Anjing berjambul China
Anjing berjambul China[a] ialah satu baka anjing botak. Seperti kebanyakan baka anjing botak, anjing berjambul China terdapat dalam dua keragaman, yang tanpa bulu dan yang dengan bulu, yang dapat lahir dalam perinduk sama: yang botak dan yang paf bedak.
Nama ringkas | Crested, Puff | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | China[1] | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Perihal
suntingAnjing berjambul China dianggap sebagai baka ekstra kecil dengan purata berat sebanyak 10–13 lb (4.5–5.9 kg). Ketinggiannya ialah 11–13 inci (28–33 cm). Baka ini bertulang halus dengan mata berbentuk badam dan telinga besar dan tegak. Tiada piawaian warna untuk baka ini.[2]
Pada pandangan pertama, keragaman botak dan keragaman paf bedak bagi anjing berjambul China kelihatan seperti dua baka berlainan, tetapi kebotakan ialah trait dominan tidak lengkap dalam satu baka. Keragaman botak mempunyai kulit lembut mirip manusia serta jumbai bulu pada kakinya ("stoking") dan ekor ("bulu") dan rambut panjang berjela-jala pada kepalanya ("jambul"). Selain sebagai gen dominan tidak lengkap, gen "botak" mempunyai kesan maut pranatal apabila homozigus.[3] Zigot-zigot yang terjejas dengan gen botak ganda tidak pernah berkembang menjadi anak anjing dan diserap semula di dalam rahim. Oleh itu, semua anjing berjambul China botak dengan itu adalah heterozigus.
Keragaman botak dapat berbeza-beza dari segi jumlah bulu tubuh. Bulu pada muncung, yang dikenali sebagai janggut, adalah lazim juga. Anjing botak sejati selalunya tidak mempunyai begitu banyak jumbai (bulu di kepala, di ekor, dan di kaki). Perbezaan antara anjing botak dengan jumlah bulu banyak dengan anjing paf bedak ialah bahawa anjing botak mempunyai lapis bulu tunggal dengan bahagian botak pada tubuh, manakala anjing paf bedak mempunyai lapis bulu ganda tebal. Kulit anjing botak terdapat dengan pelbagai warna, daripada isi pucat hingga hitam. Anjing berjambul China botak kerap kekurangan set lengkap gigi geraham kecil, tetapi ini tidak dianggap sebagai kecacatan.[4]
Anjing paf bedak mempunyai lapis bulu panjang dan lembut. Kedua-dua keragaman botak dan paf bedak dapat muncul dalam perinduk sama. Rupa paf bedak berbeza menurut cara pendandanan. Apabila bulunya sepenuhnya tumbuh pada mukanya, ia sangat menyerupai terier; walau bagaimanapun, paf bedak biasanya dicukur di sekeliling muncung dengan gaya potongan bulu piawai. Anjing berjambul China paf bedak ialah anjing yang elegan dan anggun yang sesuai sebagai teman penyayang yang suka bermain dan menghiburkan. Lapis bulu anjing paf bedak adalah panjang dan lembut bak sutera.
