Hasyuda Abadi
HASYUDA ABADI adalah nama pena kepada Tuan Haji Sukor bin Haji Usin. Anak kedua kepada Tuan Haji Usin Ripan dan Puan Hajah Subiah Sidek ini dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Ayahnya berketurunan Murut, berasal dari daerah Tenom, Sabah. Ibu Hasyuda Abadi berketurunan Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Lima orang adik Hasyuda terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan.
Hasyuda Abadi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Lumadan, Beaufort pada 1967-1972 kemudian meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah St John Beaufort sehingga Tingkatan Lima aliran Sains pada 1973-1978. Hasyuda seterusnya mendalami bidang Pengajian Melayu dengan Kepujian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Kota Kinabalu pada 2015.
Hasyuda Abadi dibesarkan dalam sebuah keluarga yang relatif susah di era Sabah (North Borneo) masih berada dalam jajahan British. Hampir 90 peratus masyarakat di tempat kelahirannya bekerja sebagai penoreh getah di sebuah Estet Getah Lumadan. Estet ini adalah antara estet-estet getah yang luas di Sabah ketika itu. Ayahnya pula telah membeli sebidang tanah seluas dua ekar di mana di situlah ayahnya membina rumah yang amat tipikal sebagai bahagian daripada landskap perkampungan tradisi yang wujud sehingga kini.
Hasyuda Abadi lahir dan dibesarkan di rumah yang serba biasa seperti kebanyakan kemampuan yang dimiliki jiran-jiran ayahnya. Suasana kehidupan desa yang harmoni menjadi meriah ketika para pekerja estet menerima upah mereka. Pada suasana inilah Hasyuda Abadi telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang digemari pekerja, guru-guru[1] sekolah dan penduduk kampung seperti sukan bola sepak, sabung ayam dan aktiviti seni pentas. Estet Lumadan mempunyai sebuah pasar dan sebuah panggung wayang. Panggung wayang[2] ini agak besar juga. Setiap bulan akan ditayangkan filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood, Malaysia dan Indonesia. Bagi pekerja estet yang meminati dunia hiburan mereka melibatkan diri dengan akviti pentas bangsawan, sandiwara, lawak jenaka, persembahan kugiran dan tarian. Di pentas inilah Hasyuda Abadi beraksi buat pertama kali melalui persembahan bacaan sajak ketika dalam darjah tiga.
Suatu ketika dahulu Hasyuda Abadi pernah bercita-cita menjadi seorang guru tetapi cita-citanya itu tidak menjadi kenyataan. Semasa di sekolah menangah, setelah lulus peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), beliau naik tingkatan empat dalam aliran sains. Hasyuda Abadi amat meminati subjek matematik. Sehabis menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) beliau merantau ke Kota Kinabalu pada tahun 1979 dan mendapat tawaran kerja tetap di Jabatan Penyiaran Malaysia. Enam tahun kemudian Hasyuda Abadi berpindah ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga beliau bersara pilihan pada tahun 2015.
Di awal perkenalannya dengan dunia kesenian, Hasyuda Abadi terlibat sebagai seorang penari kebudayaan. Beliau menyertai Kumpulan Anak Seni, ketika itu di bawah pimpinan Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain. Minat kepada dunia penulisan sebenarnya lahir secara kebetulan apabila gerakan kesenian di Kota Kinabalu yang luar biasa mengetengahkan aktiviti-aktiviti sastera dan teater berlaku pada era berkenaan. Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya diberi tunjuk ajar oleh Datuk Hajah Zaiton Ajamain dalam bidang penulisan puisi. Disebabkan keghairahan masa muda ketika itu, Hasyuda Abadi kian meminati sastera, menulis puisi dan menulis rencana sastera di media massa di samping menyertai kegiatan-kegiatan kesenian di tempat lain. Hasyuda Abadi sering menyertai Hari Puisi Nasional dan Hari Sastera bersama Kumpulan Anak Seni. Pengalaman manisnya ketika menyelenggara Majalah Api-Api dan menerbitkan buku antologi puisi secara stensilan menjadi suatu inspirasi ingin terus cenderung dalam dunia persuratan. Pengalaman lain seperti turut serta bengkel penulisan dan bengkel deklamasi puisi juga menjadi pendorong besar Hasyuda Abadi terus bergiat melahirkan karya dan sekaligus sebagai aktivis yang bergerak cergas dalam bidang ini. Dalam bidang seni tari, beliau menerima latihan daripada Allahyarham Datuk Zulkifli Zain manakala dalam dunia skrip, lakonan pentas dan deklamasi puisi, beliau dibimbing oleh Tuan Haji Marzuki Ali.
