Mahadeva

(Dilencongkan daripada Siva)

Siwa[1] (Jawi: سيوا, Sanskrit: शिव, rumi: Śiva bermaksud "Penuh Tuah", bahasa Jawa: ꦯꦶꦮ, translit. Siwa serta diinggeriskan kepada Shiva) juga dikenal sebagai Mahadewa (Sanskrit: महादेव:, rumi: Mahādevaḥ "Dewa Yang Agung")[1][2][3][4] ialah salah seorang dewa utama dipercayai dalam agama Hindu. Siwa ialah betara agung paling utama dianuti aliran Saivisme iaitu salah satu mazhab yang paling berpengaruh dalam Hinduisme kini. Dalam kalangan Trimurti, Siwa ialah "Pemusnah" atau aspek kemusnahan.

Siwa di Rishikesh

Pada tahap yang tertinggi, Siwa dianggap sebagai tidak terhad, tidak berubah, dan tiada rupa. Siwa juga mempunyai banyak rupa, yang mesra dan menakutkan. Dalam rupa mesra, Siwa digambarkan sebagai seorang Yogi yang maha mengetahui, yang menghuni Gunung Kailasa. Siwa juga digambarkan sebagai Suami Devi Parvati dan Bapa Gana dan Kartikeya. Dalam rupa yang menakutkan, Siwa sering digambarkan membunuh raksasa-raksasa. Siwa juga digelar sebagai Dewa yoga dan kesenian.

Ikon utama Siwa ialah mata ketiga pada dahi-Nya, ular Vasuki yang terlilit di leher-Nya, dan bulan sabit yang menghiasi rambut-Nya. Sungai Gangga yang suci mengalir dari kusutan rambut-Nya. Siwa bersenjatakan trisula. Siwa juga memainkan damaru, sejenis peralatan muzik. Siwa biasanya disembah dalam rupa lingga.

Secara literal, Siwa ialah tempat tidur Alam Semesta selepas pralaya (kemusnahan) sehingga ciptaan bermula semula. Semua yang lahir mesti mati. Semua yang diwujudkan akan musnah. Ini ialah hukum alamiah. Siwa adalah prinsip atau kuasa yang menyebabkan proses kemusnahan ini.

Alam semesta ini akan berlerai menjadi kekosongan. Kekosongan yang tidak terhad ini seterusnya akan melahirkan alam semesta-alam semesta baru. Proses ini berulang tanpa berhenti. Siwa adalah proses ini. Meskipun Siwa dikatakan sebagai Pembawa kemusnahan alam semesta, Dia juga bertanggungjawab untuk ciptaan dan pemeliharaan alam semesta. Dalam konteks ini, Siwa juga menjadi Berama dan Wisnu. Identiti ini diceritakan dalam beberapa buah Purana. Dalam sebuah Purana, Siwa dikatakan telah lahir daripada rahim tiang api yang tiada kesudahan. Purana yang lain pula menceritakan bahawa Siwa lahir daripada kening Berama yang marah atau yang mengidamkan seorang putera.

Etimologi dan Nama-nama lain Shiva

sunting

Perkataan Sanskrit Siwa (Devanagari: शिव, śiva) berasal daripada Sri Rudram Chamakam dalam Taittiriya Samhita (TS 4.5, 4.7) dalam Krishna Yajur Veda. Siwa bermaksud 'yang membawa tuah'. Siwa juga digunakan sebagai adjektif bagi beberapa dewa zaman Veda termasuk Rudra. Antara nama-nama popular Siwa ialah Mahesh, Maheshwar, Shankara, Shambhu, Pasupati, Rudra, dan Hara.

Perkataan Sanskrit 'Shaiva' bermaksud 'berkaitan dengan Dewa Shiva'. Salah satu mazhab utama agama Hindu dikenali sebagai 'Saivisme'.

