapat banyak perbezaan antara setiap jemaah Yahudi Konservatif. Dalam jemaah tradisionalis, upacara sembahyangnya hampir sama dengan mazhab Yahudi Ortodoks, hampir seluruhnya dalam bahasa Ibrani (dan Aramia) kecuali untuk segelintir perkara, termasuk menghapuskan pelajaran tentang korban di Bait, dan mengubah doa untuk pengembalian sistem korban. Di saumaah Konservatif yang lebih liberal, antara perubahannya ialah menggunakan bahasa Inggeris dalam sepertiga bacaan sembahyang; menyingkatkan atau menggugurkan banyak doa pembuka; dan menggantikan beberapa doa tradisional dengan bentuk yang lebih moden. Perubahan-perubahan ini dibuat atas pelbagai sebab, seperti menggalakkan kesamarataan dalam bahasa, mengurangkan rujukan kepada mengembalikan upacara korban di Bait Suci, dan membuka jalan untuk memansuhkan peranan khusus pendeta dan orang Lewi.

Cara sembahyang mazhab Reformasi dan Rekonstruksi dipengaruhi amalan ibadat tradisional, tetapi mengandungi bahasa yang lebih mencerminkan kepercayaan liberal daripada liturgi tradisional. Mereka biasanya menyelaraskan atau mengeluarkan doktrin tradisional seperti kebangkitan semula, kedatangan al-Masih untuk menyelamatkan orang Yahudi semata-mata, dan aspek-aspek lain dalam eskatologi Yahudi tradisional. Mereka juga menyoalkan konsep seperti penurunan kitab Taurat di Gunung Sinai, kewujudan malaikat, dosa dan pahala, serta pengalaman ajaib atau ghaib. Dalam sembahyang dua mazhab ini, biasanya 40% hingga 90% kandungannya menggunakan bahasa tempatan atau daerah.

Mazhab Yahudi Reformasi telah membuat banyak perubahan kepada upacara sembahyang agar sejajar dengan teologinya yang lebih liberal. Mereka telah menghapuskan rujukan tertentu unsur tradisional eskatologi Yahudi, seperti al-Masih akan menyelamatkan orang Yahudi, kebangkitan jasad yang telah mati, dan lain-lain. Bahagian bahasa Ibrani sembahyang disingkatkan dan dimodenkan dan doa tradisional digantikan dengan yang moden. Selain itu, selaras dengan pandangan mereka bahawa hukum-hakam Sabat (termasuk larangan bermain alat muzik) tidak boleh diteruskan dalam zaman moden, upacara sembahyang mazhab Reformasi sering memainkan muzik instrumental atau rakaman dengan sembahyang pada hari Sabat. Semua saumaah Reformasi melayan lelaki dan wanita sebagai sama, membenarkan kedua-dua jantina mengambil bahagian dalam semua aspek sembahyang.

Falsafah Sembahyang

sunting
 
Seorang askar Israel bertefillin di Tembok Barat sebelum berdoa.

Dalam falsafah Yahudi dan dalam kesusasteraan Rabai, kata kerja "sembahyang" dalam bahasa Ibrani—hitpallel (התפלל)—sebenarnya merupakan bentuk kediri/merujuk ke arah diri sendiri bagi palal (פלל), bermakna menghakimi. Oleh itu, "bersembahyang" menyampaikan konotasi "menghakimi diri sendiri":[a] kesudahannya, tujuan sembahyang—tefillah (תפלה)—adalah untuk mengubah diri sendiri.[20][21]

Etimologi ini konsisten dengan kepercayaan Yahudi tentang kesederhanaan ilahi. Berbeza dengan pengaruh seseorang terhadap hakim manusia yang boleh dipengaruhi oleh emosi dan boleh ubah fikiran, apabila berdoa, bukan Tuhan yang berubah tetapi orang yang berdoa itu.[22] Ini selaras dengan pandangan Maimonides mengenai hidayah Tuhan. Dalam pada ini, Tefillah ialah alat yang Tuhan berikan kepada manusia untuk mengubah dirinya, menjalinkan satu hubungan baharu dengan Tuhan—dan dengan itu, takdir baru untuk dirinya dalam hidup.[22][23]

