Anjing pemburu tikus bodega Andalusia

baka anjing dari Sepanyol

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia[a], terier Andalusia,[b][1] terier syeri,[c][1] anjing pemburu tikus Andalusia[d] ialah satu baka anjing Sepanyol daripada jenis terier. Namanya mencerminkan pekerjaan utamanya: pemburuan tikus dan mencit yang tersembunyi di antara tong di dalam rumah wain di Andalusia di Sepanyol. Ia diiktiraf sebagai baka peribumi Sepanyol pada tahun 2000 oleh Kementerian Pertanian Sepanyol dan oleh Real Sociedad Canina de España.[2]

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia
Nama lainTerier Andalusia
Terier syeri
Anjing pemburu tikus Andalusia
Negara asalSepanyol
Trait
Berat Jantan 10–12 kg (22–26 lb)
Betina 8–10 kg (18–22 lb)
Tinggi Jantan 37–43 cm (15–17 in)
Betina 35–41 cm (14–16 in)
Bulu Putih, hitam dan berkepala sawo matang
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia telah diisytiharkan sebagai "warisan budaya tidak ketara" oleh Majlis Bandar Raya Jerez de la Frontera pada tahun 2020 kerana nilai baka ini dan hubungannya dengan bandar raya dan bilik wain bawah tanah.[3]

Penampilan

sunting

Anjing pemburu tikus bodega Andalusia ialah baka bersaiz sederhana yang berukuran setinggi 37–43 cm (15–17 in) pada paras kelasa. Seunggulnya jantan adalah setinggi 40 cm (16 in) dan betina setinggi 38 cm (15 in). Dari segi penampilan, ia kelihatan seperti terier Jack Russell yang diperbesar, iaitu dengan anggota lebih panjang, sehingga kadang-kadang telah dipanggil terier Jack Russell Sepanyol.[4] Baka ini ialah anjing tangkas dengan binaan langsing dan atletik; kepalanya berbentuk segi tiga dengan tengkorak separa rata. Matanya sangat gelap dan anjing ini mempunyai muncung panjang dan telinga yang terletak tinggi-tinggi yang membengkok di hujung. Ekornya secara tradisional terpotong sehingga sesuku panjangnya.[2] Walau bagaimanapun, ia mungkin juga lahir dengan ekor kontot semula jadi.[4]

Lapis bulunya pendek dan padat, yang biasanya putih. Tanda-tanda mukanya merupakan campuran tanda-tanda perang, putih, dan hitam (yang dikenali sebagai triwarna), biasanya dengan kening berwarna sawo matang.[4]

Perangai

sunting

Baka ini bersemangat dan berani dengan naluri perburuan kuat. Ia juga mesti ramah dan, menurut kelab baka, baka ini juga baik dengan kanak-kanak.

Baka ini cergas, cerdas, dan mempunyai naluri perburuan kuat yang terutamanya menyerlahkan kemahiran tekun dan perhatian tajamnya, yang diperlukan apabila memburu rodensia. Ia mempunyai deria bau dan penglihatan tajam, mampu mengkoordinasi pergerakannya, dan amat tangkas. Ia terkenal kerana kesetiaan, keramahan, dan kemampuan untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran.[5]

Sejarah

sunting
 
Bahagian dalam bodega

Saudagar wain Inggeris yang menetap di rantau penghasil syeri di Sepanyol, Marco de Jerez, membawa bersama-sam dengan mereka leluhur kepada baka-baka terier rubah kini seawal beberapa ratus tahun lalu. Di sana, ia disilangkan dengan anjing tempatan dan digunakan untuk kawalan haiwan perosak yang terdiri daripada tikus dan mencit di rumah wain. Pada tahun 1900-an, terier mainan disilangkan ke dalam baka ini. Pada tahun 1993, kelab baka pertama, iaitu Club Nacional del Perro Andaluz Ratonero Bodeguero, dibentuk dan piawaian baka dikarang. Pada tahun 2000, baka ini diiktiraf sebagai baka asli Sepanyol oleh Kementerian Pertanian Sepanyol.[6] Pada September 2024, Persekutuan Kinologi Antarabangsa menerima baka ini.[1]

Baka ini diiktiraf oleh banyak kelab kenel kecil - seperti Nordic Kennel Union - dan pejabat pendaftaran anjing, terutamanya di Amerika Utara.

 
Anak anjing pemburu tikus bodega Andalusia

Kesihatan

sunting

Tiada penyakit yang spesifik kepada baka ini atau dakwaan kesihatan luar biasa yang telah didokumenkan untuk anjing pemburu tikus bodega Andalusia, namun buah zakar tidak turun adalah tidak jarang pada anak anjing jantan.[5]

Penjagaan dan keperluan

sunting

Walaupun anjing pemburu tikus bodega Andalusia bersaiz kecil, ia, sama seperti mana-mana anjing lain, memerlukan banyak senaman. Ia perlu dibawa berjalan-jalan sebanyak tiga hingga empat kali sehari, sebaik-baiknya selama sejam supaya semua tenaga dapat dibakar.

