Pengalaman & Kemahiran 

Sebagai seorang usahawan, kita bukan sahaja perlu bijak dalam mentadbir syarikat serta para pekerja sahaja, kita juga perlu memiliki kemahiran dan pengalaman yang berkaitan dengan bidang yang diceburi. Contohnya jika anda ingin memulakan sebuah perniagaan bengkel membaiki kenderaan, anda bukan hanya sekadar perlu menggaji beberapa pekerja atau foremen untuk membaiki kenderaan, anda sebagai pemilik juga perlu memiliki ilmu dan kemahiran khusus dalam bidang ini untuk walaupun sedikit. Sama juga halnya dalam menguruskan sebuah perniagaan restoran. Jika anda memiliki kemahiran memasak yang hebat, anda bukan sekadar dihormati mereka, malahan anda juga bakal dijadikan rujukan untuk setiap masakan mereka dan bukan hanya pandai mengarah atau memerhati semata. Anda bukan sahaja dapat memastikan para pekerja anda menjalankan urusan perniagaan anda dengan lebih baik, anda juga mampu merapatkan jurang yang dimiliki anda sebagai seorang bos dan mereka sebagai pekerja. Ia dapat meningkatkan lagi produktiviti dalam sesebuah urusan syarikat. Jadi, sebelum anda memulakan perniagaan dan menggaji pekerja, pastikan anda mempunyai ilmu dan kemahiran mengenai bidang perniagaan anda terlebih dahulu. Ia penting bagi memastikan anda benar-benar tahu apa yang para pekerja anda sedang lakukan dan dapat membantu jika mereka melakukann sebarang kesilapan. Berikut antara 6 persediaan yang boleh anda lakukan untuk mencari ilmu, pengalaman serta kemahiran sebelum memulakan perniagaan anda:

  1. 1 Bekerja Bersama Usahawan Lain Dahulu

Matlamat sebenar untuk bekerja dengan syarikat atau perniagaan orang lain adalah untuk menimba ilmu dan bukan semata-mata hanya mahukan gaji bulanan yang dijanjikan oleh majikan. Bekerja kerana ingin belajar, bukan kerana wang. Ilmu yang diperolehi lebih mudah diterima kerana anda melakukan pelbagai tugasan dari awal sehingga akhir proses kerja anda. Pengalaman ini mampu menjadikan perniagaan anda berjalan dengan lebih sistematik lagi pada masa depan.

  1. 2 Mulakan Perniagaan Secara Kecil-Kecilan

Robert Kiyosaki dalam bukunya, Cashflow Quadrant ada menyebut bahawa langkah pertama kita dimulakan sejak masih bayi lagi (baby step). Kita belajar berusaha untuk berjalan bukanlah pada langkah pertama kita, sebaliknya dari bayi tatkala kaki kita masih menerawang kesana-kemari. Bak kata Jutawan Senyap, Chef Li, “Biar Kecil Asalkan Berhasil”, jadi, mulakan perniagaan anda secara kecil-kecilan dahulu, kemudian baru besarkannya.

  1. 3 Uji Ketahanan Mental & Fizikal Anda

Bagi pekerja yang masih bekerja dan menjalankan perniagaan secara sambilan, anda boleh menguji daya tahan diri anda (mental & fizikal) dalam bidang perniagaan dengan mengambil cuti tanpa gaji dan menjalankan aktiviti perniagaan tersebut untuk satu tempoh tertentu. Daya tahan setiap orang berbeza. Ada yang takut untuk menjadi usahawan sepenuh masa kerana tiada jaminan kewangan seperti semasa menjadi pekerja sebelumnya. Tidak semua mahu keluar dari comfort zone masing-masing.

  1. 4 Membina Rangkaian Networking Sendiri

Jika pekerjaan yang anda ceburi sama dengan bidang perniagaan anda, cuba dapatkan sebanyak mungkin jaringan persahabatan dengan pelbagai peringkat orang. Ini termasuk para usahawan dan pembekal-pembekal yang terlibat. Jangan ketinggalan untuk merapatkan diri dengan wakil-wakil perbankan kerana anda mungkin memerlukannya suatu hari nanti. Walaupun begitu, jangan memburukkan imej syarikat yang anda bernaung sekarang. Tonjolkan imej yang baik sebagai pekerja. Imej adalah segala-galanya dalam perniagaan dan jaringan persahabatan.

  1. 5 Mengumpul Modal Yang Mencukupi

Sebelum anda berhenti kerja, sila pastikan terlebih dahulu bahawa wang modal untuk perniagaan anda mencukupi untuk tempoh 6 hingga ke 12 bulan yang pertama. Kesemua modal ini termasuklah wang modal pusingan, wang gaji pekerja, bil-bil utiliti serta beberapa bahagian untuk waktu kecemasan. Persiapan yang rapi mampu membantu anda pada masa depan.

  1. 6 Jangan Culas & Curi Tulang!

Dalam apa jua urusan pekerjaan, amanah dan ikhlas adalah tunjang utama keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt. Aktiviti mencuri tulang bukan sahaja tidak baik, ia juga mencerminkan sikap anda terhadap perniagaan anda nanti. Sikap yang baik dan disiplin yang mentap merupakan tunjang kepada kejayaan sesebuah bisnes. Bayangkanlah jika satu hari nanti pekerja anda yang akan lakukan ini kepada perniagaan anda, sudah tentu ia menyakitkan hati anda. Setelah ilmu anda penuh di dada dan anda mulai yakin bahawa anda telah mempunyai kemahiran serta pengalaman mencukupi untuk memulakan sebuah perniagaan, mulakannya tanpa ragu-ragu dan pastikan semua perancangan anda jelas serta berada di landasan yang betul. Ketahuilah bahawa anda telah bersedia untuk menjadi usahawan yang berjaya!

Mulakan perbincangan dengan Adeline B Crocker

Mulakan perbincangan