Sankaracharya menterjemahkan nama Shiva, nama ke-27 dan ke-600 dalam Wisnu Sahasranama (1000 nama-nama Wisnu) sebagai bermaksud: 'Yang Suci', atau 'Yang tidak dicemari oleh tiga Guna (Sattva, Rajas, dan Tamas), 'Yang menyucikan sesiapa yang mengucap nama-Nya'.

Menurut Swami Vivekananda, "Siwa ialah aspek keagungan Tuhan, Krishna ialah aspek kecantikan Tuhan."[5]

Simbolisme

sunting

Siwa digambarkan dengan sebatang Trisula yang pernah digunakan-Nya untuk menewaskan Tripurasura, setan ego yang menduduki tiga badan – suksma, sthula dan causal. Tiga gigi Trisula merujuk kepada Vairagya (semangat tersisih), Jnana (ilmu) dan Samadhi (Keadaan tertinggi tafakur). Mata ketiga-Nya ialah mata Ilmu. Dengan tiga mata-Nya, Siwa melihat masa silam, kini dan masa depan. Siwa memandu seekor lembu jantan yang bermaksud Dharma. Dharma disokong oleh empat kakinya iaitu kebenaran, kesucian, kemurahan, dan kebajikan. Simbol kemusnahan Siva ialah sebatang kapak.

Bulan sebagai Masa melambangkan kemusnahan alam semesta. Ia juga membawa maksud kebijaksanaan. Siwa memakai bulan sebagai mahkota-Nya. Ini melambangkan bahawa Masa yang maha berkuasa juga cuma suatu barang perhiasan-Nya.[6]

Siwa ialah Ishta-devata para Yogi. Rupa Siwa penuh simbologi Yoga. Tiga mata-Nya bermaksud matahari, bulan dan api iaitu sumber cahaya, kehidupan dan kepanasan. Ketiga-tiga mata-Nya juga bermaksud Ida, Pingala dan Sushumna. Mata ketiga-Nya juga mewakili mata ilmu dan kebijaksanaan yang menjadikan-Nya maha mengetahui.[7]

Seluruh langit dan kuasa angin menjadi rambut-Nya. Oleh itu, Siwa juga dikenali sebagai Vyomakesa (seseorang yang mempunyai langit sebagai rambutnya).[8]

Harimau ialah seekor binatang buas yang membaham mangsanya tanpa belas kasihan. Nafsu dan keinginan yang menguasai manusia dan yang tidak dapat dipuaskan boleh dibandingkan dengan harimau. Siwa membunuh harimau dan memakai kulitnya. Ini menunjukkan bahawa Siwa menakluki dan menguasai segala nafsu.[9]

Siwa juga memakai kulit gajah, seekor binatang yang amat berkuasa. Secara simbolik, ini bermaksud Siwa telah menguasai dan menghapuskan segala sifat kebinatangan.[10]

Ular-ular yang melilit badan-Nya melambangkan kematian. Oleh itu, Siwa dikenali sebagai Mrtyunjaya, penakluk kematian! Ular-ular juga mewakili kitaran masa dalam makrokosmo dan tenaga asasi - seperti tenaga seksual yang dimiliki oleh setiap benda dalam mikrokosmo. Maka, Siwa ialah Raja masa dan tenaga.[11]

Muṇḍamala atau kalungan tengkorak yang menghiasi leher Siwa dan abu suci yang disapukan pada badan-Nya bermaksud Siva ialah Raja Kemusnahan. Kalungan tengkorak juga mewakili revolusi zaman serta kemunculan dan kemusnahan umat manusia secara berturut-turut.[12]

Sungai Ganga melambangkan madu dalam Sahasrara. Bulan ialah Candramandala, kawasan putih golongan Yogi. Damaru atau gendang bermaksud Nada-Beraman. Menurut para Yogi, Sahasrara berada di Kailas, kediaman suci Shiva. Seluruh benua India ialah sebuah badan dengan enam pusat Yoga yang utama yang penting untuk golongan Shaivisme.