Bulu pendeknya menjadikannya mudah dijaga terutamanya apabila mandi dan penjagaan terlibat. Ia tidak patut dimandikan sebanyak lebih daripada sekali sebulan supaya lapis lemaknya (perlindungan) tidak teranggal.[3] Pendandanan lapis bulunya adalah penting juga kerana ini membolehkan penyebaran minyak semula jadi dan membantu menjadikan lapis bulunya kalis air.

Sebagai anjing dengan begitu banyak tenaga dan kegementaran, ia cenderung untuk makan dengan sangat cepat. Ada syor agar makanan harian dibahagikan supaya ia makan dengan kurang bimbang.[7]

Baka serupa

sunting

Baka yang serupa dari segi penampilan dengan anjing pemburu tikus bodega Andalusia termasuk terier Jack Russell, terier Parson Russell, dan terier tikus. Perbezaan dan keserupaan antara terier Brazil dengan terier Jepun diperincikan di tapak web kelab baka.[8]

Baka ini telah dibandingkan dengan baka anjing pemburu tikus lain yang berasal dari Sepanyol: anjing pemburu tikus Murcia, anjing pemburu tikus Valencia, dan anjing pemburu tikus Mallorca. Trait, kecerdasan, kebolehlatihan, kebolehgaulan, dan tingkah laku kesemunya serupa, tetapi hanya berbeza dari segi saiz, warna, dan pengakuran. Tiada satu daripada baka-baka ini yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa[9] atau American Kennel Club.

Catatan

sunting
  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيکوس بوديݢا اندالوسيا; Sepanyol: ratonero bodeguero andaluz; bahasa Inggeris: Andalusian wine-cellar rat-hunting dog
  2. ^ Jawi: تيريئر اندالوسيا; bahasa Inggeris: Andalusian terrier
  3. ^ Jawi: تيريئر شيري; bahasa Inggeris: sherry terrier
  4. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو تيکوس اندالوسيا; Sepanyol: perro ratonero andaluz; ratonero andaluz; bahasa Inggeris: Andalusian ratter

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c "FCI breeds nomenclature: RATONERO BODEGUERO ANDALUZ (371)" [Tatanama baka FCI: ANJING PEMBURU TIKUS BODEGA ANDALUSIA (371)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 11 September 2024.
  2. ^ a b "RATONERO-BODEGUERO ANDALUZ" [ANJING PEMBURU TIKUS BODEGA ANDALUSIA] (dalam bahasa Sepanyol). Real Sociedad Canina de España. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Mac 2009. Dicapai pada 21 Ogos 2013.
  3. ^ a b Safont, Nuria (6 Oktober 2020). "Ratonero bodeguero andaluz, una raza declarada Patrimonio Cultural Inmaterial" [Anjing pemburu tikus bodega Andalusia, baka yang diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara] (dalam bahasa Sepanyol). ¡Hola!. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Mac 2023. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  4. ^ a b c "Ratonero Bodeguero Andaluz" [Anjing pemburu tikus bodega Andalusia] (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 November 2018. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  5. ^ a b Jaén Téllez, Juan Antonio (November 2012). "El perro ratonero-bodeguero andaluz. Diferencias con otros terriers y ratoneros españoles = The ratonero-bodeguero andaluz. Differences with other terriers and spanish buzzard" [Anjing pemburu tikus bodega Andalusia: Perbezaan dengan terier dan anjing pemburu tikus Sepanyol lain]. Revista Electrónica de Veterinaria (dalam bahasa Sepanyol). Veterinaria Organización. 13 (11): 1–42. ISSN 1695-7504. S2CID 161125291.
  6. ^ "Ratonero Bodeguero Andaluz - der sanfte, langbeinige Terrier aus Spanien" [Anjing Pemburu Tikus Bodega Andalusia - terier berkaki panjang lemah lembut dari Sepanyol] (dalam bahasa Jerman). Bodeguero. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  7. ^ Lime, Alicia (25 November 2017). "Ratonero Bodeguero Andaluz" [Anjing pemburu tikus bodega Andalusia] (dalam bahasa Sepanyol). TopperCan. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  8. ^ "El Bodeguero Andaluz – Un perro ratonero" [Anjing bodega Andalusia – Anjing pemburu tikus] (dalam bahasa Sepanyol). bodegueroandaluz.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Mac 2018. Dicapai pada 20 Mac 2024.
  9. ^ "Ratonero Bodeguero Andaluz vs Ratonero Murciano de Huerta vs Ratonero Valenciano Comparison - Dog breed selector: Bodeguero Andaluz or Huerta Ratter or Gos Rater Valencià? Find the right dog for you" [Perbandingan anjing pemburu tikus bodega Andalusia lwn. ratonero murciano de Huerta lwn. anjing pemburu tikus Valencia - Pemilih baka anjing: Anjing bodega Andalusia atau anjing pemburu tikus Huerta atau anjing pemburu tikus Valencia? Cara anjing betul untuk anda] (dalam bahasa Inggeris). Dogell.com. Dicapai pada 20 Mac 2024.