Vishnu Purana
Vishnu Purana (Sanskrit: विष्णुपुराण) adalah salah satu daripada lapan belas Mahapurana, sebuah genre teks purba dan zaman pertengahan dalam agama Hindu.[1] Ia merupakan teks penting dalam korpus sastera Vaiṣṇavisme Pancharatra.[2] Vishnu Purana adalah antara teks Purana yang lebih pendek, dengan kira-kira 7,000 ayat dalam versi yang masih ada.[3] Teks ini terutamanya berpusat kepada Tuhan Hindu Vishnu dan avataranya seperti Rama dan Krishna, tetapi ia juga memuji Brahma dan Siva serta menyatakan bahawa Mereka bergantung kepada Vishnu. Purana ini, menurut Wilson, adalah bersifat panteistik dan ideanya, seperti Purana lain, berasaskan kepercayaan dan idea-idea Veda.
Seperti semua Purana utama, Vishnu Purana mengaitkan penulisnya kepada pertapa Vyasa. Walau bagaimanapun, penulis sebenar dan tarikh penggubahannya tidak diketahui dan menjadi perdebatan. Padma Purana mengkategorikan Vishnu Purana sebagai Purana yang bersifat Sattva (Purana yang mewakili kebaikan dan kesucian).[4]
Tarikh Karya
suntingTerdapat banyak percanggahan antara sarjana mengenai tarikh karya ini. Menurut suatu pendapat, Vishnu Purana mungkin merupakan himpunan terawal (dikatakan berasal dari tempoh 100 SM - 400 M) dan sejajar dengan lima ciri umum purana seperti *sarga* (penciptaan), *pratisarga* (penciptaan perantaraan), dan sebagainya.
Menurut suatu anggaran lain, tempoh penggubahannya adalah antara 400 M hingga 900 M.[5]
Beberapa tarikh yang dicadangkan oleh pelbagai sarjana untuk versi terawal Vishnu Purana termasuk:
- Vincent Smith (1908): 400–300 SM
- CV Vaidya (1925): sekitar abad ke-9
- Moriz Winternitz (1932): kemungkinan awal milenium pertama, tetapi menurut Rocher, beliau menambah bahawa "tidak mungkin untuk menetapkan tarikh pasti bagi *Vishnu Purana* seperti mana bagi mana-mana *Purana* lain"
- Rajendra Chandra Hazra (1940): 275–325 M
- Ramachandra Dikshitar (1951): 700–300 SM
- Roy (1968): selepas abad ke-9
- Horace Hayman Wilson (1864): mengakui bahawa tradisi mempercayai teks ini berasal daripada milenium pertama SM dan bahawa teks ini berakar dalam kesusasteraan Veda, tetapi selepas analisis beliau mencadangkan bahawa manuskrip yang masih ada mungkin berasal dari abad ke-11.
- Wendy Doniger (1988): sekitar 450 M.
Rocher menyatakan bahawa "tarikh *Vishnu Purana* adalah sama dipertikaikan seperti mana-mana *Purana* lain".[6]
Rujukan kepada *Vishnu Purana* dalam teks seperti Brihadvishnu yang tarikh-tarikhnya lebih mapan, menurut Rocher, mencadangkan bahawa satu versi *Vishnu Purana* telah wujud sekitar 1000 M, tetapi tidak jelas sejauh mana manuskrip yang masih ada mencerminkan revisi sepanjang milenium kedua
Vishnu Purana, seperti semua Purana, mempunyai kronologi yang rumit. Dimmitt dan van Buitenen menyatakan bahawa setiap *Purana*, termasuk *Vishnu Purana*, bersifat ensiklopedik, dan sukar untuk menentukan bila, di mana, mengapa, dan oleh siapa ia ditulis.[7]
Teks ini kemungkinan besar digubah dan disusun semula dalam beberapa lapisan sepanjang tempoh masa, dengan akarnya mungkin berasal dari teks kuno milenium pertama SM yang tidak kekal hingga zaman moden.
