Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan
Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan ialah sebuah institusi pendidikan Islam di Kelantan, Malaysia. Ia telah beroperasi dari 1965 hingga dibubarkan untuk digabungkan dalam Akademi Islam Universiti Malaya pada 1981.[1]
Jenis | Milik kerajaan negeri |
---|---|
Aktif pada | 18 September 1965 | –1981
Alamat | Istana Nilam Puri , Nilam Puri , Kelantan , Malaysia |
Pengganti | Akademi Islam, Universiti Malaya (1981) Maahad Ad-Dakwah Wal-Imamah (1994) |
Penubuhan
suntingGagasan untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi Islam ini bermula sejak 1963 lagi. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Nasir telah membentuk jawatankuasa bagi merancang penubuhan sebuah universti Islam di Kelantan.[1]
Apabila PAS mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya 1964,[2] idea untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi Islam diteruskan. Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan pada 27 Jun 1965, sebuah jawatankuasa telah dibentuk. Jawatankuasa ini dinamakan Jemaah Pengelola Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan, bertujuan menyusun perlembagaan, peraturan, sukatan pelajaran, tangga gaji dan segala rancangan berhubung dengan pentadbiran serta kemajuan pusat pengajian tersebut.[3]
Anggota-anggota jemaah ini terdiri daripada 12 orang iaitu Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Muda sebagai pengerusi, Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai naib pengerusi dan Abu Bakar Hamzah (Ahli Parlimen Bachok) sebagai setiausaha. Manakala ahli-ahlinya ialah Abdullah bin Ahmad (ADUN Kota Bharu Utara merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri); Pegawai Kewangan Negeri, Mohamed Nasir (Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan); Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ustaz Hassan Idris, Muhammad Che Wook, Drs. Abdul Ghani Idris, Hassan Mohd Othman dan Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kelantan, Murad Mohd Noor.[3]
Jawatankuasa ini telah bermesyuarat beberapa kali dan akhirnya bersetuju untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi Islam. Pada 18 September 1965, pusat pengajian ini telah ditubuhkan dan didaftarkan di bawah MAIK. Hasil rundingan dengan pihak Istana Kelantan, Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra berkenan mengurniakan Istana Nilam Puri dan kawasan sekitarnya untuk dijadikan pusat pengajian ini.
Pada September 1968, satu enakmen bagi penubuhan pusat ini telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan dan dikenali dengan Enakmen Kelantan No.9/1968. Pusat ini telah ditukar namanya kepada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan dan diberi status badan berkanun.[4]
Pengajian ditawarkan
suntingPusat pengajian ini memulakan sesi pengajiannya pada 1 Oktober 1965 dengan sebuah fakulti sahaja iaitu Kuliah Syariah Wal-Qanun (Fakulti Syariah dan Undang-Undang) dan menawarkan pengajian Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang. Bilangan pelajarnya berjumlah 43 orang, manakala tenaga pengajarnya seramai 3 orang yang terdiri daripada Ustaz Wan Hussin Azmi Abdul Kadir, Ustaz Mohammad bin Che Wook dan Ustaz Ahmad bin Haji Daud.[3]
Selain itu, pada awal penubuhannya juga, sebuah kelas persediaan bagi pelajar lepasan aliran tradisional untuk dua tahun yang dinamakan Maahad ad-Dakwah wal-Imamah telah ditubuhkan.[1]
Pada 1974, sebuah fakulti lagi diwujudkan iaitu Kuliah Usuluddin Wal Ijtima' (Fakulti Usuluddin dan Kemasyarakatan) dan menawarkan pengajian Sarjana Muda Usuluddin Wal Ijtima'[1], manakala kelas persediaan telah dipendekkan kepada setahun.[1]
Pentadbiran
suntingYPTIK ditadbir oleh Majlis Tertinggi Yayasan yang diketuai oleh Menteri Besar Kelantan sebagai pengerusi yang dilantik Sultan. Bagi hal akademik, ia dikelolakan oleh Lembaga Pengajian yang diketuai oleh seorang pengetua.
Pengetua
suntingBerikut ialah senarai pengetua yang pernah berkhidmat:[1]
No. | Nama | Tahun khidmat |
---|---|---|
1 | Ustaz Wan Hussin Azmi Wan Abdul Kadir | 1965-1970 |
2 | Ustaz Mohd Ali Harun | 1970-1980 |
3 | Ustaz Mohammad Che Wook | 1980-1981 |
Pemansuhan
suntingPada 1981, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Mohamed Yaacob, telah bertindak menyerahkan kedua-dua fakulti YPTIK, Fakulti Syariah Wal Qanun dan Fakulti Usuluddin Wal Ijtima’ kepada Universiti Malaya (UM) bagi membentuk Akademi Islam Universiti Malaya.[5] Berikutan itu, kerajaan secara rasmi telah memansuhkan Enakmen Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan.
