Ayam Pegar
Pegar Tatera atau Ayam pegar merupakan salah satu daripada spesies burung liar yang boleh didapati di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Ayam pegar digolongkan dalam keluarga Phesanidae, bersama-sama dengan burung kuang raya, kuang cermin, kuang gunung, merah mata dan ayam hutan.[1]
Ayam Pegar ايم ڤݢر | |
---|---|
Ayam Pegar jantan (L. i. nobilis) | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Order: | |
Keluarga: | |
Subkeluarga: | |
Genus: |
Terdapat empat pecahan spesies dalam pengelasan ayam pegar (Lophura ignita) iaitu Lophura ignita ignita, Lophura ignita nobilis, Lophura ignita macartneyi dan Lophura ignita rufa, akan tetapi pada tahun 2014, Ayam Pegar Malaya yang dikenali sebagai "L. i. rufa" secara ilmiahnya telah dikelaskan sebagai spesies yang berbeza daripada yang lain iaitu "L. rufa".
Ayam pegar telah disenaraikan di dalam Lampiran III CITES di Malaysia, dan mendapat status mergastua yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.[2]
Ciri-ciri
suntingAyam pegar dikenali warga tempatan kerana daging kulit keras berwarna biru nila yang menutupi mukanya seperti topeng manakala bagi orang luar pula ayam pegar dikenali kerana bulu sejemput di bahagian belakang selangka ayam pegar jantan yang semacam api marak berwarna merah berlatarkan bulu biru kehitaman. Mata ayam pegar berwarna merah dan berparuh warna pucat. Ayam pegar bersaiz antara 55 sm sehingga 70 sm panjang, dengan panjang ekor 15-30 sm. Berat badannya antara 1.6 kg hingga 2.6 kg. Ayam pegar jantan bersaiz lebih besar daripada ayam pegar betina. Spesies ini mempunyai warna bulu yang berbeza mengikut jantinanya. Ayam pegar jantan mempunyai jambul kembang yang cantik dan berambu pada bahagian atasnya manakala jambul ayam pegar betina lebih mengucup dan mempunyai rambu dihujungnya. Ayam pegar jantan lazimnya berbulu pelepah biru hitam berkilat seperti baldu menutupi tubuhnya dan mempunyai bulu sejemput di belakangnya yang berwarna merah manakala ayam pegar betina pula lazimnya mempunyai bulu pelepah berwarna perang membaluti tubuhnya dan jaluran pendek putih hitam di dadanya.[3]
Perbezaan Ayam Pegar jantan
sunting- L. i. ignita dan L. i. nobilis mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna perang, berkaki kelabu pucat, warna bulu pelepah belakang badannya berwarna perang, bersayap perang di hujungnya dan mempunyai bulu pelepah dada berwarna perang kehitaman.
- L. rufa mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki merah, warna bulu pelepah belakang badannya merah menyala, bersayap hitam biru keseluruhannya yang disisipi satu pelepah panjang berwarna putih.
- L. i. macartneyi mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki kelabu pucat dan berbintik putih hitam di dadanya
Perbezaan Ayam Pegar betina
sunting- L. i. ignita dan L. i. nobilis mempunyai ekor bulu pelepah berwarna perang kehitaman, berkaki kelabu pucat, dan bertompok putih di dada.
- L. rufa mempunyai ekor bulu pelepah berwarna perang berangan, berkaki merah.
- L. i. macartneyi mempunyai ekor bulu pelepah tengah yang berwarna putih melepak, berkaki kelabu pucat dan berbintik putih hitam di dadanya
Ayam pegar menghasilkan bunyi mendecit-decit bernada tinggi pada awalnya dan bernada rendah perlahan seperti ada sesuatu yang melekat di kerongkong diakhirnya.[4]
Pemakanan
suntingAyam pegar bersifat omnivor yang memakan bijirin seperti padi, daun pucuk muda, buah-buahan dan haiwan-haiwan kecil seperti cacing dan siput.
Pembiakan
suntingPada musim mengawan, corak bulu ayam pegar jantan akan bertukar menjadi lebih menarik seperti baldu biru kehitam-hitaman yang berkilat. Warna biru nila kulit muka ayam pegar jantan akan tampak lebih menyerlah dan akan dikembangkan pada musim mengawan bagi menarik perhatian ayam pegar betina.[5] Ayam pegar bersifat monogami dan setia kepada pasangannya.[6]
Ayam pegar akan mula bertelur selepas usianya 2 tahun ke atas. Telur ayam pegar berwarna putih kekuningan. Sebanyak 4-8 telur akan dieramkan sehingga beberapa minggu pada bulan Mei (L. i. ignita) dan April (L. rufa) pada satu-satu masa. Anak ayam pegar mempunyai bulu coklat berbelang kehitaman di bahagian atas dan kelabu putih di bahagian bawah.[7]
Habitat
suntingAyam pegar ditemukan di hutan tanah pamah kawasan rendah kurang daripada 1000 meter kecuali hutan paya gambut di Malaysia dan Indonesia. Ia lebih menyukai kawasan yang berhutan tebal bersemak dan mengelak padang rumput yang lapang yang terdedah dengan bahaya. Ancaman utama ayam pegar adalah kemusnahan habitatnya di hutan yang dilapangkan menjadi ladang pertanian dan pemburuan haram bagi dijadikan haiwan peliharaan ekzotik.[8]
- L. i. ignita dikesan tinggal di dalam hutan di bahagian Borneo selatan (Kalimantan, Indonesia) dan Pulau Bangka, Indonesia.
