Batalion British adalah satu unit tentera British yang ditubuhkan secara ad-hoc dalam bulan Disember 1941 semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Batalion ini ditubuhkan dengan menggabungkan saki baki dua buah batalion Tentera British yang mengalami jumlah kemalangan jiwa yang tinggi berjuang di utara Semenanjung Tanah Melayu semasa peringkat-peringkat terawal Penjajahan Jepun di Tanah Melayu berikutan penaklukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu dalam bulan Disember 1941.

Batalion British ditubuhkan hasil penggabungan dua buah batalion regular Tentera British iaitu batalion ke-2 Rejimen East Surrey dan Batalion Pertama Rejimen Leicestershire Diraja. Kedua-dua batalion ini telah berjuang begitu cemerlang menentang kemaraan Tentera Jepun di Jitra di sebelah utara Semenanjung Tanah Melayu.

Batalion British berkhidmat dalam Briged ke-15 Infantri India. Batalion British diletakkan di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel C.E. Morrison, D.S.O., M.C., daripada Rejimen Leicestershire Diraja dan dibantu oleh Mejar R.G.G Harvey, D.S.O juga dari Batalion Pertama Rejimen Leicestershire Diraja. Batalion British kemudiannya berjuang dengan cemerlang dan berani sepanjang kempen menentang kemaraan Tentera Jepun tetapi terpaksa menyerah diri di Singapura pada 15 Februari 1942 bersama-sama lain-lain unit Tentera British apabila Jeneral A. E. Percival bersetuju menyerah kalah kepada Tentera Jepun.

Pemerintah Command dan penjajahan Jepun

Semasa penubuhannya pada 20 Disember 1940 batalion ini mempunyai anggota seramai 786 orang pegawai dan lain-lain pangkat. Pada saat serah kalah pada 15 Februari 1942, kekuatan batalion hanya tinggal 265 orang pegawai dan lain-lain pangkat. Batalion ini kemudiannya menjadi tawanan selama 3 ½ tahun. Semasa ini, Leftenan Kolonel C.E. Morrison terus mengetuai batalion ini.

Batalion British dan Pertempuran Kampar

sunting

Batalion British telah menunjukkan keberanian yang amat tinggi semasa Pertempuran Kampar di Perak. Batalion British ditugaskan bertahan di rabung dikenali sebagai Rabung Green dan berhampiran dengan Rabung Thompson dan Rabung Kennedy. Kedudukan ini mempunyai nilai strategik kerana mengawal laluan jalan utama dari Ipoh ke arah selatan. Batalion ini menyediakan kedudukan mortar, post pengesan artileri dan juga penempatan mesingan. Batalion British ini dibantu oleh saki baki daripada Rejimen Jat-Punjab. Kekuatan anggota keseluruhan adalah 1,300 orang.

Mereka berhadapan dengan Rejimen Ke-41 Infantri Jepun seramai 4,000 orang yang menerima bantuan serangan udara rapat dan juga bantuan kereta kebal. Namun demikian, Batalion British dan pasukan bantuan berjaya menahan kemaraan askar Jepun selama 4 hari dari 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942. Rejimen ke-41 Infantri Jepun mengalami kemalangan jiwa yang sungguh tinggi dan tidak lagi berdaya menyertai operasi penaklukan Singapura. Akhbar Jepun menganggarkan pihak Tentera Jepun mengalami 500 korban perang sementara kemalangan jiwa di pihak Tentera British dianggarkan seramai 150 orang. Ini merupakan kemalangan jiwa besar yang pertama dialami Tentera Jepun semasa Kempen di Malaya. Kesungguhan tentangan yang diberikan oleh batalion British digambarkan oleh Kolonel Masonubu Tsuji dalam bukunya ‘Singapore-The Japanese Version’.

Menurut Chye Kooi Loong di dalam bukunya ‘The history of the British battalion’, Jeneral Yamashita mahu menawan Kampar sebelum Tahun Baru sebagai hadiah kepada Maharaja Hirohito. Tetapi hasratnya dipatahkan oleh Batalion British yang berjaya menahan kemaraan askar Jepun. Pihak Jepun terpaksa menggunakan taktik lain seperti penyusupan, tembakan sniper dan juga menggunakan serbuan banzai.

Pautan Luar

sunting

Rujukan

sunting