Pergunungan Zagros

Pergunungan Zagros (Parsi: رشته كوه زاگرس, Bahasa Kurdi: زنجیره‌چیاکانی زاگرۆس, Lori: کو یه لی زاگروس, Arab: جبال زغروس Aram: ܛܘܪ ܙܪܓܣ,) merupakan banjaran gunung terbesar di Iran dan Iraq. Banjaran ini panjangnya sejumlah 1,500 km (932 batu). Banjaran ini bermula di barat laut Iran lebih kurang menyamai sempadan barat Iran, mencakupi sepenuh kepanjangan bahagian barat dan barat laut penara Iran, dan berhujung di Selat Hormuz. Puncak tertinggi banjaran ini ialah Gunung Dena. Masif Hazaran di wilayah Kerman, Iran membentuk batuan terasing di timur banjaran iaitu Jebal Barez yang menjangkaui Sistan.

Peta topografi Iran dengan Banjaran Zagros
Banjaran Zagros dari angkasa, September 1992[1]
Kawasan Zagros Terlipat

Geologi

sunting

Jaluran lipat tujah Zagros terbentuk daripada berlanggarnya dua plat tektonik iaitu Plat Iran dan Plat Arab. Pelanggaran ini berlaku terutamanya sewaktu zaman Miosen dan melipatkan seluruh batu-batan yang terlonggok dari Zaman Karbon ke zaman ini dalam geosinklin di hadapan Plat Iran. Proses pelanggaran ini berterusan hingga kini, dan sedangkan Plat Arab ditolak ke atas Plat Iran, maka Banjaran Zagros dengan Penara Iran bertambah semakin tinggi. Sukatan GPS terbaru di Iran[2] mendapati bahawa pelanggaran ini masih giat dan menyebabkan canggaan yang tertabur secara tidak sekata di seluruh negara, terutamanya di jaluran gunung utama seperti Alborz dan Zagros. Sebuah rangkaian GPS yang lebih padat yang meliputi Zagros di sebelah Iran[3] juga membuktikan kadar canggaan yang tinggi di dalam lingkungan Zagros. Hasil GPS menunjukkan bahawa kadar pengecutan sekarang adalah ~10 mm/thn di bahagian tenggara dan ~5mm/thn di bahagian barat lautnya. Sesar jurus-gelincir utara-selatan Kazerun memecahkan banjaran Zagros kepada dua zon canggaan yang saling berbeza. Hasil GPS itu juga menunjukkan arah pengecutan berbeza-beza di sepanjang jaluran, iaitu pengecutan normal di Zagros Tenggara dan pengecutan serong di Zagros Barat Laut.

Litupan endapan di Zagros Tenggara bercangga di atas selapis garam batu (yang bertindak sebagai decollement mulur dengan geseran dasar yang sedikit) sedangkan di Zagros Barat Laut lapisan garamnya tiada ataupun teramat halus. Perbezaan geseran dasar ini sedikit sebanyak menyebabkan perbezaan topografi di kedua-dua belah sesar Kazerun. Topografi yang lebih tinggi serta zon canggaan yang lebih sempit di Zagros Barat Laut, sementara di Tenggara pula canggahan tersebar lebih luas dengan bentukan topografi yang lebih rendah.[4] Tekanan yang tercetus dalam kerak Bumi oleh pelanggaran itu menyebabkan lipatan berlanjutan pada lapisan batuan enapan yang sedia ada. Hakisan selanjutnya menyingkirkan batuan yang lebih lunak seperti batu lumpur (batuan yang terbentuk dengan lumpur memadu) dan batu lodak (batu lumpur yang lebih kasar sedikit butirnya) sambil membiarkan batuan yang lebih lunak seperti batu kapur (batu kaya kalsium yang terdiri daripada tinggalan hidupan laut) dan dolomit (batuan umpama batu kapur yang mengandungi kalsium dan magnesium). Kebezaan hakisan ini membentuk rabung-rabung lurus di Banjaran Zagros.

Persekitaran pengendapan dan sejarah tektonik batuan ini menggalakkan pembentukan dan pemerangkapan petroleum, maka kawasan Zagros adalah sebahagian penting daripada pengeluaran petroleum di Teluk Parsi. Kubah garam dan glasier garam kerap ditemui di Banjaran Zagros. Kubah garam adalah sasaran penting bagi penerokaan minyak kerana garam yang tidak boleh telap itu sering memerangkap petroleum di bawah lapisan batuan yang lain.

Jenis dan usia batu

sunting

Banjaran Zagros mempunyai asal-usul yang berasaskan endapan sepenuhnya dan terdiri terutamanya daripada batu kapur. Di kawasan Zagros Ternaik terdapatnya batuan Paleozoik terutamanya di kawasan tertinggi di puncak-puncak Banjaran Zagros yang di sepanjang sesar induk Zagros. Di kedua-dua belah sasar terdapat batuan Mesozoik, iaitu gabungan batuan Zaman Triasik dan Jurasik yang dikelilingi oleh batuan Zaman Batu Kapur di kedua-dua belahnya. Zagros Terlipat (iaitu gunung-ganang di selatan Zagros Ternaik dan hampir selari dengan sesar induk Zagros) rata-rata terbentuk daripada batuan Zaman Tertier dengan batuan Paleogen di selatan batuan Batu Kapur disusuli oleh batuan Neogen di selatan batuan Paleogen.

Banjaran ini terbahagi kepada banyak cabang banjaran yang saling selari (sehingga 10 batang, atau 250 km lebarnya), dan secara orogeni sama umur dengan Alps. Lapangan minyak utama Iran terletak di hilir bukit barat tengah di banjaran Zagros. Banjaran selatan Wilayah Fars agak rendah puncaknya, iaitu mencapai 4000 meter. Ia mengandungi batuan kapur yang memaparkan banyak fosil hidupan laut. Banjaran Kuhrud membentuk salah satu daripada banjaran selari pada jarak kira-kira 300 km di timur. Di kawasan di antara dua maha banjaran ini terletaknya sebuah kependudukan padat manusia yang hidup dalam lembah-lembah pertengahan yang agak tinggi tanahnya dengan iklim yang sederhana. Sungai-sungainya yang berhujungkan tasik garam membuahkan persekitaran yang subur untuk pertanian dan perdagangan.

Zon-zon

sunting

Pergunungan ini mengikut pola Barat Laut ke Tenggara. Kawasan luas ini sering dibahagikan kepada dua iaitu Zagros Utara dan Zagros Selatan. Zagros Utara mencakupi wilayah-wilayah Iran yang berikut: Azerbayejan Barat, Kurdistan, Hamedan, Kermanshahan, Ilam, Lorestan, Khuzestan, Chaharmahal va Bakhtiari. Zagros Selatan pula meliputi wilayah-wilayah: Kohgiluye va Buyerahmad, Fars, Bushehr dan Hormozgan.

Dari segi geologinya, Banjaran Zagros terbahagi kepada dua bahagian iaitu Zagros Ternaik dan Zagros Terlipat. Zagros Ternaik membentuk pergunungan timur laut sementara Zagros Terlipat terletak di selatan dan barat Zagros Ternaik. Di sebelah timur, Zagros Ternaik menghadap Tanah Tinggi Pedalaman Banjaran Zagros atau juga dikenali sebagai Zon Sanandej–Sirjan. Zagros Terlipat pula tamat di Teluk Parsi di selatan, Dataran Khuzestan di barat daya dan Mesopotamia di Barat.

Banjaran Zagros mengandungi beberapa jenis ekosistem. Yang terutamanya sekali adalah kawasan hutan dan steppe hutan dengan iklim separa gersang. Seperti yang ditakrifkan oleh Tabung Alam Sedunia dan diguna pakai dalam Wildfinder-nya, ekokawasan daratan yang tertentu di kawasan gunung sederhana ke tinggi ialah Zagros Mountains forest steppe (PA0446). Kerpasan tahunan adalah 400 mm ke 800 mm (16 to 30 inches) dan tertumpu pada musim sejuk dan bunga. Musim sejuknya teramat dingin dengan suhu yang seringkali turun mencecah −25 °C (-13 °F). Kawasan ini menjadi contoh variasi kebenuaan bagi pola iklim Mediterranean dengan musim sejuk dingin bersalji dengan musim bunga yang sederhana berhujan disusuli oleh musim panas dan luruh yang kontang.[5]

Data iklim untuk Wilayah Amadiya, Iraq
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) −0.2
(31.6)
1.4
(34.5)
6.4
(43.5)
12.2
(54.0)
19.3
(66.7)
24.8
(76.6)
29.7
(85.5)
29.6
(85.3)
25.6
(78.1)
17.7
(63.9)
9.7
(49.5)
2.7
(36.9)
14.9
(58.8)
Purata minimum suhu harian, °C (°F) −8.0
(17.6)
−6.8
(19.8)
−2.0
(28.4)
3.5
(38.3)
8.8
(47.8)
13.0
(55.4)
17.3
(63.1)
16.9
(62.4)
13.0
(55.4)
7.2
(45.0)
9.7
(49.5)
−4.3
(24.3)
5.7
(42.3)
Sumber: [6]


Flora dan fauna

sunting

Biarpun kini terjejas oleh peragutan berlebihan serta pembasmian hutan, namun kawasan Zagros masih menyimpan khazanah flora yang kaya dan kompleks. Masih terdapat tinggalan daripada kawasan hutan yang dahulunya berleluasa dan dikuasai pokok oak, begitu juga dengan tanah steppe pistasio/badam yang seakan taman. Leluhur-leluhur kepada banyak hasil tanaman makanan yang dikenali ramai seperti gandum, barli, lentil, badam, walnat, pistasio, aprikot, plum, buah delima dan anggur tumbuh dengan liar di seluruh banjaran.[7]Pokok Oak parsi (Quercus brantii) (yang meliputi lebih daripada 50% kawasan hutan Zagros) adalah spesies pokok terpenting di rantau Zagros Iran.[8]

Zagros merupakan tempat tinggal banyak hidupan terancam kepupusan, termasuklah Hamster Mencit Zagros (Calomyscus bailwardi), Burung Siul Suri Basra (Acrocephalus griseldis) dan Dubuk belang (Hyaena hyaena). Rusa parang parsi (Dama dama mesopotamica), iaitu haiwan bela jinak purba yang pernah disangka pupus ditemui semula pada akhir abad ke-20 di Wilayah Khuzestan di Zagros Selatan.

