Mega (kumpulan muzik)

Mega merupakan sebuah kumpulan rock yang mula menempa nama dalam industri muzik tempatan dengan lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara yang dipetik dari album "self-titled" mereka, MEGA pada tahun 1989. Kumpulan yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini kemudiannya meraih puncak populariti sepanjang tahun 90-an dengan beberapa anggota yang berbeza. Bermula pada tahun 2023, Mega telah bersatu semula di mana Zarith telahpun kembali menggalas peranan sebagai vokalis dan barisan pemuzik Mega kini ialah Adie selaku gitaris & ketua kumpulan, Sam (gitaris), Mat Mega (pemain bass) dan Munir (pemain dram).

Mega
Anggota kumpulan Mega bermula dari album kedua.
Dari kiri: Mat Mega, Sam, Rahmad dan Munir.
Depan: Adie
Latar belakang
Juga dikenali sebagai
Maiden Child (1987-1988)
Berasal dariJohor Bahru, Johor Johor, Malaysia Malaysia
Genre
PekerjaanPenyanyi/Pemuzik
Instrumen
Tahun aktif1988–1996
2000–2001
2015 (reunion)
2023-kini
Syarikat rakaman
Pengkarya berkait
AhliZarith - vokal
Adie - gitar
Sam - gitar
Mat Mega - bass
Munir - dram
Bekas ahliRahmad - vokal
Lomaq - bass
Man Penang - vokal
Joey - dram
Reyno - vokal
Boy - gitar
Jai - bass
Amy - dram

Perjalanan Karier

sunting

1987-1988 : Maiden Child

sunting

Kumpulan Mega telah diasaskan pada tahun 1987 di Johor Bahru, Johor oleh pasangan adik-beradik Adie dan Sam yang bermain di posisi gitar. Turut dibarisi oleh Jalal (vokal), Hatta (bass) dan Joey (dram), kumpulan yang pada asalnya menggunakan nama Maiden Child ini sering mengadakan sesi latihan di B'Sound Studio. Bagaimanapun, kumpulan ini direhatkan seketika apabila Adie menyertai kumpulan Hellions di Kuala Lumpur, manakala Joey pula berhijrah ke Ipoh, Perak untuk menyertai SYJ '88.

Berita daripada sebuah syarikat produksi yang berpangkalan di Johor Bahru iaitu Jojo's Production yang hendak mencari artis pertama mereka telah membuatkan Adie dan Joey kembali semula ke Johor Bahru untuk menghadiri uji bakat bersama anggota Maiden Child yang lain. Nasib menyebelahi mereka apabila Jojo's Production kagum akan bakat mereka sekaligus ditawarkan kontrak rakaman album. Bermula dari situlah, perjalanan seni Maiden Child mula menampakkan hasil.

Dengan termeterainya kontrak, mereka memulakan langkah pertama dengan menukar nama mereka kepada Mega agar mudah diingati. Namun atas faktor komitmen, Jalal dan Hatta meninggalkan Mega dan tempat mereka digantikan oleh Man Penang di posisi vokal dan Lomaq di posisi bass. Meskipun demikian, menerusi Jojo's Production sebagai pengurus mereka, kumpulan Mega terus mengorak langkah lagi dengan berhasil menggunakan khidmat Rahim Othman yang popular melalui produknya bersama kumpulan Gersang untuk rakaman album pertama mereka. Malah, Jojo's Production juga menyediakan kelengkapan studio serta alat muzik dan bunyi yang paling canggih dan mahal pada zaman itu. Boleh dikatakan Mega adalah kumpulan rock paling mewah yang pernah wujud pada masa itu.

Percaya dengan teknik pemasaran sebelum keluarnya album bakal menaikkan nama Mega, Jojo's Production mula menganjurkan konsert sendiri untuk Mega dengan mengambil nama-nama besar seperti Search, Wings, Lefthanded, Bloodshed, Ramli Sarip dan Ella & The Lips sebagai tajuk utama konsert-konsert tersebut dengan Mega diletakkan sebagai kumpulan pembuka persembahan. Dibantu oleh sistem audio yang canggih di Malaysia milik Jojo's Production, teknik pemasaran ini serta-merta melonjakkan nama kumpulan Mega di persada rock negara. Malah, nama Jojo's Production sendiri sebagai penganjur konsert rock terunggul mula meniti dalam kalangan 'scene' penganjur persembahan.

