Jambatan Guillemard


Jambatan Guillemard merupakan sebuah jambatan kereta api yang mana berstruktur besi (steel truss) dan bertiang batu bata berlepa simen. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah, Kelantan. Jambatan Guillemard mula dibina pada April 1920, dan pembinaan diselesaikan dalam bulan Julai 1924. Dibuka secara rasmi pada 19 Julai 1924 dan operasi pertama perkhidmatan kereta api awam menerusinya bermula pada 21 Julai 1924. Jambatan ini merupakan jambatan kereta api steel truss yang terbesar, tertua dan terpanjang masih dioperasikan di Malaysia.

{{{nama}}}
Lokasi {{{lokasi}}}
Dibina pada {{{dibina}}}

Sejarah

sunting

Jambatan Kereta Api Guillemard atau juga dikenali dengan nama Jambatan Kusial telah dibina mulai April 1920 oleh Bahagian Pembinaan Federated Malay States Railways (FMSR), dengan menggunakan struktur keluli (steel truss) yang dihasilkan oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works England. Pembinaan berjaya disiapkan menjelang Julai 1924.

Panjang jambatan ini ketika siapnya ialah 660.2 meter (2166 kaki). Perasmiannya telah disempurnakan pada pagi Sabtu, 19 Julai 1924 oleh Sir Laurence Guillemard, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat setelah menerima restu Sultan Kelantan, KDYMM Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV. KDYMM Sultan Ismail juga telah berangkat hadir ke upacara perasmian yang diadakan di penyangga (abutment) utara Jambatan Guillemard di Kusial Bharu, Tanah Merah. Baginda Sultan telah memperkenan agar nama jambatan dinamakan sebagai "Guillemard" bersempena Sir Laurence Guillemard.

Tujuan utama jambatan ini dibina adalah untuk menyediakan laluan bagi keretapi dan kenderaan-kenderaan lain.

Walau bagaimanapun, antara 9 hingga 12 Disember 1941 jambatan keretapi "Guillemard" ini telah musnah setelah diletupkan dengan beberapa siri peledak oleh tentera British sebagai menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai. Selepas tamat Perang Dunia II, jambatan keretapi ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948. Pembukaan semula jambatan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 7 September 1948. KDYMM Sultan Ibrahim pernah hadir semasa pertama pembukaannya pada Julai 1924 sebagai Raja Kelantan (Tengku Mahkota) bersama kekanda baginda KDYMM Sultan Ismail.

Pada 1 Februari 1988, setelah pembinaan jambatan baru siap dibina di hilir sungai berdekatan, Jambatan Guillemard tidak lagi digunakan untuk kenderaan bermotor dan kini ia hanya terhad digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu sahaja.

 
Gambar Jambatan Guillemard yang telah dirobohkan oleh Tentera British. Kelihatan askar-askar Jepun sedang menyeberanginya dalam kemaraan mereka ke Kuala Krai. Sumber Arkib Negara Malaysia[1]

Rujukan

sunting
  1. ^ "Foto dari carian di laman Arkid Negara Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-15. Dicapai pada 2021-09-28.

Pautan luar

sunting