Perang Ain Jalut
Pertempuran Ain Jalut (atau Ayn Jalut, Arab: عين جالوت , "Mata Air Jalut") berlangsung pada 3 September 1260 antara Mamluk Mesir dan Mongol di Palestin, iaitu di Lembah Jezreel, Galilee.
Pertempuran Ain Jalut | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Pencerobohan Mongol terhadap Palestin | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Kesultanan Mamluk |
Empayar Mongol Kerajaan Georgia Armenia Cilicia | ||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz Baibars | Kitbuqa † | ||||||
Unit terlibat | |||||||
Pasukan berkuda ringan dan pemanah berkuda, pasukan berkuda berat, infantri, pasukan meriam tangan | Tentera berkuda dan pemanah berkuda, 500 satria Armenia Cilicia dan para pengikut, infantri | ||||||
Kekuatan | |||||||
20,000 [2] | 20,000[2] termasuk | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
berat | kemusnahan hampir seluruh tentera |
Selepas setiap kekalahan di medan tempur, pihak Mongol sentiasa pulang kembali ke medan tersebut untuk menebus kekalahan mereka, dan akhirnya menewaskan musuh mereka. Pertempuran Ain Jalut menandakan kali pertama mereka gagal melakukan demikian. Ketua Ilkhanat Mongol, Hulagu Khan tidak dapat mara ke dalam Mesir, dan Kekhanan yang diasasnya di negara Parsi hanya dapat menewaskan Mamluk sekali dalam serangan-serangan terkemudian, dengan menakluk Syria dan beberapa wilayah Galilee buat beberapa bulan dalam tahun 1300 M.
Keadaan sebelum
suntingApabila Mongke Khan menjadi Khagan (Khan segala Khan) dalam tahun 1251 M, beliau dengan segera melaksanakan rancangan datuknya, Genghis Khan, untuk membina empayar dunia. Beliau memilih saudaranya, Hulagu Khan, seorang lagi cucu Genghiz, untuk menjalankan tugas menundukkan negara-negara di sebelah Barat.
Mongke mengambil masa lima tahun untuk mengumpul bala tenteranya, dan Hulagu hanya dapat menjalankan kempennya dalam tahun 1256 M. Hulagu bergerak ke selatan dari pangkalan Mongol di Parsi. Mongke Khan telah memerintahkan agar layanan baik diberi kepada sesiapa yang menyerah diri dan yang tidak memberi tentangan, dan kemusnahan kepada sesiapa yang tidak berbuat demikian. Dengan cara ini Hulagu dan tenteranya menawan sebilangan daripada dinasti atau wangsa yang paling berkuasa dan hebat pada zaman itu. Negara-negara lain yang berada di laluan Mongol menyerah diri kepada pemerintahan Mongol, dan menyumbang anggota tentera kepada tentera Mongol. Pada masa Mongol tiba di Baghdad, tentera mereka termasuk tentera Armenia Cilicia dan juga angkatan Frank yang menyerah diri di Kerajaan Antioch. Puak Hashshashin di Parsi jatuh, Kekhalifahan Abbasiyyah di Baghdad yang berusia 500 tahun musnah (lihat Pertempuran Baghdad pada tahun 1258M), dan dinasti Ayubiyyah di Damsyik jatuh ke tangan mereka. Hulagu merancang untuk mara ke arah selatan melintasi Kerajaan Jerusalem dan menghala ke pusat Kesultanan Mamluk di Mesir dan menghadapi kuasa Islam utama itu.
Utusan Mongol ke Mesir
suntingPada tahun 1260 M, Hulagu menghantar utusan kepada Sultan Qutuz di Kaherah, menuntut agar Qutuz menyerah diri:
Daripada Raja segala Raja Timur dan Barat, Khan Agung. Kepada Qutuz Mamluk, yang lari daripada pedang-pedang kami. Kamu harus fikirkan apa yang terjadi pada negara-negara lain dan menyerah diri kepada kami. Kamu sudah mendengar sekarang bagaimana kami menawan sebuah empayar yang luas terbentang dan membersih bumi daripada segala kepincangan yang mencacatkannya. Kami sudah menawan kawasan luas, membunuh semua orang. Kamu tidak boleh melepaskan diri daripada kengerian yang dibawa tentera kami. Ke mana dapat kamu melarikan diri? Jalan yang mana akan kamu guna untuk melepaskan diri daripada kami? Kuda-kuda kami pantas, anak-anak panah kami tajam, pedang-pedang kami seakan halilintar, hati-hati kami keras bagai gunung, tentera kami ramai umpama pasir. Kubu-kubu tidak akan menyekat kami, begitu juga para tentera tidak akan menghalang kami. Doa kamu kepada Tuhan tidak akan berkesan terhadap kami. Kami tidak terjejas dek tangisan mahupun rintihan. Hanya mereka yang meminta pelindungan kami akan selamat. Percepatkan jawapan kamu seblum api peperangan dinyalakan. Lawan dan kamu akan mengalami bencana yang amat dahsyat. Kami akan musnahkan masjid-masjid kamu dan dedahkan kelemahan Tuhan kamu dan kami akan membunuh anak-anak dan orang-orang tua kamu. Buat masa ini kamulah satu-satunya musuh yang perlu kami lawan.[3]
Qutuz membalas tindakan ini dengan membunuh para utusan Mongol dan mempamerkan kepala mereka di Bab Zuweila, satu daripada pintu gerbang Kaherah.
Persediaan
suntingSebagai langkah persediaan menghadapi peperangan, Qutuz melantik Baibars sebagai panglima bagi mengetuai pasukan utama tentera berkuda Mamluk.
Kempen ketenteraan
suntingImbangan kuasa bertukar berikutan kematian Khagan Mongke (semasa ekspidisi ke China). Ini memaksa Hulagu dan para pembesar Mongol yang lain untuk pulang bagi memutuskan penggantinya. Hulagu, yang berpotensi menjadi Khagan, membawa sebahagian besar bala tenteranya bersama-samanya dan meninggalkan angkatan kecil di bahagian barat sungai Euphrates: seramai satu atau dua tumen (10,000 — 20,000 orang) di bawah pemerintahan jeneral terbaiknya, Kitbuqa Noyan, seorang Kristian Nestorian puak Naiman .[4]
Sebaik sahaja mendapat berita tentang pemergian Hulagu, sultan Mamluk, iaitu Sultan Qutuz, mengumpulkan sebuah pasukan tentera yang besar di Kaherah dan menyerang Palestin.[5] Pada lewat Ogos, tentera Kitbuqa bergerak ke arah selatan dari pangkalan mereka di Baalbek, melintasi kawasan timur Laut Galilee (Tasik Tiberias).
Pada waktu itu Sultan Qutuz bersekutu dengan seorang Mamluk, Baibars, yang mahu mempertahankan Islam selepas penaklukan Baghdad dan sebahagian besar Bilad al-Syam oleh Mongol.
Pihak Mongol pula cuba membuat pakatan Frank-Mongol dengan (atau setidak-tidaknya menuntut penyerahan) saki-baki kerajaan Salibi, Kerajaan Jerusalem, yang sekarang tertumpu di Acre (Akka), tetapi dihalang Paus Alexander IV. Ketegangan antara orang Frank dan Mongol juga bertambah apabila Julian dari Sidon menyebabkan satu kejadian yang berakhir dengan kematian seorang daripada cucu Kitbuqa. Dengan perasaan marah, Kitbuqa memusnahkan Sidon. Para pembesar Akka, yang diserang Mongol, juga dihubungi oleh Mamluk yang mencari sekutu untuk menentang Mongol.
