Kerajaan Aru

Kesultanan Aru

Kerajaan Haru (Surat Batak Karo: ᯀᯒᯬ; Belanda: Aroe, Inggeris: Aru) adalah sebuah kerajaan diperintah suku Batak Karo[2] yang wujud antara abad ke-13 dan abad ke-16 Masihi di pantai timur laut Sumatera (kini terangkum dalam Sumatera Utara, Indonesia moden). Pada zaman kegemilangannya, Haru adalah kuasa maritim yang hebat dan dapat mengawal bahagian utara Selat Melaka.[3]

Kerajaan Haru
1225[1]–1613
Peta Sumatera tahun 1565 dengan orientasi selatan di atas, menunjukkan "Terre Laru" di bahagian tengah kiri bawah
Peta Sumatera tahun 1565 dengan orientasi selatan di atas, menunjukkan "Terre Laru" di bahagian tengah kiri bawah
Ibu negaraKota Rentang
Agama
Animisme, Hinduisme, Islam
KerajaanPemerintahan beraja
Sejarah 
• Didirikan
1225[1]
• Ditaklukkan Kesultanan Aceh
1613
Diganti oleh
Kesultanan Deli
Sekarang sebahagian dari Indonesia

Penduduk kerajaan mengamalkan animisme tempatan dan Hinduisme. Sejak abad ke-13, Islam mula diamalkan bersama kepercayaan lain yang telah ada. Ibu negara Haru terletak berhampiran dengan bandaraya Medan dan daerah Deli Serdang sekarang ini.[4] Penduduk asli kerajaan ini iaitu orang Karo dipercayai berasal dari daerah pedalaman Sumatera Utara.[3]

Lokasi

sunting

Lokasi Haru secara tradisinya dianggarkan berada pada lokasi Kesultanan Deli yang menggantikannya, iaitu di sekitar bandaraya Medan dan daerah Deli Serdang hari ini, seperti mana cadangan orientalis British Winstedt.[5] Ahli sejarah Belanda Groenveldt berlainan, ia mencadangkan bahawa pusat kerajaan terletak lebih jauh ke tenggara, iaitu berhampiran muara Sungai Barumun dan Sungai Panai di daerah Labuhan Batu, dan kerananya mungkin berhubungan dengan Kerajaan Panai dari masa yang sebelumnya. Adapun A.H. Gilles mencadangkan bahawa ibu negara Haru terletak berhampiran dengan Pelabuhan Belawan, sedangkan pendapat lain mencadangkan pula muara Sungai Wampu di daerah Langkat.[2]

Tapak Kota Cina di kawasan Medan Marelan[6] dan tapak Benteng Putri Hijau di kawasan Deli Tua, Deli Serdang, adalah tapak arkeologi dekat Medan, yang terhubung dengan Kerajaan Aru.[7] Tapak arkeologi Benteng Putri Hijau masa ini agak terancam pembangunan kediaman.[8] Tapak arkeologi lainnya ialah Kota Rentang di kawasan Hamparan Perak, Deli Serdang, yang telah dicadangkan oleh beberapa ahli arkeologi sebagai ibu negara kerajaan ini.[9]

Pensejarahan

sunting

Rekod sejarah terawal yang menyebutkan Kerajaan Haru ialah Yuan Shi, sebuah kronikel China dari masa Dinasti Yuan (akhir abad ke-13). Rekod China yang lain dari masa berikutnya ialah Yingya Shenglan dari masa Dinasti Ming (1416). Kerajaan Haru juga disebut dalam dua rekod Jawa, Nagarakretagama (1365) dan Pararaton (abad ke-15).[10] Sulalatus Salatin menyebut Haru sebagai salah satu kerajaan yang berpengaruh di Sumatera, bersaing dengan Kesultanan Pasai dan Kesultanan Melaka.[11] Rekod Portugis Suma Oriental yang ditulis pada awal abad ke-16 menyebut pula Haru sebagai kerajaan yang makmur.[12]

Sejarah

sunting

Pertubuhan

sunting
 
Rumah adat Karo yang tersergam indah. Penduduk Kerajaan Haru diyakini berasal dari keturunan yang sama dengan suku Karo dari Tanah Karo

Penduduk asal Haru dipercayai merupakan keturunan dari atau berkaitan dengan suku Karo, yang mendiami Tanah Karo yang letaknya lebih jauh di pedalaman. Cadangan ini didasarkan pada etimologi yang nampaknya munasabah bagi nama-nama yang berbunyi sama, antara "Aru", "Haru ", dan "Karo".[3]