Pandangan Kabbalisme

sunting

Kabbalah (mistisisme Yahudi esoterik) menggunakan kavanot, niat-niat yang khusus, untuk menentukan jalan yang sembahyang itu naik semasa berbicara dengan Tuhan. Tujuannya adalah supaya ia dijawab atau dimakbulkan oleh Tuhan. Kabbalisme percaya bahawa sembahyang mempunyai makna yang lebih mendalam, iaitu ia dapat mempengaruhi realiti dan memperbaiki alam semesta secara langsung. Dalam pandangan ini, setiap kata dalam setiap doa, bahkan setiap huruf dalam setiap kata, mempunyai makna dan kesan yang jitu. Oleh yang demikian, sembahyang mampu mempengaruhi daya ghaib alam semesta dan membaiki apa-apa masalah yang wujud.

Pendekatan ini diterima oleh Chassidei Ashkenaz (Yahudi Jerman zaman pertengahan yang hidup secara salih dan suci), Zohar, riwayat Kabbalisme Arizal, Ramchal, sebahagian besar Hasidisme, Vilna Gaon dan Jacob Emden.

Hasidisme, meskipun menggabungkan pandangan kabbalisme dan kavanotnya, juga menekankan keikhlasan dan kekhusyukan dalam sembahyang.[24] Cicit Baal Shem Tov, Rebbe Nachman dari Breslov, sendiri menekankan kepentingan berbicara dengan Tuhan dengan kata-kata sendiri, yang beliau menggelari Hitbodedut (pengasingan diri) dan menyarankan untuk memperuntukkan satu jam untuk melakukannya setiap hari.[25]

Metodologi dan istilah

sunting

Istilah "sembahyang"

sunting

Daven asalnya ialah kata kerja bahasa Yiddish Timur yang pada asalnya bermaksud "bersembahyang"; ia banyak digunakan oleh Yahudi Ortodoks Ashkenaz. Dalam bahasa Inggeris-Yiddish, ini telah menjadi diinggeriskan menjadi davening, atau mendaven jika mengikut pola imbuhannya.

Asal usul perkataan daven tidak jelas, tetapi ada yang menganggap ia berasal daripada bahasa Arab (daripada diwan, himpunan puisi atau doa), Perancis (daripada devoner, "mengabdikan" atau "membaktikan" atau mungkin daripada perkataan bahasa Perancis "devant"- "di hadapan" seolah-olah orang yang bersembahyang itu ingat mereka berdiri di hadapan siapa), Latin (daripada divin, "Tuhan") atau bahasa Inggeris (daripada dawn, "fajar").[26] Ada juga yang percaya ia berasal daripada perkataan Slavik yang bermaksud "memberi" (Rusia: давать, rumi: davat'). Ada yang berpendapat ia berasal daripada perkataan Aramia, de'avuhon atau d'avinun, yang bermaksud "berkaitan nenek moyang mereka/kami", kerana ketiga-tiga doa sembahyang itu dikatakan telah dicipta oleh Abraham, Ishak dan Yaakub. Satu lagi etimologi Aramia, yang dicadangkan oleh Avigdor Chaikin, memetik frasa Talmud, "ka davai lamizrakh", "memandang dengan sedih ke timur"[27] Kevin A. Brook,[28] memetik cadangan Zeiden[29] bahawa perkataan daven berasal daripada akar bahasa Turki tabun- yang bermaksud "bersembahyang", dan dalam bahasa Turki Kipchak, t awalan berubah menjadi d.

Dalam bahasa Yiddish Barat, istilah untuk sembahyang ialah oren, perkataan dengan akar yang jelas berasal daripada bahasa Romawi, serupa dengan orar dalam Sepanyol dan Portugis dan orare dalam Latin.[30]

Minyan (korum)

sunting
 
Anggota Briged Givati ​​Angkatan Pertahanan Israel bersembahyang petang (ma'ariv) di Tembok Barat, Oktober 2010.