Sejarah

sunting

Tanda-tanda pertanian awal seawal tahun 9000 SM ditemui pada hilir bukit Banjaran Zagros,[9] di bandar-bandar yang kini dinamai Anshan dan Susa. Jarmo adalah salah sebuah tapak kaji purba di kawasan ini, begitu juga dengan Shanidar di mana terjumpanya rangka orang Neanderthal purba.

Bukti penghasilan wain purba turut ditemui di Pergunungan Zagros; kedua-dua petempatan Hajji Firuz Tepe dan Godin Tepe menyimpan bukti simpanan wain seawal tahun 3500 ke 5400 SM.[10]

Pada awal zaman purba, Zagros didiami oleh kaum-kaum seperti Kass, Guti, Assyria, Elam dan Mitanni yang berkali-kali mencerobohi kota-kota Sumer dan/atau Akkad di Mesopotamia. Banjaran ini membentuk halangan bumi di antara tanah pamah Mesopotamia di Iraq dengan Penara Iran. Sebuah arkib tablet lempung yang menerangkan interaksi rumit antara kaum-kaum ini pada awal alaf ke-2 SM telah ditemui di Tell Shemshara sepanjang Zab Kecil.[11] Tell Bazmusian yang berdekatan dengan Shemshara pernah dihuni pada alaf ke-6 SM sehingga alaf ke-9 Masihi.[12]

 
Gunung Oshtoran Kooh

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "Salt Dome in the Zagros Mountains,Iran". NASA Earth Observatory. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-09-23. Dicapai pada 2006-04-27.
  2. ^ Nilforoushan F., Masson F., Vernant P., Vigny C. , Martinod J. , Abbassi M.,Nankali H., Hatzfeld D., Bayer R., Tavakoli F., Ashtiani A.,Doerflinger E. , Daignières M., Collard P., Chéry J., 2003. GPS network monitors the Arabia-Eurasia collision deformation in Iran, Journal of Geodesy, 77, 411–422.
  3. ^ Hessami K., Nilforoushan F., Talbot CJ., 2006, Active deformation within the Zagros Mountains deduced from GPS measurements, Journal of the Geological Society, London, 163, 143–148.
  4. ^ Nilforoushan F , Koyi HA., Swantesson J.O.H., Talbot CJ., 2008, Effect of basal friction on surface and volumetric strain in models of convergent settings measured by laser scanner, Journal of Structural Geology, 30, 366–379.
  5. ^ Frey, W.; W. Probst (1986). Kurschner, Harald (penyunting). "A synopsis of the vegetation in Iran". Contributions to the vegetation of Southwest Asia. Wiesbaden, Germany: L. Reichert: pp 9–43. ISBN 3-88226-297-4. |pages= has extra text (bantuan); |access-date= requires |url= (bantuan)
  6. ^ "Climate statistics for Amadiya". Meteovista. Dicapai pada September 6, 2014.
  7. ^ Cowan, edited by C. Wesley; Nancy L. Benco; Patty Jo Watson (2006). The origins of agriculture : an international perspective (ed. [New ed.].). Tuscaloosa, Ala.: University of Alabama Press. ISBN 0-8173-5349-6. Dicapai pada 5 May 2012.CS1 maint: extra text: authors list (link)
  8. ^ M. Heydari; H. Poorbabaei; T. Rostami; M. Begim Faghir; A. Salehi; R. Ostad Hashmei (2013). "Plant species in Oak (Quercus brantii Lindl.) understory and their relationship with physical and chemical propertiesof soil in different altitude classes in the Arghvan valley protected area, Iran". Caspian Journal of Environmental Sciences, 2013, Vol. 11 No.1, pp. 97~110. Cite journal requires |journal= (bantuan); |access-date= requires |url= (bantuan)
  9. ^ La Mediterranée, Braudel, Fernand, 1985, Flammarion, Paris
  10. ^ Phillips, Rod. A Short History of Wine. New York: Harper Collins. 2000.
  11. ^ Eidem, Jesper; Læssøe, Jørgen (2001), The Shemshara archives 1. The letters, Historisk-Filosofiske Skrifter, 23, Copenhagen: Kongelige Danske videnskabernes selskab, ISBN 87-7876-245-6
  12. ^ Al-Soof, Behnam Abu (1970). "Mounds in the Rania Plain and excavations at Tell Bazmusian (1956)". Sumer. 26: 65–104. ISSN 0081-9271.

Pautan luar

sunting

Koordinat: 33°40′N 47°00′E / 33.667°N 47.000°E / 33.667; 47.000

Templat:Topik Iraq