1989-1990 : Penyertaan Zarith & Mat Mega, Album Pertama & Juara Lagu '90

sunting

Pada lewat tahun 1988, kumpulan Mega memasuki Studio King di Petaling Jaya, Selangor untuk proses rakaman album pertama mereka. Beberapa lagu ciptaan mereka sendiri bernuansakan pengaruh Iron Maiden dicipta di studio sambil menerima lagu ciptaan komposer ternama seperti Rahim Othman, M. Nasir dan Saari Amri. Namun sesudah siap merakamkan beberapa buah lagu, Lomaq mengambil keputusan untuk meninggalkan Mega atas beberapa faktor. Tempat Lomaq kemudiannya digantikan oleh Mat, bekas pemain bes kumpulan FRU yang juga rakan lama Adie di Johor Bahru. Namun tidak lama selepas itu, Man Penang pula disingkirkan daripada rakaman. Sesi rakaman tetap berjalan seperti biasa sambil membuka ruang untuk mencari vokalis baharu yang sesuai. Akhirnya, seorang vokalis simpanan PMC (kemudiannya BMG) iaitu Zarith dipilih sebagai vokalis tetap Mega. Zarith serta-merta merakamkan vokal untuk kesemua lagu yang akan dimuatkan dalam album sulung Mega.

Album sulung yang juga album self-titled mereka iaitu MEGA mula hinggap di pasaran pada lewat tahun 1989, terbitan Jojo's Production dan edaran oleh BMG Pacific. Hasil usaha Mega dan Jojo's Production, album pertama Mega ini berjaya terjual sekitar 100,000 unit sekaligus melayakkan mereka mendapat anugerah platinum daripada BMG Pacific. Nama kumpulan Mega yang sememangnya kukuh dalam muzik rock tempatan telah menguatkan lagi populariti mereka apabila tiga buah lagu mereka iaitu Pasti, Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara dan Mega Cinta tercalon dalam Muzik-Muzik 1990. Biarpun hanya lagu "slow" sahaja yang tercalon, pencalonan sebanyak tiga lagu merupakan pencapaian yang luar biasa dengan kumpulan rock lain yang rata-ratanya tercalon dengan maksimum dua lagu sahaja. Kejayaan Mega juga semakin memuncak apabila lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara menjuarai carta Muzik-Muzik pada bulan April 1990, membuatkan Mega layak ke pertandingan akhir Juara Lagu pada Disember 1990.

Namun begitu, perkara yang tidak diduga berlaku kepada Mega apabila vokalisnya, Zarith demam sewaktu hari pertandingan. Kesannya, mutu persembahan Zarith jatuh merudum dan tidak dapat menyampaikan lantunan vokal serak tinggi beliau kepada penonton, menyebabkan Mega gagal membawa sebarang anugerah pada malam tersebut. Demi mengelakkan hal di antara Mega dan Jojo's Production berterusan, Zarith menarik diri dari meneruskan perjuangan bersama Mega, ditambah pula dengan keputusan pihak pengurusan yang ingin menyingkirkan beliau dari Mega sejak awal lagi. Tidak lama kemudian, Joey juga meninggalkan Mega kerana permainan dramnya yang tidak lagi serasi dengan gaya muzik Mega itu sendiri.

1991-2001 : Penyertaan Rahmad & Munir, Juara Lagu '91 & Album Seterusnya

sunting

Pengunduran Zarith dan Joey dari Mega sedikitpun tidak mematahkan semangat ahli Mega yang lain, sebaliknya mereka mengatur strategi baharu dengan mengadakan ujibakat untuk mencari anggota baharu. Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Joey, Mat telah membawa masuk rakan lamanya, Munir untuk menggalas posisi dram. Melalui sesi ujibakat yang dikendalikan oleh Rahim Othman, seorang pemuda yang berasal dari Felda Cahaya Baru, Masai, Johor iaitu Rahmad Tohak telah dipilih sebagai vokalis baharu Mega.

Bersama Rahmad & Munir, Mega sekali lagi memasuki King's Studio untuk sesi rakaman album kedua dengan Rahim Othman sekali lagi diberi kepercayaan sebagai penerbit album. Album kedua Mega yang mula dipasarkan pada April 1991 telah diberi judul Ilustrasi . Album ini memuatkan lagu hit Takdir Dan Waktu ciptaan Rahim Othman dan lirik oleh Juwie serta sebuah lagu instrumental berjudul Ilustrasi Mega yang memperlihatkan sentuhan yang cukup memukau oleh gitarisnya, Adie. Seperti album pertama, Ilustrasi juga terjual dengan sangat baik dan Mega sekali lagi mendapat anugerah platinum daripada BMG Pacific.

