Arthur Ernest Percival

(Dilencongkan daripada Jeneral Percival)

Leftenan-Jeneral Arthur Ernest Percival CB, DSO and Bar, OBE, MC, OStJ, DL (26 Disember 1887 – 31 Januari 1966) adalah seorang pegawai Tentera British yang paling dikenali sebagai Panglima Tentera British yang ditewaskan oleh pasukan Tentera Jepun yang menakluk Tanah Melayu dalam bulan Februari 1942.

Arthur Ernest Percival Semasa Menjadi GOC Malaya Command

Percival telah berkhidmat dalam Tentera British sejak Perang Dunia Pertama dan menjadi wira dalam peperangan itu. Dalam tahun-tahun di antara perang, Percival telah membina kerjaya tentera yang cukup berjaya. Pengalaman dan kekananannya membolehkan beliau dilantik menjadi Panglima Markas Pemerintahan Tanah Melayu ataupun Malaya Command dalam bulan April 1941 sehinggalah penyerahan diri pasukan British kepada tentera Jepun dalam bulan Februari 1942.

Kekalahan pasukan British pimpinan Percival kepada satu pasukan tentera Jepun yang lebih kecil merupakan kekalahan paling teruk dialami oleh pihak British dan di dalam sejarah tentera British. Kekalahan itu menjatuhkan imej dan prestij orang-orang British di kalangan orang-orang Asia [1] [2] yang tidak lagi melihat orang British sebagai orang-orang yang kebal (invincible). Tetapi sebab kekalahan pasukan pimpinan Percival boleh dikesan kepada kurang perhatian pemerintah British kepada keperluan pertahanan Tanah Melayu (British mementingkan pertahanan Singapura) dan sikap tidak endah British sehingga menyebabkan kelengkapan pasukan tentera yang ditugaskan di Tanah Melayu serba kekurangan dan tidak mencukupi.

Hayat Awal

sunting

Arthur Ernest Percival dilahirkan pada 26 Disember 1887 di Aspenden Lodge berhampiran Buntingford in Hertfordshire. Beliau adalah anak kedua pasangan Alfred Reginald Percival and Edith Percival (née Miller). Bapanya adalah agen tanah untuk syarikat Hamel's Park sementara ibunya berasal daripada keluarga menenun kain kapas.

Percival mulanya disekolahkan di Bengeo sehingga dihantar dalam tahun 1901 untuk bersama-sama abangnya di Sekolah Rugby. Percival belajar Bahasa Greek dan Latin tetapi tidak dianggap oleh gurunya sebagai seorang pelajar yang bagus dalam pengajian klasik. Dalam tahun 1906. Percival meninggalkan sekolah dengan Sijil Tinggi Pelajaran.

Percival lebih berjaya di dalam lapangan sukan di mana beliau menyerlah dalam permainan kriket, tenis dan merentas desa. Dia juga aktif di dalam pasukan sukarelawan tentera di mana beliau menyandang pangkat Colour Sarjan.

 
Rejimen Wiltshire di Thiepal Dalam tahun 1916

Percival menyertai pasukan tentera pada umur 26 tahun sebagai seorang prebet dan terus dihantar ke Sekolah Pegawai Kadet di Inns of Court. Selepas latihan asas selama 5 minggu, beliau menunjukkan kecemerlangan membolehkan ia dinaikkan pangkat kepada Pemangku Leftenan Muda. (Hampir satu pertiga daripada pegawai kadet yang bersama-sama Percival akan terbunuh menjelang tamatnya Perang Dunia Pertama).

Pada tahun 1915, Percival dihantar untuk berkhidmat di Perancis bersama-sama pasukan yang baru ditubuhkan iaitu Batalion ke-7 (Perkhidmatan) Rejimen Bedfordshire. Batalion ini menjadi sebahagian daripada Briged ke-54 dalam Divisyen ke-18 (Eastern). Hari pertama Pertempuran Somme pada 1 Julai 1916 melihat Percival mengharungi pertempuran tanpa apa-apa kecelakaan, tetapi dalam bulan September, Percival menerima kecederaan serpihan bom di empat berlainan semasa mengetuai kompeninya dalam serbuan di Schwaben Redoubt berhampiran saki baki perkampungan Thiepval. Kerana keberaniannya, Percival diberikan anugerah pingat Military Cross.