Tapak arkeologi Benteng Putri Hijau, sebuah kubu kuno di dekat Medan, menunjukkan peninggalan beberapa lapisan budaya yang diperkirakan sejak abad ke-12 hingga ke-18. Pembuatan kubu ini sesuai dengan tradisi suku Karo dan suku Batak pada amnya yang membina kuta (Karo) atau huta (Batak), iaitu sebuah pemukiman yang dikelilingi tembok dan parik (parit) sebagai binaan pertahanan yang melindungi kampung daripada peperangan antar puak yang tidak henti-henti. Artifak yang ditemukan antara lain termasuk alat batu, seramik China, peluru timah dan syiling Aceh.[7] Serpihan lingga yang ditemui di tapak Sukanalu yang lokasinya berdekatan, menunjukkan bahawa penduduk Haru berpegang pada animisme asli maupun Hindu sebelum Islam masuk ke rantau ini.[7]

 
Peta Mao Kun yang menunjukkan sebahagian pulau Sumatera dan Kerajaan Haru di bahagian bawahnya (亞路)

Disebutkan dalam rekod Dinasti Yuan bahawa Kublai Khan pada tahun 1282 menuntut Haru untuk tunduk kepada kekuasaan China; dan Haru menjawabnya dengan mengirimkan ufti penghormatan ke mahkamah Yuan pada tahun 1295. Namun, Marco Polo tidak menyebut Haru dalam laporannya sebagai salah satu dari 8 kerajaan Sumatera yang dijumpai selama perjalanannya pada tahun 1292.

Kerajaan Haru disebutkan dalam dua sumber Jawa yang berasal dari sekitar abad ke-14. Menurut Pararaton, kerajaan Haru disebutkan di antara pemerintahan yang ingin disatukan oleh Gajah Mada di bawah kekuasaan Majapahit dalam Sumpah Palapanya.[13] Pada tahun 1339, ekspedisi angkatan laut Majapahit Jawa menyerang beberapa negara pesisir di Sumatera; yang walaupun gagal menawan Samudera Pasai namun berjaya menguasai Haru dan Pane (Panai).[2][9] Nagarakretagama (1365) pupuh 13 menyebutkan Haru sebagai salah satu negara bawahan Majapahit di Sumatera.[10]

Menurut Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalatus Salatin kerajaan Haru diislamkan oleh Nakhoda Ismail dan Fakir Muhammad; mereka juga mengislamkan Merah Silu, raja pertama Samudera Pasai pada pertengahan abad ke-13. Menurut Yingya Shenglan (1416), sebuah rekod Dinasti Ming yang disusun oleh Ma Huan mengenai ekspedisi Zheng He, raja Haru dan rakyatnya telah memeluk Islam. Selepas abad ke-13, Islam perlahan-lahan mulai mendapat pengikut di kalangan penduduk Aru. Namun, animisme atau paganisme asli masih meluas, terutama di kalangan penduduk kawasan pedalaman, dan sebilangan kecil pemeluk Hindu masih bertahan.

Perkembangan

sunting
 
Peta Kesultanan Melaka, Haru ditunjukkan di pantai timur Sumatera Utara, tenggara dari Peureulak

Penemuan batu nisan Muslim di tempat pemakaman di Kota Rentang menunjukkan bahawa golongan elit Kerajaan Aru, iaitu Raja dan keluarganya, telah memeluk Islam. Batu nisan Islam ini terbuat dari batu vulkanik dengan tulisan Arab Jawi, yang serupa dengan yang terdapat di Aceh dan negeri-negeri Melayu yang lain. Tapak ini berada di Kota Rentang di Hamparan Perak, Deli Serdang, yang dipercayai menjadi lokasi ibu negara Kerajaan Aru. Banyak artifak telah ditemui di tapak ini, termasuk batu nisan Islam, seramik dan serpihan tembikar dari China, Thailand dan Sri Lanka, dan syiling Arab dari abad ke-13 dan ke-14. Penemuan lain termasuk jejak pembinaan kayu, batu binaan dan sisa-sisa kapal kayu.[9]

Pada abad ke-15, Sulalatus Salatin menyebut kerajaan Haru sebagai salah satu dari beberapa kerajaan yang berpengaruh di wilayah ini, dengan prestij yang menyaingi Pasai dan Melaka.[11] Selama periode itu, kerajaan ini merupakan kekuatan maritim menggerunkan yang menguasai bahagian utara Selat Melaka.[3]