Sungai Ganga disanjung sebagai ejen kesucian. Maka tidak hairanlah Siwa yang menghiasai diri-Nya dengan Ganga ialah jelmaan kesucian dan penebus dosa.[13]

Siwa putih seperti salji. Keputihan Siva yang bersifat Tamas (kuasa kegelapan dan pemusnahan) mungkin kelihatan pelik dibandingkan dengan kehitaman Wisnu yang mewakili Sattva (kuasa cahaya dan pencerahan). Kedua-dua sifat yang bertentangan ini tidak boleh dipisahkan. Maka, Siwa putih di luar tetapi gelap di dalam. Sebaliknya, Wisnu pula gelap di luar dan putih di dalam.[14]  

Bagi pemuja-pemuja Shiva, perapian yang sentiasa membara atau Dhuni bermaksud api Vairagya yang membakar semua ikatan dan nafsu. Mereka menyapukan abu Dhuni pada badan mereka sama seperti Shiva. Abu ialah saki-baki selepas semua nama dan rupa hilang. Ini melambangkan kesatuan sebenar yang merangkumi segala kepelbagaian. Mahayogi Siwa ialah pemusnah segala-galanya kerana Dia menyingkirkan semua kepelbagaian dan menyatukannya.      

Siwa sering kelihatan dengan dua, tiga, empat, lapan, sepuluh atau tiga puluh dua tangan. Antara objek-objek yang dipegang-Nya ialah trisula, cakra (cakera), parasu (kapak), damaru (gendang), aksamala (tasbih), mrga (rusa), pasa (tali), danda (tongkat), pinaka atau ajagava (busur), khatvanga (tongkat sakti), pasupata (lembing), padma (bunga teratai), kapala (cawan tengkorak), darpana (cermin), khadga (pedang) dan sebagainya.[15]      

Trisula ialah sebuah senjata yang penting dan ini menggambarkan Siwa sebagai Pemerintah Agung. Secara falsafah, Trisula juga bermaksud tiga Guna (sattva, rajas, dan tamas) dan tiga proses ciptaan, pemeliharaan, dan pemusnahan. Maka, Siwa sebagai pembawa trisula ialah Raja segala Guna dan proses kosmik telah bermula dengan-Nya.      

Ketika Siwa menari tandavanrtya dengan memainkan damaru (gendang kecil) sebanyak empat belas kali, bunyi-bunyi seperti a-i-un, r-lk-k, dan sebagainya telah dilahirkan. Bunyi-bunyi ini dikenali sebagai Mahesvarasutras - empat belas formula asas yang mengandungi semua abjad-abjad yang disusun dengan amat bijak dan melahirkan aturan tatabahasa. Maka, damaru ialah simbol abjad-abjad dan tatabahasa atau simbol bahasa. Dalam kata lain, ia simbol semua kata-kata - lisan dan bertulis - dan semua seni dan sains. Damaru juga menunjukkan bunyi sebagai logos - yang melahirkan seluruh alam semesta ini. Dengan memegang damaru, Siva menunjukkan bahawa segala ciptaan termasuk segala ilmu seni dan sains, telah dijadikan-Nya atau kehendak hati-Nya, atau sebagai permainan-Nya.[16]      

Aksamala (tasbih) menunjukkan bahawa Siva ialah Raja segala ilmu rohani. Khatvanga (tongkat sakti yang mempunyai tengkorak pada hujungnya) melambangkan Siva sebagai Raja ilmu sihir. Kapala (cawan tengkorak) yang digunakan-Nya untuk meminum darah ialah satu lagi simbol kuasa kemusnahan-Nya. Darpana atau cermin menunjukkan bahawa segala ciptaan ini ialah cuma suatu bayang-bayang rupa kosmik-Nya.[17]      

