Sarekat Islam
Sarekat Islam ialah sebuah persatuan perdagangan di Jawa, Indonesia yang diasaskan pada tahun 1909 di Jakarta oleh Tirto Adhi Soerjo, seorang peniaga dari Kota Surakarta. Pada asalnya dinamai Sarekat Dagang Islam (SDI), pertubuhan ini bertujuan untuk membantu peniaga-peniaga kaum bumiputera, khususnya dalam industri batik.
Sejarah
suntingPada tahun 1911, Sarekat Dagang Islam (SDI) membuka cawangannya yang pertama di Bogor. Pada tahun yang sama itu, Haji Samanhudi, seorang pedagang batik di Surakarta, menyertai SDI dan dalam tempoh yang singkat, beliau mengasaskan cawangan-cawangan SDI di beberapa kota, termasuk Surabaya.
Pada awalnya, Sarekat Dagang Islam diasaskan dengan tujuan untuk menghadapi persaingan daripada pedagang-pedagang Cina. Pada awal tahun 1912, sebuah rusuhan anti-Cina berlaku dan penguasa ketika itu mengharamkan SDI. Oleh itu, pada bulan September dalam tahun tersebut, SDI menggantikan namanya menjadi Sarekat Islam, dan melantik Omar Said Cokroaminoto sebagai ketua.
Kongres Sarekat Islam yang pertama diadakan pada bulan Januari 1913. Dalam kongres ini, Cokroaminoto menegaskan bahawa Sarekat Islam bukannya sebuah parti politik, tetapi bertujuan untuk:
- meningkatkan perdagangan di kalangan bangsa Indonesia;
- membantu anggotanya yang mengalami kesulitan ekonomi; dan
- mengembangkan kehidupan keagamaan dalam masyarakat Indonesia.
Kongres Sarekat Islam yang kedua diadakan pada bulan Oktober 1917, diikuti oleh Kongres ketiga antara 29 September hingga 6 Oktober 1918 di Surabaya. Dalam kongres ketiga ini, Cokroaminoto menyatakan bahawa jika Belanda tidak melakukan reformasi sosial secara besar-besaran, maka Sarekat Islam pada dirinya akan melakukannya di luar parlimen.
Sarekat Islam kemudian menjadi sebuah parti politik, dengan keanggotaannya berkembang dengan pesat. Daripada 360,000 orang anggota pada tahun 1916, keanggotaan Sarekat Islam meningkat menjadi dua juta orang pada tahun 1919, suatu kenaikan 77% setiap tahun pada tempoh tiga tahun tersebut.
Sarekat Islam kemudian memainkan peranan yang penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia. Cokroaminoto mempunyai tiga orang pengikut yang jelas telah mewarnai politik Indonesia, iaitu Sukarno, ahli nasionalisme, Semaun, ahli sosialis, dan Kartosuwiryo, ahli agama.
Perkembangan di Nusantara
suntingSelain di Indonesia, di Tanah Melayu, cawangan-cawangan Sarekat Islam telah ditubuhkan di Singapura, Johor Bahru, Beserah, Kuala Nerus, Marang, Kota Bharu, Pattani dan Pulau Pinang antara 1920-1928M. Perkembangan ini telah menyebabkan ia disabotaj oleh penjajah dengan isu khilafiyah dan komunis pada pertengahan 1920-an yang menyebabkan ia berpecah.[1]
Bacaan tambahan
sunting- George McTurnan Kahin. Nationalism and Revolution in Indonesia, Percetakan Universiti Cornell, 1952.
Pautan luar
sunting- (Inggeris) Laman web Lowensteyn: Sarekat Islam