Abu Bakar al-Baqir

ahli politik dan ulama Malaysia
(Dilencongkan daripada Ustaz Abu Bakar al-Baqir)

Haji Abu Bakar bin Mohammad Said bin Haji Abdul Jabbar atau Abu Bakar Al-Baqir merupakan seorang tokoh kelahiran Perak, Tanah Melayu. Beliau merupakan pengasas awal Hizbul Muslimin dan pernah dilantik menjadi ahli Dewan Negara Perak oleh Sultan Perak.

Sheikh Haji
Abu Bakar Al-Baqir
Ketua Hizbul Muslimin Malaya
Dalam jawatan
Mac 1948 – Jun 1948
Didahului olehParti ditubuhkan
Digantikan olehParti diharamkan
Maklumat peribadi
Lahir1907
Gunung Semanggol, Perak
Mati13 Julai 1974
Parti politikHizbul Muslimin
Anak4 orang
  • Sahar Mursyid Abu Bakar
  • Miskiah Fadilah Abu Bakar
  • Naqibah Nu'ma Abu Bakar
  • Aniqah Rusda Abu Bakar.
PekerjaanPendidik, Ulamak

Kelahiran

sunting

Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak tidak jauh dari Padang Rengas. Beliau merupakan keturunan Jawa dari datuknya, Haji Abdul Jabbar yang berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Haji Abdul Jabbar merupakan orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an. Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, Perak, dan akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercucuk tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.

Pendidikan

sunting

Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.

Setelah menamatkan Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya, Haji Abdul Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di al-Azhar, Mesir dan Masjid al-Haram di Mekah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun yakni pada tahun 1919-1924. Selepas itu beliau pindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan termasuklah Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.

Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.

Ma'ahad al-Ehya al-Syarif

sunting

Beliau kembali ke Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mertuanya, Haji Abd. Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggol sebagai ganti pondok ar-Rahmaniah. Kemalapan pengajian pondok di Padang Rengas diganti oleh kecemerlangan Gunung Semanggol dengan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan Maahad Al-Ehya Al Shariff .

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Maahad Al-Ehya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.

Keluarga

sunting

Dalam tahun 1935, beliau dinikahkan dengan Ustazah Fatimah Abd. Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, sampailah beliau menemui ajalnya pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid Abu Bakar, Miskiah Fadilah Abu Bakar, Naqibah Nu'ma Abu Bakar, dan Aniqah Rusda Abu Bakar.

Pembaharuan

sunting

Dari segi pembaharuan Islam beliau menunjukkan wajah yang mirip dengan Syeikh Juned Tola. Yang beliau bangunkan ialah pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Tentang fahaman bermazhab atau tidak bermazhab beliau tidak begitu mengambil perhatian. Sepertimana Syeikh Juned Tola , meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun beliau untuk gerakan "islah"nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu pada pendidikan.

Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan ditubuhkannya Ma'ahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripada Haji Abd. Rahman Mahmud, Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol.

Perjuangan politik

sunting

Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional.

Dalam suatu persidangan yang diadakan di Ma'ahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi.

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakob dan Dr. Burhanuddin al-Helmi (meninggal 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.

Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Burhanuddin al-Helmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS).

Meninggal dunia

sunting

Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma'ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Juga ia mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh pengasuh yang sekarang ini. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari Indonesia sangat menolong dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Mohd Asri bin Haji Muda.

Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma'ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran.