Agama Yunani Kuno
Agama Yunani kuno atau purba mencakupi pelbagai kepercayaan, upacara dan mitologi, dan terdapat dalam agama awam dan amalan pemujaan. Menggunakan konsep "agama" yang moden kepada budaya kuno dipermasalahkan kerana konsep ini tidak kena dengan zaman.[1] Orang Yunani kuno tiada perkataan untuk "agama" dalam erti kata moden. Selain itu, tiada penulis Yunani yang dikenali pernah mengelaskan dewa-dewa atau pemujaan yang berbeza sebagai "agama" yang tersendiri.[2] Sebaliknya, sebagai contoh, Herodotus menyebut bahawa orang Yunani Hellen mempunyai "kuil yang sama untuk dewa-dewi dan korban, dan jenis adat yang sama."[3]
Kebanyakan orang Yunani mempercayai 12 dewa-dewi utama Olympus—Zeus, Hera, Poseidon, Demeter, Athena, Ares, Aphrodite, Apollo, Artemis, Hephaestus, Hermes, dan sama ada Hestia atau Dionysus—namun ada aliran falsafah seperti Stoikisme dan beberapa bentuk Platonisme menggunakan bahasa yang seolah-olah bercakap tentang satu tuhan yang tunggal dan tertinggi. Penyembahan dewa-dewa ini, dan beberapa yang lain, terdapat di seluruh dunia Yunani, biarpun dengan gelaran berbeza yang mengkhususkan aspek dewa itu, dan sering mencerminkan penyerapan dewa tempatan lain ke dalam rangka segenap dunia Yunani.
Amalan keagamaan orang Yunani melepasi batas tanah besar Yunani, ke pulau-pulau dan pantai Ionia di Asia Kecil, ke Magna Graecia (Sicily dan selatan Itali), dan ke koloni-koloni Yunani di seluruh Mediterranean Barat, seperti Massalia (Marseille). Agama Itali awal seperti agama Etruscan dipengaruhi agama Yunani kemudian banyak mempengaruhi agama Rom kuno.
Kepercayaan
suntingAmalan dan kepercayaan agama Yunani tidak dikawal oleh satu pihak berkuasa. Sebarang perubahan dibuat oleh masyarakat. Disebabkan ini, fenomena yang dikaji ini bukanlah sebuah "agama" yang teratur. Sebaliknya kepercayaan dan amalan orang Yunani boleh dianggap sebagai sekumpulan "dialek keagamaan" yang saling berkait rapat dan menyerupai satu sama lain, lebih daripada kaum-kaum bukan Yunani.[4]
Teologi
suntingTeologi Yunani Kuno mempercayai banyak dewa dan dewi, malah pelbagai jenis makhluk ghaib yang lain. Dewa-dewa ini mempunyai tahap kuasa yang berbeza. Zeus ialah raja para dewa dan mengawal semua yang lain, tetapi dia bukan maha kuasa. Setiap dewa mempunyai kawalan ke atas aspek-aspek tertentu alam. Contohnya, Zeus mengawal langit, Poseidon menguasai laut dan gempa bumi, Hades menguasai kematian dan alam barzakh, dan Helios mengawal matahari. Sesetengah dewa mewakili idea abstrak, seperti Aphrodite yang mewakili cinta. Dewa dan dewi ini biasanya digambarkan seperti manusia, tetapi mereka juga boleh berubah menjadi haiwan atau fenomena alam.[5]
Walaupun boleh hidup selama-lamanya, para dewa tidak sentiasa baik atau maha berkuasa. Mereka mesti mengikut nasib, yang dalam mitologi Yunani dipanggil Moirai.[6] Nasib lebih berkuasa daripada kebolehan atau keinginan mereka. Sebagai contoh, dalam mitologi, Odysseus ditakdirkan akan pulang ke Ithaca selepas Perang Troia/Trojan. Dewa-dewa hanya boleh membuat perjalanannya lebih lama dan lebih sukar, tetapi mereka tidak dapat menghalangnya.
