Belantik (buruj)
Belantik, Pemburu, buruj Tiga Beradik, Beluku atau Waluku, Bajak, Jabar (Arab: الجبار , al-Ǧabbār), atau Orion (Ori) ialah nama bagi sebuaH daripada 88 buah buruj di langit. Secara kasarnya, buruj ini terdiri daripada tujuh buah bintang utama yang lebih terang daripada bintang lain di sekitarnya. Empat daripadanya membentuk segiempat tepat manakala tiga lagi terletak sederet melintang di tengah-tengah segiempat tepat itu. Berdasarkan bentuknya itu, orang Melayu di Nusantara menamainya Belantik iaitu sejenis alat perangkap binatang bagi memerangkap babi hutan (seperti yang diamalkan beberapa suku kaum Asia Tenggara),dan juga turunan kata akar proto-Austronesia *bala(n)tik.[1] Tiga bintang sederet di tenganhya itu dipanggil oleh orang Melayu sebagai Bintang Tiga Beradik.
Orion | |
---|---|
Buruj | |
Nama Latin | Orion |
Singkatan | Ori |
Genitif | Orionis |
Sebutan | /orion/, genitif /orionis/ |
Simbolisme | Pemburu, Orion |
Pencerapan | |
(Epok J2000) | |
5 | |
Keserongan | +5 |
Sukuan | NQ1 |
Keluarga | Belantik |
Keluasan | 594 darjah persegi (ke-26) |
Bintang | |
Bintang utama | 7 |
81 | |
Bintang dengan planet | 10 |
Bintang terang (lebih daripada 3.00m) | 8 |
Bintang dalam 10.00 pc (32.62 ly) | 8 |
Bintang paling terang | Rigel (β Ori) (0.12m) |
Bintang terhampir | GJ 3379 (17.51 tc, 5.37 pc) |
Objek | |
Objek Messier | 3 |
Pancuran meteor | |
Buruj bersempadan | |
Catatan | |
Boleh dilihat pada garis lintang antara +85° dan −75°. Penglihatan terbaik pada jam 21:00 (9:00 malam) ketika bulan Januari. | |
sunting |
Belantik boleh dilihat di langit malam dari bulan Disember hingga Mac.
Perubahan kedudukan Belantik
suntingOleh sebab Belantik terletak di khatulistiwa samawi iaitu unjuran khatulistiwa Bumi di angkasa, buruj ini boleh dilihat dari mana-mana tempat di hemisfera utara dan selatan. Namun, kedudukannya berubah dengan berubahnya arah pandangan tadi, menyebabkan timbul pelbagai mitos dan nama untuknya. Di sepanjang khatulistiwa, buruj ini kelihatan "terbaring" yakni dalam kedudukan landskap manakala di hemisfera utara, buruj ini kelihatan tegak (kedudukan potret) dengan Bintang Tiga Beradik condong ke kanan atas. Di hemisfera selatan (contohnya Australia), buruj ini kelihatan sebaliknya iaitu "tertonggeng" (terbalik atas bawah).
Penamaan
suntingBelantik dikenali sebagai Orion dalam bahasa Latin dan bahasa Yunani, iaitu nama pemburu dalam legenda Yunani purba. Mengikut sudut pandangan di Eropah, empat buah bintang yang membentuk kerangka luar segi empat tepat buruj ini kelihatan seperti susuk tubuh manusia (dengan tambahan beberapa bintang lebih malap di luar segiempat ini); Bintang Tiga Beradik pula membentuk tali pinggang pemburu itu. Di bawah Bintang Tiga Beradik, terdapat pula beberapa buah bintang malap, kononnya membentuk pedang (atau sarung pedang) pemburu itu.
Dalam bahasa Arab, buruj ini dipanggil al-Ǧawzāʾ (Arab: الجوزاء ) yang bermakna "yang di tengah-tengah",[2] tetapi juga dikelirukan dengan buruj Gemini (Kembar), atau al-Ǧabbār (Arab: الجبار ) yang bererti "perkasa" atau "gergasi".
Dalam bahasa Tagalog, buruj ini dipanggil Balatik. Ia seturunan dengan perkataan Melayu Belantik yang terbit daripada akar Melayu-Polinesia Barat Purba *bala(n)tik.[3] Belantik, juga pelantik, asalnya merujuk pada sejenis perangkap binatang yang dibuat daripada tali dan pembidas.[4] Di kalangan masyarakat di Asia Tenggara, bintang ini dilambangkan sebagai jerat babi hutan dan dikaitan dengan kisah memburu.[5]
Kata beluku dan waluku pula berasal daripada perkataan Jawa yang membawa maksud bajak atau tenggala iaitu sejenis alat untuk menggembur huma.[6] Orang Jawa yang terkenal dengan penanaman padi merujuk Belantik sebagai sebilah bajak dan akan memerhatikan kemunculannya di langit sebagai panduan untuk menanam padi.[5]
Bintang utama di buruj Belantik
suntingAda beberapa cara bintang diberi nama. Tiga bentuk nama yang popular dalam astronomi najam ialah nama khas tradisi Arab, sistem nombor Flamsteed, dan sistem aksara Yunani Bayer[7]. Kebanyakan nama Arab itu mengalami perubahan sebutan dan ortografi disebabkan pelat ahli astronomi Eropah ketika menukilkan atau menterjemahkan karya ahli astronomi Arab pada zaman pertengahan.
