Bahasa ialah suatu sistem lambang bunyi suara yang arbitrari yang digunakan oleh anggota sesuatu kelompok manusia untuk berhubung. Bahasa juga merupakan suatu sistem berasaskan simbol atau secara amnya dikenali sebagai leksem dan peraturan bagaimana bahasa itu dimanipulasikan. Perkataan "bahasa" ini juga digunakan untuk merujuk kepada keseluruhan fenomena bahasa itu sendiri iaitu ciri-ciri umum bahasa. Walaupun bahasa bersinonim sebagai alat perhubungan atau komunikasi, ia sebenarnya bukanlah sinonim dengannya. Kajian saintifik mengenai bahasa, perkembangan sejarah, ciri-ciri dan penggunaan bahasa dalam masyarakat dikenali sebagai linguistik. Selain itu, terdapat beberapa bahasa buatan seperti bahasa Esperanto yang telah dicipta oleh Ludwig Lazarus Zamenhof dan bahasa Klingon.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan. Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/Urdu.
Bahasa Perancis (le français, la langue française) merupakan satu bahasa yang berasal dari Perancis, Belgium, Luxembourg dan Switzerland. Pada hari ini, bahasa Perancis dituturkan oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia sebagai bahasa ibunda atau bahasa kedua.