Kejayaan album Ilustrasi menjadi lebih manis lagi apabila lagu Takdir Dan Waktu layak ke peringkat akhir Juara Lagu ke-6 selaku juara bulan November Muzik-Muzik '91, menyaksikan 100 peratus peserta yang bertanding di peringkat akhir Juara Lagu terdiri daripada artis rock sama ada berkumpulan ataupun penyanyi solo. Kumpulan Mega juga bernasib baik kerana selaku finalis kedua yang membuat persembahan selepas Hattan, Mega berjaya mempersembahkan kualiti muzik yang terbaik berbanding dengan finalis lain yang banyak dihinggapi masalah teknikal, ditambah pula dengan lantunan vokal Rahmad yang penuh penghayatan pada malam tersebut. Hasilnya, Mega telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan (Lagu Terbaik Juara Lagu '91), menewaskan artis-artis lain yang bertanding iaitu Hattan, Ella, Shima, Dinamik, Kris, Damasutra, Blackrose, Olan, Laksamana dan Masa Scarecrow.

Berkat kejayaan kumpulan Mega, nama Jojo's Production juga semakin dikenali ramai membuatkan syarikat tersebut mengasah lagi sebuah kumpulan rock remaja iaitu Exist (kini Exists). Ahli kumpulan Mega yang juga staf Jojo's Production turut memberikan tunjuk ajar kepada ahli-ahli Exist sewaktu kumpulan ini hendak merakamkan album pertama di Lion Studio, Singapura. Pada masa yang sama, kumpulan Mega juga sedang mempersiapkan material untuk rakaman album ketiga mereka yang sekali lagi diadakan di King Studio.

Setelah berhempas pulas sepanjang hampir setahun, akhirnya album ketiga Mega berjudul Rentak Kaki Lima mendarat di pasaran pada awal tahun 1993 di bawah terbitan Jojo's dengan masih mengekalkan BMG Pacific selaku pengedar album. Album ini menampakkan kelainan yang amat ketara apabila genre muzik kumpulan Mega lebih kepada rock n roll dan gaya muzik yang lebih santai, berbeza dengan dua album terdahulu yang lebih ke arah heavy metal bawaan Iron Maiden. Album ketiga Mega ini menampilkan lagu hit Bayangan Gurauan dan Suara Cinta yang turut tercalon dalam Muzik-Muzik 1993. Namun, format pembahagian genre bersasar yang diperkenalkan sejak Muzik-Muzik 1992 menyebabkan dua lagu hit Mega ini tidak berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu. Namun begitu, lagu Bayangan Gurauan telah menjuarai pertandingan Pujaan 10 Nescafe 1993 terbitan RTM.

Dengan status Mega sebagai salah satu kumpulan rock yang menyertai Juara Lagu sebanyak dua kali, ia membuatkan nama Mega kekal utuh biarpun di zaman kejatuhan rock kapak. Mega kemudiannya menghasilkan dua lagi album studio bersama Jojo's Production iaitu Kita pada tahun 1994 (edaran Pony Canyon), disusuli pula dengan album Megalomania pada tahun 1996 (edaran Life Records). Namun pada pertengahan tahun 1995, Adie mengambil keputusan untuk meninggalkan Mega, menjadikan kumpulan ini bergerak dengan hanya 4 anggota sahaja sewaktu proses rakaman album Megalomania. Selepas album tersebut, anggota-anggota Mega mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing, tambahan pula ketika itu vokalisnya, Rahmad mendapat tawaran untuk bekerja di TV3 (kini Media Prima).

Pada tahun 2000, Mega telah diaktifkan kembali dengan gabungan Rahmad bersama line-up baharu iaitu Boy (gitar), Jai (bass) dan Amy (dram). Rahmad bersama line-up baharu ini telah menghasilkan album keenam Mega iaitu Potret pada tahun 2001, sekali lagi di bawah label Jojo's Production dengan Nova Music pula bertindak sebagai pengedar album. Namun selepas album Potret, Rahmad memutuskan untuk bergerak secara solo dan tidak lagi bersama line-up tersebut.

2007 : Mega Reunion, Rahmad & Zarith Beraksi Di Atas Satu Pentas

sunting

Pada pertengahan dekad 2000-an menyaksikan musim penggabungan semula (reunion) di mana kumpulan-kumpulan rock era 80-an dan 90-an kembali aktif dalam industri muzik. Para vokalis yang telah melancarkan karier solo berlumba-lumba untuk 'kembali ke pangkuan' kumpulan asal masing-masing, antaranya Amy dan Search, Awie dan Wings, Mus dan May serta Nash dan Lefthanded. Giliran Mega tiba pada tahun 2007 di mana Mega telah berpeluang beraksi bersama kedua-dua vokalis mereka iaitu Rahmad dan Zarith dalam siri persembahan 'live' di pusat hiburan Planet Hollywood. 'Showcase' tersebut menggandingkan Mega dengan kumpulan Fotograf.

