Kelapa laut

(Dilencongkan daripada Coco de mer)

Kelapa laut, nyiur laut atau pauh janggi (nama botani: Lodoicea maldivica; Perancis: coco de mer) ialah sejenis pokok palma yang tunggal dalam genus Lodoicea[3] berasal dari kepulauan Seychelles, terutamanya di pulau-pulau Praslin dan Curieuse. Pokoknya membuahkan biji benih paling besar yang ada di seluruh alam tumbuhan, berat timbangan biji ini mencapai setinggi 25 kg atau maksimum 42 kg[4][5] dengan ukuran panjang setengah meter.[6]

Kelapa/nyiur laut
Pauh janggi
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Lodoicea

Spesies:
L. nucifera
Nama binomial
Lodoicea nucifera
Sinonim[2]
Senarai
    • Borassus sonneratii Giseke
    • Cocos maldivica J.F.Gmel.
    • Cocos maritima Comm. ex H.Wendl.
    • Lodoicea callypige Comm. ex J.St.Hil.
    • Lodoicea sechellarum Labill.
    • Lodoicea sonneratii (Giseke) Baill.

Pokok ini kini merupakan spesies terancam yang disenaraikan secara rasmi oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa: sebanyak lebih kurang 8,000 batang pokok ini sahaja yang didapati di kawasan liar pada tahun 2019,[6] di mana semua pokok ini hanya boleh didapati di taman-taman negara pulau-pulau Praslin dan Curieuse. Malahan, perdagangan kelapa ini dikawal undang-undang negara Seychelles melalui Perintah Pengurusan Kelapa Laut 1995.[7]

Peristilahan

sunting

Nama "pauh janggi" merujuk kepada tempat asal pokok ini yakni kawasan timur benua Afrika yang diberi nama Zanj atau Zang (Arab: زَنْج, Parsi: زنگی, rumi: Zangi); kata tersebut dimelayukan sebagai "Janggi" (Jawi: جڠݢي).[8][9]

Taksonomi

sunting

Nama genus Lodoicea diberikan Philibert Commerson selepas menukarkan nama Raja Louis XV dari Perancis kepada Lodoicus dalam bahasa Latin.[10]

Botani

sunting

Pokok dan daun

sunting

Pokok kelapa laut bertumbuh sehingga 25-34 meter tinggi; pokok kelapa laut paling panjang pernah dicatatkan setinggi 56.7 m (186 ka).[11]:260 Daun-daunnya berbentuk kipas dengan ukuran 7-10 meter panjang dan 4.5 meter lebar dengan tangkai daun sepanjang 4 meter; ada juga pokok muda yang mempunyai tangkai muda sehingga 9-10 meter panjang.[12][13][14] Daun-daun ini mencorong lalu membolehkan bendasing dan air disalurkan terus untuk membekalkan gizi tumbuhan,[15]

Jantina pokok muncul secara berasingan di mana ada pembezaan antara pokok jantan dengan pokok betina yang tumbuh berasingan; ia merupakan satu-satunya pokok palma dengan sifat ini.[16] Pokok jantan menumbuhkan bunga kecil yang menjambak dalam pudung lonjong sepanjang satu meter mengeluarkan bau tersendiri[17] serta debunga yang bertahan selama satu tahun.

Buah kelapa laut membesar pada pokok betina yang disenyawakan selama 6-7 tahun sehingga ia cukup matang lalu gugur,[17] buah ini kemudiannya mengambil masa dua tahun untuk bercambah. Diameter buah yang matang sebanyak 40-50 sentimeter, dengan berat sebanyak 15-30 kilogram. Saiz besar buah ditumbuhkan ini merupakan hasil fenomena gigantisme pulau kerana keadaan spesies ini yang terasing dari daratan besar berdekatan sehingga bertambah saiznya.[18]

Buah kelapa laut tidak boleh terapung di laut seperti buah kelapa kerana terlalu berat. Buah kelapa laut menjadi geronggang dan terapung selepas bercambah atau isinya mereput, kerana itulah pokok-pokok ini hanya terdapat di dua buah pulau sahaja.[19]

Hubungan dengan manusia

sunting

Penceritaan

sunting

Menurut penceritaan masyarakat Perak di semenanjung Melayu, terdapat fenomena air pusar di Beting Beras Basah yang pada asalnya merupakan suatu tasik purba misteri diberi nama Tasik Pauh Janggi sempena perkaitan dengan suatu belahan biji benih kelapa laut yang diberikan kepada Putera Bongsu atau Pangiran Shahbandar Maharajalela, saudara Sultan Shah Berunai dari kerajaan Brunei sebagai salah satu alat pertabalan baginda menjadi Sultan Sulu sekitar tahun 1600.[20]

Di Selangor pula, terdapat kisah yang diceritakan mengenai seorang pengembara asal negeri sama bergelar "Haji Batu" yang berlayar ke Mekah untuk menunaikan haji; pelayaran ini berterusan selama dua bulan sebelum mereka tersasar dari laluan pelayaran mereka sehingga dihanyutkan ke laut dalam dipenuhi batang pokok dan balak kayu berapungan. Pada ketika ini, si haji ini bermimpi didatangkan seorang lelaki yang menasihatinya bahawa dia akan berjumpa sebatang pokok pauh janggi dan dia perlu membawa sebatang tukul dan paku apabila berpaut kepadanya. Pada keesokan harinya, kapal mereka bertembung dengan suatu pusaran air hebat bernama "Pusat Tasik" yang menenggelamkan kapal tersebut, hanya si Haji Batu yang terselamat menemukan pokok yang dijanjikan dan mendaki pokok tersebut ke atas menyelamatkan diri.[21]:8-10

Penemuan lanjut

sunting
 
Setandan buah kelapa laut.

