Anjing pemburu tikus Praha

baka anjing dari Republik Czech
(Dilencongkan daripada Prazsky Krysarik)

Anjing pemburu tikus Praha[a] ialah satu baka anjing kecil dari Republik Czech yang jarang terlihat di luar negara asalnya.

Anjing pemburu tikus Praha
Anjing pemburu tikus Praha
Nama ringkasPrazsky, PK
Negara asalRepublik Czech
Trait
Berat 1.5–3.5 kilogram (3.3–7.7 lb)
Tinggi 20–23 sentimeter (7.9–9.1 in)
Bulu pendek, licin, dan licau
panjang dan berjumbai
Warna hitam dan sawo matang, perang dan sawo matang, biru dan sawo matang, ungu lembut dan sawo matang, perang kekuning-kuningan, merah, merah jambu, merle
Saiz perinduk 1–3 ekor
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal

sunting
 
Anjing pemburu tikus Praha betina

Penampilan

sunting

Anjing pemburu tikus Praha ialah anjing mainan kecil yang serupa dari segi penampilan dengan anjing Chihuahua dan pincer kerdil dengan ketinggian 20–23 sentimeter (7.9–9.1 in) dan berat 1.5–3.5 kilogram (3.3–7.7 lb).[1][2]

Terdapat dua variasi lapis bulu:

  • pendek: licin, licau, dan tebal
  • panjang: jumbai pada telinga, anggota tubuh, dan ekor
 
Seekor anjing pemburu tikus Praha perang dan sawo matang

Warna paling lazim ialah hitam dan sawo matang yang juga merupakan warna asli. Akhir-akhir ini, warna lain telah diluluskan: perang dan sawo matang, biru dan sawo matang, ungu lembut dan sawo matang, kuning, merah jambu, merah, dan merle.[1]

Perangai

sunting

Anjing pemburu tikus Praha, yang paling terkenal kerana sifat aktif dan cergas, ialah baka berani yang penuh dengan perwatakan asli. Anjing kecil ini bertahan hidup dengan hubungan kuat dan boleh dipercayai dengan manusia, suka menerima kasih sayang dan, memainkan peranan sebagai anjing riba semasa waktu santai. Baka ini amat cerdas dan pada umumnya bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan dan arahan asasi. Sebagai anjing peliharaan, anjing pemburu tikus Praha adalah patuh, setia, penyayang, dan sangat mesra. Anjing pemburu tikus Praha menyesuaikan diri dengan baik terhadap kehidupan ruangan dalaman dan pangsapuri sepenuh masa, namun masih gemar meluangkan masa di luar dengan bermain dalam permainan seperti mengutip dan berjalan lama-lama dan santai-santai. Ia juga terkenal sebagai anjing sangat pendiam, tidak seperti kebanyakan anjing kecil lain yang cenderung untuk menjadi sangat "becok".[3]

Kebolehlatihan

sunting

Oleh sebab keperluannya untuk mendapatkan perhatian manusia dan keinginan untuk menggembirakan dan mengagumkan pemiliknya, anjing pemburu tikus Praha pada umumnya bergerak balas dengan baik terhadap pelatihan dan arahan asasi. Baka pintar ini mempunyai keupayaan untuk belajar untuk melakukan banyak trik dan tugas mengagumkan. Ramai pemilik mendakwa bahawa anjing ini dapat semudahnya diajar untuk menggunakan kotak najis, sekali gus menghapuskan keperluan untuk perjalanan berterusan di ruangan luar.

Pewujudan kepercayaan dan rasa hormat serta-merta merupakan kunci untuk kejayaan pelatihan anjing pemburu tikus Praha. Anjing ini dapat menjadi agak sensitif terhadap kritikan dan bergerak balas dengan paling baik terhadap pengukuhan positif dan latihan berdasarkan ganjaran.[4][5]

Bidang kegunaan

sunting

Anjing pemburu tikus Praha mungkin kecil, tetapi tetap merupakan anjing mudah untuk dilatih selagi diganjari dengan tekal. Ia dapat dilatih untuk ketangkasan, gaya bebas, kepatuhan, penjejakan, dll.