Legasi
suntingYayasan Islam Kelantan
suntingDi bawah Yayasan ini, pernah ditubuhkan sebuah jabatan bagi mengambil alih sekolah-sekolah agama di Kelantan dengan nama Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan (JASA) pada 1 Julai 1974. Jabatan ini akhirnya menjadi perintis kepada penubuhan badan berkanun, Yayasan Islam Kelantan pada 1983.
Akademi Islam Universiti Malaya, Nilam Puri
suntingPada 1981, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Mohamed Yaacob, telah bertindak menyerahkan kedua-dua fakulti YPTIK, Fakulti Syariah Wal Qanun dan Fakulti Usuluddin Wal Ijtima’ kepada Universiti Malaya (UM) bagi membentuk Akademi Islam Universiti Malaya. Akademi Islam mengekalkan penubuhan Fakulti Syariah dan Fakulti Usuluddin, selain menawarkan pengajian sarjana muda pendidikan Islam dan program matrikulasi, Pra-Akademi Islam. Pada 1996, Akademi Islam telah bergabung dengan Jabatan Pengajian Islam UM dan membentuk Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).[5] Pada Januari 2021, kampus UM di Nilam Puri telah dipindahkan ke Bachok dengan nama baharu, Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC)
Maahad ad-Dakwah wal-Imamah
suntingPada 1994, kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah menubuhkan kembali Maahad ad-Dakwah wal-Imamah di Nilam Puri bertentangan dengan APIUM[6] dengan tawaran pengajian seperti yang pernah ditawarkan YPTIK. Pentadbiran maahad ini diletakkan di bawah Yayasan Islam Kelantan. Pada 1999, ia telah dipertingkatkan menjadi sebuah Kolej dengan nama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra atau KIAS,[7] dan menawarkan pengajian diploma: Syariah, Usuluddin dan Dakwah wal Imamah (Dakwah dan Kepimpinan). Ia kemudiannya turut menawarkan pengajian sarjana muda Syariah, dan sarjana muda Usuluddin dan memeterai kerjasama dengan Universiti Al-Azhar, universiti di Jordan dan Indonesia[8]. Pada 2022, kolej ini dinaik taraf sebagai Kolej Universiti dengan nama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dan mengekalkan akronim KIAS.[9]
Lihat juga
sunting- Kolej Islam Malaya (1955-1967)
Rujukan
sunting- ^ a b c d e f Awang, Idris (2019). "Sejarah Ringkas Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri". Jurnal KIAS (dalam bahasa Inggeris). 14 (1): 100–113. ISSN 2289-8050.
- ^ "2018/12 PAS' Fate in Kelantan in 2018: A Repeat of 1978?". www.iseas.edu.sg (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-04.
- ^ a b c Faisal @ Ahmad Faisal Abdul Hamid; Hamidah Jalani (2011). "Dato' Mohammad bin Che Wook: Sumbangannya dalam Pendidikan dan Pentadbiran Islam di Kelantan" (PDF). Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara: 185–191.
- ^ Buku Cenderamata Sambutan 10 tahun YPTIK (1977)
- ^ a b Adil, Mohamed Azam Mohamed; Mansor, Muhamad Sayuti (2021). "PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN ALUMNI AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UNIVERSITI MALAYA (APIUM) DALAM PENGAJIAN SYARIAH DI MALAYSIA: Achievements and Contributions of APIUM Alumni to Shariah Studies in Malaysia". Jurnal Syariah (dalam bahasa Inggeris). 29 (3): 375–402. doi:10.22452/syariah.vol29no3.1. ISSN 0127-1237.
- ^ Ghazali, N. Faizal (2018-10-04). "Kampus Universiti Malaya di Nilam Puri 'terancam'". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-12-09.
- ^ YUSOF, AZMI (2022-01-05). "10 tahun usaha KIAS dapat taraf kolej universiti". Harakahdaily (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-09.
- ^ Ismail, Muhamaad Razis (2016-08-24). "Pelajar cemerlang KIAS". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-09.
- ^ HUSAIN, NURUL HUDA (2021-04-01). "KIAS dinaik taraf jadi kolej universiti". Sinar Harian. Dicapai pada 2024-12-09.