Ahli Kumpulan

sunting
 
Line-up asal kumpulan Mega dalam album pertama berjudul MEGA pada tahun 1989. Dari kiri: Sam, Mat Mega, Zarith, Joey dan Adie.

Ahli Terkini

sunting

Bekas Ahli

sunting
  • Rahmad bin Tohak (Rahmad) - Vokal [1991-1996; 2000-2001]
  • Musa bin Mohd Taib (Musa/Lomaq) - Bass [1989; 2015]
  • Abdul Hamid bin Shahlan (Joey) - Dram [1987-1990; 2015]
  • Boy - Gitar [2000-2001]
  • Jai - Bass [2000-2001]
  • Amy - Dram [2000-2001]
  • Reyno - Vokal [2015]
  • Man Penang - Vokal [1989]
  • Jalal - Vokal [1987-1988]
  • Hatta - Bass [1987-1988]

Diskografi

sunting
Tahun Keluaran Judul Jenis Label Keluaran Semula Jualan
1989 MEGA Album Studio
  • Jojo's Production
  • PMC/BMG (edaran)
100,000 unit
1991 Ilustrasi Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
100,000 unit
1993 Rentak Kaki Lima Album Studio
  • Jojo's Production
  • BMG Pacific (edaran)
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
1994 Kita Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
1996 Megalomania Album Studio
  • Music Valley Malaysia
  • Universal Music Malaysia
2000 Terbaik Mega Album Kompilasi
2001 Potret Album Studio
  • Jojo's Production
  • Nova Music (edaran)

Anugerah/Pencapaian

sunting
Carta pujaan 10 Radio 1 Malaysia (kini Radio Klasik)
Tahun Tajuk Kedudukan
(10 Mei - 20 Jun) 1993 Bayangan Gurauan 1


Kumpulan Mega pernah dua kali menyertai pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu iaitu pada tahun 1990 menerusi lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara (ketika bersama Zarith) dan tahun 1991 menerusi lagu Takdir Dan Waktu (ketika bersama Rahmad). Lagu Takdir dan Waktu telah meraih kejayaan besar pada AJL 1991 iaitu sebagai Lagu Terbaik (Juara Keseluruhan).

Pada tahun 1993 lagu Bayangan Gurauan telah memenangi kategori Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe kategori artis berkumpulan. Mega turut memenangi kategori Persembahan Terbaik Berkumpulan.

Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi pertama pada tahun 1993 turut menyenaraikan Mega menerusi album Rentak Kaki Lima dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Berkumpulan). Kategori tersebut bagaimanapun dimenangi oleh kumpulan Iklim menerusi album Dunia Iklim.