Jumlah bulu tubuh pada keragaman botak berbeza-beza dengan agak meluas, daripada yang botak sejati yang mempunyai sedikit bulu tubuh dan jumbai atau tidak mempunyai bulu tubuh dan jumbai langsung, kepada yang dipanggil anjing "botak berbulu", yang, jika dibiarkan tidak didandani, kerap mempunyai lapis bulu yang tumbuh hampir sepenuhnya. Anjing botak berbulu ini bukan kacukan antara anjing berjambul China paf bedak dengan anjing berjambul China botak, tetapi hanyalah hasil daripada ekspresi lebih lemah bagi gen botak yang berubah-ubah. Mutasi yang bertanggungjawab untuk trait botak dikenal pasti pada tahun 2008.[5]
Penjagaan
suntingKedua-dua keragaman memerlukan jumlah pendandanan tertentu. Anjing paf bedak dilitupi sepenuhnya dengan lapis bulu ganda sangat lembut dan lurus. Walaupun lapis bulu anjing paf bedak tidak tumbuh berterusan, lapis bulunya dapat tumbuh menjadi agak panjang pada panjang penuh; mandi mingguan dan pemberusan kerap biasanya membantu untuk mengelakkan pengusutan. Untuk lapis bulu optimum, ada syor agar lapis bulu anjing berkenaan tidak diberus kering atau kotor, kerana semburan air ringan atau semburan dandanan pada lapis bulunya disyorkan sebelum pemberusan. Ramai orang memilih untuk mencukur anjing paf bedak mereka dalam "gaya potongan bulu poni" yang meninggalkan bulu panjang pada bahagian bawah kaki, ekor, kepala, dan jambul untuk lapis bulu dengan penjagaan mudah. Baka ini mengalami "sedikit salin bulu atau salin bulu sifar".[6]
Penjagaan kulit keragaman botak adalah serupa dengan penjagaan kulit manusia dan, oleh itu, kulitnya dapat menjadi rentan terhadap akne, kekeringan, dan selaran matahari. Krim pelembap hipoalergenik atau bebas minyak dapat menghalang kulit daripada menjadi terlalu kering apabila digunakan setiap hari atau selepas mandi. Kelecuran dapat berlaku di kawasan yang terdedah kepada sinaran UV kuat, terutamanya pada anjing berkulit cerah. Ramai pemilik menyapu pelindung matahari bayi pada haiwan peliharaan mereka sebelum meluangkan masa di bawah sinar matahari terik. Sesetengah anjing berjambul China mempunyai alahan kulit terhadap lanolin.
Melainkan anjing berkenaan ialah anjing botak "sejati" (yang hampir tanpa pertumbuhan bulu pada bahagian bukan hujung), pemangkasan dan/atau pencukuran kerap dilakukan untuk menanggalkan pertumbuhan bulu berlebihan.
Anjing berjambul China selanjutnya dibezakan lagi dengan kaki kelinci-nya (yang mempunyai jari kaki lebih memanjang), berbanding dengan kaki kucing yang lazim pada kebanyakan anjing lain. Oleh sebab ini, isi kuku anjing berjambul China masuk lebih dalam ke dalam kuku, jadi perlu ada perhatian untuk tidak memotong kuku terlalu pendek untuk mengelakkan kesakitan dan perdarahan.
Anjing paf bedak suka keluar untuk bersenam setiap hari, walaupun ia bukan baka bertenaga tinggi. Sebagai baka cerdas, anjing ini berjaya dalam sukan jenis kepatuhan. Ketekalan ialah kemestian; walau bagaimanapun, baka ini dapat menjadi agak sensitif dan patut mempunyai jurulatih lemah lembut. Anjing paf bedak cekap belajar dan melakukan trik.[perlu rujukan]
Kesihatan
suntingSebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.4 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[7]
Keragaman botak bagi anjing berjambul China dapat menjadi terdedah kepada kegigian buruk.[8] Kegigian buruk mungkin termasuk gigi hilang atau rapat dan gigi yang cenderung untuk reput apabila tidak dijaga dengan betul. Kebanyakan anjing keragaman paf bedak mempunyai sedikit, jika ada, kecacatan gigi.