Pada tahun 1430, Kerajaan Haru menjadi wilayah bawahan (vassal) kesultanan Melaka.[perlu rujukan] Kesultanan Melaka berjaya menjadikan kerajaan Haru sebagai wilayah bawahan (vassal). Kerajaan Haru kekal menjadi wilayah Kesultanan Melaka sehinggalah pada tahun 1511 apabila ibu kota Kesultanan Melaka iaitu Kota Melaka ditakluk Portugis. Kerajaan Haru mengambil kesempatan ini untuk merdeka ataupun membebaskan diri daripada Kesultanan Melaka.[perlu rujukan]

Kedua-dua sumber daripada Melayu Melaka dan Portugis menyebutkan sempadan demografi, dan kadang-kadang persaingan, antara minoriti Muslim di pesisir dan majoriti kaum pagan asli di pedalaman pulau, yang terkenal dengan praktik kanibalismenya. Menurut Afonso de Albuquerque, para penguasa kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera utara dan sultan-sultan Melaka biasanya mempunyai orang kanibal sebagai algojo, untuk menjalankan hukuman atas kejahatan khas: "Ada beberapa di Melaka ... yang lain direbus, yang lain dibakar dan diberikan untuk dimakan kepada orang-orang yang seperti biadab dan berasal dari negeri yang bernama Aru."[14]

Rekod Portugis Suma Oriental, yang ditulis pada awal abad ke-16 menyebutkan Haru sebagai kerajaan yang makmur dengan banyak beras, daging, ikan, dan tuak. Kerajaan ini juga kaya dengan kapur barus, kemenyan, emas, gaHaru , rotan, madu, dan hamba.[12] Menurut Suma Oriental, Haru memerintah sebuah kota di wilayah Arqat, di mana pasar budak besar diadakan pada bulan-bulan tertentu. Banyak orang pergi ke sana untuk membeli hamba, sementara orang lain pergi ke sana untuk membayar tebusan kebebasan bagi saudara-mara mereka yang dijual sebagai hamba. Kawasan pesisir Kerajaan Haru penuh dengan para lanun Orang Selat.[12]

Duarte Barbosa (1480–1521) menulis pada tahun 1516 bahawa Kerajaan Haru diperintah oleh orang-orang pagan kanibal. Dua dekad kemudian, Mendes Pinto juga mencatat kehadiran orang-orang "Aaru" di pantai timur laut Sumatera, selain dari itu dia juga mengunjungi raja Muslim tempatan.[15]

Kemerosotan

sunting
 
Penaklukan oleh Sultan Iskandar Muda dari Aceh, 1608–1637. Kerajaan Haru dikalahkan oleh Aceh pada tahun 1613

Aru semakin lemah pada abad ke-16, kerana terjebak dalam persaingan antara jiran-jiran yang lebih kuat, iaitu Melaka Portugis dan Kesultanan Aceh. Tekanan yang tidak henti-hentinya dari Aceh pada awal abad ke-16 membuat ibu negara Haru berpindah ke pedalaman, dari Kota Rentang dekat pesisir ke Benteng Putri Hijau.[9] Kejatuhan bandar pelabuhan Kota Rentang ke Aceh mungkin terjadi pada tahun 1539. Beberapa sejarawan berpendapat bahawa peristiwa ini menandakan berakhirnya Kerajaan Haru sebagai kekuatan maritim.[1] Pengaruh Haru berkurang dan hanya bersifat lokal sahaja, dan kerajaan punah pada awal abad ke-17 kerana pelbagai faktor; termasuk persaingan dengan Aceh dan negara jiran lain di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu, ditambah lagi dengan kehilangan pelabuhan pesisirnya yang mengasingkan kerajaan ini dari jaringan perdagangan maritim global.

Pada tahun 1564, Kerajaan Haru dikalahkan oleh tentera Uthmaniyah semasa ekspedisi Uthmaniyah ke Aceh. Pada tahun 1613, Sultan Iskandar Muda dari Aceh yang ambisius dan suka berperang, melakukan serangan terakhir untuk menutup nasib Kerajaan Aru. Penemuan peluru timah menunjukkan bahawa Benteng Putri Hijau adalah tempat pertempuran.[7] Kerajaan Haru lenyap pada awal abad ke-17. Negara penggantinya adalah Deli yang turun statusnya menjadi protektorat Aceh (1632–1669), dan di kemudian hari ditakluki pula oleh Siak (1669–1854).