Sivalinga

sunting

Biasanya, Siwa tidak dipuja dalam rupa-Nya sebagai mulamurti (imej asli yang ditabalkan di kuil) tetapi sebagai utsavamurti (imej yang digunakan semasa perayaan untuk dibawa dalam perarakan).[18]      

Secara literal, lingga bermaksud suatu simbol atau tanda. Maka, 'Sivalinga' bermaksud simbol Shiva. 'Shiva' bermaksud tempat di mana alam semesta tidur selepas kemusnahan. 'Linga' juga mempunyai maksud yang sama - iaitu suatu tempat di mana benda-benda lenyap semasa kemusnahan alam semesta. Menurut agama Hindu, Tuhan yang sama yang mencipta, memelihara dan memusnahkan alam semesta ini. Maka, Sivalinga boleh dikatakan sebagai lambang Tuhan Sendiri.[19]      

Menurut Lingapurana (bab 17 hingga 20), Berama dan Wisnu menjadi bongkah dan angkuh akan kesaktian Mereka. Siwa muncul sebagai sebatang tiang api yang tiada penghujung dan mencabar Mereka untuk mencari bahagian hujung tiang itu. Mereka gagal untuk mencarinya dan akhirnya mengakui kekalahan. Tiang api ini dikenali sebagai linga kerana pada masa Pralaya, semua hidupan akan lenyap dalamnya.      

Terdapat dua jenis Sivalinga - cala (boleh alih) dan acala (tidak boleh alih).      

Cala-linga

sunting

Cala-linga boleh disimpan di rumah seseorang untuk pemujaan atau dibuat dengan benda-benda mudah hapus seperti tanah liat. Cala-linga boleh dilarutkan selepas pemujaan. Ia juga dipakai dengan rantai leher sebagai ishtalinga seperti yang dilakukan oleh penganut Virasaiva (juga dikenali sebagai Lingayat).[20]      

Acala-linga

sunting

Acala-linga pula ialah imej yang ditabalkan di kuil. Biasanya, acala-linga dibuat daripada batu dengan tiga bahagian. Bahagian bawah berbentuk segi empat dan dipanggil sebagai Beramabhaga dan ia mewakili Berama, Pencipta. Bahagian tengah yang berbentuk oktagon dipanggil sebagai Wisnubhaga dan ia mewakili Wisnu, Pemelihara. Kedua-dua bahagian ini berada pada bahagian dalam. Bahagian berbentuk silinder yang timbul di luar dinamakan Rudrabhaga. Pemujaan dilakukan pada Rudrabhaga (maka dikenali sebagai Pujabhaga). Bahagian Pujabhaga juga mempunyai beberapa garis yang dikenali sebagai Beramasutra. Sebuah Linga tanpa garisan Beramasutra tidak boleh dipuja.[21]      

Secara amnya, linga dibahagikan kepada dua kumpulan: akrtrima (semulajadi) dan krtrima (buatan manusia). Linga semulajadi termasuk svayambu linga (yang wujud secara semulajadi dari perut bumi) dan banalinga (terbentuk daripada batu kuarza) yang terdapat di sungai Narmada. Terdapat pelbagai bentuk, saiz dan warna banalinga. Linga-linga ini dianggap sebagai suci semulajadi, dan oleh itu tidak memerlukan upacara pemujaan khas.[22]      

Cala linga boleh diperbuat daripada beberapa bahan seperti tanah liat, kayu, batu permata atau logam. Logam-logam yang sesuai ialah seperti emas, perak, tembaga dan logam loceng. Batu permata seperti delima, zamrud, belian, batu topaz, dan mutiara sesuai dijadikan linga. Antara kayu yang sesuai untuk membuat linga ialah kayu cendana, pain, vilwa dan sebagainya.[23]      

Bagi memenuhi hasrat seseorang, beberapa linga dicadangkan untuk pemujaan. Misalnya, pemujaan linga daripada batu mutiara akan menghapuskan dosa seseorang. Linga batu topaz pula memberikan kekayaan.      