Masalah mata merupakan kebimbangan dalam baka ini, yang mempunyai insiden lebih tinggi bagi kehelan kanta primer (PLL) berbanding dengan kebanyakan baka lain.[9] Anjing berjambul China juga dapat mempunyai sekurang-kurangnya dua bentuk atrofi retina progresif (PRA) yang akhirnya dapat membawa kepada kebutaan juga. Untuk PLL dan salah satu bentuk PRA, ujian genetik dapat dilakukan untuk menentukan sama ada seseekor anjing merupakan 'pembawa', 'bebas', atau 'terjejas'. Memandangkan ujian tersebut hanya dapat mendedahkan kewujudan status terjejas atau pembawa bagi salah satu bentuk PRA, pembiak baka dan pemilik baka ini masih patut membawa anjing mereka untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh ahli oftalmologi veterinar.[10] Baka ini juga menderitai penyakit mata lain yang dipanggil keratokonjunktivitis sika atau sindrom mata kering (DES).[11]
Bersama-sama dengan terier biru Kerry, anjing berjambul China dapat menghidap degenerasi berbilang sistem anjing (CMSD) yang juga dipanggil abiotrofi neuron progresif (PNA) pada terier biru Kerry. Ini ialah kecelaruan pergerakan progresif yang bermula dengan ataksia serebelum pada usia antara 10 minggu dengan 14 minggu. Selepas umur 6 bulan, anjing terjejas mengalami kesukaran untuk memulakan pergerakan dan kerap jatuh. Gen yang bertanggungjawab telah dipetakan kepada kromosom anjing 1.[12]
Seperti semua baka mainan lain, anjing berjambul China dapat menjadi terdedah kepada kehelan tempurung lutut. Keadaan boleh waris ini disebabkan oleh sendi lutut cetek (stifel) dan menyebabkan tempurung lutut terkeluar dari tempatnya. Permulaan selalunya pada usia muda dan dapat menyebabkan ketempangan sementara hingga kekal berdasarkan keparahan. Pembiak baka patut memastikan bahawa ternakan mereka disahkan bebas daripada kehelan tempurung lutut. Kelab kenel di banyak negara mengekalkan pejabat pendaftaran berpusat untuk keputusan kesihatan.[13][14]
Anjing berjambul China ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat kehelan kanta primer yang disebabkan oleh mutasi resesif autosom bagi gen ADAMTS17.[15]
Sejarah
suntingWalaupun anjing botak telah ditemukan di banyak tempat di dunia, tidak mungkin asal usul anjing berjambul China moden adalah di China.[16] Mutasi genetik sama yang dikongsi dengan xoloitzcuintli membawa kepada teori bahawa kedua-duanya mempunyai asal usul bersama.[17][sumber lebih baik diperlukan] Asal usul anjing berjambul China moden dipercayai sama ada terletak di Afrika atau, kemungkinan besar, di Mexico.[perlu rujukan]
Penjelajah Sepanyol menemukan anjing berjambul China di Mexico dan di bahagian lain di Amerika Tengah dan Amerika Selatan seawal tahun 1500-an. Penjelajah British, Perancis, dan Portugis juga menemukan baka ini di pelbagai bahagian Afrika dan Asia semasa tahun 1700-an dan tahun 1800-an.[18]
Pada tahun 1950-an, Debora Wood mewujudkan kenel "Crest Haven" dan mula sengaja membiakbakakan dan mencatatkan zuriat anjing berjambul China beliau. Penari burlesk masyhur Gypsy Rose Lee juga membiakbakakan anjing berjambul China yang, selepas kematian beliau, dimasukkan ke dalam Crest Haven. Kedua-dua susur galur ini merupakan asas sebenar bagi setiap anjing berjambul China yang masih hidup kini. Cik Wood juga mengasaskan American Hairless Dog Club pada tahun 1959, yang akhirnya dimasukkan ke dalam American Chinese Crested Club (ACCC) pada tahun 1978. ACCC menjadi kelab induk Amerika Syarikat untuk baka ini apabila anjing berjambul China diiktiraf oleh American Kennel Club 13 tahun kemudian, pada tahun 1991.[18]
Anjing berjambul China diiktiraf secara rasmi oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa[1] pada tahun 1987 dan oleh American Kennel Club pada tahun 1991.[19]
Genetik
suntingAnjing berjambul China botak adalah heterozigus untuk mutasi yang menyebabkan kebotakan. Alel yang menyebabkan kebotakan membawa maut in utero apabila diwarisi sebagai trait dominan homozigus. Anjing paf bedak adalah resesif homozigus untuk trait ini.[20]
Dalam kebudayaan popular
suntingSeekor anjing berjambul China baka tulen botak bernama Sam ialah pemenang Peraduan Anjing Paling Hodoh di Dunia dari tahun 2003 hingga tahun 2005.[21]
Lihat juga
suntingCatatan
sunting- ^ Jawi: انجيڠ برجمبول چينا ; Cina ringkas: 中国冠毛犬; Cina tradisional: 中國冠毛犬; pinyin: Zhōngguó guānmáoquǎn; bahasa Inggeris: Chinese crested dog; Chinese crested
Rujukan
suntingWikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Anjing berjambul China. |
- ^ a b "FCI-Standard N° 288 CHINESE CRESTED DOG" [Piawaian FCI No. 288 Anjing Berjambul China] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 15 September 2021. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ "Chinese Crested" [Anjing Berjambul China] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ Robinson, Roy (1 Mei 1985). "Chinese crested dog" [Anjing berjambul China]. Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 76 (3): 217–218. doi:10.1093/oxfordjournals.jhered.a110074. ISSN 1465-7333. PMID 3998444. S2CID 39976418.