Percival menerima tauliah pegawai tetap sebagai Kapten dalam Rejimen Essex dalam bulan Oktober 1916 semasa berada di hospital untuk pemulihan kecederaannya. Dalam tahun 1917, Percival menjadi pemerintah batalion dengan memangku pangkat Leftenan Kolonel. Semasa kempen serangan musim bunga Jerman tahun itu, Percival dan batalionnya berjaya menyelamatkan satu unit pasukan artileri Perancis daripada ditawan askar Jerman. Untuk kejayaan ini, Percival diberikan anugerah Croix de Guerre oleh kerajaan Perancis.

Untuk seketika dalam bulan Mei 1918, Percival menjadi pemangku pemerintah Briged ke-54 British. Dia diberikan anugerah Distinguished Service Order kerana “penguasaannya ke atas pemerintahan dan pengetahuan taktik”. Percival mengakhiri perkhidmatan Perang Dunia Pertama sebagai seorang yang disegani, dikenali sebagai seorang pegawai yang efisien. Percival dicalonkan ke Kolej Staf Angkatan Tentera.

Tahun-tahun Antara Perang

sunting
 
Mejar Percival Di ireland

Pengajian Percival di Kolej Staf tergendala apabila dia berkhidmat secara sukarela dengan Pasukan Tentera British di Markas Archangel semasa kempen Bahagian Utara Rusia semasa Perang Saudara Rusia. Percival dilantik menjadi brevet Mejar dan menjadi Penolong Pegawai Pemerintah Rejimen ke-46 Royal Fusiliers. Keberanian yang ditunjukkan semasa serangan Ops Gorodok sepanjang Sungai Dvina mencapai kejayaan besar dalam lebih 400 orang askar Bolshevik menjadi tawanan perang. Kejayaan ini membolehkan Percival diberikan satu lagi pingat Distinguished Service Order.

Ireland

sunting

Dalam tahun 1920, Percival dihantar menjadi Ketua Kompeni dalam Batalion Pertama Rejimen Essex menentang gerila IRA di Kinsale, County Cork, Ireland semasa Perang Anglo-Irish. Percival kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Risik batalion tersebut.

Percival mencapai kejayaan sebagai seorang pelaku perang anti gerila, tetapi mendapat reputasi di kalangan orang-orang Ireland sebagai seorang yang menggunakan kekerasan. Berikutan pembunuhan seorang Sarjan perkhidmatan Polis Ireland (RIC), Percival menahan Tom Hales, komander Briged West Cork Tentera Republikan Ireland IRA bersama-sama Patrick Harte, kuartermaster Briged berkenaan. Untuk kejayaan ini, Percival diberikan anugerah OBE. Tetapi Percival dituduh menggunakan kekerasan ke atas tawanan beliau dan Percival tidak dapat mempastikan Tom Barry dipenjarakan walaupun Percival berpeluang menyoal siasat Barry.

Pihak IRA meletakkan ganjaran £1,000 ke atas nyawa Percival, kerana yakin Percival bertanggungjawab ke atas Skuad Penyiksa Batalion Essex ("Essex Battalion Torture Squad"). Percubaan membunuh Percival gagal kerana beliau menyimpang daripada kebiasaannya semasa makan malam. Percubaan kedua digagalkan apabila Polis London berjaya mengesan kehadiran skuad pembunuh tersebut. Di Ireland, Percival mengetuai serbuan yang berjaya membunuh salah seorang daripada pembunuh yang ditugaskan membunuh beliau.

Semasa di Ireland, Percival bertemu Bernard Law Montgomery yang berkhidmat dalam briged yang sama. Mereka berkenalan dan sering menulis surat menceritakan pengalaman mereka semasa perang di Ireland. Dalam tahun 1921, Percival bertemu dengan David Lloyd-George dan Winston Churchill semasa Percival dipanggil sebagai saksi pakar dalam satu siasatan mengenai Perang Anglo-Ireland

Pegawai Staf

sunting

Percival menghadiri Maktab Turus (Kolej Staf) di Camberley dari tahun 1923 hingga 1924, di bawah pimpinan Jeneral Edmund Ironside. Antara pengajar Percival adalah J.F.C. Fuller, yang akhirnya memberikan pandangan simpati ke atas buku tulisan Percival The War in Malaya dua puluh lima tahun kemudian. Percival mengkagumkan para pengajar dan menjadi salah seorang daripada 8 calon yang dikenalpasti untuk kenaikan pangkat secara dicepatkan.

Selepas Camberley, Percival berkhidmat sebagai seorang Mejar dengan Rejimen Cheshire sebelum berkhidmat sebagai pegawai staf selama 4 tahun dengan Rejimen Nigeria, satu pasukan dalam kumpulan Royal West African Frontier Force di Afrika Barat.

Dalam tahun 1930, Percival belajar lagi di Royal Naval College, Greenwich. Dalam tahun 1931 dan 1932, Percival berkhidmat sebagai Pegawai Staf 2 (SO2), dan sebagai pengajar di Maktab Turus Camberley. Komandan kolej ketika itu adalah Sir John Dill, yang menjadi mentor Percival untuk tempoh 10 tahun yang berikut di mana Sir John membantu peningkatan kerjaya Percival. Dill menyifatkan Percival sebagai “pegawai yang mempunyai kebolehan luar biasa, dengan pengetahuan ketenteraan yang meluas, mempunyai pertimbangan yang baik dan seorang yang bekerja cepat tetapi tepat”.

Dengan sokong Sir John Dill, Percival dilantik menjadi pegawai pemerintah Batalion ke-2 Rejimen Cheshire dari tahun 1932 hingga 1936, pada mulanya di Malta. Dalam tahun 1935. Percival menghadiri kursus di Kolej Pertahanan Imperial (Imperial Defence College).

Percival dinaikkan pangkat menjadi Kolonel dan dalam tahun 1936 hingga 1938 berkhidmat sebagai Pegawai Turus Gred 1 (SO1) di Markas Malaya (Malaya Command) selaku Ketua Staf kepada Leftenan Jeneral William Dobbie, Panglima Malaya Command ketika itu. Ketika ini, Percival yakin Singapura bukannya sebuah kubu berasingan dan terpencil. Percival melihat kemungkinan Jepun mendarat di Thailand dan menyusup masuk ke Malaya melalui jalan darat.

Percival membuat penilaian kemungkinan ini dan memajukan penilaian itu kepada Jabatan Perang di London. Percival merasakan penilaian yang beliau majukan ke Jabatan Perang di London hampir menyerupai rancangan perang yang digunakan oleh Tentera Jepun dalam bulan Disember 1941.

Percival juga menyokong cadangan Dobbie untuk membina pertahanan kekal di Johor Selatan. Dalam bulan Mac 1938, Percival kembali ke Britain dan dinaikkan pangkat menjadi Brigedier Jeneral dan ditugaskan di Pejabat Ketua Turus, Aldershot.

Apabila Perang Dunia II meletus, Percival dilantik menjadi Brigedier, Kumpulan Turus di I Kor, Pasukan Perang British (British Expeditionary Force) di bawah pimpinan Sir John Dill. Percival dinaikkan pangkat menjadi Mejar Jeneral dalam bulan Februari 1940 dan buat seketika mengambil tampuk pemerintahan Divisyen ke-43 Wessex. Kemudian Percival ditukarkan menjadi Timbalan Ketua Turus Imperial di Jabatan Perang dalam tahun 1940. Kerana kebosanan, Percival minta ditukarkan ke pasukan tempur, dan diberikan pemerintahan Divisyen ke-44 Infantri (Home Counties), di mana beliau menghabiskan masa 9 bulan menguruskan pertahanan untuk 62 batu kawasan pantai England daripada serangan askar Jerman. Ketika ini (tahun 1941) Percival dijadikan Companion of the Order of the Bath (CB).

Panglima Tentera Malaya

sunting
Fail:Lieutenant General Arthur Major Arthur Percival in Ireland 1921.jpg
Percival Tiba Di Malaya Untuk Perlantikan Sebagai Ketua Markas Malaya
 
Peta Menunjukkan kempen Penaklukan Malaya Oleh Tentera Jepun
 
Percival dan Wartawan Perang Di Singapura Sejurus Sebelum Kekalahan British

Dalam tahun-tahun di antara peperangan dunia, perancangan pertahanan Britain untuk Malaya berkisar kepada penghantaran satu kumpulan kapal perang ke pangkalan baru tentera laut di Singapura. Peranan tentera darat pula adalah untuk memberikan pertahanan untuk Singapura dan Johor Selatan. Rancangan ini nampaknya memadai dengan kehadiran tentera Jepun 1,700 batu jauhnya dari Malaya. Tetapi keadaan berubah apabila perang meletus di Eropah dan Jepun menduduki jajahan Perancis di Indochina. Jepun pula menandatangani perjanjian tiga penjuru dengan Jerman dan Itali dalam pakatan tentera.

Perubahan ini menjadikan rancangan pertahanan Singapura melalui pertahanan laut tidak lagi viable. Pemerintahan British mencadangkan penggunaan Tentera Udara Diraja (RAF) untuk mempertahankan Malaya sehingga pasukan bantuan sempat dihantar daripada Britain. Rancangan ini membawa kepada pembinaan lapangan terbang di Jitra dan beberapa lokasi lain di utara Semenanjung Tanah Melayu dan penghantaran unit-unit tentera darat untuk memberikan perlindungan di lapangan terbang berkenaan..

Dalam bulan Mei 1941, Percival diberikan kenaikan pangkat sementara sebagai Pemangku Leftenan Jeneral dan dilantik menjadi Panglima Pemerintah di Malaya (General Officer Commanding (GOC) Malaya). Perlantikan ini bermakna bagi Percival kerana beliau tidak pernah mengetuai satu Kor Tentera Darat. Percival meninggalkan Britain dengan sebuah kapal terbang Shorts Sunderland dan mengharungi penerbangan selama dua minggu merentasi Gibraltar, Malta, Alexandria, Basra, Karachi dan Rangoon di mana beliau bertukar menaiki sebuah kapal terbang pengangkut Tentera Udara Diraja.

Percival sendiri berbelah bagi menerima perlantikan ini, dan berkata “Dalam pemergian saya ke Malaya, saya sedar bahawa terdapat dua keadaan bahaya – sama ada saya terlekat dalam satu pemerintahan yang tidak aktif untuk beberapa tahun ataupun sekiranya perang meletus di Timur Jauh, saya akan terjebak dalam satu pergelutan yang sukar dengan hanya pasukan-pasukan yang serba kekurangan seperti kebiasaannya berlaku di pelosok¬-pelosok empayar pada hari-hari permulaan peperangan”.

Jeneral Pemerintah Markas Gerakan Tanah Melayu

sunting

Apabila Percival sampai di Malaya, beliau memulakan usaha memberikan latihan kepada pasukan tenteranya yang tidak mempunyai pengalaman perang, khususnya anggota-anggota Tentera British India. Pegawai-pegawai yang cekap dan berpengalaman dibawa pulang ke India untuk membolehkan penubuhan unit-unit baru dalam rancangan pembesaran Tentera British India.

Percival menggunakan kapal terbang sukarelawan tentera dan komersial (RAF mempunyai kekurangan pesawat tentera) untuk meninjau keadaan pertahanan di Malaya, dan mengajukan pembinaan kubu-kubu pertahanan di sekitar Jitra. Satu manual latihan bertajuk Nota Taktikal Untuk Malaya (Tactical Notes on Malaya) diluluskan oleh Percival dan diedarkan kepada unit-unit tentera.

Dalam bulan Julai 1941, Jepun menduduki bahagian selatan Indochina. Sekatan dikenakan serta merta oleh Britain, Amerika Syarikat dan Belanda. Aset kewangan dibekukan dan Jepun ditahan daripada pembelian minyak, getah dan bijih timah. Ini menyukarkan Jepun kerana kempen perang mereka di China ketika itu. Tentera Jepun disediakan untuk perang, dan satu keadaan perang dingin wujud di antara Jepun dan kedudukan milik Britain, Belanda dan Amerika Syarikat. Walaupun demikian, semua pihak hanya menunggu saat meletusnya perang.

Pasukan bantuan dari Australia dan India tiba secara berperingkat di Malaya. Pada 2 Disember 1941, kapal perang HMS Prince of Wales dan kapal kruiser besar HMS Repulse dengan 4 buah kapal pembinasa sebagai pengiring tiba di pangkalan laut Singapura. Inilah pertama kalinya satu pasukan kapal perang dihantar ke Singapura.

Serangan Jepun

sunting

Pada 8 Disember 1941, Ketumbukan ke-25 Tentera Jepun di bawah pemerintahan Jeneral Tomoyuki Yamashita mula mendarat di Tanah Melayu. Pendaratan ini sebenarnya dimulakan 1 jam sebelum serangan mengejut Jepun ke atas Pearl Harbor tetapi perbezaan tarikh ini disebabkan oleh garisan tarikh antarabangsa. Pasukan Jepun yang mendarat di Pantai Sabak berhampiran Kota Bharu berjaya mara ke Kota Bharu pada malam itu juga. Askar-askar India yang bertahan di Kota Bharu dengan mudah dikalahkan.

Tetapi pendaratan di Kota Bharu hanyalah satu helah untuk mengalihkan perhatian Tentera British daripada pendaratan utama Tentera Jepun di Singora dan Pattani di selatan Thailand. Askar Jepun dengan cepat mara menuju Semenanjung Tanah Melayu.

Pada 10 Disember 1941, Percival mengeluarkan satu Arahan Khas Harian (Special Order Of The Day) yang berbunyi “ Pada saat getir ini, Jeneral Pemerintah Malaya menyeru semua anggota untuk bersungguh-sungguh mempertahankan Malaya dan jajahan British berhampiran. Mata Empayar sedang melihat perjuangan kita. Kedudukan kita di Timur Jauh menjadi pertarungan. Perjuangan kita mungkin lama dan sukar tetapi marilah kita semua berazam untuk menghadapi apa juga dan membuktikan diri kita sepadan dengan kepercayaan yang diberikan kepada kita”

Tetapi seruan itu tidak dapat membantu tentera British, yang mengalami kekalahan terus di Jitra, Kampar dan beberapa tempat lain. Rata-ratanya, askar-askar Tentera British India terlalu mudah menyerah kalah dan berundur, memaksa unit-unit lain yang bertahan terpaksa bersama berundur ataupun mereka akan terkepung.

Pada 27 Januari 1942, pasukan tentera Jepun sudah sampai ke Johor, dan Percival terpaksa mengarahkan unit tentera British untuk berundur beramai-ramai ke Singapura untuk mengadakan pertahanan di Singapura yang dilihat lebih mudah untuk dipertahankan (pantai Singapura hanya sepanjang 72 batu keseluruhannya). Tetapi Tentera Jepun terus mara. Pada 8 Februari 1942, Tentera Jepun mula mendarat di Singapura. Selepas hampir seminggu bertempur di Singapura, Percival mengadakan mesyuarat penghabisannya di Fort Channing. Apabila diberitahu bahawa bekalan peluru dan bekalan air minum sudah hampir kehabisan, Percival mengambil keputusan pahit untuk menyerah kalah.

Pemerintah Jepun berkeras meminta Percival sendiri berjalan mengibarkan bendera putih menuju ke kilang kereta Ford di Bukit Timah untuk perundingan menyerah kalah. Menurut seorang pegawai Jepun yang hadir, Percival kelihatan pucat, kurus dan keletihan. Selepas berbincang, persetujuan dicapai pada jam 6.10 petang untuk Tentera Komanwel meletakkan senjata dan berhenti penentangan pada jam 830 malam. Keputusan ini diambil walaupun Percival menerima arahan daripada Winston Churchill untuk meneruskan penentangan.

 
Percival dan Pegawai British Berjalan Kaki Ke Kilang Ford Di Bukit Timah Untuk Rundingan Bersama Pemerintah Jepun Jeneral Yamashita

Kebersalahan Kekalahan Di Singapura

sunting

Winston Churchill melihat kejatuhan Singapura sebagai “malapetaka yang paling buruk dan kekalahan paling besar dalam sejarah British’. Walaupun demikian, pada hakikatnya, pertahanan Britain, Rusia dan Timur Tengah sentiasa diberikan keutamaan oleh Winston Churchill dari sudut pemberian bahan keperluan perang ataupun agihan anggota tentera.

Umpamanya, Tentera Udara Diraja di Malaya tidak mendapat peruntukan 300 hingga 500 buah kapal terang yang diperlukan. Mereka menggunakan kapal terbang Brewster Buffalo yang tidak mampu bertanding dengan kapal terbang yang digunakan oleh Jepun. Apabila Jepun menyerang, mereka disokong oleh 200 buah kereta kebal, sedangkan Percival tidak diberikan peralatan kereta kebal, dan hanya mempunyai satu skuadron kereta kebal ringan untuk tujuan tinjauan.

Kekalahan British di Singapura secara mendadak membalikkan nama Percival daripada seorang pegawai yang berkaliber dan efisien kepada seorang pegawai turus yang tidak berkesan, kekurangan sifat ketangkasan dan kurang agresif, walaupun tiada yang meragui keberanian dan kesungguhan Percival menjalankan tugas. Susuk badan Percival yang tinggi lampai (lebih dari 6 kaki) bersama dengan 2 gigi kapaknya serta misai kontot menjadikan Percival sasaran mudah sebagai bahan karikatur, dan Percival juga tidak fotogenik.

Tetapi kekalahan British di Malaya dan Singapura tidak patut diletakkan di atas bahu Percival semata-mata. Ketua Marsyal Udara Sir Robert Brooke-Popham, Panglima Markas Timur Jauh British enggan memberikan kebenaran untuk Percival melancarkan Operasi Matador melibatkan pergerakan unit Tentera British ke wilayah Thailand untuk menghalang kemaraan tentera Jepun. Sir Robert Brooke-Popham enggan memberikan kebenaran itu kerana takutkan British dilihat sebagai pihak agresif oleh kerajaan Thailand. Brooke-Popham juga mempunyai reputasi sebagai seorang yang sudah tidak endah, dan selalu tertidur semasa mesyuarat. Beliau juga tidak berkeras memperjuangkan unit-unit udara sebagai bantuan untuk pertahanan Malaya.

Sebaliknya, Laksamana Tom Phillips, pemerintah pasukan petugas Force Z yang berkisar kepada kapal perang HMS Prince of Wales menunjukkan keberanian luar biasa sehingga terkorban apabila kapal perangnya ditenggelamkan kapal terbang Jepun pada 10 Disember 1941.

 
Askar Jurutera bersedia Meletupkan Sebuah Jambatan

Percival tidak mempunyai pertalian baik dengan Sir Lewis "Piggy" Heath, pemerintah III Kor Tentera British India (pasukan teras Markas Gerakan Tanah Melayu). Percival juga tidak dapat mengawal dengan baik Mejar Jeneral Gordon Bennett, pemerintah Divisyen ke-8 Australia. Gordon Bennett mempunyai sikap berdikari dan pernah menjadi pegawai atasan Percival sebelum perlantikan Percival sebagai GOC Malaya. Ini membuatkan sukar bagi bennettt menerima arahan Percival.

Bennett terlalu yakin dengan kebolehan askar-askar Australia dan kebolehan dirinya sendiri, tetapi tidak mengambil kira kebolehan unit-unit tentera India. Bennett sendiri dapat melarikan diri ke Australia setelah kekalahan British di Singapura tetapi mendapat cemuhan kerana meninggalkan orang-orang di bawah perintahnya di Singapura.

Percival tidak teragak-agak untuk menggantikan pegawai-pegawai yang dilihat sebagai tdiak berkesan, dan menggantikan Mejar Jeneral David Murray-Lyon sebagai pemerintah Divisyen ke-11 India apabila pasukan tersebut tidak menunjukkan kesungguhan berjuang di Jitra dan di Perak.

Kesilapan paling besar Percival adalah keberatannya untuk membina perkubuan kekal di Johor ataupun di pantai utara Pulau Singapura, walaupun berkali-kali diminta oleh Ketua Askar Jurutera Brigadier Ivan Simson, dengan alasan “membina kubu tidak baik untuk moral askar-askar kita dan orang awam”. Dengan demikian, Percival mengabaikan apa-apa kelebihan yang boleh diperolehi daripada tenaga 6,000 orang askar jurutera, khususnya kebarangkalian menumpaskan pergerakan kereta kebal Jepun.

Tahanan

sunting

Percival ditahan seketika di Penjara Changi di mana beliau dikatakan kerap duduk termenung di luar bilik yang dikongsi bersama 7 orang Brigedier Jeneral , seorang Kolonel, adikongnya, Sarjan dan batmannya. Percival tidak meluahkan perasaannya kepada sesiapa, tetapi sebaliknya banyak melaungkan masa berjalan sambil memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya …. Untuk meningkatkan moral dan mengukuhkan disiplin, Percival menubuhkan semula Markas Gerakan Tanah Melayu lengkap dengan pegawai-pegawai turus dan mengisikan masa dengan memberikan ceramah mengenai Pertempuran Perancis.

 
Percival berdiri di belakang MacArthur Semasa Upacara Menandatangan Serah Kalah Jepun

Tidak lama kemudian, dalam bulan Ogos 1942, Percival dan pegawai-pegawai yang berpangkat Kolonel ke atas dipindahkan dari Singapura. Pada mulanya, Percival dipenjarakan di Formosa dan kemudiannya dipindahkan ke Manchuria di mana dia ditahan bersama-sama dengan beberapa orang tawanan penting termasuk Jeneral Jonathan Wainwright, pegawai pemerintah yang menggantikan Douglas MacArthur di Filipina apabila MacArthur diarahkan melarikan diri ke Australia. Mereka diletakkan di ke tahanan di Hsian, kira-kira 100 batu dari Mukden.

Pada saat-saat akhir Perang Dunia II tawanan perang yang ditahan di Hsian termasuk Percival telah diselamatkan oleh satu pasukan dari OSS. Percival dan Wainwright bersama-sama diminta oleh MacArthur untuk menghadiri upacara menandatangani surat cara penyerahan kalah Jepun di atas kapal USS Missouri (BB-63) [3] di Teluk Tokyo pada 2 September 1945. MacArthur memberikan salah satu daripada pen yang digunakan untuk menandatangani surat cara penyerahan kalah Jepun tersebut.

Percival dan Wainwright kemudiannya dibawa ke Filipina untuk menyaksikan penyerahan kalah tentera Jepun di sana, yang diperintah oleh Jeneral Yamashita (Jeneral yang menewaskan Percival di Malaya dalam tahun 1942). Yamashita terkejut melihat Percival semasa upacara tersebut.

Bendera yang digunakan Percival semasa berjalan menuju kilang kereta Ford di Bukit Timah digunakan untuk pengibaran semasa upacara rasmi penyerahan kalah Jepun di Singapura kepada Lord Louis Mountbatten. [4]

Keluarga

sunting

Pada 27 Julai 1927, Percival berkahwin dengan Margaret Elizabeth "Betty" MacGregor (meninggal dalam tahun 1956) di Gereja Holy Trinity, West Brompton. Isteri Percival adalah anak perempuan kepada Thomas MacGregor Greer, tuan punya Tallylagan Manor di County Tyrone di Ulster (Ireland Utara). Bapa mentuanya adalah peniaga tenunan kain. Percival mengambil masa bertahun-tahun sebelum berani meminta Betty mengahwininya.

Mereka dikurniakan dua orang anak : anak perempuan Dorinda Margery, dilahirkan di Greenwich dan akhirnya menjadi Lady Dunleath. Anak lelaki mereka Alfred James MacGregor Percival dilahirkan di Singapura dan juga berkhidmat dalam Tentera British. Keluarga Percival agak mewah, dan semasa kematiannya, nilai harta peninggalan Percival adalah sekitar £102,515, satu jumlah yang besar dalam tahun 1966.

Akhir Hayat

sunting

Percival kembali ke Britain dalam bukan September 1945 untuk menuliskan laporannya untuk jabatan perang, tetapi laporan ini disemak semula oleh kerajaan British dan hanya diterbitkan dalam tahun 1948. Percival bersara dari angkatan tentera dalam tahun 1946 dengan pangkat Leftenan Jeneral Kehormat tetapi mendapat pencen seorang Mejar Jeneral.

Selepasnya, Percival memegang jawatan-jawatan di Hertfordshire, semasa beliau menginap di Bullards, Widford: Percival menjadi Kolonel Kehormat 479 (Hertfordshire Yeomanry) H.A.A. Regiment dalam pasukan Territorial Army dan dalam tahun 1951 berkhidmat sebagai salah seorang Timbalan Leftenan Hertfordshire. Percival juga meneruskan kaitannya dengan Regiment Cheshire apabila dilantik menjadi Kolonel Kehormat Rejimen tersebut, dan kaitan ini disambung oleh anak beliau, Brigedier James Percival yang menjadi Kolonel Kehormat Rejimen Cheshire dalam tahun-tahun 1992 hingga 1999.

Jika Jeneral Wainwright (Jeneral Amerika Syarikat yang tewas kepada pasukan tentera Jepun di Corregidor) disambut pulang sebagai wira oleh rakyat Amerika, Percival sendiri dicemuh di atas kepimpinannya yang membawa kepada kekalahan British di Malaya. Cemuhan ini ditambah oleh pegawai yang berkhidmat dengannya seperti Leftenan Jeneral Lewis Heath yangmemerintah Kor ke-III Tentera British India. Percival menulis buku "The War in Malaya" untuk cuba menerangkan keadaan sebenar perkara yang berlaku supaya kritikan dan cemuhan dihentikan, tetapi usaha tidak berjaya. Buku itu dilihat sebagai satu rentetan perkara-perkara yang berlaku di Malaya. Percival juga tidak diberikan gelaran “Sir” (diberikan knighthood), suatu keganjilan bagi seorang pegawai berpangkat Leftenan Jeneral.

Percival disegani untuk tempoh di mana beliau menjadi tawanan perang Jepun. Percival menjadi Presiden Seumur hidup Persatuan Tawanan Perang Timur Jauh atau Far East Prisoners of War Association (FEPOW). Percival memperjuangkan ganti rugi untuk tawanan perang dan akhirnya mendapat pampasan token £5 juta hasil daripada aset Jepun yang dibekukan, wang ini diberikan kepada Badan Amanah Kebajikan FEPOW.

Dalam tahun 1957, Percival mengetuai bantahan ke atas penggambaran filem Bridge on the River Kwai yang difikirkannya memberikan gambaran negatif kepada keadaan tawanan perang Jepun. Pengeluar filem akhirnya bersetuju menambahkan kenyataan bahawa filem berkenaan adalah filem rekaan.

Percival juga berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Palang Merah British Cawangan Hertfordshire (British Red Cross) dan dijadikan Officer of the Order of St. John dalam tahun 1964.

Percival meninggal dunia 31 Januari 1966 pada usia 78 tahun di King Edward VII's Hospital for Officers di Westminster dan dikebumikan di Hertfordshire. Leonard Wilson, bekas biskop Singapura membaca eulogi pada majlis peringatan Percival yang diadakan di St Martin-in-the-Fields.

Rujukan

sunting

Pautan Luar

sunting
  1. ^ Taylor, English History 1914-1945, p657
  2. ^ Morris, Farewell the Trumpets, p452
  3. ^ Battleship Missouri Memorial, http://www.ussmissouri.org/surrender.aspx Diarkibkan 2005-11-09 di Wayback Machine, accessed 2 February 2006
  4. ^ Morris, p458