Sembahyang bersendirian adalah sah tetapi sembahyang dengan korum sepuluh orang dewasa Yahudi—minyan—merupakan bentuk doa yang paling dianjurkan dan diwajibkan untuk sesetengah sembahyang. Orang dewasa dalam konteks ini bermaksud umur 12 atau 13 tahun ke atas (bar mitzvah). Agama Yahudi pada asalnya hanya mengira lelaki dalam minyan untuk sembahyang berjemaah, atas dasar bahawa orang yang tidak diwajibkan menurut serta tidak dikira. Para rabai telah mengecualikan wanita daripada hampir semua mitzvot positif (suruhan wajib) yang mempunyai jangka waktu yang ditetapkan, termasuk bahagian-bahagian sembahyang yang tidak boleh dibaca tanpa korum, kerana wanita pada masa selalu sibuk dengan kehamilan, melahirkan anak dan menyusu dari usia yang sangat muda. Mazhab Yahudi Ortodoks masih mengikuti hujah ini dan tidak mengira wanita dalam minyan. Sejak 1973, jemaah mazhab Konservatif telah berubah menjadi sangat sama rata dan mengira wanita dalam minyan. Segelintir jemaah yang memanggil diri mereka sebagai Konservatif telah menentang perubahan ini dan masih mengecualikan wanita daripada minyan. Jemaah mazhab Reformasi dan Rekonstruksionis yang menganggap minyan wajib untuk sembahyang berjemaah, mengira lelaki dan wanita untuk minyan. Semua mazhab Yahudi kecuali Ortodoks mentahbiskan rabai dan pendikir wanita.[31]

Terdapat satu bacaan sembahyang yang dibaca di khalayak ramai, Birkhat HaGomel (doa berkat kesyukuran), untuk mengucapkan kesyukuran kerana terselamat daripada penyakit atau bahaya,[32] yang selain memerlukan minyan, juga memerlukan lembaran Taurat dibawa keluar untuk bacaan Taurat yang dijadualkan.

Pakaian

sunting
  • Penutup kepala. Di kebanyakan saumaah, makmum lelaki memakai penutup kepala dianggap sebagai tanda hormat, seperti dengan topi atau kippah (semacam kopiah, juga dikenali dengan perkataan bahasa Yiddish yarmulke). Pelawat saumaah yang beragama Yahudi atau bukan Yahudi biasanya memakai penutup kepala.[33] Sesetengah saumaah Konservatif juga mungkin menggalakkan (tetapi jarang mewajibkan) wanita untuk menutup kepala mereka. Banyak rumah ibadat mazhab Reformasi dan Progresif tidak mewajibkan kepala ditutup, namun setiap hadirin, lelaki dan wanita, boleh melakukannya. Ramai lelaki dan wanita daripada mazhab Ortodoks dan sesetengah daripada konservatif memakai penutup kepala sepanjang hari, walaupun ketika tidak menghadiri upacara sembahyang.
  • Tallit (selendang sembahyang) mengikut adat dipakai semasa semua sembahyang pagi (kecuali hari puasa Tisha B'av dalam banyak komuniti), semasa tampil ke hadapan untuk membaca Taurat, serta semasa semua upacara Yom Kippur. Dalam kebanyakan komuniti, seorang hazzan sahaja memakai tallit semasa sembahyang petang dan malam setiap hari. Di saumaah Ortodoks, pemakaiannya adalah dikehendaki hanya oleh lelaki yang sah Yahudi mengikut halakhah dan walaupun di sesetengah saumaah Konservatif ia hanya boleh dipakai oleh lelaki, di saumaah Konservatif lain, lelaki dan wanita yang sah Yahudi mengikut halakhah patut memakai tallit. Di kebanyakan saumaah Ortodoks Ashkenaz (kecuali yang mengikuti adat Jerman atau Hungary) ia hanya dipakai oleh lelaki yang sudah atau telah berkahwin.[34][35]
  •  
    Askar IDF Asael Lubotzky bersembahyang dengan tefillin.
    Tefillin (kotak ayat suci) ialah kotak-kotak kulit kecil kubus yang dicat hitam, mengandungi gulungan kertas yang ditulis dengan ayat-ayat Taurat. Ia diikat pada kepala dan lengan dengan tali kulit yang dicelup hitam, dan dipakai oleh orang Yahudi sahaja, semasa sembahyang pagi hari bekerja. Di saumaah Ortodoks, ia dikehendaki untuk dipakai hanya oleh lelaki; di saumaah Konservatif ia juga dipakai oleh sesetengah wanita. Namun, orang Yahudi Karait tidak memakai tefillin.
  • Tzeniut (menutup aurat) adalah untuk lelaki dan wanita. Apabila menghadiri saumaah Ortodoks, wanita perlu memakai sarung lengan panjang (melepasi siku), skirt labuh (melepasi lutut), leher baju yang tinggi (hingga tulang selangka), dan jika sudah berkahwin, tutup rambut mereka dengan rambut palsu, selendang, topi atau mana-mana antara ketiga-tiganya sekali. Bagi lelaki, seluar pendek atau baju tanpa lengan biasanya akan dianggap tidak sesuai. Di sesetengah saumaah Konservatif dan Reformasi, kod pakaian mungkin lebih longgar tetapi masih menutup badan.