Struktur
suntingWalaupun Vishnu Purana dikatakan mengandungi 23,000 ayat, teks bercetak yang tersedia sekarang hanya mempunyai 6,400 ayat yang tersebar dalam 126 bab, disusun dalam bentuk enam *amsa* atau Buku.
Berbeza dengan purana lain yang biasanya diceritakan oleh Romaharsana setelah ditanya oleh beberapa pertapa, purana ini diceritakan oleh pertapa Parasara (ayah kepada Vyasa dan cucu kepada Vasistha) kepada muridnya, Maitreya.
Walaupun kebanyakan karya ini dalam bentuk puisi, ia juga mengandungi petikan prosa yang elegan. Malah, ia memiliki semua ciri karya sastera klasik yang berkualiti tinggi.
Ia mempunyai tiga ulasan:
- Atmaprakasa oleh Sridhara (abad ke-15 M)
- Vaishnavakutacandrika oleh Ratnagarbha
- Vishnucittiya oleh seorang penulis yang tidak dikenali
Falsafah
suntingFalsafah Vishnu Purana secara praktikalnya adalah sama dengan Vedanta dari Upanishad.
Tuhan yang Mutlak, meskipun disebut sebagai Vishnu di sini, bukanlah sekadar Vishnu daripada Trimurti yang bertanggungjawab untuk memelihara dunia ciptaan. Dia adalah Parabrahman, yang sifatnya adalah jnana (ilmu) dan suci sesucinya. Penampilan dunia ini sebagai entiti yang terpisah darin-Nya hanyalah ilusi (Maya) (1.2-6).
Brahma, Vishnu, dan Siva dari Trimurti sebenarnya adalah tiga aspek Paramatman ini yang dikaitkan dengan tiga Guna (rajas, sattva, dan tamas) (rujuk 1.2.56 dan 66; 1.4.15; 1.9.56).
Proses penciptaan yang serupa dengan falsafah Samkhya (1.2.28-70) diberikan. Namun, dalam purana ini, Vishnu adalah punca asal dan mutlak. Dunia berevolusi dari-Nya—disebut Vishnu (1.1.31) atau Krishna (4.12.4)—melalui kekuasaann-Nya yang disebut pradhana atau Prakrti
Jumlah jiwa (makhluk individu) yang tidak terbilang adalah pantulan daripada Vishnu yang dilihat akibat avidya atau kejahilan.
Purana ini menerima karma (atau tindakan) yang disahkan oleh kitab suci dan bhakti atau pengabdian kepada Tuhan (Vishnu) sebagai cara utama untuk mencapai moksha atau pembebasan. Nishkama karma (tindakan tanpa kepentingan diri) menyucikan fikiran. Vishnu akan menetap dalam fikiran yang suci. Dhyana atau meditasi terhadap rupa Vishnu dan meratib Dvadasakshari Mantra (mantra dua belas suku kata iaitu Om namo bhagavate vasudevaya) akan membawa kepada Jnana dan moksha.
Peranan bhakti telah ditekankan melalui kisah Prahlada.
Huraian Kaliyuga
Walaupun Vishnu Purana memberikan huraian panjang tentang Kali Yuga, iaitu zaman di mana manusia menjadi tidak adil dan jahat sepenuhnya (rujuk 5.1.10-58), ia juga menunjukkan tiga kelebihan yang dimiliki manusia pada zaman itu. Kelebihan tersebut adalah:
- Manusia memperoleh manfaat kerohanian tertinggi hanya dengan menyanyikan nama-nama dan keagungan Tuhan.
- Wanita memperoleh semua pahala daripada perbuatan baik dengan melayani suami mereka dengan ikhlas.
- Sudra memperoleh pahala agama dengan melaksanakan tugas mereka dengan baik.