Dewa-dewi mempunyai nafsu jahat seperti manusia dan banyak antara mereka berkelakuan dengan cara yang tidak bermoral.[7] Mereka berinteraksi dengan manusia dan kadangkala mempunyai anak dengan mereka—dipanggil separa dewa atau cendera. Kadangkala, dewa boleh saling berlawan dan bersaing. Misalnya, dalam Iliad, Aphrodite, Ares dan Apollo menyokong belah Troia dalam Perang Troia, manakala Hera, Athena dan Poseidon menyokong orang Yunani.
Sesetengah dewa dikaitkan dengan bandar tertentu. Athena dikaitkan dengan Athens, Apollo dengan Delphi dan Delos, Zeus dengan Olympia dan Aphrodite dengan Korinth. Tetapi dewa-dewa lain juga dipuja di kota-kota ini. Dewa-dewa lain dikaitkan dengan negeri-negeri di luar Yunani; Poseidon dikaitkan dengan Habsyah dan Troia, dan Ares dengan Thrake.
Hanya kerana dua dewa yang berbeza berkongsi nama yang sama tidak bermakna mereka dipuja dengan cara yang sama. Orang Yunani memahami bahawa Artemis yang dipuja di Sparta, sebagai pemburu dara, tidak sama dengan Artemis yang disembah di Efesus, dewi kesuburan dengan banyak payudara. Walaupun dewa-dewa utama dipuja di pelbagai lokasi dan kebanyakan bandar besar mempunyai kuil yang didedikasikan untuk dewa-dewi berbeza, perkaitan dewa-dewa tertentu dengan tempat-tempat tertentu kekal sehingga penghujung.
Sumber-sumber purba untuk agama Yunani menceritakan banyak tentang pemujaan tetapi sangat sedikit tentang akidah, kerana orang Yunani umumnya menganggap apa yang dipercayainya tidak sepenting apa yang dilakukannya.[8]
Akhirat
suntingOrang Yunani percaya dengan alam bawah tanah yang didiami oleh roh si mati. Salah satu kawasan yang paling luas di dunia bawah tanah ini diperintah oleh Hades, saudara kepada Zeus, dan juga dikenali sebagai Hades (asalnya dipanggil 'tempat Hades'). Tempat lain ialah Tartarus, tempat seksaan bagi golongan yang terkutuk, dan Elysion, tempat kesenangan untuk orang yang berakhlak mulia. Dalam agama Mykenai awal, semua orang mati pergi ke Hades, tetapi kemunculan kumpulan-kumpulan pemuja misteri pada zaman Arkaik menimbulkan tempat-tempat seperti Tartarus dan Elysion.
Beberapa orang Yunani, seperti Akhilleus, Alcmene, Amphiaraus, Ganymedes, Ino, Melicertes, Menelaus, Peleus, dan ramai yang bertempur dalam peperangan Trojan dan Thebes, dipercayai kekal abadi dan hidup selama-lamanya di Elysion, Kepulauan Yang Berbahagia, syurga, lautan, atau di bawah tanah. Kepercayaan sedemikian terdapat dalam sumber Yunani yang paling kuno, seperti Homeros dan Hesiodos. Kepercayaan ini berterusan sehingga ke zaman Kristian. Akan tetapi, kebanyakan orang apabila mati hanya akan terus wujud sebagai jiwa yang tidak berbadan.[9]
Sesetengah orang Yunani, seperti ahli falsafah Pythagoras dan Plato, juga percaya dengan idea penjelmaan semula, tetapi ini hanya diterima oleh segelintir orang. Epikouros mengajar bahawa jiwa hanyalah atom yang terlerai semasa ajal, dan orang itu tidak lagi wujud apabila sudah mati.
Mitologi
suntingAgama Yunani mempunyai pelbagai mitologi. Sebahagian besarnya kisah para dewa berinteraksi dengan manusia. Mitos sering berkisar tentang wira dan tindakan mereka, seperti Herakles dan dua belas usahanya, Odysseus dan pelayarannya pulang, Jason dan pencarian Bulu Biri-biri Emas dan Theseus dengan Minotaur.