Masyarakat

sunting

Di dalam Kerajaan Aru, ada tiga agama yang dianut oleh masyarakatnya: Islam, kepercayaan yang dipegang oleh golongan elit kerajaan, keluarga bangsawan dan masyarakat pesisir; Hindu yang dipegang oleh golongan peneroka Tamil; dan pagan animisme asli yang diamalkan oleh penduduk Karo di kawasan pedalaman. Kerajaan Haru pada mulanya dibangun oleh masyarakat Karo yang lebih besar, yang berbudaya pagan animisme.[2] Sistem kepercayaan animisme tradisional Karo disebut Pemena.

Rekod Ming China Yingya Shenglan (1416) menyebutkan bahawa Raja Haru dan rakyatnya telah memeluk agama Islam. Perpindahan masuk Islam kemungkinan besar berlaku lebih awal, iaitu pada akhir abad ke-13. Batu nisan Islam yang ditemui di Kota Rentang mengesahkan bahawa masyarakat Islam telah berakar kuat di kerajaan ini.[9]

Penggalian arkeologi telah menemui serpihan lingam, yang menunjukkan bahawa sebahagian daripada masyarakat Aru, mungkin peneroka Tamil, menganut agama Hindu.[7] Pedagang Tamil menetap di kerajaan, membawa pengaruh Hindu bersama mereka, dan mereka kemudian bergabung dengan masyarakat Aru.

Ekonomi dan cara hidup

sunting

Masyarakat Haru mencari nafkah dengan menjadi nelayan dan bertani. Namun, kerana tanahnya tidak sesuai untuk pertanian padi, kebanyakan dari mereka menanam kelapa dan pisang, atau komoditi hutan seperti rotan, kapur barus, dan kemenyan. Mereka memelihara ayam, itik dan kambing, dan meminum susu. Ketika mereka masuk ke hutan, mereka menggunakan busur dan anak panah beracun untuk perlindungan. Lelaki dan wanita kedua-duanya menutup badan bahagian bawah mereka dengan balutan kain, namun bahagian atasnya tidak ditutup. Mereka memperdagangkan barang komoditi mereka dengan barang-barang asing, termasuk seramik China, sutera, dan manik berwarna-warni.[16]

Penemuan dan artifak arkeologi menunjukkan bahawa Kerajaan Haru telah menjalin hubungan perdagangan dengan India dan China. Menurut rekod China, apabila berbanding dengan Melaka dan Pasai, Haru bukanlah pusat perdagangan yang lebih hebat. Nampaknya Haru gagal bersaing dengan Melaka dan Pasai untuk menarik pedagang Muslim serantau dan global. Ini menyebabkan raja-raja Haru sesekali beralih kepada pelanunan dan perompakan,[3] dengan bantuan Orang Laut, suku gipsi laut yang sekutu Aru.[12]

Budaya

sunting

Rekod-rekod China menyebutkan bahawa budaya Aru, seperti adat istiadat, tradisi perkahwinan dan pemakaman, bahasa dan perdagangan, sangat mirip dengan budaya Melaka, Pasai, dan Jawa. Sumber-sumber semula jadi dan komoditi yang diperdagangkan di sana juga serupa dengan negara-negara lain di wilayah ini.

Menurut Sulalatus Salatin, Kerajaan Haru menerapkan etika dan budaya istana Melayu; raja-raja mereka menggunakan gaya dan gelaran Melayu seperti "Raja Pahlawan" dan "Sri Indra". Namun, akulturasi Melayu yang terjadi tidak sepenuhnya, kerana jejak budaya bukan Melayu, iaitu unsur asli Karo, masih bertahan hingga hari ini.

Aru mengekalkan hubungan budaya dan perdagangan yang erat dengan kerabat mereka di pedalaman, orang Karo di Tanah Karo, pada masa mereka masih mempraktikkan bentuk asli animisme dan paganisme, termasuk praktik adat kanibalisme.[14] Oleh itu, di lihat dari perspektif rekod asing, wilayah Haru terkenal sebagai asal dari orang-orang kanibal yang buas.[12]

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Brahma Putro (1981). Karo, dari jaman ke jaman, Volume 1 (dalam bahasa Indonesian). Yayasan Massa Cabang Medan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-11. Dicapai pada 2017-05-11.CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ a b c d Slamet Muljana (2005). Runtuhnya kerajaan Hindu-Jawa dan timbulnya negara-negara Islam di Nusantara (dalam bahasa Indonesian). PT LKiS Pelangi Aksara. m/s. 15. ISBN 9789798451164. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-12. Dicapai pada 2017-05-11.CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ a b c d e Dominik Bonatz; John Miksic; J. David Neidel, penyunting (2009). From Distant Tales: Archaeology and Ethnohistory in the Highlands of Sumatra. Cambridge Scholars Publishing. ISBN 9781443807845. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-08-16. Dicapai pada 2017-05-08.
  4. ^ "Kerajaan Aru (Haru), Penguasa Maritim yang Terlupakan". Wacana (dalam bahasa Indonesian). 25 September 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 October 2018. Dicapai pada 11 May 2017.CS1 maint: unrecognized language (link)
  5. ^ Milner, A. C.; McKinnon, E. Edwards; Sinar, Tengku Luckman (1978). "A Note on Aru and Kota Cina". Indonesia (26): 1–42. doi:10.2307/3350834. ISSN 0019-7289.
  6. ^ "Museum Kota Cina, Situs Awal Perdagangan Penting di Pantai Timur Sumatera Abad XI". SeMedan.com (dalam bahasa Indonesian). 3 January 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-07-14. Dicapai pada 2017-05-08.CS1 maint: unrecognized language (link)
  7. ^ a b c d e Repelita Wahyu Oetomo (8 June 2014). "Benteng Putri Hijau Berdasarkan Data Sejarah dan Arkeologi" (dalam bahasa Indonesian). Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-01-28. Dicapai pada 2017-05-08.CS1 maint: unrecognized language (link)
  8. ^ "Perumahan Kepung Situs Kerajaan Haru". Serambi Indonesia (dalam bahasa Indonesian). 27 October 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-08. Dicapai pada 2017-05-11.CS1 maint: unrecognized language (link)
  9. ^ a b c d e Juraidi (23 August 2008). "Menelusuri Jejak Kerajaan Aru". Kompas.com (dalam bahasa Indonesian). Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-09-17. Dicapai pada 2017-05-09.CS1 maint: unrecognized language (link)
  10. ^ a b Riana, I Ketut (2009). Kakawin dēśa warṇnana, uthawi, Nāgara kṛtāgama: masa keemasan Majapahit (dalam bahasa Indonesian). Penerbit Buku Kompas. m/s. 96–102. ISBN 978-9797094331. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 September 2014. Dicapai pada 5 Februari 2015.CS1 maint: unrecognized language (link) CS1 maint: ref=harv (link)
  11. ^ a b "Penafsiran Kuasa Raja Dalam Beberapa Teks Sastera Melayu Lama". Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (dalam bahasa Indonesian). 2 October 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-05-02. Dicapai pada 2017-05-11.CS1 maint: unrecognized language (link)
  12. ^ a b c d e Tomé Pires (1990). Armando Cortesão (penyunting). The Suma oriental of Tome Pires, books 1–5, Volume 1 of The Suma Oriental of Tome Pires and the Book of Francisco Rodrigues, Francisco Rodrigues, Volume 1 of The Suma Oriental of Tome Pires: An Account of the East, from the Red Sea to Japan, Written in Malacca and India in 1512–1515, and The Book of Francisco Rodrigues, Rutter of a Voyage in the Red Sea, Nautical Rules, Almanack and Maps, Written and Drawn in the East Before 1515, Francisco Rodrigues. Asian Educational Services. ISBN 9788120605350. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-11. Dicapai pada 2017-05-08.
  13. ^ Mangkudimedja, R.M., 1979, Seat Pararaton. Alih aksara dan alih bahasa Hardjana HP. Jakarta: Departemen P dan K, Proyek Penerbitan Buku Sastra Indonesia dan Daerah.
  14. ^ a b Paul Michel Munoz (2006). Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula. Continental Sales, Incorporated. m/s. 313. ISBN 9789814155670. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-10-14. Dicapai pada 2017-05-08.
  15. ^ "Inquiry of a Chinese trader about the Batak People in North Sumatra, 1 March 1701". Arsip Nasional Republik Indonesia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-08. Dicapai pada 2017-05-08.
  16. ^ Suprayitno. "Kota Rentang dan Hubungannya Dengan Kerajaan Aru" (dalam bahasa Indonesian). Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-12-29. Dicapai pada 2017-05-12.CS1 maint: unrecognized language (link)