Deria bau dan pendengaran sangat berkembang dan anjing pemburu tikus Praha masih pemburu tikus hebat, sebagaimana tujuan aslinya. Ia mempunyai dorongan pemangsa tinggi dan sedia mengejar tupai, tikus, dan mencit.[4][3]

Sejarah

sunting
 
Henri de Toulouse-Lautrec (1864–1901). Lady with a Dog ("Wanita dengan seekor anjing").

Pembiak baka anjing Czech mendakwa bahawa krysařík ("[anjing] pemburu tikus") ialah salah satu baka tertua Czech. Sebutan pertama bagi anjing pemburu tikus ini terdapat dalam tulisan sejarawan Einhard yang bertarikh kembali ke abad ke-8 hingga abad ke-9. Sejarawan Poland, Gallus Anonymus, menyebut tentang anjing pemburu tikus kesayangan Raja Bolesław II si Dermawan (1058–1081). Baginda menjadi suka akan anjing pemburu tikus itu dan mendapatkan dua ekor yang diimport ke Poland dari Bohemia. Seperti namanya, ia juga pada umumnya digunakan sebagai penangkap tikus di rumah desa dan bandar. Anjing pemburu tikus malah disebut dalam tulisan Jules Michelet: Karl IV dari Luxembourg, semasa lawatan baginda ke Perancis pada tahun 1377, mempersembahkan tiga ekor anjing pemburu tikus kepada Raja Charles V dari Perancis sebagai hadiah berharga dan kemudiannya anjing-anjing itu diwarisi oleh putera baginda sang Dauphin. Dalam babad dan karya sastera bersejarah, anjing pemburu tikus disebut berhubungan dengan Wenzel IV, Rudolf II, dan pemerintah Eropah lain.[5]

 
Poskad: Two dogs Chasing a Mouse ("Dua ekor anjing yang mengejar seekor mencit") oleh A.F. Tait

Dalam era ketiadaan kucing di Eropah, anjing pemburu tikus Praha kecil, bersama-sama dengan penangkap tikus lain, berkhidmat untuk melindungi harta pemilik diraja daripada tikus. Legenda mengatakan bahawa di rumah diraja anjing pemburu tikus juga diwajibkan untuk melindungi pemilik daripada pengguna racun: semasa makan, ia diizinkan untuk berjalan di atas meja dan merasa makanan dan minuman. Dengan kemerosotan negara Czech, anjing pemburu tikus kehilangan tempat eksklusifnya di dalam rumah bangsawan. Ia dapat dilihat di kediaman petani dan borjuis dan bangunan luar. Ia digunakan dalam pertempuran tikus yang popular di Eropah. Lama-kelamaan, ia mendapat selayaknya di dalam salon wanita sebagai anjing peliharaan dan teman.[5]

Kepopularan anjing pemburu tikus Praha mula merosot pada abad ke-19 apabila pincer kerdil menjadi lebih bergaya. Baka ini melalui kebangkitan semula pada tahun 1980-an apabila orang Czech dan Slovakia mula membiakbakakannya semula. Peringkat pertama kebangkitan semula baka ini dan penyusunan buku pembaka bermula pada akhir abad ke-19 di bawah kepemimpinan pembiak baka anjing, T. Rotter dan O. Karlik. Dua perang dunia dan tempoh rejim komunis di Czechoslovakia menafikan hasil usaha mereka, lalu buku pembuka hilang.

