Portal:Permainan
Permainan adalah suatu bentuk kegiatan bermain yang biasanya dilakukan untuk hiburan atau berseronok dan kadang-kala digunakan sebagai suatu alat pendidikan. Permainan berbeza daripada kerja yang dijalankan untuk mendapat imbuhan atau karya yang merupakan suatu ekspresi unsur estetik atau ideologi. Walau bagaimanapun, perbezaannya tidaklah jelas dan banyak permainan juga dianggap sebagai kerja (seperti pemain profesional bagi suatu sukan atau olahraga) atau karya (seperti susun suai gambar atau permainan yang melibatkan tataletak artistik seperti mahjong, solitaire atau beberapa permainan video).
Kegiatan permainan kadang-kala dilakukan untuk kenikmatan dan kadang-kala untuk mendapatkan pencapaian atau ganjaran. Ia boleh dimainkan secara bersendirian, berkumpulan atau dalam talian sama ada oleh golongan amatur atau pakar. Para pemain mungkin mempunyai penonton dalam kalangan bukan pemain seperti di dalam suatu pertandingan kejohanan catur yang disaksikan oleh orang ramai. Pada masa yang sama, pemain juga boleh menjadi penonton apabila mereka menunggu giliran permainan mereka. Selalunya, sebahagian daripada hiburan untuk kanak-kanak adalah melibatkan permainan dalam menentukan siapakah yang akan menjadi pemain atau penonton. Mainan dan permainan adalah tidak sama, di mana mainan membenarkan kegiatan bermain itu dijalankan tanpa batasan manakala permainan biasanya didatangkan dengan suatu peraturan.
Komponen utama permainan ialah matlamat, peraturan, cabaran dan interaksi dan permainan biasanya melibatkan rangsangan mental dan fizikal. Kebanyakkan permainan membantu mengembangkan kemahiran-kemahiran amali, sebagai suatu bentuk senaman dan juga memainkan peranan pendidikan, simulasi dan psikologi.
Pelbagai jenis dadu dengan warna dan saiz yang berbeza. (Gambar oleh Dietmar Rabich) |