Aagama (Teks Suci)
Aagama ( Devanagari : आगम , IAST : āgama ) (ஆகமம் ) (Bengali : আগম : āgama) ialah koleksi beberapa kesusasteraan Tantra dan kitab suci agama Hindu.[1] [2]Istilah ini secara harfiah bermaksud tradisi atau "apa yang telah diturunkan", dan teks-teks Aagama menerangkan kosmologi, epistemologi, doktrin falsafah, ajaran tentang meditasi dan amalan, empat jenis yoga, mantra, pembinaan kuil, pemujaan dewa, dan cara untuk mencapai enam keinginan. Teks-teks ini ditulis dalam bahasa Sanskrit dan Tamil.
Tiga cabang utama teks Aagama ialah Shaiva, Vaishnava dan Shakta.[3] Tradisi Aagama kadangkala dipanggil Tantra, walaupun istilah "Tantra" biasanya digunakan khusus untuk merujuk kepada Aagama Shakta. Kesusasteraan Aagama sangat banyak, dan termasuk 28 Aagama Shaiva, 64 Aagama Shakta (juga dipanggil Tantra), dan 108 Aagama Vaishnava (juga dipanggil Pancharatra Samhita), dan banyak Upa-Aagama (Aagama minor).[4]
Asal usul dan kronologi Aagama tidak jelas. Ada yang berasaskan pada Veda dan ada yang tidak berasaskan pada Veda. Tradisi Aagama termasuk Yoga dan konsep Kesedaran Diri termasuk Kundalini Yoga, pertapaan, dan falsafah dari Dvaita (dualisme ) hingga Advaita ( monisme ). Ada yang mencadangkan bahawa ini adalah teks pasca Veda, yang lain sebagai gubahan zaman pra-Veda sejak lebih 1100 SM.[5] [6] Bukti epigrafik dan arkeologi menunjukkan bahawa teks Aagama telah wujud pada kira-kira pertengahan milenium pertama CE, dalam era dinasti Pallava.[7] [8]
Para cendekiawan mencatatkan bahawa beberapa petikan dalam teks Aagama nampaknya menolak otoriti Veda, manakala petikan lain menegaskan bahawa ajaran mereka mendedahkan intipati Veda yang sebenar. Genre sastera Aagama juga boleh didapati dalam tradisi agama Buddha dan agama Jain. Tradisi Hindu Bali secara rasmi dipanggil Agama Hindu Dharma di Indonesia.[9] Perkataan 'Aagama' ini diterima dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada 'agama' atau 'kepercayaan'.
Etimologi
suntingAagama (Sanskrit आगम) berasal daripada akar kata kerja गम् (gam) yang bermaksud "pergi" dan awalan आ (ā) yang bermaksud "menuju", dan merujuk kepada kitab suci sebagai "apa yang telah diturunkan".
Secara harfiah, perkataan ini bermaksud ‘apa yang mengajarkan Kebenaran dari semua aspek,’ (= ā samantāt gamayati dalam bahasa Sanskrit), dan oleh itu boleh merujuk kepada Veda, atau mana-mana kitab suci.[10] Aagama , menurut Dhavamony, juga merupakan "nama umum bagi teks-teks keagamaan yang menjadi asas agama Hindu". Istilah lain yang digunakan untuk teks-teks ini termasuk Samhita ("koleksi"), Sutra ("aforisme"), atau Tantra ("sistem"). Istilah "Tantra" lebih kerap digunakan untuk Aagama Shakta berbanding Aagama Shaiva atau Aagama Vaishnava.
Asal-Usul
suntingWalaupun Aagama jelas berasal dari zaman selepas Veda kerana ia membincangkan secara terperinci tentang dewa-dewi Shiva, Shakti dan Vishnu serta kuil dan ritual mereka, adalah agak sukar untuk menetapkan asal usul dan perkembangan kronologinya. Namun, dapat dinyatakan dengan pasti bahawa beberapa Aagama yang berkaitan dengan mazhab Vishnu sudah wujud pada zaman Mahabharata. Perkembangan pelbagai Aagama mungkin berterusan sehingga abad ke-8 Masihi.
Kepentingan
suntingAagama disusun secara dialog, selalunya sebagai perbualan antara Siva dan Sakti. Format ini penting kerana ia menggambarkan wawasan rohani sebagai sesuatu yang sentiasa berterusan, perbualan kekal dan dinamik yang boleh dimasuki oleh manusia yang menerokai kesedaran diri. Aagama, menurut Rajeshwari Ghose, mengajarkan sistem kerohanian yang melibatkan pemujaan ritual dan etika tingkah laku peribadi melalui ajaran sesuatu mazhab tertentu.