Anjing pemburu tikus moden menjejaki sejarahnya sejak tahun 1970-an. Peranan utama dalam kebangkitan semula baka ini dimainkan oleh ahli sains anjing Jan Findejs dan Rudolf Šiler (1909–1997). Pada tahun 1980, anjing pemburu tikus Praha pertama didaftarkan dalam buku pembaka.[5]

 
Jean-Léon Gérôme, potret Marie Gérôme

Sehingga penghujung abad ke-20, baka ini wujud dan berkembang secara eksklusif di dalam wilayah Republik Czech dan Slovakia. Menjelang dekad kedua abad ke-21, beberapa ratus ekor anjing pemburu tikus Praha tinggal di luar Republik Czech. Kelab-kelab baka telah diasaskan di beberapa buah negara. Selain negara-negara Eropah Barat dan Skandinavia, anjing pemburu tikus Praha tinggal di Rusia, di Amerika Syarikat, dan di Jepun. Terdapat sebilangan kecil anjing pemburu tikus di Ukraine, di Kazakhstan, dan di Itali.

Pada tahun 2019, ia menjadi baka beriktiraf FCI. Terdapat hanya kira-kira 6,000 ekor anjing pemburu tikus Praha yang berdaftar di dunia dan ia biasanya hanya mempunyai 1–3 ekor anak anjing setahun. Walau bagaimanapun, ia masih dipersembahkan dalam pertunjukan di Republik Czech, di Slovakia, dan di Skandinavia.[3]

Kesihatan

sunting

Anjing pemburu tikus Praha dipercayai merupakan salah satu baka anjing yang tidak mempunyai masalah kesihatan ketara. Walau bagaimanapun, ia dapat menjadi terdedah kepada yang berikut:

  • Penyakit gigi dan gusi. Anjing pemburu tikus Praha terdedah kepada peningkatan pembentukan tartar, yang membawa kepada nafas berbau, serta perkembangan periodontitis. Pencegahan terdiri daripada pemberusan gigi kerap dan penanggalan plak semasa lawatan ke klinik veterinar. Anjing pemburu tikus juga dapat mempunyai gigi susu tertinggal yang mungkin perlu dicabut untuk mencegah masalah lanjut dengan kegigian.
  • Kecederaan tulang kerana saiz kecil. Keretakan paling umum adalah untuk tulang metakarpus dan lengan bawah.
  • Kehelan tempurung lutut, iaitu penyakit umum pada baka kecil. Kecacatan ini dipercayai adalah kongenital dan terwaris.[5][pengesahan diperlukan]
  • Jenis masalah perut usus berlainan adalah lazim.

Kelanjutan usia

sunting

Anjing pemburu tikus Praha mempunyai jangka hayat 12–14 tahun.[5][pengesahan diperlukan]

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيکوس ڤراها; Czech: pražský krysařík; bahasa Inggeris: Prague ratter

Rujukan

sunting
  1. ^ a b "FCI-Standard N°363 PRAŽSKÝ KRYSAŘÍK (Prague Ratter)" [Piawaian FCI No. 363 Anjing Pemburu Tikus Praha] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Čižmárová, Renata; Janková, Helena. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 7 Mei 2019. Dicapai pada 8 Februari 2024.CS1 maint: others (link)
  2. ^ "Standard" [Piawaian]. Klub přátel psů pražských krysaříků (dalam bahasa Czech). Klub přátel psů pražských krysaříků. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  3. ^ a b c Mischikha O. "Difficulties of translation". My Friend - the Dog (dalam bahasa Inggeris). 1 (2012): 60.
  4. ^ a b "Aktivity" [Kegiatan] (dalam bahasa Czech). Klub přátel psů pražských krysaříků. Dicapai pada 8 Februari 2024.
  5. ^ a b c d e f Karpfová, Cyrila; Dostál, Jaromír (1999). Pražský krysařík [Anjing Pemburu Tikus Praha] (dalam bahasa Czech). Praha, Republik Czech: Ottovo nakladatelství. m/s. 80. ISBN 9788071812319. OCLC 84989821.

Pautan luar

sunting