MOHD ABU AL-GHIDA’ BIN JAMALUDDIN

Mohd Abu Al-Ghida’ bin Jamaluddin merupakan Pegawai Khas kepada Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dato’ Dr. Zubir bin Harun.

KELUARGA

Beliau dilahirkan pada 27 April 1988 di Gombak, Selangor. Beliau adalah berketurunan Melayu berdarah Bugis.

Beliau merupakan anak kedua dari 11 orang adik-beradik yang mana 3 orang daripadanya merupakan adik dari sebelah ibu tirinya. Tetapi pada umur 5 tahun beliau sudah menjadi yang sulung selepas kematian abangnya akibat kemalangan jalan raya tahun 1993. Beliau mempunyai 4 orang adik perempuan dan selebihnya adalah lelaki.

PENDIDIKAN

Beliau mula mendapat pendidikan darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala pada tahun 1995. Kemudian semasa darjah 2 beliau berpindah ke Sekolah Kebangsaan Menjalara pada tahun 1996. Pada tahun 1997 ketika darjah 3 beliau mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuang sehingga tamat darjah 6.

Pada tahun 2001 beliau mendapat pendidikan menengah rendah di Sekolah Menengah Agama (JAIM) Darul Falah di Melaka dimana ketika itu beliau tinggal di asrama yang semua pelajarnya adalah lelaki. Beliau mengikuti kelas peralihan selama setahun untuk belajar bahasa Arab sebelum melangkah ke kelas tingkatan 1. Beliau tamat di sekolah ini sehingga tingkatan 3 pada tahun 2004. Pada tahun 2005, beliau telah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading untuk menduduki tingkatan 4 dan 5.

Seterusnya beliau melanjutkan pengajian pada tahun ke peringkat Sijil Tahun Asas bidang Sains di Universiti Selangor (UNISEL) pada penguhujung tahun 2007. Beliau layak untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Dalam masa yang sama beliau mendapat tawaran biasiswa daripada sebuah syarikat untuk menyambung pelajaran dalam bidang Kesusasteraan Bahasa Mandarin selama 5 tahun di Universiti Jinan, Guangzhou, China. Tetapi beliau sempat berada di sana hanya selama satu semester sahaja dan kemudian balik ke Malaysia atas faktor peribadi. Kemudiannya beliau mendaftar semula pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UNISEL dalam bidang Bioinformatik. Beliau merupakan satu-satunya pelajar yang mengambil jurusan dalam bidang tersebut semasa sesi pengambilan pelajar baru ketika itu.

KERJAYA

Sewaktu cuti sekolah akhir tahun ketika berumur 15 tahun, beliau mula bekerja sebagai operator dan kelindan di sebuah syarikat perabot. Manakala ketika cuti sekolah ketika umurnya 16 tahun, beliau bekerja sebagai operator kilang di Kilang Malaysia Sheet Glass (MSG) selama sebulan setengah. Kemudian selepas tamat sekolah pada tahun 2006, beliau berkhidmat sebagai penolong keselamatan di AEON Bandar Utama selama setahun sebelum menyambung pengajian.

Semasa dalam tempoh pengajian, beliau pernah menjalani latihan industri selama 4 bulan di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia. Selepas tamat sahaja pengajian pada tahun 2013, beliau berkhidmat di salah sebuah NGO tertua di Malaysia iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sebagai Ketua Sukarelawan dan Pegawai Program. Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerja GPMS sehingga pertengahan tahun 2015 dan meletakkan jawatannya untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi GPMS.

Pada Oktober 2015 beliau mula berkhidmat di Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) sebagai Penolong Pegawai Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat. Pada Mac 2017 pula beliau telah menerima tawaran untuk menjadi Pegawai Khas kepada Pengerusi Eksekutif AIM sehingga sekarang.

NGO

Semasa beliau di dalam universiti lagi telah aktif dengan persatuan dengan mula mendaftar sebagai ahli Rakan Muda Rakan Masyarakat. Kemudian beliau mendaftar GPMS pada April 2008 dan mengikuti kursus perkaderan GPMS di Kuala Lipis. Sehinggalah pada tahun 2011 beliau telah dilantik sebagai Yang Di Pertua (YDP) GPMS Cawangan Khas UNISEL Bestari Jaya.

Setelah tamat pengajian pun beliau masih lagi aktif berpersatuan dengan berkhidmat di Ibu Pejabat GPMS dengan menerima elaun bulanan. Antara jawatan yang pernah digalas semasa berkhidmat di Ibu Pejabat GPMS adalah sebagai Ketua Sukarelawan, Pegawai Program dan Penolong Setiausaha Kerja. Tugas utama beliau ketika itu adalah mentadbir urus kegiatan aktiviti GPMS Cawangan Khas seluruh Malaysia.

Beliau pernah terpilih sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Selangor pada penggal 2015/2016 setelah mendapat undian yang ke 25 tertinggi daripada 66 orang calon yang bertanding di Negeri Selangor. Kesemua APBM berjumlah 133 orang dan kuota untuk Negeri Selangor pula berjumlah 25 orang sahaja. Beliau ditempatkan dalam Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti.

Beliau juga merupakan pengasas kepada GPMS Cawangan Selayang yang ditubuhkan pada tahun 2014 dan sehingga kini masih lagi memegang jawatan sebagai YDP GPMS Cawangan Selayang. Pada tahun 2015, beliau telah bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GPMS peringkat kebangsaan dan telah memenangi jawatan tersebut. Kini beliau memegang portfolio sebagai Pengerusi Biro Hal Ehwal GPMS Cawangan Khas.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Belia Selangor Daerah (MBSD) Gombak setelah memenangi perebutan jawatan tersebut dalam pertandingan dua penjuru menghadapi calon lawan daripada Majlis Belia 4B Gombak semasa Mesyuarat Agung Tahunan MBSD Gombak pada tahun 2016.

Bagi aktiviti kemasyarakatan pula, beliau bergiat aktif dalam program-program pendidikan seperti memberikan ceramah motivasi kepada pelajar sekolah dalam Skuad Jejalah Motivasi, kem-kem motivasi, aktiviti outdoor dan sebagai panel dalam banyak forum. Beliau turut aktif dalam misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir di Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga pernah mengikuti misi bantuan kemanusiaan peringkat antarabangsa sebanyak dua kali. Pertamanya pada tahun 2014 iaitu Misi Bantuan Kemanusiaan dan Pendidikan ke Kemboja sempena Hari Raya Aidiladha dimana beliau diberi tanggungjawab sebagai penyelaras sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa IPG, UIA dan UPSI. Seterusnya Misi Kemanusiaan “Food Flotilla for Rohingya” ke Bangladesh dan Myanmar dengan menghantar bantuan makanan menaiki kapal Nautical Aliya. Beliau mewakili GPMS bersama-sama pelbagai NGO lain dari pelbagai negara dalam satu kapal.

ANUGERAH

Semasa beliau memimpin GPMS Cawangan Khas UNISEL Bestari Jaya, cawangan tersebut pernah dinobatkan sebagai finalis GPMS Cawangan Terbaik seluruh Malaysia pada tahun 2012. Beliau juga pernah menerima anugerah Tokoh Pemimpin Muda GPMS semasa Persidangan Agung Tahunan GPMS pada tahun 2014. Selain daripada itu, beliau turut menjadi wakil kepada pemimpin muda untuk menerima anugerah pemimpin muda yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi dalam satu program Perhimpunan Perpaduan Melayu di Bukit Jalil pada tahun 2015 anjuran Majlis Perundingan Melayu.