Walaupun Mamluk menjadi musuh tradisional Frank, para Baron Acre melihat Mongol sebagai ancaman masa terdekat; justeru para Salibi memilih untuk berkecuali.[6] Dalam satu gerakan yang luar biasa, mereka bersetuju agar Mamluk Mesir dibenarkan mara ke utara melalui kawasan-kawasan Salibi tanpa diganggu, malah juga membuat pangkalan berdekatan Akka. Apabila tiba berita yang pihak Mongol telah menyeberangi Sungai Jordan, Sultan Qutuz dan angkatannya bergerak ke arah tenggara menuju mata air anak sungai di Ain Jalut di Lembah Jezreel.[7]
Pertempuran
suntingAngkatan yang bertentangan bertemu di Ain Jalut pada 3 September 1260 M, dengan kekuatan kedua belah pihak seramai 20,000 orang.[2] Tentera Mongol yang juga disertai tentera Kerajaan Georgia dan lebih kurang 500 satria daripada Kerajaan Armenia di Cilicia, negara-negara yang telah tunduk kepada Mongol, mara dahulu. Pihak Mamluk memiliki kelebihan pengetahuan tentang letak bentuk tanah dan Qutuz mengambil kesempatan kelebihan ini dengan menyembunyikan sebahagian besar angkatannya di tanah tinggi, dengan harapan dapat memancing Mongol dengan angkatan yang lebih kecil yang diperintah Baibars. Kedua-dua angkatan bertempur buat beberapa jam dengan Baibars menggunakan taktik pukul dan lari untuk membangkitkan kemarahan Mongol dan juga untuk memelihara kekuatan tenteranya. Apabila Mongol menjalankan serangan kuat, Baibars — yang dikatakan orang yang menetapkan strategi keseluruhan pertempuran memandangkan beliau telah menghabiskan banyak masa di wilayah itu semasa menjadi orang buruan — dan tenteranya berpura-pura berundur dan mengumpan Mongol ke tanah tinggi di mana mereka diserang hendap oleh baki angkatan Mamluk yang telah menyorokkan diri di antara pokok-pokok di kawasan tinggi tersebut. Ketua Mongol, Kitbuqa, yang sudahpun berang berikutan tindakan Baibars yang sentiasa melarikan diri dan mengelak daripada bertempur secara berdepan-depan, membuat satu perkiraan silap. Jauh daripada berasa curiga dan mengesyak suatu perengkap, Kitbuqa mengambil keputusan untuk terus mara ke hadapan dengan semua bala tenteranya untuk mengejar tentera Mamluk. Apabila sampai di tanah tinggi, tentera Mamluk muncul dari tempat persembunyian dan menyerang dengan panah berapi dan pasukan berkuda. Tentera Mongol mendapati bahawa mereka dikelilingi Mamluk di setiap sisi.
Tentera Mongol bertempur dengan garang dan gigih untuk keluar daripada perangkap. Qutuz memerhati dari jauh bersama-sama pasukannya. Apabila Qutuz menyedari bahawa saya kiri Mamluk hampir musnah oleh Mongol yang terdesak mencari jalan keluar, belaiu membuang topi besinya agar dapat dikenali anggota tenteranya. Tidak lama kemudian beliau kelihatan mara ke medan pertempuran dan mara ke bahagian kiri ketumbukan Mamluk. Pihak Mongols ditolak ke belakang dan berundur ke kawasan berdekatan Bisan, diikuti pasukan Qutuz. Bagaimanapun, tentera Mongol dapat berkumpul kembali dan menjalankan serang balas yang berjaya. Namun, pertempuran mula memihak Mamluk yang pada masa ini menikmati kelebihan psikologi dan geografi, dan seterusnya Mongol terpaksa berundur. Pada akhir pertempuran, tentera berkuda berat Mamluk berjaya melakukan apa yang tidak pernah dilakukan mereka, yakni menewaskan Mongol dalam pertempuran jarak dekat.[7]
Pertempuran Ain Jalut juga dikenali sebagai pertempuran terawal yang melibatkan penggunaan meriam tangan (Arab: midfa ). Bahan-bahan letupan ini digunakan Mamluk Mesir untuk menakutkan kuda dan pasukan berkuda Mongol dan menyebabkan barisan Mongol menjadi kucar-kacir. Bahan-bahan ini kemudiannya diperikan dalam risalah-risalah kimia Arab pada awal abad ke-14.[8][9]
Kesan
suntingDalam perjalanan pulang ke Kaherah berikutan kemenangan di Ain Jalut, Qutuz dibunuh beberapa amir dalam satu komplot yang diketuai Baibars.[10] Baibars menjadi Sultan baharu. Pewaris-pewarisnya akan terus menawan negara Salibi terakhir di Tanah Suci pada tahun 1291 M. Mongol sekali lagi tewas pada Pertempuran Homs Pertama kurang setahun kemudian, dan diusir terus daripada Syria.
