Harimau putih

(Dilencongkan daripada Harimau heterozigot)

Harimau putih ialah sejenis harimau yang membawa gen resesif yang menghasilkan pewarnaan pucatnya. Wujudnya juga satu lagi ciri genetik yang menyebabkan belangnya turut berwarna pudar; harimau putih sebegini pula dipanggil harimau "putih salju" atau putih sejati. Ini terjadi apabila seseekor harimau mewarisi dua salinan gen resesif bagi pewarnaan puda yang jarang ini. Harimau putih berhidung merah jambu, bertapak kaki merah jambu, berkulit kelam kelabu, bermata biru ais, dan berbulu putih atau putih kuning berbelang hitam, kelabu atau coklat.

Berbeza dengan harimau biasa, harimau putih berhidung merah jambu dan bermata biru

Harimau putih bukannya albino atau subspesies yang berlainan, jadi bolehlah membiak bersama harimau biasa yang berwarna jingga, itupun anaknya adalah heterozigot kerana gen pemutihan yang resesif, maka bulunya berwarna jingga, melainkan induk yang jingga pun heterozigot, maka anaknya ada 50% peluang menjadi putih resesif berganda atau jingga heterozigot. Jika dua harimau heterozigot membiak pula, maka purata 25% anaknya akan berwarna putih, 50% jingga heterozigot (pembawa gen putih) dan 25% yang selebihnya jingga homozigot tanpa gen putih. Pada 1970-an, sepasang harimau jingga heterozigot bernama Sashi dan Ravi melahirkan 13 anak dalam Zoo Alipore, tiga darinya berwarna putih.[1] Jika dua harimau putih membiak, hasilnya 100% anaknya berupa harimau putih homozigot. Harimau yang homozigot bagi gen putihnya boleh juga menjadi heterozigot atau homozigot untuk gen-gen yang lain. Persoalan sama ada seseekor harimau itu heterozigot atau homozigot bergantung kepada konteks gen yang mana sedang dibincangkan. Pembiakbakaan dalam menggalakkan kehomozigotan, maka dijadikan strategi melahirkan harimau putih.

Berbanding dengan harimau jingga tanpa gen putih, harimau putih selalunya lebih besar dari lahir lagi hingga mencapai saiz dewasa sepenuhnya.[2] Mungkin inilah salah satu kelebihan yang dimiliki oleh harimau putih dalam habitat liar meskipun berwarna sedemikian. Harimau jingga heterozigot pula juga lebih besar berbanding harimau jingga yang lain. Kailash Sankhala, pengarah Zoo New Delhi pada 1960-an, berkata "Salah satu fungsi gen putih ini mungkin adalah mengekalkan suatu 'gen saiz' dalam populasi sekiranya diperlukan sekalipun."[3]

Harimau putih individu yang berbelang gelap tercatat dengan sebaiknya bagi subspesies harimau Benggala, juga dikenali sebagai harimau Benggala Diraja atau harimau Infia, (Panthera tigris tigris atau P. t. bengalensis), bahkan juga wujud di kalangan harimau Siberia (Panthera tigris altaica) dalam kurungan, mungkin sekali pernah dicatatkan bagi subspesies lain dalam sejarah. Apapun, bulu putih paling berkait rapat dengan subspesies Benggala. Kini terdapat beberapa ratus harimau putih dalam kurungan di seluruh dunia, lebih kurang seratus daripadanya di India, dan bilangannya semakin bertambah. Populasi harimau putih moden merangkumi subspesies Benggala sejati dan kacukan Benggala-Siberia, tetapi tidak pastilah sama ada gen resesif pemutih ini berasal dari harimau Benggala sahaja, atau juga mana-mana leluhur harimau Siberia.

Corak warna yang aneh ini turut menaikkan nama harimau putih dalam zoo dan pertunjukan hiburan yang dibintangi oleh haiwan eksotik. Pasangan tukang silap mata Siegfried & Roy terkenal kerana membela dan melatih dua ekor harimau putih untuk persembahan mereka.

Rujukan

sunting
  1. ^ Sankhala, K.S., Tiger ! The Story Of The Indian Tiger, Simon & Schuster New York 1977
  2. ^ Mills, Stephen, Tiger, Firefly Publications, BBC Books 2004 pg. 133
  3. ^ Leyhausen, Paul, & Reed, Theodore H., "White tiger care and breeding of a genetic freak" Smithsonian April 1971

Pautan luar

sunting