Kadang-kadang, muka Siwa akan diukir pada pujabhaga. Linga begini dinamakan sebagai 'Isvaralinga'. Jika seluruh rupa Siwa diukir, maka ia dinamakan sebagai 'Rudralinga'. Sekiranya, rupa Siwa diukir di tengag-tengah linga, ia dikenali sebagai 'Lingodbhavamurti'.      

Di India Selatan terdapat lima kuil-kuil Siwa yang mewakili lima unsur-unsur alam. Tempat-tempat ini berada di Kanci (bumi), Tiruvanaikavu berdekaran Trichy (air), Kalahasti (angin), Tiruvannamalai (api) dan Chidambaram (angkasa).      

Aspek-Aspek Shiva

sunting

Secara ikon, Siwa sering digambarkan dalam pelbagai aspek-aspek berlainan. Aspek-aspek ini boleh dikelaskan secara umumnya seperti berikut:      

Saumya atau Anugrahamurti

sunting

Rupa-rupa Siwa yang tenang dan yang mencurahkan kasih sayang dan rahmat tergolong di bawah kumpulan Anugrahamurti. Misalnya rupa-rupa Siwa yang memberkati atau mencurahkan rahmat ke atas Candesa, Nandisvara, Vighnesvara atau Ravana.

Ugra, Raudra atau Samharamurti

sunting

Semua rupa-rupa yang menakutkan, boleh dikumpulkan di bawah aspek Samharamurti.

  • Kankala Bhairava merupakan aspek Siwa yang memotong kepala kelima Berama kerana mempersendakannya. Atas dosa itu, Siwa terpaksa menjalani kehidupan sebagai pengemis selama dua belas tahun.
  • Gajasuravadhamurti menghapuskan raksasa Nila (seorang teman Andhakasura) yang telah mengambil rupa seekor gajah.
  • Tripurantakamurti ialah Siwa yang menggunakan anak panah-Nya untuk memusnahkan kota-kota besi, perak dan emas yang dibina di bumi, di angkasa dan di syurga oleh tiga orang anak Andhakasura. Disebabkan tiga kota-kota ini, Andhakasura telah menjadi kebal.
  • Sarabhesamurti menggambarkan Siwa sebagai seekor Sarabha (suatu binatang mitos yang lebih buas daripada singa) yang menghapuskan rupa Narasimha Wisnu. Kemungkinan ini suatu cerita rekaan penganut mazhab Shaivisme untuk menunjukkan keagungan Siwa berbanding Wisnu!
  • Kalarimurti menunjukkan Siwa mengalahkan Yama, Dewa Kematian, yang ingin mengambil nyawa Markandeya, seorang pemuja Shiva.
  • Kamantakamurti menunjukkan Siwa yang memusnahkan Kama, Dewa Cinta, dengan mata api dari ketiga-Nya.
  • Andhakasuravadhamurti ialah Siwa yang menumpaskan Andhakasura, dan kemudiannya atas rayuan Andhakasura, melantiknya sebagai ketua golongan Gana (orang suruhan kerdil). Andhaka menjadi Bhrngisa.

Nrtta atau Tandavamurti

sunting

Siwa ialah seorang Raja tarian yang telah menghasilkan 108 gaya tarian. Siwa dikatakan menari setiap petang untuk mengurangkan penderitaan semua hidupan dan untuk menghiburkan para dewa-dewi yang bersidang di Kailasa. Maka, Siwa mendapat nama Sabhapati (Raja persidangan).

Rupa Nataraja ialah gaya tarian Siwa yang paling popular. Nataraja mempunyai empat tangan, dua kaki, dan gaya menari. Tangan kanan-Nya yang di atas memegang sebuah damaru (gendang) dan tangan kiri memegang api. Tangan kanan di bawah pula menunjukkan abhayamudra (simbol perlindungan) dan tangan kiri yang menunding ke bawah ke arah kaki kiri. Kaki kiri-Nya berada di atas raksasa Apasmarapurusha. Kadang-kadang suatu lilitan api mengelilingi ikon ini.