Info Tambahan

sunting
  • Kumpulan Mega merupakan antara kumpulan rock yang pernah mara ke beberapa edisi Juara Lagu dengan beberapa anggota yang berbeza selain Search dan Wings. Mega mara ke pertandingan akhir Juara Lagu buat pertama kalinya pada tahun 1990 bersama Zarith (vokal) dan Joey (dram). Pada tahun berikutnya (1991), Mega sekali lagi mara ke pertandingan akhir Juara Lagu bersama Rahmad (vokal) dan Munir (dram).
  • Kesemua barisan anggota Mega sama ada yang terdahulu atau terkini berasal dari Johor kecuali Zarith yang berasal dari Gopeng, Perak dan Munir yang berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.
  • Rahmad yang menyertai Mega pada tahun 1991 melalui album Ilustrasi merupakan vokalis asal sebuah kumpulan rock dari Felda Cahaya Baru, Masai iaitu Gerimis. Bersama Gerimis, Rahmad yang ketika itu dikenali dengan nama glamornya, Aily sempat melahirkan satu album pada tahun 1990 di bawah label Arek Sdn. Bhd. (ASB) dan diedarkan oleh syarikat rakaman CBS (kini dikenali sebagai Sony Music).
  • Zarith merupakan vokalis asal kumpulan rock dari Gopeng, Perak iaitu D'Riyadh sebelum kumpulan tersebut merakamkan album bersama Akhil Hayy (kini penceramah bebas) pada tahun 1989.
  • Selepas meninggalkan Mega, Zarith menerusi kariernya sebagai penyanyi solo dan telah menghasikan dua buah album iaitu Eva pada tahun 1992 menerusi label Amanah Rekod dan Sejuta Rahmat pada tahun 1999 menerusi Vista Evolusi & Universal Music Malaysia.
  • Selepas Mega berkubur, Rahmad kemudiannya bergabung dengan bekas anggota kumpulan U.K's iaitu Amy, Denil, Olley dan Amirol untuk membentuk kumpulan Utama di bawah label Ambang Klasik yang juga anak syarikat TV3. Biarpun lagu Hentikan Alasanmu hit dan menjadi siulan ramai, kumpulan ini tidak dapat bertahan lama dan kesemua anggotanya membawa haluan masing-masing.
  • Lagu Kertas Dan Pena ciptaan Dato' M. Nasir yang dimuatkan dalam album kelima Mega iaitu Megalomania merupakan lagu asal Kumpulan FRU yang pernah disertai Mat Mega dan Munir pada tahun 1988. Kumpulan FRU yang diterajui oleh penyanyi Dato' Hattan hanya muncul dengan sebuah album sahaja iaitu Kelahiran yang popular dengan lagu Di Hari Mindaku Terbuka.
  • Lomaq merupakan anak kepada komposer dan pemain saksofon terkenal, Allahyarham Taib Othman dan anak saudara kepada Rahim Othman, seorang pemuzik, komposer dan penerbit terkenal yang pernah menempa nama bersama kumpulan pop Carefree. Kemunculannya bersama dua saudara kandungnya yang juga gitaris kumpulan rock lagenda Search iaitu Kid dan Din telah mewujudkan "Taib Brothers" atau "Adik-Beradik Taib" dalam industri muzik pada tahun 90-an.
  • Setelah meninggalkan Mega, Joey telah bergabung dengan Lomaq (bass), Mukhris (gitar) dan Alim (vokal) untuk menubuhkan kumpulan Kris yang kemudiannya mara ke pertandingan akhir Juara Lagu 1991 menerusi lagu hit Tiara. Ini bermakna Joey mara ke pertandingan akhir Juara Lagu dua kali berturut-turut dengan dua kumpulan rock yang berbeza iaitu Mega (1990) dan Kris (1991).
  • Kemunculan Adie & Sam dalam industri muzik tempatan telah meletakkan kumpulan Mega sebagai salah satu dari tiga kumpulan rock di Malaysia yang mempunyai gitaris adik-beradik selain Search (Kid dan Din) & Ekamatra (Shahrul dan Nurul).
  • Berbeza dengan kumpulan lain yang mempunyai gitar utama dan kedua, Mega lebih terkenal dengan konsep twin lead dengan Adie & Sam terpengaruh dengan gandingan dua gitaris Iron Maiden iaitu Dave Murray dan Adrian Smith. Konsep twin lead ini turut digunakan oleh beberapa kumpulan rock lain seperti Lefthanded (Man Kidal & Samad), Rusty Blade (Khalid Mobin & Md Noor Hendrix), BPR (Awang & Haron) dan Exists (Along & Shah).
  • Mat Mega merupakan bapa saudara kepada penyanyi dan pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti TV Akademi Fantasia Musim Ketujuh iaitu Akim yang juga suami kepada Stacy.
  • Selain bermain bass, Mat Mega juga berbakat dalam bidang nyanyian. Ini kerana sebelum beliau menyertai FRU dan Mega, Mat Mega telah menghasilkan sebuah album solo dengan nama pentas Ahmad Sulaiman biarpun nama tersebut sebenarnya merupakan nama abangnya yang juga bapa kepada Akim.
  • Mega merupakan salah satu daripada tiga kumpulan rock yang menyertai Anugerah Juara Lagu beberapa kali dengan dua vokalis yang berbeza selain Wings dan Exists. Mereka menyertai pertandingan akhir Juara Lagu buat pertama kali pada tahun 1990 menerusi lagu Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara bersama vokalis Zarith. Pada tahun berikutnya, Mega sekali lagi mara ke peringkat akhir Juara Lagu menerusi lagu Takdir Dan Waktu dengan vokalis Rahmad.
  • Mega juga merupakan salah satu kumpulan rock yang kekal utuh di persada muzik tanah air biarpun pernah bertukar vokalis. Selain Mega, antara kumpulan muzik lain yang kekal popular dengan beberapa vokalis yang berbeza ialah Exists, May, Wings, Search, BPR, Bloodshed, Handy Black dan XPDC.

Rujukan

sunting