Pada suatu ketika, buah kelapa laut dipercayai merupakan sejenis biji hanyut yang bertujuan untuk disebarkan oleh laut. Banyak buah kelapa laut yang reput berhanyut ke pantai-pantai Maldives, di mana buah-buah ini dikumpul dan dijadikan bahan perdagangan dan perubatan yang penting.[22][23]

Sehingga punca sebenar datangnya buah kelapa laut ditemui pada tahun 1768, banyak orang mempercayai bahawa buah ini berasal daripada sebuah pokok mitos yang tumbuh di dasar laut. Orang-orang bangsawan pada abad ke-16 sering membersihkan kulit buah ini dan menghiaskannya dengan permata yang berharga untuk galeri-galeri peribadi mereka.

Rujukan

sunting
  1. ^ Fleischer-Dogley, F.; Huber, M.J. & Ismail, S. (2011). "Lodoicea maldivica". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2011: e.T38602A10136618. doi:10.2305/IUCN.UK.2011-2.RLTS.T38602A10136618.en.
  2. ^ "Lodoicea maldivica (J.F.Gmel.) Pers". World Flora Online. The World Flora Online Consortium. 2022. Dicapai pada 22 Jun 2022.
  3. ^ "Lodoicea Comm. ex DC., Bull. Sci. Soc. Philom. Paris 2: 171 (1800)". Plant of the World Online. Royal Botanic Gardens, Kew. 2022. Dicapai pada 12 November 2022.
  4. ^ Uhl and Dransfield, 1987.
  5. ^ Wise, R. (1998). A Fragile Eden. New Jersey: Princeton University Press.
  6. ^ a b Bellot, Sidonie (8 Julai 2020). "Double coconut: The largest seed in the world". Kew Gardens (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Julai 2021.
  7. ^ Gerlach, J. (1997). Seychelles Red Data Book. Seychelles: The Nature Protection Trust of the Seychelles.
  8. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "janggi". A Malay-English dictionary (romanised). I. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 444-445 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  9. ^ "janggi". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  10. ^ Wise, Rosemary (1998). A Fragile Eden: Portraits of the Endemic Flowering Plants of the Granitic Seychelles (dalam bahasa Inggeris). Princeton University Press. m/s. Gambar 27. ISBN 978-0-691-04817-8.
  11. ^ "Letter from Swinburne Ward, Esq., to Sir William Hooker, F.R.S." The Journal of the Linnean Society. Botany. 9: 259–261. 1866. Dicapai pada 12 November 2022 – melalui Biodiversity Heritage Library.
  12. ^ BIOTROPICA Vol. 15 # 1 (March 1983) p. 18 Fig 3
  13. ^ Corner, E.J.H. (1966). Natural History of Palms. Berkeley, California: University of California Press. m/s. 314-315.
  14. ^ Coativy, Rene (Summer 2010). The Palm Journal (195): 6 plus photo inside front cover p. 1. Missing or empty |title= (bantuan)
  15. ^ Edwards, Peter J.; Fleischer-Dogley, Frauke; Kaiser-Bunbury, Christopher N. (2015). "The nutrient economy of Lodoicea maldivica, a monodominant palm producing the world's largest seed". New Phytologist. 206 (3): 990–999. doi:10.1111/nph.13272. PMID 25616088.
  16. ^ Edwards, Kollmann & Fleischmann's selective review of the biology of the species (2002)
  17. ^ a b "Royal honeymooners' 'erotic' souvenir". BBC News. 16 Julai 2011.
  18. ^ Proctor, J. (1984). "Vegetation of the granitic islands of the Seychelles". Dalam Stoddart, D. R. (penyunting). Biogeography and Ecology of the Seychelles Islands. W. Junk. ISBN 978-90-6193-881-1. OCLC 906429733.
  19. ^ Gollner, Adam Leith (1999). The Fruit Hunters, a story of nature, adventure, commerce and obsession. Scribner. m/s. 114. ISBN 978-0-7432-9694-6.
  20. ^ Jasbindar, Freddie Aziz (29 Disember 2018). "Misteri Tasik Pauh Janggi Di Beting Beras Basah, Perak". Orang Perak. Dicapai pada 25 Julai 2021.
  21. ^ Skeat, Walter William (1900). "Chapter 1: Nature". Malay Magic. London: Macmillan and Co., Limited. m/s. 1–15.
  22. ^ Ecott, Tim (16 Julai 2011). "Royal honeymooners' 'erotic' Seychelles souvenir". BBC News. Dicapai pada 12 November 2022.
  23. ^ Romero-Frias, Xavier (1999). The Maldive Islanders, A Study of the Popular Culture of an Ancient Ocean Kingdom. Barcelona. ISBN 84-7254-801-5.

Sumber utama

sunting

Pautan luar

sunting