Ensiklopedia Britannica Edisi Ke-11

Ensiklopedia Britannica Edisi Kesebelas (19101911) mungkin merupakan edisi Ensiklopedia Britannica yang paling masyhur. Sesetengah rencananya ditulis oleh para cendekiawan yang amat terkenal pada masa itu. Rencana-rencana ini masih menarik dan berguna kepada cendekiawan-cendekiawan moden sebagai artifak budaya pada abad ke-19 dan ke-20. Walau bagaimanapun, ensiklopedia ini menimbulkan sedikit masalah kepada cendekiawan moden yang menggunakan edisi ini sebagai satu sumber. Edisi Kesebelas tidak lagi dilindungi oleh hak cipta dan kini boleh didapati dalam talian, baik dalam bentuk asal mahupun dalam bahagian-bahagian yang telah digabungkan dalam karya-karya dan ensiklopedia-ensiklopedia yang lain dalam talian.

Ensiklopedia Britannica Edisi Ke-11

Latar belakang

sunting

Edisi Kesebelas 1911 telah dikumpulkan di bawah pimpinan penerbit Amerika Syarikat, Horace Everett Hooper, dan disunting oleh Hugh Chisholm. Pada asalnya, Hooper membeli hak-hak untuk Edisi Kesembilan yang mempunyai 25 jilid, dan memujuk The Times, sebuah akhbar British, untuk menerbitkan cetakan semulanya dengan sepuluh jilid tambahan (iaitu 35 jilid pada jumlahnya) yang dikeluarkan sebagai Edisi Kesepuluh pada tahun 1902.

Perhubungan Hooper dengan The Times tamat pada tahun 1909, dan beliau berunding dengan Percetakan Universiti Cambridge untuk menerbitkan Edisi Sebelas yang mengandungi 29 jilid. Walaupun Ensiklopedia Britannica dianggap sebagai satu contoh unggul bagi karya-karya British, Edisi Kesebelas mempunyai pengaruh Amerika Syarikat yang cukup banyak, bukan sahaja dari segi kandungan Amerika Syarikat dan Kanada yang lebih banyak, tetapi juga dari segi usaha-usaha untuk memberikannya satu nada yang lebih popular. Kaedah-kaedah pemasaran Amerika Syarikat juga dipergunakan untuk membantu jualan. Lebih kurang 11% daripada penyumbang-punyumbang edisi ini adalah orang Amerika Syarikat, dan sebuah pejabat New York telah ditubuhkan semata-mata untuk mengendalikan operasi di negara itu.

Sesetengah rencana telah ditulis oleh cendekiawan-cendekiawan yang paling terkenal pada zaman itu, termasuk Edmund Gosse, J.B. Bury, Algernon Charles Swinburne, John Muir, Putera Peter Kropotkin, T.H. Huxley, G.K. Chesterton dan William Michael Rossetti. Antara penyumbang-penyumbang yang tidak begitu dikenali termasuk sebilangan yang kemudian mencapai kemasyhuran, seperti Ernest Rutherford dan Bertrand Russell. Banyak rencana dalam edisi ke-11 ini disalin daripada Edisi Kesembilan dan disemak, dengan sesetengah rencana diberikan pengemaskinian yang minimum dan jika rencana itu sepanjang buku, dibahagikan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil untuk memudahkan rujukan. Sebilangan rencana juga disingkatkan secara hebat.

Secara amnya, pengarang-pengarang yang termasyhur hanya menyumbangkan sebuah rencana yang tunggal atau sebahagian rencana. Kebanyakan rencana ditulis oleh satu campuran wartawan, kakitangan Muzium British, dan pensyarah. Edisi 1911 merupakan edisi pertama yang mempunyai sebilangan penyumbang wanita. 34 orang wanita menyumbangkan rencana dalam edisi ini. [1]

Edisi Kesebelas memperkenalkan sebilangan perubahan kepada format Britannica. Sebagai ganti untuk kaedah dahulu yang menerbitkan jilid-jilid sebaik-baik sahaja jilid itu disiapkan, edisi ini diterbitkan secara lengkap. Taipnya disimpan dalam galei, dan dikemaskinikan secara berterusan sehingga penerbitannya. Edisi Kesebelas juga merupakan edisi Britannica pertama yang mempunyai satu jilid indeks yang menyeluruh dan yang ditambahkan dengan satu indeks kategori yang menyenaraikan topik-topik yang sama. Edisi ini juga menyimpang daripada kelaziman untuk menulis rencana-rencana yang sepanjang treatis. Bagaimanapun, panjang keseluruhan edisi ini lebih kurang sama sahaja dengan pendahulunya. Bilangan rencana telah bertambah daripada 17,000 menjadi 40,000. Edisi ini juga merupakan edisi Britannica pertama yang mengandungi biografi orang yang masih hidup.