Salasilah Keturunan Raja
suntingSatu lagi keistimewaan purana ini ialah senarai panjang raja-raja dan keturunan mereka yang berasal daripada Suryavamsa (Dinasti Surya) yang terkenal dan Candra atau Soma vamsa (Dinasti Candra).
Menarik untuk diperhatikan bahawa kedua-dua dinasti ini bermula daripada Vishnu sendiri!
Raja-raja terkenal daripada Dinasti Surya termasuk yang berikut: Vivasvan, Manu, Ikshvaku, Mandhata, Hariscandra, Bhagiratha, Dasaratha, Sri Rama dan Agnivarna. Raja terakhir, yang bernama Maru, dikatakan masih hidup dalam keadaan yoga di sebuah perkampungan bernama Kalapa. Beliau akan menghidupkan semula vamsa ini pada Krita Yuga yang akan datang!
Satu lagi cabang Dinasti Surya bermula dengan Nimi (anak Ikshvaku) di mana Janaka seperti Janakavaideha dan Siradhvaja Janaka adalah tokoh utama. Mereka sangat cemerlang dalam kebijaksanaan rohani.
Dalam Somavamsa atau Candra-vamsa, raja-raja berikut terkenal: Candra, Budha, Pururava, Nahusa, Dhanvantari, Yayati, Yadu, Dushyanta, Kuru, Jarasandha, Kaurava, dan Pandava. Sri Krishna berasal daripada Yaduvamsa.
Mahapadmananda adalah raja terakhir daripada keturunan yang berasal daripada Jarasandha. Devapi daripada Candravamsa dikatakan sebagai raja terakhir yang masih hidup dalam keadaan yoga di perkampungan yang sama, Kalapa. Beliau juga akan menghidupkan semula dinasti ini pada masa hadapan.
Perbandingan dengan Bhagavata
suntingSrimad Bhagavata kelihatan sebagai penghuraian lanjut tentang kisah-kisah dan idea-idea yang terkandung dalam Vishnu Purana. Kedua-dua teks ini mempunyai beberapa perbezaan berikut:
- Avatara - Vishnu Purana membincangkan lima avatara sahaja tetapi Bhagavata membincangkan secara terperinci semua sepuluh dan beberapa lagi.
- Bhakti - Walaupun bhakti atau pengabdian mendapat tempat penting dalam Vishnu Purana, dalam Bhagavata, ia meresapi segala-galanya.
- Bahasa - Bahasa dalam Bhagavata agak kuno dan sukar manakala bahasa dalam Vishnu Purana adalah mudah dan elegan.
Rujukan
sunting- ^ Dalal, Rosen (2014). Hinduism: An Alphabetical Guide. Penguin. ISBN 978-8184752779.
- ^ Rocher, Ludo (1986). The Puranas. Otto Harrassowitz Verlag. ISBN 978-3447025225.
- ^ Wilson, H. H. (1864). The Vishnu Purana: A System of Hindu Mythology and Tradition (Volume 1: Introduction, Book I). Read Country Books (reprinted in 2006). ISBN 1-84664-664-2.
- ^ Wilson, H. H. (1840). The Vishnu Purana: A system of Hindu mythology and tradition. Oriental Translation Fund. p. 12.
- ^ Rocher, Ludo (1986). The Puranas. Otto Harrassowitz Verlag. ISBN 978-3447025225.
- ^ Rocher, Ludo (1986). The Puranas. Otto Harrassowitz Verlag. ISBN 978-3447025225.
- ^ Dimmitt, Cornelia; van Buitenen, J. A. B. (2012). Classical Hindu Mythology: A Reader in the Sanskrit Puranas. Temple University Press (1st Edition: 1977). ISBN 978-1-4399-0464-0.
Bacaan Lanjut
sunting- Mani, Vettam. Puranic Encyclopedia. 1st English ed. New Delhi: Motilal Banarsidass, 1975.
- Shri Vishnupuran published by Gitapress Gorakhpur
https://archive.org/details/vishnupurnsyst02wils/page/10/mode/2up?view=theater