Banyak jenis makhluk wujud dalam mitologi Yunani. Yang paling penting ialah dewa dan manusia, tetapi Titan (yang wujud sebelum dewa-dewi Olympus) juga ada peranan utama. Spesies-spesies yang lebih kecil termasuk sentora (separuh manusia, separuh kuda), nimfa alam semula jadi (semangat-semangat; nimfa pokok ialah dryad, nimfa laut ialah Nereid) dan satir (separuh manusia, separuh kambing). Sesetengah makhluk dalam mitologi Yunani adalah raksasa, seperti Cyclop (gergasi bermata satu), Scylla (raksasa laut), pusaran air Charybdis, Gorgon, dan Minotaur (separuh manusia, separuh lembu jantan).
Tidak ada hanya satu cerita Yunani tentang bagaimana dunia dicipta, atau kosmogoni. Kumpulan agama yang berbeza mempunyai kepercayaan sendiri tentang bagaimana ia terjadi. Satu mitos penciptaan Yunani diceritakan dalam Teogoni karya Hesiodos. Ia menyatakan bahawa pada mulanya hanya terdapat dewa purbakala yang dipanggil Khaos (huru-hara), selepas itu datanglah pelbagai dewa purba lain, seperti Gaia, Tartarus dan Eros, yang kemudiannya melahirkan dewa-dewa lain, para Titan, yang kemudiannya melahirkan dewa-dewi Olympus pertama.
Kisah-kisah mitologi Yunani kuno terus wujud dan berkembang menjadi mitologi Rom. Orang Yunani dan Rom purba adalah masyarakat yang berpendidikan, dan banyak mitos ditulis dalam bentuk puisi dan drama yang panjang seperti puisi epik (seperti Iliad, Odysseia dan Argonautika) dan drama (seperti Bacchae oleh Euripides dan Katak oleh Aristophanes). Mitos-mitos ini menjadi terkenal di Eropah selepas Zaman Pembaharuan, mengilhamkan ramai seniman seperti Botticelli, Michelangelo dan Rubens.
Nota
sunting- ^ Barbette Stanley Spaeth (2013). The Cambridge companion to ancient Mediterranean religions. New York. ISBN 978-0-521-11396-0. OCLC 826075990.
- ^ Esther Eidinow; Julia Kindt (2017). The Oxford handbook of ancient Greek religion. Oxford, United Kingdom. ISBN 978-0-19-881017-9. OCLC 987423652.
- ^ Warrior, Valerie M. (2009). Greek religion : a sourcebook. Newburyport, MA: Focus. ISBN 978-1-58510-031-6. OCLC 422753768.
- ^ Barbette Stanley Spaeth (2013). The Cambridge companion to ancient Mediterranean religions. New York. ISBN 978-0-521-11396-0. OCLC 826075990.
- ^ Burkert (1985), 2:1:4
- ^ Burkert, Walter (1985). Greek Religion. Cambridge, Massachusetts: Harvard University Press. m/s. 129.
- ^ Otto, W.F. (1954). The Homeric Gods: The Spiritual Significance of Greek Religion. New York: Pantheon. m/s. 131.
- ^ Rosivach, Vincent J. (1994).The System of Public Sacrifice in Fourth Century (B.C.E.) Athens Atlanta, Georgia: Scholars Press. p. 1.
- ^ Erwin Rohde Psyche: The Cult of Souls and Belief in Immortality among the Greeks. New York: Harper & Row 1925 [1921]
- ^ Ames-Lewis 2000.
Rujukan
sunting- Ames-Lewis, Francis (2000), The Intellectual Life of the Early Renaissance Artist, New Haven, Connecticut: Yale University Press, ISBN 0-300-09295-4
- Burkert, Walter (1972), Homo Necans
- Burkert, Walter (1985), Greek Religion: Archaic and Classical, Harvard University Press, ISBN 0674362810. Widely regarded as the standard modern account, online at archive.org.
- Burckhardt, Jacob (1999) [1872]. The Greeks and Greek Civilization. New York: St. Martin's Press. ISBN 978-0-312-24447-7.
- Miles, Margaret Melanie. A Companion to Greek Architecture. Malden, MA: John Wiley & Sons, 2016.