Hukum dan adat lain

sunting

Sekiranya salah satu sembahyang tertinggal secara tidak sengaja, doa Amidah diucapkan dua kali dalam sembahyang seterusnya—ini dipanggil tefilat tashlumin, "doa pampasan/ganti".[36]

Ramai orang Yahudi menggoyangkan badan semasa sembahyang. Amalan ini, yang dipanggil syokel (shuckling atau shokeling) dalam bahasa Yiddish, adalah tidak wajib.

Ramai yang terbiasa bersedekah sebelum, semasa (terutama semasa sembahyang pagi Vayivarekh David) atau selepas sembahyang, dengan harapan ini akan menjadikan doa mereka lebih makbul.

Menurut Talmud, wajah mesti menghadap ke arah Baitulmuqaddis, khususnya tapak Bait Suci. Ini berdasarkan doa Salomo "...dan [mereka] berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu" (1 Raja-raja 8:48).[37]

Sembahyang harian

sunting

Syakharit

sunting

Syakharit (daripada syakhar, cahaya pagi) dibaca pada waktu pagi. Mengikut halakhah, sesetengah bahagian sembahyang ini hanya boleh dibaca dalam tiga jam pertama selepas matahari terbit untuk Syema dan empat jam pertama untuk doa Amidah. Satu "jam" dalam hal ini bersamaan dengan 1/12 waktu siang, menjadikan masa yang tepatnya bergantung pada musim.[38]

Syakharit biasanya sembahyang yang paling panjang dalam sehari. Ia termasuk doa Birkot ha-Syakhar, doa berkat bangun pagi; Korbanot ,doa korban; Pesukei dezimra, gita puja kepada Tuhan; Syema Yisrael, doa penegasan iman dan doa berkatnya; Amidah, bacaan pujian, doa dan kesyukuran sambil berdiri dengan senyap; dan Takhanun, doa taubat. Antara semua ini, bacaan Syema Yisrael dan Amidah merupakan teras sembahyang syakharit. Orang-orang Yahudi yang memakai tallit dan tefillin biasanya memakainya hanya semasa sembahyang syakharit.[39]

Minkha

sunting

Minkha atau minha boleh dibaca bermula dari setengah jam selepas waktu tengah hari halakhah, sehingga matahari terbenam. Yahudi Sephardi dan Itali memulakan sembahyang minkha dengan Mazmur 84 dan Korbanot,[40] dan biasanya diteruskan dengan doa Pitum ha-Ketoret, doa tentang persembahan kemenyan yang dibakar di Bait Suci setiap hari. Bahagian pembuka diakhiri dengan Maleakhi 3:4.[41]

Mazmur puji-pujian Asyrei dibacakan, diikuti dengan separuh Kadisy (doa pujian dan peralihan ke bahagian seterusnya), Amidah yang dibaca imam dan disahut jemaah, Takhanun, dan kemudian Kadisy penuh. Yahudi Sephardi akan memasukkan Mazmur,[42] diikuti dengan Kadisy Peratap, doa untuk meratapi kematian kaum kerabat. Selepas ini, dalam kebanyakan upacara sembahyang moden, Aleinu (doa tekad dalam kewajipan agama). Kebanyakan Yahudi Ashkenaz kemudiannya menutup dengan Kadisy Peratap. Dalam komuniti Ashkenaz, Itali dan Yaman, imam akan sering memakai tallit.

