Tayamum

(Dilencongkan daripada Tayammum)


Tayamum ialah menyapu debu kemuka dan kedua tangan sampai ke siku, menggunakan debu tanah yang suci lagi menyucikan dengan beberapa syarat. Tayamum adalah sebagai ganti dari wuduk atau mandi. Tayamum di segi syarak adalah menggunakan tanah yang bersih dan suci iaitu debu tanah menyapu muka dan tangan untuk mengangkat hadas dengan persyaratan syarak sebagai pengganti wuduk atau mandi wajib (mandi junub).

Dengan tayamum seseorang hanya boleh mengerjakan satu ibadah yang fardu saja dan ditambah dengan ibadah yang sunat-sunat.

Tayammum disyariatkan berdasarkan Al Quran dan sunah. Allah SWT berfirman, "[43] Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun." (An-Nisa: 43).

"[6] Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur." (Al-Maaidah: 6)

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tanah adalah wudu seorang muslim jika tidak mendapatkan air kendati selama sepuluh tahun." (HR An-Nasai dan Ibnu Hibban).

Rasulullah s.a.w. juga bersabda, "Seluruh tanah di bumi dijadikan sebagai tempat sujud dan bersuci bagiku dan umatku. Maka, di mana saja waktu salat menghampiri seseorang dari umatku, tanah dapat menyucikannya." (HR Ahmad).

Syarat-syarat tayammum

sunting
  1. Sudah masuk waktu.
  2. Tidak mendapat air setelah berusaha mencari.
  3. Dengan debu yang suci.
  4. Berhalangan menggunakan air disebabkan sakit.
  5. Suci dari najis.

Panduan Bertayammum

sunting
  1. Niat tayammum.
  2. Meletakkan dua belah tangan di atas debu untuk disapukan ke muka.
  3. Menyapu muka dengan debu, tiga kali.
  4. Menyapu kedua belah tangan sampai ke siku dengan debu.
  5. Mentertibkan rukun.

Anggota tayammum adalah muka dan dua tangan (hingga ke siku) sahaja. Kaki tidak termasuk sebagai anggota tayammum.

Sunat Tayammum

sunting
  1. Membaca bismillah
  2. Menipiskan debu
  3. Mendahulukan yang kanan dari yang kiri
  4. Menyelati anak-anak jari dengan debu.
  5. Tidak mengangkat tangan dari anggota tayamum sebelum selesai menyapunya.
  6. Menghadap ke arah kiblat.
  7. Menanggalkan cincin semasa bertayamum
  8. Membaca doa selepas bertayamum

Yang Membatalkan Tayammum

sunting
  1. Setiap yang membatalkan wuduk
  2. Ada air (melihat air sebelum solat) kecuali kerana sakit
  3. Bekemampuan menggunakan air. Contohnya apabila seseorang itu telah sembuh daripada penyakitnya yang menghalangnya daripada menggunakan air.
  4. Murtad

Kes-kes Tertentu berkenaan Tayammum

sunting

Bila Tayammum Dan Wuduk Boleh Digabungkan

sunting

Ada ketikanya bila Tayammum dan wuduk boleh digabungkan untuk menyempurnakan pembersihan seseorang daripada hadas kecil. Umpamanya, seorang Muslim itu mengalami mudarat (seperti tangan disimen kerana patah) ataupun mempunyai tempat luka yang tidak boleh terkena air, dan sekiranya terkena air boleh menambahkan lagi mudarat, orang tersebut dibolehkan menyucikan bahagian dirinya yang sihat secara wuduk biasa. Bahagian wuduknya yang tidak boleh terkena air tadi boleh dibersihkan dengan cara tayammum sahaja.

Sekiranya bahagian kaki tidak boleh terkena air, wuduk bahagian itu juga digantikan dengan tayammum (di muka dan dua tangan).

Bersolat Dengan Bertayammum Dan Kemudian Mendapati Air

sunting

Apabila seseorang itu memulakan solatnya setelah bertayammum dan di pertengahan dia mengerjakan solatnya, tiba-tiba bekalan ataupun sumber air kembali pulih, dia boleh meneruskan dan menghabiskan solatnya tanpa memberhentikan solatnya. Solat itu sah dan dia tidak perlu mengulangi solat tersebut.

Sekiranya seseorang itu menunaikan solat dengan hanya bertayammum kerana ketiadaan air, dan selepas itu meneruskan perjalanannya dan kemudiannya berjumpa air, solat yang ditunaikannya tadi dengan bertayammum tidak perlu diulangi lagi. Hal ini berdasarkan hadis dari Abu Sa'id Al-Khudri dia berkata, Ada dua orang laki-laki keluar dalam suatu safar (perjalanan). Kemudian tiba waktu solat sedang tidak ada air bersama keduanya. Lalu keduanya bertayammum dengan tanah yang suci sekaligus solat. Tak lama kemudian, keduanya menjumpai air, maka seorang mengulangi wuduk dan solatnya, sedangkan seorang lainnya tidak mengulangi. Keduanya kemudian datang kepada Rasulullah S.A.W. serta menceritakan halnya, lantas sabda Nabi kepada yang tidak mengulangi solat, "Engkau telah mengikut sunnah dan solat sudah cukup." Sedangkan sabda beliau kepada yang mengulangi solat, "Engkau mendapatkan dua pahala."