Abu Izzh At-Tualanji
Kamal Izat Bin Ahmed adalah merupakan salah seorang pegawai di Jabatan Agama lslam Perak. Beliau telah memulakan kariernya di Jabatan semenjak 1 September 1995. Penempatan pertama beliau telah di tempatkan di Pejabat Agama Islam Daerah Lenggong. Selama 2 tahun di sana beliau ditukarkan ke Unit Kariah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Perak. Di sinilah beliau banyak menumpahkan perkhidmatannya bagi membangunkan dan mentadbir pentadbiran masjid dan surau di seluruh Negeri Perak. Beliau menguasai sepenuhnya segenap aspek pentadbiran masjid dan surau sehingga menjadi rujukan utama di Jabatan Agama Islam Perak mengenai hal ehwal pentadbiran masjid dan surau.
Beliau pernah berkhidmat di beberapa buah daerah di Negeri Perak sebagai Pegawai Tadbir Agama Daerah atau Qadi Daerah. Di antaranya adalah Daerah Ipoh, Kuala Kangsar dan juga Taiping. Beliau menjawat jawatan Pengerusi Majlis Permuafakatan Pegawai-Pegawai Tadbir Agama Negeri Perak (MPPTA) bagi menyatukan suara Pegawai Tadbir Agama bagi menyampaikan segala pandangan kepada pihak atasan. Melalui Majlis seperti ini segala aktiviti dan kegiatan Pejabat Agama Islam Daerah dapat di selaraskan.