Cara pemujaan dalam Aagama berbeza daripada pemujaan dalam Veda. Bagi pemujaan Veda yang melibatan upacara korban, arca dan kuil bukan suatu keperluan. Sebaliknya, penyembahan dalam Aagama amat bergantung kepada arca, kuil dan simbol. Arca, kuil dan simbol merupakan bahagian penting dalam amalan Aagama. Namun, ini tidak semestinya bermaksud bahawa Aagama dan Veda saling bertentangan, menurut ahli teologi Hindu era pertengahan. Tirumular, sebagai contoh, menjelaskan kaitan mereka seperti berikut: "Veda adalah jalan, dan Aagama adalah kuda". Bagi masyarakat Tamil, khususnya yang menganuti Saiva Siddantha, 'Veda adalah umum, dan Aagama adalah khusus."
Setiap Aagama terdiri daripada empat bahagian:
- Jnanapada, juga disebut sebagai Vidyapada – mengandungi doktrin, pengetahuan falsafah dan kerohanian, pengetahuan tentang realiti dan pembebasan.
- Yogapada – ajaran tentang yoga, disiplin fizikal dan mental.
- Kriyapada – terdiri daripada peraturan untuk ritual, pembinaan kuil termasuk prinsip reka bentuk untuk memahat, mengukir, dan penyucian arca Tuhan untuk pemujaan di kuil; pelbagai bentuk permulaan disipilin rohani atau "Diksha".
- Charyapada – menetapkan peraturan tingkah laku, pemujaan (puja), pelaksanaan upacara keagamaan, ritual, perayaan, dan ritual penebusan dosa.
Aagama menetapkan tiga syarat untuk tempat ziarah: Sthala, Tirtha, dan Murti. Sthala merujuk kepada lokasi kuil, Tīrtha adalah kolam kuil, dan Murti merujuk kepada imej tuhan (biasanya arca).
Peraturan yang terperinci juga ditetapkan dalam Aagama untuk Silpa (seni pahat), yang menerangkan keperluan kualiti bagi tempat-tempat di mana kuil dibina, jenis imej yang perlu dipasang, bahan yang digunakan, dimensi, pengedaran udara, pencahayaan dalam kompleks kuil, dan sebagainya. Manasara dan Silpasara adalah beberapa karya yang membincangkan peraturan ini. Ritual yang diikuti dalam perkhidmatan pemujaan setiap hari di kuil juga mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Aagama.
Aagama Saiva
suntingAagama Saiva juga dikenali dengan nama lain seperti Saṁhita dan Mahatantra. Ia telah wujud sejak abad pertama Sebelum Masihi.
Terdapat 28 Aagama Saiva yang utama seperti di bawah:
- Kamikam
- Yogajam
- Chintyam
- Karanam
- Ajitham
- Deeptham
- Sukskmam
- Sahasram
- Ashuman
- Suprabedham
- Vijayam
- Nishwasam
- Swayambhuvam
- Analam
- Veeram
- Rouravam
- Makutam
- Vimalam
- Chandragnanam
- Bimbam
- Prodgeetham
- Lalitham
- Sidham
- Santhanam
- Sarvoktham
- Parameshwaram
- Kiranam
- Vathulam
Kadangkala, sepuluh Aagama pertama yang disenaraikan di atas dinamakan sebagai Sivasamhita, dan selebihnya sebagai Rudrasamhita.
Sesiapa yang ingin mengamalkan disiplin Aagama Saiva perlu menjalani Diksha atau inisiasi. Proses ini dijelaskan secara terperinci. Satu perkara menarik ialah ia berbeza mengikut gotra (silsilah) dan Sakha Veda (cabang pengajian) pemohon, yang mengesahkan bahawa Aagama Saiva adalah sebahagian daripada tradisi Veda.
Aagama Sakta
suntingShakta Aagama, yang juga dikenali sebagai Tantra, adalah sangat banyak bilangannya. Krishnananda Agamavagisha telah menyusun 64 Aagama ini dalam satu jilid yang dinamakan Brihat Tantrasara. Beberapa teks Tantra yang lebih lama dalam genre ini disebut Yamala, yang secara harfiah merujuk, menurut Teun Goudriaan, kepada "keadaan kebahagiaan primordial yang bukan-dua antara Shiva dan Shakti, matlamat utama bagi seorang pengamal Tantra".
Ia mengikuti Śaivāgama dengan rapat, kecuali bahawa Śakti atau Devī (Kuasa atau pasangan Śiva) mendapat kedudukan tertinggi. Disiplin Tantra telah dibahagikan kepada dua aliran utama: Daksinacara (jalan kanan), juga dikenali sebagai ‘samaya,’ dan Vamacara (jalan kiri), juga disebut ‘kaula.’ Daksinacara mematuhi norma kerohanian yang baik dan diterima umum. Vamacara pula nampaknya menyokong teori bahawa amalan songsang atau sesat juga dapat disucikan ke tahap amalan kerohanian, menghasilkan pengalaman kebenaran tertinggi yang sama.[11]
Aagama Vaishnava
suntingAagama Vaishnava terbahagi kepada dua aliran utama – Pancharatra dan Vaikhanasa. Aagama Vaikhanasa disampaikan oleh Rishi Vikhanasa kepada murid-muridnya, Brighu, Marichi, Atri, dan Kashyapa. Kedua-dua Aagama Vaikhanasa ini mengajarkan bahawa Vishnu adalah Kebenaran Tertinggi dan menekankan kepentingan pemujaan di kuil.