Bersama Kumpulan Anak Seni, Hasyuda Abadi pernah menjawat Setiausaha Kehormat selama tiga tahun. Antara kegiatan besar yang beliau turut terlibat ialah menganjurkan program pengucapan puisi patriotisme di Mini Auditorium Yayasan Sabah, persembahan drama tari ‘Putera Rambang Rambunut’ di Maktab Perguruan Kent Tuaran di samping sering menyertai pertandingan tarian dan drama tahunan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah.
Karya pertama Hasyuda Abadi merupakan sebuah karya genre puisi bertajuk ‘Mengapa oh Mengapa’ tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980. Puisi ini bernada protes sesuai dengan jiwa pemuda ketika itu. Beliau juga menulis cerpen, rencana sastera dan rencana umum selain menulis skrip drama radio.
Pada peringkat awal, bentuk tulisan Hasyuda Abadi begitu dipengaruhi[3] karya-karya Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain, kerana beliau merupakan guru pertama dalam dunia seni dan penulisan. Selepas itu melalui kewibawannya menulis secara prolifik dalam pengkaryaan serta sering menyertai bengkel penulisan dan aktiviti persuratan, beliau berjaya menguasai dunia persuratan khususnya puisi mengikut acuan dan bentuknya sendiri. Karya-karya Hasyuda Abadi tersiar secara konsisten dalam media massa di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo kemudian di media massa nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasyuda amat prolifik mulai tahun 1981 apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar di media massa di Sabah.
Pada 1985, sebuah karyanya bertajuk Salam Buat Kekasih yang tersiar di Harian Ekspres pada 17 November 1985 telah terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Kemenangan puisi Hasyuda Abadi ini merupakan kesinambungan penulis-penulis terdahulu dari negeri Sabah iaitu Datuk Haji Jamdin Buyung, Tuan Haji Hashim Jeffri dan Allahyarham Haji Saidi Lampoh (S. Mala) dengan tempoh yang sangat langka.
Pada tahun 1987, beliau mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di bawah asuhan penyair tersohor Malaysia, Allahyarham Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Pada tahun 1997, Hasyuda Abadi bertuah kerana terpilih menyertai Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera)[4] di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta. Dalam Program anjuran Mastera ini, Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya dibimbing oleh Allahyarham Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.
Hasil daripada Program Penulis Anak Angkat telah melahirkan buku puisi sejarah berjudul Balada Paduka Mat Salleh. Buku puisi panjang ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989 berlatar belakangkan sejarah perjuangan seorang pahlawan pribumi Negeri Sabah bernama Mat Salleh menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan Malaysia ketika itu.
Apabila Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada 1990, Hasyuda Abadi mengambil keputusan menyertainya dengan iltizam untuk turut serta meredah gelora sastera mutakhir ketika itu. IPS digerakkan oleh sekumpulan anak muda diketuai Datuk Jasni Matlani dan rakan-rakannya di sekitar Kota Kinabalu membawa mesej baharu agar suara penulis-penulis muda didengar dan diambil perhatian oleh pelbagai pihak. IPS bergerak cergas dalam mencapai misi dan visinya menyebarluaskan intisari susastera di negeri Sabah dan Malaysia. Fokus IPS tertumpu dalam membina penulis-penulis muda dan memperkasakan aktiviti penerbitan buku.
Hasyuda Abadi pernah memimpin IPS selama dua dekad (1998 hingga 2018 apabila mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Jasni Matlani pada 1998). Sepanjang pimpinannya, IPS telah berjaya meraih gelaran persatuan paling aktif di Sabah menerusi Hadiah Tinta Sastera kategori persatuan anjuran Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) dan DBP Cawangan Sabah selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1999, 2002 dan 2004. Hasyuda Abadi juga terlibat dalam penubuhan Institut Penilaian Sastera[5] (INPES) bersama-sama Datuk Dr Haji Janathan Kandok dan Abd Naddin Haji Shaiddin. INPES mempunyai landasan yang mandiri dalam visinya mengangkat sastera sekaligus mengiktiraf pengarang di lokaliti ia lahir dan dibesarkan.
Hasyuda Abadi juga merupakan ahli sepanjang hayat dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).
Kegiatan persuratannya yang rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa berasa jemu. Hasyuda Abadi sering menyertai dan memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Kegiatan ini berlangsung setiap tahun bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam di Negeri Sabah.
Para penganalisis sastera tanah air pernah memberikan komentar terhadap karya-karya Hasyuda Abadi. Almarhum T. Alias Taib misalnya, pernah memberi sebuah tanggapan kepada Hasyuda dalam Dewan Sastera, April 2000 bahawa Hasyuda Abadi, tampaknya, berusaha memberikan ungkapan asli dan segar. Allahyarham Dharmawijaya dalam Dewan Sastera pada Mei 2003 berpandangan, karya Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam pendayagunaan bahasa.
Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)[6] melihat peningkatan Hasyuda Abadi menerusi epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak bila Hasyuda Abadi berubah? Kemala bertanya. Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar Al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tidak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranjau yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram (pancaran) bulan dilangit dan bayangan bulan di danau (tasik)? Kemala pernah mengasuhnya dulu, mungkin kini Hasyuda Abadi menurut Kemala, sudah melalui denainya sendiri.
Datuk Jasni Matlani ketika menganalisis dunia kepenyairan Hasyuda Abadi menurutnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.
Menurut Jasni, Hasyuda Abadi merupakan salah seorang penulis yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah. Penulis ini mencipta rekod dalam sejarah sastera Sabah sebagai penulis yang amat menyerlah dalam genre puisi selama 40 tahun secara berterusan. Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisi-puisinya yang bervariasi, dengan permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini, matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain dengan begitu indah dan mengagumkan.
Berbeza dengan beberapa penyair Sabah, Malaysia yang pernah kita mesrai karyanya, Hasyuda Abadi memilih jalur fikir yang agak tersendiri. Ini pandangan jujur daripada Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul,[7] Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah. Ketika ramai penyair lain gemar berbicara tentang konflik dalaman diri (sama ada melibatkan gelora cinta, idealisme, kerohanian atau pencarian nur jiwa) – penyair ini keluar dari kongkongan begitu. Beliau lebih cenderung memberi kritik sosial. Yang ditujukan kepada pelbagai ceruk komuniti dan entiti-entiti manusiawi yang terolah di persekitaran.
Narudin[8] penelaah sastera di Indonesia menyatakan, secara perbandingan, puisi-puisi Hasyuda Abadi mengingatkan pada puisi-puisi demonstrasi Taufiq Ismail dan puisi-puisi pamflet W.S. Rendra. Namun, letak perbezaannya, Hasyuda Abadi tengah terus mendobrak tradisi puisi Melayu di Malaysia dengan bentuk puisi prosais. Dengan demikian, Hasyuda Abadi mengikut Narudin sebagai salah satu penyair kontemporer Sabah, Malaysia.
[1] Salah seorang guru yang aktif pada era ini bernama Cikgu Ibrahim Mohammed. Beliau berasal dari Kampung Pimping Membakut, Sabah. Beliau juga merupakan penulis puisi yang prolifik ketika itu, sering menulis puisi-puisi eksperimen dan dianggap penulis yang lari daripada konvensional.
[2] Taukeh panggung wang ini biasanya dipanggil Kim Soon atau nama Islamnya Mohd Rais Abdullah.
[3] Pengaruh di sini bermaksud bentuk karya dari segi laras bahasa dan teknik penulisan.
[4] Hasyuda Abadi bersama Dr Hazami Jahari, Uthaya Sangkar dan Mattaib Nordin dipilih menyertai Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia pada tahun 1997.
[5] Institut Penilaian Sastera atau INPES, diperkenankan kelulusannya oleh TYT Yang DiPertua Negeri Sabah dan di bawah Amanah Raya Berhad (ARB). INPES dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Haji Dr. Janathan Kandok.
[6] Rujukan http://groups.yahoo.com/group/Zikir_group/message/760
[7] Petikan prakata Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul dalam buku Kumpulan Puisi ‘Suara yang Terbuka’ terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).
[8] Catatan Narudin Pituin di Facebook pada 25 September 2018 - https://web.facebook.com/Narudin.Pituin1/posts/10212644159567667