Hubungan bahasa Jepun dengan bahasa Melayu
Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. |
Bahasa Melayu secara umumnya diakui tergolong dalam keluarga bahasa Austronesia; manakala pengelasan keluarga bahasa bagi Bahasa Jepun masih dalam pertikaian dan sering digolongkan dalam rumpun bahasa Altaik atau sebagai bahasa pencilan. Namun demikian, terdapat hubung kait antara bahasa Melayu dengan budaya, negara dan bahasa Jepun, hal ini dapat ditentukan berdasarkan beberapa fakta menarik yang ditemukan.
Kaitan bahasa
suntingKaitan antara bahasa Jepun dan bahasa Melayu telah dianggap sebagai sebuah kes yang menarik minat banyak pakar linguistik. Ada yang mengelompokkan bahasa Jepun dalam rumpun bahasa Austronesia berdasarkan beberapa kata-kata dan fonologi bahasa Jepun itu sendiri. Namun kebanyakan yang lain berpendapat bahasa Jepun (dan Korea) tergolong dalam rumpun Bahasa-bahasa Altaik kerana mirip dengan bahasa Mongol dan Bahasa Turki, namun perlu dimaklumkan bahawa rumpun Altai juga masih dipertikaikan.
Persamaan kosa kata
suntingBeberapa kata daripada bahasa Jepun menyerupai kosa kata rumpun bahasa Austronesia:
Bahasa Jepun | Maksud (Huraian) |
---|---|
hi (火) | api (daripada *hapuy Proto-Melayu-Polinesia, daripada *Sapuy Proto-Austronesia) |
ki (木) | kayu (daripada Proto-Austronesia: *kahiw) |
nomu (飲む) | minum (daripada Proto-Melayu-Polynesia: *inumia) |
suki (好き) | suka |
anata (あなた) | anda |
kimi (君) | kamu (daripada Proto-Austronesia: *kamu) |
ano (あの) | anu (itu) |
Persamaan tatabahasa
suntingSelain kosa kata, terdapat juga persamaan tatabahasa antara Bahasa Melayu dan Bahasa Jepun, contohnya
- Dalam bahasa Jepun, ka (か) digunakan pada akhir ayat bagi menandakan pertanyaan, ini menyerupai pengunaan kah dalam bahasa Melayu.
- Beberapa perkataan dalam bahasa Jepun boleh dijamakkan dengan menggandakan perkataan tersebut. Sebagai contoh ware (我) yang bererti saya, boleh dijamakkan menjadi ware-ware (我々) yang beerti kami, hito yang bermaksud orang dijamakkan sebagai hito-bito yang bererti setiap orang atau manusia. Kaedah pembentukan kata jamak sedemikian sangat menyerupai kaedah pembentukan kata jamak dalam bahasa Melayu (contoh: buah = buah-buahan, buku = buku-buku)
Sejarah
suntingMengikut sejarah Melayu yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), orang-orang dari kepulauan Kyūshū telah mula menjalinkan hubungan perdagangan dengan Melaka sejak zaman pemerintahan Megat Iskandar Shah (Parameswara). Namun selepas itu, rombongan pedagang ini telah dihalau balik ke negeri Kyūshū kerana kebanyakan mereka bersikap tidak senonoh kerana suka mengganggu ketenteraman awam seperti menganggu anak-anak dara orang Melaka.
Pelopor bahasa Melayu terkemuka di Jepun yang bernama Moriyama telah menerangkan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun dalam karangannya yang telah mencatatkan orang Jepun mula belajar bahasa Melayu sejak 100 tahun yang lalu. Beliau menerangkan bahawa buku bahasa Melayu pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu sudah melebihi 200 buah. Moriyama mencatatkan keadaan tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.
Karangan tersebut juga telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Disiarkan juga gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang diterbitkan pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap bertulisan Jawi.
Dalam cerita yang lain, Moriyama turut menerangkan kisah sebilangan kecil orang Jepun yang merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun dan Asia Tenggara. Kebanyakan perantautersebut adalah daripada kalangan peniaga kecil dan juga pelacur. Namun atas usaha yang gigih, sebilangan mereka berjaya mempunyai ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah di Tanah Melayu. Lantaran itu, kebanyakan mereka telah mula fasih berbahasa Melayu.
Moriyama juga mencatatkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda khususnya di sekitar gugusan kepulauan Melayu.
Perkembangan, penerbitan & pendidikan bahasa Melayu
suntingAtas sebab kepentingan bahasa Melayu di Asia Tenggara, telah mulalah penerbitan kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaannya, telah disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.
Moriyama juga melaporkan oleh kerana ketiadaan guru Jepun yang boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah-sekolah Jepun maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka dikatakan menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik), salah seorang guru pengajar, telah menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang diterbitkan pada tahun 1937. Ia kemudian diulang cetak sehingga 30 kali.
Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Antara rekod pengajian di dalam kelas yang pernah dilaporkan adalah pada hari pertama, ke-2, ke-24, 27 & 28. Pelajaran bagi dua hari pertama berkisar mengenai bunyi sesuatu perkataan dan kelainan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda. Manakala pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula. Hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita daripada Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.
Sepanjang kehidupan Marquis Tokugawa di Tanah Melayu dan Pulau Jawa, beliau dikatakan gemar memburu beruang dan harimau sehinggakan beliau dikatakan berbangga atas hasil buruannya itu dengan berucap dalam bahasa Melayu yang berbunyi: "Untung sekali, sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya; dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."
Sepanjang Marquis Tokugawa di Tanah Melayu, beliau telah menjalinkan hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, Sultan Negeri Johor Darul Takzim yakni setelah mereka pertama-kali pergi memburu bersama-sama. Dalam hubungan pena kedua dan selanjutnya, surat menyurat antara mereka telah ditulis dalam tulisan Jawi.
Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda Sultan telah menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian daripada Baginda kepada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.
Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis dalam tulisan rumi. Semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu ketika mana setelah tentera Inggeris dan Belanda tewas di tangan tentera Jepun, bahasa Jepun (Nippon-go) telah diajar di sekolah-sekolah yang dahulunya mengajar bahasa Inggeris.