Zaman Gangsa atau Zaman Perunggu ialah zaman prasejarah semasa orang membuat alat-alat daripada sejenis logam yang dipanggil gangsa. Gangsa ialah pancalogam tembaga dengan sedikit timah. Ketika itu, kayu, batu, dan bahan-bahan lain juga dipergunakan untuk membuat alat-alat, tetapi gangsa adalah jauh lebih baik untuk kegunaan memotong serta membelah, dan lebih mudah untuk dibentuk.

Zaman Gangsa - Muséum de Toulouse

Bukti-bukti terawal tentang kerja logam gangsa wujud sejak pertengahan milenium ke-4 SM dalam budaya Maykop di Kaukasus. Dari situ, teknologi tersebar dengan pesat ke Timur Dekat dan selepas itu, ke Peradaban Lembah Indus (sila lihat Meluhha).

Zaman Gangsa tidak terjadi pada masa yang sama di seluruh dunia kerana kelompok manusia yang berbeza memulakan penggunaan gangsa pada masa-masa yang berbeza. Di Eropah Barat, Zaman Gangsa berlangsung sejak 2000 SM hingga 800 SM, dan di Timur Tengah, Zaman Gangsa bermula seribu tahun lebih dahulu.

Ahli-ahli arkeologi mempercayai bahawa manusia menjadi lebih teratur pada Zaman Gangsa kerana membuat alat-alat logam adalah sesuatu kerja yang susah dan memerlukan kemahiran khas. Oleh itu, orang-orang yang mempunyai kemahiran baru ini dianggap sebagai orang yang penting. Kemudian, apabila alat-alat besi menjadi popular, Zaman Gangsa berakhir dan Zaman Besi bermula.


Zaman Gangsa Timur Dekat

sunting

Zaman Gangsa di Timur Dekat dibahagikan kepada tiga subzaman yang utama (tarikh-tarikh adalah tarikh hampiran sahaja):

  • EBA - Zaman Gangsa Awal (k.k. 3500-2000 SM)
  • MBA - Zaman Gangsa Pertengahan (k.k. 2000-1600 SM)
  • LBA - Zaman Gangsa Akhir (k.k. 1600-1200 SM)

Setiap zaman utama itu boleh dibahagikan lagi kepada subkategori yang lebih pendek, umpamanya EB I, EB II, MB IIa, dan sebagainya.

Metalurgi berkembang pertama sekali di Anatolia, Turki moden. Gunung-ganang di tanah tinggi Anatolia mempunyai mendapan tembaga dan timah yang kaya. Tembaga juga dilombong di Cyprus, Mesir, gurun Negev, Iran, serta di sekitar Teluk Parsi. Tembaga biasanya dicampur dengan arsenik, tetapi permintaan timah yang semakin bertambah menyebabkan pengasasan laluan perdagangan jauh dari dan ke Anatolia. Tembaga yang amat berharga juga diimport melalui laluan laut ke kemaharajaan-kemaharajaan Mesir Kuno dan Mesopotamia.

Zaman Gangsa Awal juga melihatkan kebangkitan perbandaran menjadi negara-negara kota yang teratur dan rekaan penulisan (zaman Uruk pada milenium ke-4 SM). Pada Zaman Gangsa Pertengahan, pergerakan orang-orang mengubahkan sebahagian pola politik Timur Dekat (Amorite, Hittites, Hurrians, Hyksos dan mungkin juga orang Israel). Zaman Gangsa Akhir dicirikan oleh kemaharajaan-kemaharajaan bersaing yang kuat dan negeri-negeri lindungannya (Mesir Kuno, Assyria, Babylonia, Hittites, Mitanni). Hubungan yang meluas dipupuk dengan peradaban Aegia (Ahhiyawa, Alashiya). Perdagangan tembaga memainkan peranan yang utama dalam hubungan ini. Zaman ini berakhir dengan kejatuhan meluas yang menjejaskan kebanyakan daripada Mediterranean Timur dan Timur Tengah.

Besi telah bermula dikerjakan di Anatolia pada Zaman Gangsa Akhir. Peralihan ke Zaman Besi pada kira-kira 1200 SM lebih merupakan suatu perubahan politik di Timur Dekat, berbanding dengan perkembangan baru dalam kerja logam.

Zaman Gangsa India

sunting

Zaman Gangsa di subbenua India bermula di sekitar 3300 SM, dengan permulaan Peradaban Lembah Indus.

Zaman Gangsa Asia Timur

sunting

Artifak-artifak gangsa telah digali di tapak sejarah budaya Majiayao (3100 SM - 2700 SM). Bagaimanapun, Zaman Gangsa China biasa dianggap sebagai bermula dari sekitar 2100 SM semasa Dinasti Xia. Di Ban Chiang, Thailand, artifak-artifak gangsa yang wujud sebelum 2100 SM [1] telah ditemui. Budaya Erlitou, Dinasti Shang dan budaya Sanxingdui pada zaman China awal menggunakan bekas-bekas gangsa untuk upacara amal, serta sebagai alat pertanian dan senjata. [2].

Budaya Zaman Tembikar Mumun Pertengahan di Semenanjung Korea Selatan beransur-ansur menerimaguna pengeluaran gangsa pada sekitar [700-600?] SM, selepas pisau belati gangsa gaya Liaoning dan artifak-artifak gangsa yang lain telah ditukarkan sehingga jauh ke dalam bahagian pedalaman Semenanjung Selatan pada kira-kira 900-700 SM. Pisau-pisau belati memberi prestij dan kuasa kepada pembesar-pembesar yang menggunakannya dan dikebumikan bersama-sama dalam pengebumian megalit bertaraf tinggi di pusat-pusat pantai selatan seperti tapak Igeum-dong [3]. Gangsa merupakan satu unsur yang penting dalam istiadat-istiadat dan sebagai persembahan kepada orang yang mati sehingga 100 Masihi.

Bibliografi

sunting
  • Pernicka, E., G.A. Wagner, dll. "Early Bronze Age Metallurgy in the Northeast Aegean." dalam Troia and the troad: scientific approaches. Berlin, London: Springer; 2003. m.s. 143-172. ISBN 3-540-43711-8

Pautan luar

sunting


Sistem tiga zaman: Zaman Batu | Zaman Gangsa | Zaman Besi

Senarai zaman arkeologi