Menurut Coleman dan Simmons, m.s. 32 [2], kandungan ensiklopedia terdiri daripada bidang-bidang yang berikut:

 
Iklan bagi edisi ke-11 pada tahun 1913
Perkara Kandungan
Geografi 29%
Sains tulen dan gunaan 17%
Sejarah 17%
Kesusasteraan 11%
Seni halus 9%
Sains sosial 7%
Psikologi 1.7%
Falsafah 0.8%


Hooper menjual haknya kepada Sears Roebuck dari Chicago pada tahun 1920 dan dengan itu, melengkapi peralihan Britannica yang kini merupakan satu usaha Amerika Syarikat pada dasarnya.

Pada tahun 1922, Sears Roebuck menerbitkan tiga jilid tambahan yang merangkumi peristiwa-peristiwa bagi tahun-tahun berselang, termasuk Perang Dunia I. Jilid-jilid tambahan ini, bersama-sama dengan cetakan semula Edisi Kesebelas, membentuk Edisi Kedua Belas. Edisi Ketiga Belas yang serupa mengandungi tiga jilid tambahan, bersama-sama dengan cetakan semula Edisi Kedua Belas, diterbitkan pada tahun 1926. Oleh itu, Edisi-edisi Kedua Belas dan Ketiga Belas mempunyai kaitan yang rapat dengan Edisi Sebelas dan mempunyai banyak kandungan yang sama. Bagaimanapun, keperluan untuk satu pengemaskinian yang lebih teliti semakin menjadi jelas. Edisi Keempat Belas yang diterbitkan pada tahun 1929 menonjolkan banyak semakan teks, dengan banyak digugurkan atau diringkaskan untuk memberi ruang kepada topik-topik yang baru. Bagaimanapun, Edisi Kesebelas masih merupakan asas untuk setiap semakan Ensiklopedia Britannica sehingga tahun 1974, ketika Edisi Kelima Belas yang benar-benar baru diterbitkan berdasarkan penyampaian maklumat yang moden.

Rencana-rencana Edisi Kesebelas masih menarik dan berguna kepada pembaca-pembaca dan cendekiawan-cendekiawan moden, khususnya dari sebagai artifak budaya: ketika penerbitan Edisi Kesebelas ini, Empayar British telah mencapai kemuncak, imperialisme hampir tidak dicabarkan, kebanyakan tempat di dunia masih diperintah oleh raja, dan kengerian perang-perang dunia moden masih di masa hadapan. Edisi Kesebelas ini mempunyai banyak sumber yang bernilai tentang topik-topik yang telah digugurkan daripada ensiklopedia moden, khususnya dalam bidang biografi dan sejarah sains dan teknologi. Sebagai teks kesusasteraan, edisi ini masih mempunyai nilai sebagai satu suara prosa dari awal abad ke-20, khususnya sebilangan perenggannya. Enskilopedia ini banyak menggunakan keliruan belas rasa dan alat kesusasteraan yang ketinggalan zaman dan yang kerap kali membingungkan pembaca baru. Bagaimanapun, sesetengah bahagian masih mempunyai daya penarik bagi pembaca kesusasteraan moden. [2]

Rujukan

sunting
  1. ^ Gillian Thomas (1992). A Position to Command Respect: Women and the Eleventh Britannica (Satu Kedudukan untuk Dihormati: Wanita dan Britannica Kesebelas) New Jersey: Percetakan Scarecrow, ISBN 0810825678.
  2. ^ a b *All There is to Know (Kesemuanya yang Dapat Diketahui) (1994), disunting oleh Alexander Coleman dan Charles Simmons. Subtajuk: "Readings from the Illustrious Eleventh Edition of the Encyclopædia Britannica" (Bacaan-bacaan daripada Ensiklopedia Britannica Edisi Kesebelas yang ternama). ISBN 067176747X