- Stevenson, Gregory, Power and Place: Temple and Identity in the Book of Revelation, 2012, Walter de Gruyter, ISBN 3110880393, 9783110880397, google books
Bacaan lanjut
sunting- Cook, Arthur Bernard, Zeus: A Study in Ancient Religion, (3 volume set), (1914–1925). New York, Bibilo & Tannen: 1964. ASIN B0006BMDNA
- Volume 1: Zeus, God of the Bright Sky, Biblo-Moser, June 1, 1964, ISBN 0-8196-0148-9 (reprint)
- Volume 2: Zeus, God of the Dark Sky (Thunder and Lightning), Biblo-Moser, June 1, 1964, ISBN 0-8196-0156-X
- Volume 3: Zeus, God of the Dark Sky (earthquakes, clouds, wind, dew, rain, meteorites)
- Dodds, Eric Robertson, The Greeks and the Irrational, 1951.
- Mircea Eliade, Shamanism: Archaic Techniques of Ecstasy, 1951.
- Lewis Richard Farnell, Cults of the Greek States 5 vols. Oxford; Clarendon 1896–1909. Still the standard reference.
- Lewis Richard Farnell, Greek Hero Cults and Ideas of Immortality, 1921.
- Jane Ellen Harrison, Themis: A Study of the Social Origins of Greek Religion, 1912.
- Jane Ellen Harrison, Epilegomena to the Study of Greek Religion, 1921.
- Karl Kerényi, The Gods of the Greeks
- Karl Kerényi, Dionysus: Archetypical Image of Indestructible Life
- Karl Kerényi, Eleusis: Archetypal Image of Mother and Daughter. The central modern accounting of the Eleusinian Mysteries.
- Jennifer Larson, Ancient Greek Cults:A Guide New York: Routledge, 2007. ISBN 978-0-415-32448-9
- Jon D. Mikalson, Athenian Popular Religion. Chapel Hill: University of North Carolina Press, 1983. ISBN 0-8078-4194-3.
- Martin P. Nilsson, Greek Popular Religion, 1940.
- Mark William Padilla, (editor), "Rites of Passage in Ancient Greece: Literature, Religion, Society", Bucknell University Press, 1999. ISBN 0-8387-5418-X
- Robert Parker, Athenian Religion: A History Oxford: Clarendon Press, 1996. ISBN 0-19-815240-X.
- Parker, Robert (24 November 2005). Polytheism and Society at Athens (dalam bahasa Inggeris). OUP Oxford. ISBN 978-0-19-927483-3.
- Parker, Robert (15 March 2011). On Greek Religion (dalam bahasa Inggeris). Cornell University Press. ISBN 978-0-8014-6175-0.
- Andrea Purvis, Singular Dedications: Founders and Innovators of Private Cults in Classical Greece, 2003.
- Rask, K. A. (2023). Personal experience and materiality in Greek religion. London: Routledge. ISBN 9781032357485.
- William Ridgeway, The Dramas and Dramatic Dances of non-European Races in special Reference to the Origin of Greek Tragedy, with an Appendix on the Origin of Greek Comedy, 1915.
- William Ridgeway, Origin of Tragedy with Special Reference to the Greek Tragedians, 1910.
- Xavier Riu, Dionysism and Comedy, Lanham: Rowman and Littlefield Publishers, 1999. ISBN 0-8476-9442-9.
- Erwin Rohde, Psyche: The Cult of Souls and Belief in Immortality among the Greeks, 1925 [1921].
- William Smith, Dictionary of Greek and Roman Biography and Mythology, 1870.
- Sourvinou-Inwood, Christiane (1990). "What Is Polis Religion?". Dalam Murray, Oswyn; Price, S. R. F. (penyunting). The Greek City: From Homer to Alexander. Oxford : New York: Oxford University Press / Clarendon Press. m/s. 295–322.
- Martin Litchfield West, The Orphic Poems, 1983.
- Martin Litchfield West, Early Greek philosophy and the Orient, Oxford, Clarendon Press, 1971.
- Martin Litchfield West, The East Face of Helicon: west Asiatic elements in Greek poetry and myth, Oxford [England]; New York: Clarendon Press, 1997.
- Walter F. Otto, The Homeric Gods: The Spiritual Significance of Greek Religion, New York: Pantheon, 1954
Pautan luar
sunting- Chisholm, Hugh, penyunting (1911). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-11). Cambridge University Press. .