Maariv/Arvit

sunting
 
Korum sembahyang maariv di kedai pasar lambak Jaffa, Tel Aviv

Secara amnya, masa maariv boleh mula dibaca ialah apabila waktu membaca minkha tamat. Namun, terdapat pendapat berbeza-beza mengenai perkara ini. Maariv tidak boleh dimulakan sebelum 1¼ jam sebelum matahari terbenam. Yang lain menangguhkan maariv sehingga selepas matahari terbenam atau selepas senja. Jika maariv dibaca sebelum senja, individu akan mengulangi Syema pada waktu malam.[43]

Komponen utama maariv ialah bacaan Syema (dengan dua doa berkat sebelum dan dua selepasnya), diikuti oleh Amidah (yang tidak dibaca sahut-sahutan antara imam dan jemaah, tidak seperti bacaan Amidah yang lain). Sesetengah komuniti menambah berkat ketiga antara Syema dan Amidah. Beberapa doa tambahan dan ayat-ayat daripada Alkitab dibacakan juga; ini berbeza mengikut komuniti dan keadaan.

Lihat juga

sunting
  1. ^ Tafsiran ini lebih menjurus kepada tarbiah dan bukan ilmiah, kerana mengikut sejarah makna asal hitpallel lebih bermungkinan ialah "meminta penghakiman untuk diri sendiri", atau dalam kata lain men untuk mengemukakan rayuan undang-undang.[perlu rujukan]