Bintang di bahu kiri Orion (mengikut pandangan orang Eropah, pemburu itu membelakangi Bumi) ialah Betelgeuse, daripada Yad al-Ǧawzaʾ (Arab: يد الجوزاء ) yang bermakna "tangan Jauza" atau secara salah tafsir huruf ʾIbṭ al-Ǧawzaʾ (Arab: إبط الجوزاء ) yang bermakna "ketiak Jauza" dalam bahasa Arab. Bagaimanapun, orang Arab purba melihatnya sebagai menghadapi Bumi yakni menganggap bintang ini sebagai ketiak kanan gergasi itu. Bintang ini juga dikenali sebagai Alpha (α) Orionis mengikut senarai Bayer tahun 1603 dan 1 Orionis mengikut senarai nombor Flamsteed tahun 1725.
Bintang di bahu kanan dipanggil al-Naǧīd (Arab: النجيد ), "penakluk", yang diterjemah ke Latin sebagai Bellatrix ("pahlwan wanita").
Rigel ialah bintang di kaki kanan Orion, singkatan daripada nama bahasa Arabnya Riǧl al-Ǧawzāʾ al-Yusraʾ (Arab: رجل الجوزاء اليسرأ ), "kaki kiri Jauza" yakni mengikut pandangan orang Arab. Bintang ini dikenali juga sebagai Beta (β) Orionis.
Bintang pelengkap segi empat tepat itu iaitu kaki kiri Orion dilambangkan oleh Saiph (al-Sayf (Arab: السيف ), "pedang") yakni hujung pedang Orion yang berjuntai di kaki kirinya. Bintang ini pernah dipanggil juga Riğl al-Ğawzāʾ al-Yamnaʾ (Arab: رجل الجوزاء اليمنأ ), "kaki kanan Jauza".
Bintang Tiga Beradik yang membentuk tali pinggang Orion, dari kanan ialah Mintaka (daripada al-Manṭaqah (Arab: المنطقة ), "tali pinggang"), Alnilam (daripada al-Niẓām (Arab: النظام ), "untaian (mutiara)", dan Alnitak (daripada al-Niṭāq (Arab: النطاق ), "bengkung". Di khatulistiwa, garisan lurus Bintang Tiga Beradik ini ke arah barat dikatakan menunjukkan arah kiblat. Di sekitar Alnitak, terdapat awan bintang yang menempatkan Nebula Kepala Kuda.
Tiga buah bintang berbentuk segi tiga di utara segi empat tepat itu terutamanya Meissa (daripada al-Maysān (Arab: الميسان ), "yang berarak") dan Heka (daripada al-Haqʿah (Arab: الهقعة ), "tompok putih") membentuk kepala Orion.
Pedang Orion dilambangkan oleh beberapa buah bintang berhampiran Alnilam. Di sinilah letaknya Nebula Belantik yang terkenal itu.
Beberapa buah bintang di kiri segi empat itu membentuk belantan yang dipegang dan diangkat tinggi oleh Orion untuk mempertahan dirinya dari serangan lembu yang diwakili buruj Taurus (Lembu Jantan). Sekumpulan bintang di kanannya pula melambangkan perisainya.
Lihat juga
sunting- Buruj EURion
- Orvandil
- Urania
- Nebula Orion dalam cereka
- Teori korelasi Orion
- Hubble 3D (2010), sebuah filem IMAX dengan ciri "terbang" CGI terperinci bagi Nebula Orion
Rujukan
sunting- Catatan penjelasan
- Kutipan
- ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*bala(n)tik: spring back suddenly; spring-set spear trap; the constellation Orion". Austronesian Comparative Dictionary. Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology. Dicapai pada 21 November 2022.
- ^ Allen, R.H. (1963). Star Names: Their Lore and Meaning. NY: Dover Publications ISBN 0-486-21079-0
- ^ Blust, Robert (2010). Trussel, Stephen (penyunting). "*bala(n)tik spring back suddenly; spring-set spear trap; the constellation Orion". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 23 Julai 2023.
- ^ "belantik". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ a b Nurul Fatini Jaafar (2017). "KEBUDAYAAN LANGIT PRIBUMI MALAYONESIA". Jurnal Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Akademi Sains Malayasia (ASASI). 26 (2): 25-77. doi:10.13140/RG.2.2.24869.55520.
- ^ "beluku". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-12-23. Dicapai pada 2009-12-31.
- Bibliografi
- Levy, David H. (2005). Deep Sky Objects. Prometheus Books. ISBN 1-59102-361-0.CS1 maint: ref=harv (link)
- Ian Ridpath dan Wil Tirion (2007). Stars and Planets Guide, Collins, London. ISBN 978-0-00-725120-9. Akhbar Universiti Princeton, Princeton. ISBN 978-0-691-13556-4.
- Staal, Julius D.W. (1988), The New Patterns in the Sky, McDonald and Woodward Publishing Company, ISBN 0-939923-04-1
Pautan luar
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Belantik (buruj). |
- The Deep Photographic Guide to the Constellations: Orion (Inggeris)
- Melbourne Planetarium: Orion Sky Tour Diarkibkan 2008-07-30 di Wayback Machine (Inggeris)
- Views of Orion from other places in our Galaxy Diarkibkan 2013-04-21 di Wayback Machine (Inggeris)
- Orion boleh klik Diarkibkan 2007-09-27 di Wayback Machine (Inggeris)
- Star Tales – Orion (Inggeris)
- Deep Widefield image of Orion (Inggeris)
- Constellations of Words. Orion (Inggeris)
- APOD - Orion: Head to Toe (Inggeris)
- Buruj Orion di Constellation Guide (Inggeris)
- Beautiful Astrophoto: Zoom Into Orion (Inggeris)