- L. i. nobilis dikesan tinggal di dalam hutan Borneo utara (Sarawak dan Sabah, Malaysia)[9].
- L. i. macartneyi dikesan tinggal di dalam hutan Borneo[10].
- L. rufa dikesan tinggal di dalam hutan bahagian dari wilayah Segenting Kra ke Semenanjung Malaysia dan Sumatera[11].
Pengelasan Spesies
sunting- Lophura ignita ignita, Ayam Pegar Borneo Kenit (Lesser Bornean Crested Fireback)[12][13][14]
- Lophura ignita nobilis, Ayam Pegar Borneo Besar (Greater Bornean Crested Fireback)[15][16][17]
- Lophura ignita macartneyi, Delacour's Crested Fireback[18]
- Lophura rufa (dahulu dibawah kelas L. ignita rufa), Ayam Pegar Malaya (Vieillot's Crested Fireback atau Malayan Crested Fireback), [19][20][21]
Kebudayaan Tersirat
suntingAyam pegar telah menjadi haiwan yang terdapat dalam pepatah Bahasa Melayu, "Harapkan pegar, pegar makan padi." (.هارڤكن ڤڬر، ڤڬر ماكن ڤادي).[22] Maksud pepatah ini ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan.[23] Perbincangan sama ada subjek yang dimaksudkan adalah pagar ataupun Ayam Pegar ini masih dalam perdebatan dan kajian berterusan.[24][25] [26]
Rujukan
sunting- ^ Enakmen-enakmen yang berkaitan dengan pemuliharaan di Sabah, 1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997[pautan mati kekal]
- ^ "Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010" (PDF). Undang-Undang Malaysia. Parlimen Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-05-10. Dicapai pada 25 May 2012.
- ^ Abdul, J. (2015). Konservasi - Ayam Pegar Makan Padi? Diarkibkan 2018-12-03 di Wayback Machine, Dewan Kosmik Bil 5 2015.
- ^ Crested Fireback Pheasant Voice
- ^ Abdul, J. (2015). Konservasi - Ayam Pegar Makan Padi? Diarkibkan 2018-12-03 di Wayback Machine, Dewan Kosmik Bil 5 2015.
- ^ Bornean Crested Fowl
- ^ Ayam Pegar, Zoo Kemaman-PERHILITAN (2014)
- ^ Crested Peafowl, Beauty of Birds
- ^ Lophura ignita nobilis
- ^ Bornean Fireback (Delacour's)
- ^ Malaysian Fireback, Lophura ignita rufa
- ^ Shaw.(1798).Lophura ignita ignita)
- ^ [1]
- ^ Bornean Crested Fireback
- ^ Sclater,P.L.(1863).Lophura ignita nobilis
- ^ [2]
- ^ Greater Bornean Crested Fireback
- ^ Temminck.(1813).Lophura ignita macartneyi
- ^ Raffles.(1822).Lophura ignita rufa
- ^ [3]
- ^ Vieillot's Crested Firebacks
- ^ Johardi, I.(2014) Harapkan pegar bukan pagar
- ^ Muhammad, D. (2015) Harapkan pagar, pagar makan padi
- ^ Khidmat Nasihat (Sastera) Dewan Bahasa Pustaka
- ^ "Noraini, A.S. & Intan Marlina, M.A. (2016). Padi sebagai tanda dalam peribahasa Melayu" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-12-03. Dicapai pada 2018-12-02.
- ^ Harapkan Pagar Bukan Harapkan Ayam Pegar
- "Lophura ignita". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2004. 2004. Unknown parameter
|downloaded=
ignored (bantuan); Unknown parameter|assessors=
ignored (bantuan){{cite iucn}}: error: malformed |id= identifier (help) Database entry includes a brief justification of why this species is near threatened
Pautan luar
sunting- Gambar di Google
- Ayam Pegar di Jabatan Haiwan Liar Malaysia - PDF. Diarkibkan 2009-01-06 di Wayback Machine
- BirdLife Species Factsheet
- IUCN Red List
- Red Data Book Diarkibkan 2007-03-11 di Wayback Machine
Senarai burung | |
---|---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |