Husky

jenis anjing

Husky[a] ialah istilah umum untuk anjing yang digunakan di kawasan kutub, terutamanya dan khususnya untuk kerja sebagai anjing kereta luncur salji. Ia merujuk jenis utara tradisional, yang terkenal dengan toleransi cuaca sejuk dan ketahanan keseluruhannya.[1][2] Husky lumba moden yang mengekalkan trait baka Artik (juga dikenali sebagai husky Alaska) mewakili baka silang sentiasa berubah-ubah bagi anjing terpantas.[3][4]

Husky kereta luncur salji yang berehat selepas perlumbaan

Husky terus digunakan dalam perlumbaan kereta luncur salji anjing, serta perniagaan ekspedisi dan pelancongan gaya trek, dan sebagai kaedah pengangkutan penting dalam komuniti luar bandar.[5] Husky juga dibela sebagai haiwan peliharaan dan banyak kumpulan bekerja untuk mencarikan rumah haiwan peliharaan baharu untuk anjing lumba dan anjing trek kembara bersara.[6]

Etimologi

sunting
 
Seekor husky Siberia dengan heterokromia

Istilah "husky" mula-mula digunakan pada pertengahan hingga lewat tahun 1700-an. Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" ialah istilah lazim untuk penduduk Artik pra-Columbus di Amerika Utara. Beberapa pilih atur dialek digunakan termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Oleh itu, anjing yang digunakan oleh orang Artik ialah anjing orang Huskie dan akhirnya hanya anjing husky.[7][8] Para peneroka Kanada dan Amerika, yang tidak begitu arif tentang geografi Rusia, kemudian melanjutkan perkataan itu kepada anjing tarikan Chukotka yang diimport dari Rusia, lalu membangkitkan istilah husky Siberia.

Sejarah

sunting
 
Husky Labrador yang sedang diberi makan oleh lelaki Inuit

Kedekatan genetik hampir semua anjing dengan serigala kelabu disebabkan oleh percampuran.[9] Walau bagaimanapun, beberapa baka Artik juga menunjukkan kedekatan genetik dengan serigala Taimyr di Asia Utara yang kini pupus kerana percampuran: husky Siberia dan anjing Greenland (yang juga dikaitkan dari segi sejarah dengan populasi manusia Artik) dan sehingga takat lebih rendah, shar pei dan spits Finland. Graf percampuran bagi anjing Greenland menunjukkan angka paling cocok 3.5% bahan kongsi; walau bagaimanapun, perkadaran keleluhuran antara 1.4% dengan 27.3% adalah tekal dengan data dan menunjukkan percampuran antara serigala Taimyr dengan leluhur kepada keempat-empat baka latitud tinggi ini.

Introgresi ini dapat memberi anjing awal yang tinggal di latitud tinggi variasi fenotip yang bermanfaat untuk penyesuaian terhadap persekitaran baharu dan mencabar, yang menyumbang dengan ketara kepada perkembangan husky. Ini juga menunjukkan bahawa keleluhuran baka anjing zaman kini diturunkan daripada anjing dari lebih daripada sebuah rantau.[10]

Husky bertenaga dan atletik. Ia dibezakan dengan ketahanan dan toleransi cuaca sejuk, yang berbeza dengan banyak anjing kereta luncur salji pecut moden yang diterbitkan daripada baka silang hound dan anjing penuding dan anjing pecut baka tulen yang tidak mempunyai atau mengekalkan kualiti ini.[11] Begitu juga, ia dibezakan daripada laika, kerana tidak dikembangkan untuk tujuan utama pemburuan binatang buruan dan mangsa.[12]

Husky biasanya mempunyai lapis bulu ganda tebal yang mungkin terdapat dengan pelbagai warna.[13] Lapis bulu ganda pada umumnya melindungi husky daripada musim sejuk teruk dan, bertentangan kepercayaan kebanyakan orang, ia dapat bertahan dalam iklim lebih panas. Semasa iklim lebih panas, husky cenderung untuk menggugurkan lapis bulu bawahnya dengan kerap untuk menyejukkan badannya. Selain salin bulu, husky mengawal tabiat pemakanannya berdasarkan musim; dalam iklim lebih sejuk, ia cenderung untuk memakan jumlah banyak, lalu menyebabkan penghadamannya menghasilkan haba, manakala dalam iklim lebih panas, ia kurang memakan.[14] Matanya biasanya berwarna biru pucat, walaupun mungkin juga berwarna perang, hijau, biru, kuning, atau heterokromik. Husky lebih terdedah kepada sesetengah tahap uveitis berbanding dengan kebanyakan baka lain.[15]

Ini ialah senarai baka anjing yang mengandungi "husky" dalam nama. Untuk melihat senarai lengkap baka kereta luncur salji, lihat Anjing kereta luncur salji.

Husky Alaska

sunting
 
Seekor husky Alaska

Anjing yang paling lazim digunakan dalam perlumbaan kereta luncur salji anjing,[16] iaitu husky Alaska, ialah anjing baka kacuk[17] yang dibiabakakkan khusus untuk prestasinya sebagai anjing kereta luncur salji.[18] Husky Alaska moden mencerminkan tempoh 100 tahun atau lebih bagi pembiakbakaan silang dengan anjing penuding Inggeris, anjing gembala Jerman, saluki, dan baka lain untuk memperbaik prestasinya.[11] Ia biasanya berukuran seberat 18–34 kg (40–75 lb) dan mungkin mempunyai bulu lebat atau licin. Husky Alaska mempunyai sedikit keserupaan dengan baka husky tipikal yang merupakan asalnya, atau dengan satu sama lain.[18]

Husky Labrador

sunting
 
Husky Labrador

Husky Labrador berasal dari rantau Labrador di Kanada. Baka ini barang kali tiba di kawasan ini dengan orang Inuit yang datang ke Kanada sekitar pada sekitar tahun 1300 M. Walaupun namanya sedemikian, husky Labrador tidak berkaitan dengan anjing pengutip Labrador, tetapi sebenarnya paling berkait rapat dengan anjing Eskimo Kanada. Terdapat anggaran 50–60 ekor husky Labrador di dunia.[19][20]

Husky Sakhalin

sunting
 
Tugu Peringatan Husky Sakhalin di Jepun

Husky Sakhalin ialah satu baka tempatan terancam genting dan laika kereta luncur salji yang dikaitkan dengan Pulau Sakhalin dan kawasan bersebelahan.[21][22][23] Ia juga dikenali sebagai anjing Karafuto, laika Sakhalin, atau laika Gilyak.[24] Walaupun dibiakbakakan terutamanya sebagai anjing kereta luncur salji, husky Sakhalin juga digunakan untuk pemburuan beruang dan memancing.[18][23] Terdapat hampir-hampir 20 ekor husky Sakhalin yang tersisa di Pulau Sakhalin.[23]

Husky Siberia

sunting
 
Seekor husky Siberia hitam dan putih

Husky Siberia adalah lebih kecil daripada malamut Alaska yang kelihatan serupa. Ia merupakan keturunan anjing tarikan Chukotka yang dibiakbakakan dan digunakan oleh orang asli Chukchi di Siberia, orang yang berasal dari Paleosiberia, pada sekitar tahun 2000 SM.[25] Sebagai anjing yang diimport ke Alaska pada awal tahun 1900-an, ia digunakan sebagai anjing pekerja dan anjing kereta luncur salji perlumbaan di Nome, Alaska sepanjang tahun 1910-an, dan kerap mendominasi All-Alaska Sweepstakes.[26] Ia kemudian dibiakbakakan secara meluas oleh musher rekreasi dan penggemar anjing pertunjukan di Amerika Syarikat dan Kanada sebagai husky Siberia, selepas kepopularan yang diperoleh daripada pengangkutan serum ke Nome tahun 1925.[27] Husky Siberia berdiri setinggi 20–23.5 inci (51–60 cm), berukuran seberat 35–60 paun (16–27 kg) (35–50 lb (16–23 kg) untuk betina, 45–60 lb (20–27 kg) untuk jantan), dan telah dibiakbakakan secara terpilih untuk kedua-dua penampilan dan keupayaan penarikan.[28] Ia masih digunakan dengan kerap kini sebagai anjing kereta luncur salji oleh para musher kompetitif, rekreasi, dan pemandu pelancong.[29]

Husky Sungai Mackenzie

sunting

Istilah husky Sungai Mackenzie memerihalkan beberapa populasi tempatan bertindihan bagi anjing jenis anjing kereta luncur salji Artik dan sub-Artik, yang tiada salah satu pun daripadanya membentuk baka. Anjing dari Wilayah Yukon disilangkan dengan baka besar Eropah seperti anjing Santo Bernard dan anjing Newfoundland untuk mewujudkan anjing pengangkut berkuasa yang mampu bertahan dalam keadaan keras Artik semasa Kerubut Emas Klondike.[30]

Lihat juga

sunting

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: هسکي; bahasa Inggeris: husky

Rujukan

sunting
  1. ^ Bonham, Margaret H. (2001). Northern Breeds [Baka Utara] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764117336. OCLC 45835524.
  2. ^ Little Wolf, Stephanie. "A Deeper History of the Origins of The Alaskan Husky" [Sejarah Lebih Dalam tentang Asal Usul Husky Alaska] (dalam bahasa Inggeris). Sled Dog Central. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  3. ^ Schultz, Jeff (4 Februari 2003). Dogs of the Iditarod [Anjing Iditarod] (dalam bahasa Inggeris). Seattle, Washington, Amerika Syarikat: Sasquatch Books. m/s. 41. ISBN 9781570612923. OCLC 49991511.
  4. ^ Fogle, Bruce (1 Oktober 2013). Dennis-Bryan, Kim (penyunting). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide [Ensiklopedia Anjing: Panduan Visual Muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Ann Baggaley dan Katie John. (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 101. ISBN 9781465421166. OCLC 859155647.
  5. ^ Neary, Kathleen Seiler (14 Januari 2008). "How Sled Dogs Work" [Cara Anjing Kereta Luncur Salji Bekerja] (dalam bahasa Inggeris). HowStuffWorks. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Oktober 2011. Dicapai pada 14 Disember 2024.
  6. ^ Keith, Christie (18 Februari 2011). "Lessons from a sled dog massacre" [Pelajaran daripada pembunuhan besar-besaran anjing kereta luncur salji] (dalam bahasa Inggeris). SFGate. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  7. ^ Harper, Kenn (27 September 2007). "The Evolution of a Word Husky" [Evolusi Perkataan Husky] (dalam bahasa Inggeris). Nunatsiaq News. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  8. ^ Dalziel, Hugh (1879). British Dogs: Their Varieties, History, Characteristics, Breeding, Management and Exhibition [Anjing British: Keragaman, Sejarah, Ciri, Pembiakbakaan, Pengurusan, dan Pempamerannya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: The Bazaar Office. m/s. 205–213. OCLC 19420097.
  9. ^ Freedman, Adam H.; Gronau, Ilan; Schweizer, Rena M.; Ortega-Del Vecchyo, Diego; Han, Eunjung Christine; da Silva, Pedro Manuel Soares; Galaverni, Marco; Fan, Zhenxin; Marx, Peter; Lorente-Galdos, Belén; Beale, Holly C.; Ramírez Bellido, Óscar; Hormozdiari, Farhad; Alkan, Can; Vilà Arbonès, Carles; Squire, Kevin R. E.; Geffen, Eli; Kusak, Josip; Boyko, Adam R.; Parker, Heidi G.; Lee, Clarence C.; Tadigotla, Vasisht R.; Siepel, Adam C.; Bustamante, Carlos Daniel; Harkins, Timothy T.; Nelson, Stanley F.; Ostrander, Elaine Ann; Marquès-Bonet, Tomàs; Wayne, Robert Keith; Novembre, John Peter (16 Januari 2014). Andersson, Leif Bertil (penyunting). "Genome Sequencing Highlights the Dynamic Early History of Dogs" [Penjujukan Genom Menekankan Sejarah Awal Dinamik Anjing]. PLOS Genetics (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 10 (1): e1004016. doi:10.1371/journal.pgen.1004016. hdl:10261/96560. ISSN 1553-7404. PMC 3894170. PMID 24453982. S2CID 6203697.
  10. ^ Skoglund, Pontus; Ersmark, Erik Ivar; Palkopoulou, Eleftheria; Dalén, Love (21 Mei 2015). "Ancient Wolf Genome Reveals an Early Divergence of Domestic Dog Ancestors and Admixture into High-Latitude Breeds" [Genom Serigala Purba Mendedahkan Pencapahan Awal Leluhur Anjing Bela Jinak dan Percampuran ke Dalam Baka Latitud Tinggi]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 25 (11): 1515–1519. Bibcode:2015CBio...25.1515S. doi:10.1016/j.cub.2015.04.019. ISSN 0960-9822. PMID 26004765. S2CID 15117630.
  11. ^ a b Brown, Sarah Krystyna; Darwent, Christyann Marie; Wictum, Elizabeth J.; Sacks, Benjamin N. (24 Jun 2015). "Using multiple markers to elucidate the ancient, historical and modern relationships among North American Arctic dog breeds" [Menggunakan berbilang penanda untuk menerangkan hubungan purba, hubungan sejarah, dan hubungan moden dalam kalangan baka anjing Artik Amerika Utara]. Heredity (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 115 (6): 488–495. doi:10.1038/hdy.2015.49. ISSN 1365-2540. PMC 4806895. PMID 26103948. S2CID 20747538.
  12. ^ Beregovoy, Vladimir (2 Ogos 2019). Hunting Laika Breeds of Russia [Baka Laika Pemburu Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Rosedog Books. ISBN 9781644266960. OCLC 1231601344.
  13. ^ husky (dalam bahasa Inggeris). Encyclopedia.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Januari 2012. Dicapai pada 14 Disember 2024.
  14. ^ Williams, Amanda (29 Julai 2013). "Eating Habits of Siberian Huskies" [Tabiat Makan Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). The Nest. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  15. ^ "Chapter 11: Uvea" [Bab 11: Uvea] (dalam bahasa Inggeris). Universiti California, Davis. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2012. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  16. ^ "Sled Dogs: An Alaskan Epic" [Anjing Kereta Luncur Salji: Sebuah Epik Alaska] (dalam bahasa Inggeris). PBS. 21 November 1999. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Januari 2022. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  17. ^ "Sled Dogs in the North" [Anjing Kereta Luncur Salji di Utara] (dalam bahasa Inggeris). Yukon Quest. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Januari 2022. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  18. ^ a b c Cary, Bob (26 Oktober 2009). Born to Pull: The Glory of Sled Dogs [Lahir untuk Menarik: Kemegahan Anjing Kereta Luncur Salji] (dalam bahasa Inggeris). Diilustrasi oleh Gail de Marcken. Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat: University of Minnesota Press. ISBN 9780816667734. OCLC 368047645.
  19. ^ Hoyles, Samantha (2017). "The Great Labrador Husky" [Husky Labrador Agung]. Inside Labrador (dalam bahasa Inggeris). No. Musim Panas. Downhome. m/s. 60–64.
  20. ^ Losey, Robert Justin; Wishart, Robert P.; Loovers, Jan Peter Laurens, penyunting (14 Ogos 2020). Dogs in the North: Stories of Cooperation and Co-domestication [Anjing di Utara: Kisah-kisah Kerjasama dan Pembelajinakan Bersama] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). London, United Kingdom: Routledge. ASIN B07G432R2X. ISBN 9780367589929. OCLC 1156994066.
  21. ^ Niramin (12 Januari 2017). "Сахалинский хаски - исчезающая порода" [Husky Sakhalin Ialah Baka Terancam] (dalam bahasa Rusia). Дикая граница. Dicapai pada 8 Jun 2024.[pautan mati kekal]
  22. ^ Yasʹko, Kirill (31 Oktober 2015). "Последний каюр псов Карафуто" [Musher Terakhir Anjing Karafuto] (dalam bahasa Rusia). Sakhalin.info. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  23. ^ a b c Pasyukov, Pyotr (8 Oktober 2020). "БЕЛЫЙ СОН" [MIMPI PUTIH] (dalam bahasa Rusia). Ostrov 2049. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  24. ^ Pankstʹyanov, Daniil (21 Februari 2023). "На Сахалине пытаются сохранить уникальную породу собак" [Di Sakhalin, mereka mencuba untuk memulihara baka anjing unik] (dalam bahasa Rusia). Komsomolskaya Pravda. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  25. ^ Alex T (15 Disember 2018). "Siberian Husky" [Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). Dog Name Hero. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  26. ^ Thomas, Bob; Thomas, Pam (April 2015). Leonhard Seppala: The Siberian Dog and the Golden Age of Sleddog Racing 1908–1941 [Leonhard Seppala: Anjing Siberia dan Zaman Keemasan Perlumbaan Anjing Kereta Luncur Salji 1908–1941] (dalam bahasa Inggeris). Missoula, Montana, Amerika Syarikat: Pictorial Histories Publishing Company. ISBN 9781575101705. OCLC 931927411.
  27. ^ "The Siberian Husky: a Brief History" [Husky Siberia: Sejarah Ringkas] (dalam bahasa Inggeris). Siberian Husky Club of America. 1998. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  28. ^ "The Siberian Husky Standard" [Piawaian Husky Siberia] (dalam bahasa Inggeris). Siberian Husky Club of America. Mei 2021. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  29. ^ "Do many Siberian Huskies run the Iditarod? If not, why?" [Adakah banyak husky Siberia berlari dalam Iditarod? Jika tidak, mengapa?] (dalam bahasa Inggeris). Perlumbaan Anjing Tarikan Jejak Iditarod. 12 Oktober 2020. Dicapai pada 8 Jun 2024.
  30. ^ MacQuarrie, Gordon (30 November 1998). "Kenai, Dog of Alaska" [Kenai, Anjing Alaska]. Dalam Taylor, Zack (penyunting). The Gordon MacQuarrie Sporting Treasury [Perbendaharaan Sukan Gordon MacQuarrie] (dalam bahasa Inggeris). Minocqua, Wisconsin, Amerika Syarikat: Willow Creek Press. m/s. 98–99. ISBN 9781572230323. OCLC 39728114.

Pautan luar

sunting
  •   Kategori berkenaan Husky di Wikimedia Commons