Raja permaisuri

suri raja pemerintah

Raja Permaisuri (Jawi: راج ڤرمايسوري),[1] ialah seorang isteri kepada Raja atau pemerintah sesebuah kerajaan yang bertakhta dan berdaulat. Istilah tersebut terbit daripada perkataan permaisuri yang berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu परमेश्वरी (Parameśvarī, bermaksud "Wanita Tertinggi" atau Permaisuri Damping; bahasa Inggeris: Queen Consort). Kuasa permaisuri terhad dan lebih ke arah pengurusan istana, rakyat jelata serta golongan wanita dan kanak-kanak berbanding dengan peranan Ratu yang lebih berkuasa memerintah. Permaisuri atau suri dalam bahasa istana juga bermaksud isteri.

Kelaziman

sunting

Di Malaysia

sunting

Dalam kebudayaan Melayu (Indonesia, Malaysia, dan sekitarnya), gelaran permaisuri digunakan untuk merujuk pada isteri utama kepada penguasa monarki yang berjantina lelaki, baik raja mahupun sultan. Sebagaimana kedudukan permaisuri yang lebih tinggi dari pasangan raja yang lain, anak-anak raja dan permaisuri juga memiliki kedudukan yang lebih tinggi dari anak-anak dari pasangan raja yang lain. Hal ini menjadikan putera-putera permaisuri biasanya didahulukan untuk menjadi pewaris takhta.

Raja-raja Permaisuri yang sedang bertakhta:

Perbezaan gelaran permaisuri di Malaysia

sunting

Bagi sesetengah negeri-negeri Melayu beraja, gelaran bagi Permaisuri yang berketurunan raja dengan Permaisuri yang bukan berketurunan raja atau berasal dari golongan kebanyakan adalah berbeza untuk menunjukkan perbezaan status asal usul baginda. Pengurniaan gelaran kepada Permaisuri ini adalah hak Sultan atau Raja Pemerintah. Berikut merupakan peruntukan gelaran untuk Permaisuri yang bertakhta di negeri-negeri Melayu beraja:

  • Persekutuan - Gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong merupakan gelaran rasmi bagi isteri ketua utama Malaysia.
  • Negeri Sembilan - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Negeri Sembilan yang berketurunan raja. Manakala gelaran Duli Yang Teramat Mulia Che' Ampuan Besar adalah gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa).
  • Selangor - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Selangor yang berketurunan raja. Manakala gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Selangor yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa).
  • Perlis - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Perlis.
  • Terengganu - Gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berketurunan raja. Manakala gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri merupakan gelaran bagi isteri pemerintah yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa). Gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan gelaran bagi isteri pemerintah yang dikurniakan secara khas oleh Sultan.
  • Kedah - Gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan gelaran bagi isteri pemerintah, sama ada berketurunan raja atau tidak.
  • Kelantan - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berketurunan raja. Manakala gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa).
  • Pahang - Gelaran Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berketurunan raja. Manakala gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa).
  • Johor - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Permaisuri merupakan gelaran rasmi bagi isteri sultan yang berketurunan raja berstatus puteri langsung kepada seorang sultan di luar dari susur galur darah keturunan Kesultanan Johor. Manakala gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah merupakan gelaran rasmi bagi isteri sultan sama ada kerabat diraja yang bukan berstatus anak sultan atau yang berasal dari orang kebanyakan(rakyat biasa). Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan (gelaran lama) merupakan gelaran bagi pasangan Sultan jika berasal dari susur galur darah keturunan Kesultanan Johor.
  • Perak - Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Perak yang berketurunan raja. Manakala gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri merupakan gelaran rasmi bagi isteri pemerintah Perak yang berasal dari orang kebanyakan (rakyat biasa).

Di Brunei

sunting
  • Gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri merupakan gelaran rasmi bagi pasangan Sultan.
  • Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Isteri merupakan gelaran rasmi bagi pasangan Sultan yang lebih muda.
  • Gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan merupakan gelaran rasmi bagi pasangan Sultan berketurunan raja yang bukan berasal dari susur galur keturunan Kesultanan Brunei. Gelaran ini pernah disandang oleh Tengku Ampuan Raihani (30 April 1934 - 4 Jun 1950).

Peranan setaraf

sunting

Asia Timur

sunting

Sebagaimana kebudayaan Melayu, monarki di Asia Timur juga memiliki kedudukan yang dapat disejajarkan dengan permaisuri. Disebabkan kedudukan maharaja lebih tinggi kedudukannya dari raja, permaisuri maharaja atau "maharani" juga berkedudukan lebih tinggi dari permaisuri raja. Gelaran untuk raja permaisuri ditulis dengan dua aksara Cina 王妃 dan dibaca ōhi di Jepun dan wangbi di Korea, sedangkan gelaran untuk maharani ditulis dengan huruf 皇后 dan dibaca huánghòu dalam bahasa Cina, hwanghu dalam bahasa Korea, dan kōgō dalam bahasa Jepun. Permaisuri tidak hanya bertindak sebagai isteri utama raja atau maharaja, tetapi juga sebagai "Ibunda Negara" (國母, Guómǔ).

Hampir semua dinasti penguasa di Cina mensyaratkan kedudukan permaisuri hanya diisi oleh satu orang, kecuali pada masa Dinasti Yuan dan pada masa Maharaja Xuan dari Dinasti Zhou Utara. Sebagaimana di China, posisi permaisuri di Korea juga hanya dapat diisi satu orang dalam satu waktu. Pada awalnya, isteri pertama atau gundik tertinggi boleh menjadi permaisuri ketika jawatan permaisuri kosong. Namun mulai tahun 1701, keputusan dibuat untuk melarang para selir naik menjadi raja permaisuri. Pada tahun 1897, Raja Gojong menyatakan dirinya sebagai maharaja dan mengubah Kerajaan Joseon menjadi sebuah empayar yang berumur singkat, iaitu hanya sampai tahun 1910. Pada masa itu, Sunjeong merupakan satu-satunya wanita yang menjadi maharani secara rasmi ketika masih hidup. Wanita lain dianugerahi gelaran maharani secara anumerta.

Di Jepun, seorang maharaja hanya dapat memiliki satu permaisuri sampai pada zaman Heian. Setelahnya, maharaja dapat memiliki dua permaisuri, satu permaisuri bergelar kōgō, sedangkan yang lain bergelar chūgū (中宮). Larangan berpoligami mulai diperkenalkan pada masa Restorasi Meiji, menjadikan maharaja Meiji sebagai maharaja terakhir yang memiliki lebih dari satu isteri.

Eropah

sunting

Di Eropah, gelaran kebangsawanan memiliki bentuk lelaki dan perempuan, seperti gelaran bahasa Inggeris "princeprincess", "kingqueen", dan "emperor–empress". Dalam konteks penguasa monarki, biasanya seorang permaisuri menyandang gelaran yang sama sebagaimana pemimpin monarki wanita. Di United Kingdom, gelaran queen dapat digunakan untuk penguasa monarki wanita bertaraf ratu (contoh: Elizabeth II) dan raja permaisuri (contoh: Elizabeth Boweys-Lyon).

Biasanya isteri seorang raja akan dimahkotakan atau ditabalkan sebagai raja permaisuri. Namun wacana terhangat di United Kingdom berkenaan pewarisan takhta terkait dengan kedudukan Camilla, isteri Putera Charles. Beberapa pihak menyatakan bahawa ketika Charles naik takhta sebagai raja, Camilla tidak akan menerima gelaran queen sebagai para permaisuri sebelumnya, tetapi akan menyandang gelaran puteri damping atau setara dengan puteri.

Dalam sesetengah keadaan, permaisuri yang kematian rajanya (iaitu permaisuri balu dan bonda ratu) boleh menjadi pemangku raja kepada putera-puteri baginda yang masih kecil. Sebagai contoh:

Timur Tengah

sunting

Kedudukan isteri pemerintah monarki di Timur Tengah adalah bermacam-macam, tergantung adat dan undang-undang di setiap negara. Arab Saudi tidak memberikan gelaran rasmi yang dapat disepadankan dengan permaisuri bagi isteri-isteri Raja Saudi. Di Jordan, isteri raja dianugerahi gelaran malikah (ملكة) dan gelaran ini juga dapat digunakan oleh seorang ratu dalam konteks seorang pemerintah monarki. Di Maghribi, permaisuri raja dianugerahi gelaran amirah (أميرة), gelaran yang sama dengan yang disandang oleh puteri.

Pada masa Mesir Kuno, isteri utama kepada firaun yang lelaki bergelar ḥmt nswt wrt, yang dapat disejajarkan dengan permaisuri. Pada masa Kekhalifahan Uthmaniyyah, pada umumnya para pasangan sultan memiliki kedudukan yang cenderung setara. Namun pada abad keenam belas, pasangan utama sultan dianugerahi gelaran haseki sultan, gelaran yang dapat disejajarkan dengan maharani atau permaisuri.[2] Pemegang gelaran ini memiliki pangkat superioriti yang jauh mengungguli pasangan sultan yang lain, terlihat dari perbandingan pendapatan berkala yang diperoleh. Awalnya gelaran ini hanya disandang satu orang saja pada satu-satu masa, tetapi lama-kelamaan gelaran ini disandang banyak wanita dalam satu masa,contoh: ketika pemerintahan Sultan Ibrahim I, baginda mempunyai 8 permaisuri haseki sultan sekaligus yang pertama dan terakhir perkara sedemikian sehinggalah baginda digulingkan pada tahun 1648, dan kemudian tidak lagi digunakan pada abad kelapan belas. Setelah tidak digunakannya kembali gelaran haseki sultan kedudukan para pasangan sultan kembali cenderung setara tanpa perbezaan status yang menonjol. Gelaran "Kadinefendi" dan "Hanimefendi" mula digunakan untuk pasangan sultan atau isteri sultan yang sah ketika era Sultan Suleiman II sehinggalah pembubaran Empayar Uthmaniyyah pada abad ke-20.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "DBP: Istilah "Raja permaisuri"". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dicapai pada 24 Januari 2019. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  2. ^ Peirce, Leslie P. (1993). The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire. New York: Oxford University Press. ISBN 0-19-508677-5.