Beberapa rupa Siwa dalam gaya menari diberikan dalam beberapa Agamas seperti Ananda Tandavamurti, Uma Tandavamurti, Tripura Tandavamurti, dan Urdhva-Tandavamurti.

Dakshinamurti

sunting

Siwa juga merupakan raja segala yoga dan sains kerohanian. Sebagai Guru Sejagat, Siwa dikenali sebagai Dakshinamurti. Semasa mengajar para Rishi di Himalaya, Siwa sedang duduk menghadap arah selatan (Dakshina). Dakshinamurti mempunyai tiga mata dan empat tangan. Salah satu kaki-Nya berehat di atas Apasmarapurusha. Tangan kanan dan tangan kiri di hadapan menunjukkan simbol jnanamudra dan varadamudra (bermaksud pemberikan ilmu dan rahmat) Tangan-tangan di belakang pula sedang memegang aksamala (kalungan tasbih) dan, sama ada api atau ular. Dakshinamurti ialah Guru yang Ideal. Beberapa orang Rishi mengelilingi-Nya untuk menuntut ilmu kerohanian.

Lingodbhavamurti

sunting

Bagi menghapuskan ego Berama dan Wisnu, Siwa muncul sebagai suatu tiang api yang tiada kesudahan. Rupa Lingodbhavamurti muncul di pusat Linga dan mempunyai empat tangan. Berama dan Wisnu, berdiri di kedua-dua sisi-Nya dan memuja-Nya.

Ardhanarisvaramurti

sunting

Ini ialah rupa separuh lelaki dan separuh perempuan atau gabungan Siwa dan Parwati. Rupa ini menunjukkan keadaan dunia ini di mana lelaki dan perempuan harus dilihat sebagai saling bergantung dan sama rata.

Rupa-rupa lain dan Avatara Shiva

sunting

Bhikshatanamurti - Ini ialah rupa Siwa sebagai seorang Bhairava yang bogel, yang mengemis makanan dengan sebuah mangkuk tengkorak. Rupa ini hampir serupa dengan rupa Kankalamurti.

Haryardhamurti (juga dikenali sebagai Harihara dan Sankaranarayana) ialah rupa separuh Siwa dan separuh Wisnu. Gabungan dua Dewa ini nampaknya suatu percubaan untuk menyatukan golongan Shaivisme dan Vaishnavisme yang berselisih antara satu sama lain.

Sama seperti dewa-dewa Hindu yang lain, Siwa juga dikatakan mempunyai beberapa Jelmaan atau Avatara. Meskipun beberapa Purana menyebut tentang Avatara Shiva, namun idea ini tidak diterima oleh mazhab Saivisme. Misalnya, menurut Linga Purana, terdapat dua puluh lapan rupa Siwa yang kadang-kadang disebut sebagai Avatara. Menurut Svetasvatara Upanishad, Siwa telah mengambil empat Avatara.

Dalam Hanuman Chalisa, Hanuman disebut sebagai Jelmaan ketujuh Siwa dan kepercayaan ini diterima secara sejagat. Hanuman juga dikenali sebagai 'Rudra Avatar'.

Menurut tradisi Vedanta, Adi Sankaracharya dipercayai sebagai Jelmaan Shiva. Durvasa dan Ashwatthama (karakter dalam Mahabharata) juga dipercayai sebagai Jelmaan Shiva.

Siva dalam Purana

sunting
  1. Dewi Parvati secara main-main menutup kedua-dua mata Shiva. Ini menyebabkan seluruh dunia diselubungi kegelapan! Bagi mengatasi masalah ini, Siwa mewujudkan mata ketiga di tengah-tengah dahi-Nya. Cahaya dari mata ketiga ini menyinari dunia dan juga mengeluarkan api dan kehangatan. Selepa itu Siwa hanya membuka mata ketiga-Nya dalam masa-masa tertentu, misalnya untuk membakar Kamadeva, dewa nafsu berahi.[24]
  2. Apabila Sungai Ganga turun dari syurga dengan penuh angkuh, Siva menahan alirannya dengan rambut-Nya. Bhagiratha (yang bertanggungjawab untuk membawa Sungai Ganga ke bumi) berdoa kepada Dewa Siwa untuk membebaskan Ganga. Dewi Ganga juga memohon ampun. Akhirnya, Siwa membenarkan Ganga untuk mengalir di bumi.[25]
  3. Ketika menggodak Ksirasamudra (Samudera Susu), bulan sabit timbul darinya. Siwa memakai bulan sabit itu sebagai mahkota-Nya. Apabila racun Halahala keluar dari Samudera Susu, Siwa mencedok racun itu dan meminumnya demi menyelamatkan dunia. Parvati menekan tekak Siwa bagi menghalang racun Halahala sampai ke perut-Nya. Demikian, racun Halahala tersekat pada tekak Siwa dan menjadikan tekak-Nya kebiru-biruan.[26]

Śaivāgama

sunting

Artikel utama: Saivisme

Āgama merupakan kitab-kitab suci zaman lepas Veda yang masih relevan. Kitab-kitab ini berkaitan dengan disiplin-disiplin kerohanian, hukum-hukum etika dan amal ritual kuil. Terdapat tiga kumpulan Āgama yang penting. Kumpulan pertama ialah Śaivāgama. Kumpulan Śaivāgama juga dikenali sebagai Samhitā dan Mahātantra. Kitab-kitab ini telah wujud sejak kurun pertama S.M. Hukum-hukum falsafahnya sama dengan kultus Pāśupata.  

Śaivāgama dibahagikan kepada dua kumpulan utama: pradhānāgama (mempunyai 28 kitab-kitab) dan upāgama (mempunyai 208 atau 225 kitab-kitab).

Dalam pewayangan

sunting

Serapah-serapah yang pernah dibacakan tok dalang sebelum dan selepas mempersembahkan wayang kulit sering menyeru penghormatan kepada Siwa atau Betara Guru yang digelar banyak seperti:[27]

  • Betara Kala
  • Sang Kala
  • Tok Maha Resi Kala
  • Tok Perang Hutan
  • Yang Berduru Kaki Tunggal
  • Tok Kuku Panjang

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b Wilkinson, Richard James (1932). "Siwa". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 484.
  2. ^ Sharma 2000, m/s. 65.
  3. ^ Issitt & Main 2014, m/s. 147, 168.
  4. ^ Flood 1996, m/s. 151.
  5. ^ The Complete Works of Swami Vivekananda
  6. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 ms. 280
  7. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 ms. 280-281
  8. ^ ibid
  9. ^ ibid
  10. ^ ibid
  11. ^ ibid, ms.281
  12. ^ ibid, ms.280
  13. ^ ibid, ms.281
  14. ^ ibid, ms.280
  15. ^ ibid, ms.281
  16. ^ ibid, ms.281
  17. ^ ibid
  18. ^ ibid, ms.281
  19. ^ ibid, ms.282
  20. ^ ibid, ms.282
  21. ^ ibid, ms.282
  22. ^ ibid, ms.282
  23. ^ ibid, ms.282
  24. ^ ibid, ms.279
  25. ^ ibid, ms.279
  26. ^ ibid, ms.279
  27. ^ S. Singaravelu (Julai 1970). "Invocations to Nataraja in the Southeast Asian Shadow-Plays: With Special Reference to the Kelantan Shadow-Play". Journal of the Siam Society. 58: 45-54.
Sumber utama