Konflik saudara menghalang Hulagu Khan daripada mengenakan kekuatan penuh terhadap Mamluk bagi membalas kekalahan di Ain Jalut. Berke Khan, dari Kekhanan Kipchak di Rusia, memeluk Islam dan melihat dengan perasaan terpempan semasa saudaranya Mongke memusnahkan Khalifah Abbasiyyah, ketua agama Islam. Sejarawan Muslim Rashid-al-Din Hamadani, memetik Berke sebagai menghantar perutusan ini kepada Mongke Khan, membantah serangan terhadap Baghdad (tanpa menyedari bahawa Mongke telah meninggal dunia di China):
Dia (Hulagu) telah melanggar dan memusnahkan semua kota Muslim, dan menyebabkan kematian Khalifah. Dengan pertolongan Allah saya akan membuatnya menjawab pertumpahan darah mereka yang tidak berdosa.
[11] Pihak Mamluk, yang mendapat maklumat daripada para pengintip bahawa Berke seorang Muslin dan tidak sebulu dengan sepupunya memupuk perhubungan bai dengan Berke dan kekhanannya.
Selepas penyelesaian pewarisan Mongol, dengan Kublai terpilih sebagai Khan Agung (Khagan) terakhir, Hulagu pulang ke tanah airnya pada tahun 1262 M, dan mengumpul tenteranya untuk menyerang Mamluk dan membalas dendam kekalahan di Ain Jalut. Walau bagaimanapun, Berke Khan memulakan beberapa serangan kuat yang mengumpan Hulagu ke utara, berjauhan dari Levant untuk bertemunya. Hulagu mengalami kekalahan teruk dalam satu percubaan untuk menyerang Kaukasus pada tahun 1263 M. Ini ialah peperangan terbuka pertama antara Mongol dan menjadi titik tolak berakhirnya satu empayar bersatu.
Hulagu hanya mampu menghantar tentera kecil seramai dua tumen dalam percubaan tunggalnya untuk menyerang Mamluk selepas Ain Jalut, dan serangan itu dapat dipatahkan Mamluk. Hulagu Khan meninggal dunia pada tahun 1265 M dan diganti anaknya Abaqa Khan.
Rujukan
sunting- ^ Runciman, Steven, A History of The Crusades, Vol. III, The Kingdom of Acre and the Later Crusades, Cambridge University Press, 1995, p.312
- ^ a b c Cowley, p.44, states that both sides were evenly matched at 20,000 men. Cline says that "In short, the . . . armies that were to meet at 'Ayn Jalut were probably of approximately the same size, with between ten thousand and twenty thousand men in each.", p. 145. Fage & Oliver, however, state that "the Mongol force at Ayn Jalut was nothing but a detachment, which was vastly outnumbered by the Mamluk army", p. 43.
- ^ Tschanz, David W. "Saudi Aramco World : History's Hinge: 'Ain Jalut".
- ^ René Grousset (1970). The Empire of the Steppes: A History of Central Asia. Rutgers University Press. m/s. 361 &, 363. ISBN 0-8135-1304-9.
- ^ p.424, 'The Collins Encyclopedia of Military History' (4th edition, 1993), Dupuy & Dupuy,
- ^ Morgan, p. 137.
- ^ a b Bartlett, p. 253
- ^ Ahmad Y Hassan, Gunpowder Composition for Rockets and Cannon in Arabic Military Treatises In Thirteenth and Fourteenth Centuries
- ^ Ancient Discoveries, Episode 12: Machines of the East. History Channel. 2007. (Part 4 and Part 5)
- ^ Although medieval historians give conflicting accounts, modern historians assign responsibility for Qutuz's assassination to Baibars, as Baibars had been promised Syria as a reward for his efforts in Ain Jalut but when it was time to claim his prize, Qutuz commanded him to be patient. See Perry (p. 150), Amitai-Preiss (p. 47, "a conspiracy of amirs, which included Baybars and was probably under his leadership"), Holt et al. (Baibars "came to power with [the] regicide [of Qutuz] on his conscience"), and Tschanz. For further discussion, see article on "Qutuz".
- ^ The Mongol Warlords quotes Rashid al Din's record of Berke Khan's pronouncement; this quote is also found in Amitai-Preiss's The Mamluk-Ilkhanid War.