Sementara itu, Aagama Pancharatra diklasifikasikan kepada tiga jenis: Divya (daripada Vishnu), Munibhaashita (daripada Muni, para resi), dan Aaptamanujaprokta (daripada kata-kata orang yang boleh dipercayai).
Sama ada Aagama ini mewakili sistem yang selari dan berasingan daripada tradisi Veda atau merupakan kesinambungan yang berakar dalam tradisi tersebut, telah menjadi subjek perbincangan dalam kalangan sarjana. Namun, Yamunacharya (918-1038 M) dalam karya ilmiahnya, Agama-pramanya, telah membuktikan secara konklusif hubungan rapat antara Aagama dan Veda.
Pancharatra Aagama
suntingMakna literal perkataan ‘Pāñcarātra’ ialah "sesuatu yang berkaitan dengan lima malam". Dikatakan bahawa Tuhan Keśava (Viṣṇu atau Nārāyaṇa) mengajarkan ilmu esoterik ini kepada Ananta, Garuḍa, Viṣvaksena, Brahmā, dan Rudra dalam tempoh lima malam (pañca = lima; rātra = malam).
Perkataan rātra juga bermaksud jñāna (pengetahuan atau kebijaksanaan). Oleh kerana ia mengajarkan lima jenis pengetahuan, ia dinamakan Pāñcarātra. Pengetahuan ini ialah:
- Tattva (kosmologi)
- Muktiprada (yang memberikan mukti atau pembebasan)
- Bhaktiprada (yang memberikan bakti atau pengabdian)
- Yaugika (yoga)
- Vaiṣayika (objek keinginan)
Atau, secara alternatif, ia dinamakan ‘Pāñcarātra’ kerana ia mengajarkan tentang lima aspek Tuhan (disebut Puruṣottama), iaitu:
- Para (tertinggi)
- Vyūha (emanasi)
- Vibhava (penjelmaan)
- Antaryāmin (yang bersemayam di dalam)
- Arcā (bentuk untuk pemujaan)
Āgama Pancharatra dan Āgama Viswanatha juga berpusat pada pemujaan kepada Tuhan Vishnu. Walaupun Vaikhanasa terutama berkaitan dengan Vaidhi Bhakti, Āgama Pancharatra mengajarkan kedua-dua Vaidhi dan Raganuga Bhakti.
Agama Jain
suntingAgama Jainisme juga mempunyai Aagama mereka yang ditulis dalam bahasa Ardhamagadhi, dan dibahagikan kepada dua: Srutanga dan Upanga.
Rujukan
sunting- ^ https://www.lakshminarayanlenasia.com/articles/Mittal__Thursby_The_Hindu_World.pdf
- ^ Grimes, John A. (1996). A Concise Dictionary of Indian Philosophy: Sanskrit Terms Defined in English. State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-3068-2. LCCN 96012383. pages 16–17
- ^ Grimes, John A. (1996). A Concise Dictionary of Indian Philosophy: Sanskrit Terms Defined in English. State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-3068-2. LCCN 96012383. pages 16–17
- ^ Klaus Klostermaier (2007), A Survey of Hinduism: Third Edition, State University of New York Press, ISBN 978-0-7914-7082-4, pages 49–50
- ^ Guy Beck (1993), Sonic Theology: Hinduism and Sacred Sound, University of South Carolina Press, ISBN 978-0-87249-855-6, pages 151–152
- ^ Drabu, V. N. (1990). Śaivāgamas: A Study in the Socio-economic Ideas and Institutions of Kashmir (200 B.C. to A.D. 700), Indus Publishing Company. ISBN 978-81-85182-38-4. LCCN lc90905805
- ^ Richard Davis (2014), Worshiping Śiva in Medieval India: Ritual in an Oscillating Universe, Princeton University Press, ISBN 978-0-691-60308-7, pages 12–13
- ^ Hilko Wiardo Schomerus and Humphrey Palmer (2000), Śaiva Siddhānta: An Indian School of Mystical Thought, Motilal Banarsidass, ISBN 978-81-208-1569-8, pages 7–10
- ^ June McDaniel (2010), Agama Hindu Dharma Indonesia as a New Religious Movement: Hinduism Recreated in the Image of Islam, Nova Religio, Vol. 14, No. 1, pages 93–111
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Agamas [1]
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Agamas [1]