Polip (zoologi)
Polip dalam bidang zoologi adalah satu daripada dua rupa bentuk yang terdapat dalam filum Cnidaria, di samping medusa. Polip pada dasarnya berbentuk silinder dan memanjang pada paksi dalam badannya yang berbentuk pasu. Pada polip yang hidup bersendirian, hujung aboral (bertentangan dengan mulut) terlekap pada substrat dengan pelekap berbentuk cakera yang dipanggil cakera pedal. Bagi polip yang hidup secara berkoloni pula, setiap polip bersambung dengan polip-polip lain secara langsung atau tidak langsung. Pada hujung oralnya terdapat mulut, dan ia dikelilingi oleh lingkaran sesungut.
Polip mengikut kelas
suntingDalam kelas Anthozoa yang terdiri daripada buran dan karang, individunya sentiasa polip; walhal dalam kelas Hydrozoa, individunya boleh jadi polip atau medusa,[1] di mana kebanyakan spesies menjalani kitaran hidup yang mempunyai peringkat polip dan medusa. Dalam kelas Scyphozoa, peringkat medusa lebih dominan, malah sesetengah keluarga tidak mempunyai peringkat polip. Bagi Scyphozoa yang mempunyai peringkat larva planula yang bermertamorfosis menjadi polip, polipnya yang juga dikenali sebagai "scyphistoma" tumbuh sehingga menjadi susunan medusa seakan pinggan-pinggan yang mencabut dan berenang pergi dalam proses yang dipanggil strobilasi. Setelah selesainya strobilasi, polip berkenaan mungkin mati atau tumbuh semula untuk mengulangi proses. Bagi Cubozoa, planula melekap pada permukaan yang sesuai dan berkembang menjadi polip, kemudian bermetamorfosis terus menjadi medusa.
Anatomi
suntingJasad polip boleh diibaratkan dari segi struktur dengan pundi dengan dinding yang terdiri daripada dua lapisan sel. Lapisan luar dikenali secara ilmiah sebagai ektoderma dan lapisan dalam pula endoderma (atau gastroderma). Di antara ektoderma dan endoderma terdapat lapisan sokongan yang terdiri daripada bahan bergelatin tanpa struktur yang dipanggil mesoglea dan dirembeskan oleh lapisan-lapisan sel pada dinding jasad.[1] Mesoglea itu mungkin lebih nipis daripada endoderma atau ektoderma, ataupun menjadi sebahagian besar badan seperti pada ubur-ubur besar. Mesoglea mungkin mengandungi unsur-unsur rangka yang diterbitkan dari sel-sel yang bermigrasi dari ektoderma.
Badan seakan pundi yang terbina sebegini selalunya terlekap pada suatu objek yang utuh dengan pangkalnya, dan pada hujung atasnya mempunyai mulut yang dikelilingi oleh lingkaran sesungut (tentakel) yang menyerupai jari-jemari sarung tangan. Sesungut merupakan organ yang digunakan untuk menyentuh dan menangkap makanan.[1] Polip memanjangkan sesungut-sesungutnya, khususnya pada waktu malam, dan pada sesungut itu terdapat sel-sel seakan onak atau nematosista yang menusuk, meracuni dan mencengkam mangsa hidup-hidup lalu melumpuhkan dan membunuhnya. Antara mangsa polip termasuk kopepod dan larva ikan.[2] Fibril-fibril otot memanjang yang terbentuk dari sel-sel ektoderma membolehkan sesungut menguncup apabila menyampaikan makanan ke mulut. Begitu juga, fibril-fibril otot melingkar yang terbentuk dari endoderma membolehkan sesungut memanjang atau melunjur sebaik sahaja terkuncup. Gentian-gentian otot ini tergolong dalam dua sistem yang sama, dan oleh itu membolehkan seluruh badan menguncup dan melunjur.[1]
Oleh yang demikian, dalam jasad polip kita boleh nampak bahagian turus yang berbentuk bulat atau bujur keratannya dan membentuk batangnya, hinggap dengan tapak atau kaki dan beralaskan lingkaran sesungut yang melitupi kawasan yang dipanggil peristom dengan mulutnya di tengah-tengah. Pada dasarnya tiada bukaan pada jasad selain daripada mulut, namun segelintir polip mempunyai liang-liang perkumuhan pada kaki, dan juga liang-liang halus pada sesungut. Oleh itu, polip terpandang sebagai haiwan yang amat ringkas strukturnya,[1] atau fosil hidup yang tidak berubah dengan ketara selama setengah bilion tahun (berdasarkan pentarikhan batuan enapan Kambria yang diterima umum).
Bentuk luaran polip sangat berbeza-beza. Turusnya boleh jadi panjang dan runcing ataupun pendek seakan-akan cakera. Sesungutnya mungkin ada beratus-ratus atau berbelas-belas, ataupun satu dua sahaja. Ia mungkin panjang dan berfilamen, ataupun pendek dan sekadar berbonjol-bonjol. Ia mungkin sederhana dan tidak bercabang, ataupun mempunyai corak berbulu-bulu. Mulutnya mungkin sekata dengan permukaan peristom ataupun mengunjur dan berbentuk trompet. Dari segi struktur dalaman, terdapat dua jenis susun atur polip yang ketara, dan setiap satunya mencirikan kelas Hydrozoa atau Anthozoa.[1]
Dalam kelas Hydrozoa, polipnya sesungguhnya sangat sederhana, misalnya spesies kecil yang terdapat dalam air tawar dari genus Hydra. Polip kelas Anthozoa (termasuk karang dan buran) pula jauh lebih kompleks kerana berkembangnya stomodeum berbentuk tiub yang tersedut dari mulut ke dalam, dan serantai sesekat radial yang dipanggil mesenteri. Kebanyakan mesenteri itu mengunjur ke rongga usus tetapi ada juga yang memanjang dari dinding jasad ke stomodeum pusat.
Rujukan
sunting- ^ a b c d e f domain awam: Minchin, Edward Alfred (1911). "Polyp". Dalam Chisholm, Hugh (penyunting). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 22 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 37. Satu atau lebih ayat sebelumnya menggabungkan dan menterjemah teks dari penerbitan sekarang di
- ^ Chang, T.D. and Sullivan, J.M. "Temporal associations of coral and zooplankton activity on a Caribbean reef Diarkibkan 2011-06-06 di Wayback Machine" Dartmouth Studies in Tropical Ecology. 2008. Dicapai pada 2009-06-21.
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Polip (zoologi). |