Rujukan

sunting
  1. ^ Tractate Ta’anit 2a
  2. ^ a b Steinsaltz, Adin (2000). A guide to Jewish prayer (ed. 1st American paperback). New York: Schocken Books. m/s. 26ff. ISBN 978-0805211474. Dicapai pada 25 April 2016.
  3. ^ Bar-Hayim, David (Rabbi, Posek). "Women and Davening: Shemone Esre, Keriyath Shem". machonshilo.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Mei 2016. Dicapai pada 25 April 2016.
  4. ^ Weinreb, Tzvi Hersh; Berger, Shalom Z.; Schreier, Joshua, penyunting (2012). [Talmud Bavli] = Koren Talmud Bavli. Even-Israel (Steinsaltz), Adin (ed. 1st Hebrew/English). Jerusalem: Shefa Foundation. m/s. 176. ISBN 9789653015630. Dicapai pada 25 April 2016.
  5. ^ Center for Judaic Studies, University of Pennsylvania. "Jewish Liturgy: The Siddur and the Mahzor". Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2012. Dicapai pada 12 Mac 2009.
  6. ^ Alkitab Versi Borneo Ulangan 11:13
  7. ^ "Taanit 2a:11". www.sefaria.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mei 2021. Dicapai pada 12 Disember 2021.
  8. ^ Mishneh Torah, Hukum-hakam Sembahyang 1:1; Sefer Hamitzvot, perintah suruhan 5
  9. ^ Mishneh Torah, Laws of Prayer 1:4
  10. ^ Alkitab Versi Borneo Mazmur 55:17
  11. ^ Alkitab Versi Borneo Daniel 6:11
  12. ^ Talmud Babylonia, Berachot 26b; Talmud Yerusalem, Brachot 4:1 (29b)
  13. ^ "Benedictions". www.jewishvirtuallibrary.org. Dicapai pada 27 Jun 2022.
  14. ^ Mishneh Torah, Laws of Prayer 1:4
  15. ^ Reif, Stefan C. (19–23 Januari 2000). "The Second Temple Period, Qumran Research and Rabbinic Liturgy: Some Contextual and Linguistic Comparisons". Fifth Orion International Symposium LITURGICAL PERSPECTIVES: PRAYER AND POETRY IN LIGHT OF THE DEAD SEA SCROLLS. The Orion Center for the Study of the Dead Sea Scrolls and Associated Literature. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Oktober 2008. Dicapai pada 11 Mac 2009.
  16. ^ a b c "Overview: History of Jewish Prayer". Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Jun 2011. Dicapai pada 12 Mac 2009.
  17. ^ Berakhot 2:3
  18. ^ Sotah 7:2
  19. ^ "Ada yang menjelaskan bahawa ini bermakna sembahyang dilaksanakan [...] selepas kehancuran Bait untuk menggantikan persembahan. Walau bagaimanapun, bacaan sembahyang sudah wujud sepanjang era Bait Kedua dengan formula yang hampir sama dengan yang ditetapkan kemudian, dengan beberapa perbezaan yang diketahui. Selain itu, sudah ada saumaah pada masa itu: ada yang berdekatan dengan Bait. Terdapat perselisihan dalam Talmud mengenai sama ada doa-doa ditetapkan untuk mencerminkan persembahan, atau sama ada ia mempunyai asal lain yang tidak berkaitan dengan upacara di Bait." Weinreb, Tzvi Hersh; Berger, Shalom Z.; Schreier, Joshua, penyunting (2012). [Talmud Bavli] = Koren Talmud Bavli. Even-Israel (Steinsaltz), Adin (ed. 1st Hebrew/English). Jerusalem: Shefa Foundation. m/s. 175 ff. ISBN 9789653015630. Dicapai pada 25 April 2016.
  20. ^ "Temple Israel Long Beach". Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Julai 2008. Dicapai pada 23 Jun 2008.
  21. ^ "The Cosmology of the Mitzvot". Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2008. Dicapai pada 6 Oktober 2008.
  22. ^ a b "Prayer". Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Januari 2010. Dicapai pada 7 Julai 2008.
  23. ^ "Parashat Beha'alotecha - 13 Jun 1998. Sivan 19, 5758 - A Taste of Torah in Honor of Shabbat & Yom Tov by Rabbi Avi Weiss". Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Oktober 2008. Dicapai pada 6 Oktober 2008.
  24. ^ Green, A., et al. (2013). Speaking Torah: Spiritual Teachings From Around the Maggid's Table. Jewish Lights. m/s 13.
  25. ^ Likutei Moharan 2:25
  26. ^ Rabbi Raymond Apple. "OzTorah – Where does "Daven" come from – Ask the Rabbi". Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Disember 2013. Dicapai pada 20 Mei 2013.
  27. ^ Shabbat 35a
  28. ^ The Jews of Khazaria, eds ke-2. Rowman & Littlefield 2006, m/s 206
  29. ^ Herbert Zeiden, "Davenen: a Turkic Etymology", Yiddish 10, nos. 2–3 (1996), m/s 96–97.
  30. ^ David Curwin. "Balashon – Hebrew Language Detective: daven". Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2007. Dicapai pada 9 Disember 2007.
  31. ^ Jewish Women's Archive. Cantors: American Jewish Women Diarkibkan 24 November 2010 di Wayback Machine. Retrieved 2015-05-07.
  32. ^ "Laws of the Blessing of Thanksgiving". Diarkibkan daripada yang asal pada 13 September 2018. Dicapai pada 18 September 2019.
  33. ^ International Council of Christians and Jews, Jewish-Christian Relations :: A glossary of terms used in the Christian-Jewish dialogue Diarkibkan 27 September 2007 di Wayback Machine, "Pelawat lelaki bukan Yahudi ke saumaah ditawarkan penutup kepala di pintu masuk dan diminta memakainya."
  34. ^ Mordechai Becher, Gateway to Judaism: The What, How, And Why of Jewish Life, Mesorah Publications, 2005, m/s 328.
  35. ^ Joyce Eisenberg, Ellen Scolnic, Dictionary of Jewish Words, Jewish Publication Society, 2006, m/s 166.
  36. ^ Brachot 26a
  37. ^ Brachot 30a
  38. ^ Ini dipanggil jam nisbi. Mengikut ijtihad para rabai, waktu siang dalam hukum-hakam Yahudi dibahagi kepada 12, begitu juga dengan malam. Kerana musim menentukan panjangnya siang dan malam, panjang waktunya akan berubah-ubah.
  39. ^ "Tallit: The Jewish Prayer Shawl". Chabad. Dicapai pada 1 Mac 2023.
  40. ^ Alkitab Versi Borneo Bilangan 28:1 - 8
  41. ^ Alkitab Versi Borneo Maleakhi 3:4
  42. ^ Alkitab Versi Borneo 67 atau 93
  43. ^ Donin 1991, m/s. 340–341.

Bibliografi

sunting

Pautan luar

sunting

  Kategori berkenaan Sembahyang Yahudi di Wikimedia Commons

Templat:Jewish prayers Templat:Jewish life Templat:Shabbat