- ^ "Chinese Crested: Breed Standard" [Anjing Berjambul China: Piawaian Baka] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. 12 Jun 1990. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2014. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ Drögemüller, Cord; Karlsson, Elinor Kathryn; Hytönen, Marjo K.; Perloski, Michele; Dolf, Gaudenz; Sainio, Kirsi; Lohi, Hannes Tapani; Lindblad-Toh, Kerstin; Leeb, Tosso (12 September 2008). "A Mutation in Hairless Dogs Implicates FOXI3 in Ectodermal Development" [Mutasi pada Anjing Botak Membabitkan FOXI3 dalam Perkembangan Ektoderma]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 321 (5895): 1462. Bibcode:2008Sci...321.1462D. doi:10.1126/science.1162525. ISSN 0036-8075. JSTOR 20144793. PMID 18787161. S2CID 206514824.
- ^ "Dogs That Do Not Shed" [Anjing yang Tidak Menggugurkan Bulu] (dalam bahasa Inggeris). Go Pets America. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2018. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Kupczik, Kornelius; Cagan, Alexander; Brauer, Silke; Fischer, Martin Stephan (14 Julai 2017). "The dental phenotype of hairless dogs with FOXI3 haploinsufficiency" [Fenotip gigi bagi anjing botak dengan haplokekurangan FOXI3]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 7 (1): 5459. Bibcode:2017NatSR...7.5459K. doi:10.1038/s41598-017-05764-5. hdl:11858/00-001M-0000-002D-9A17-E. ISSN 2045-2322. PMC 5511229. PMID 28710361. S2CID 13872964.
- ^ "Primary Lens Luxation (PLL)" [Kehelan Kanta Primer] (dalam bahasa Inggeris). Universiti California, Davis. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ "prcd-PRA Test: For: Chinese Cresteds" [Ujian prcd-PRA: Untuk: Anjing berjambul China] (dalam bahasa Inggeris). OptiGen. 5 Ogos 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 September 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ "Chinese Crested Health" [Kesihatan Anjing Berjambul China] (dalam bahasa Inggeris). dog-breeds.in. Dicapai pada 8 Februari 2024.[pautan mati]
- ^ O'Brien, Dennis P.; Johnson, Gary S.; Schnabel, Robert D.; Khan, Shahnawaz; Coates, Joan R.; Johnson, Gayle Christy; Taylor, Jeremy Francis (15 Jun 2005). Galibert, Francis (penyunting). "Genetic Mapping of Canine Multiple System Degeneration and Ectodermal Dysplasia Loci" [Pemetaan Genetik bagi Berbilang Degenerasi Sistem Anjing dan Lokus-lokus Displasia Ektoderma]. Journal of Heredity (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. 96 (7): 727–734. doi:10.1093/jhered/esi086. ISSN 1465-7333. PMID 15958791. S2CID 22952172.
- ^ "Orthopedic Foundation for Animals" (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Oktober 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ "General Patellar Luxation Information" [Maklumat Umum Kehelan Tempurung Lutut] (dalam bahasa Inggeris). Orthopedic Foundation for Animals. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 September 2007. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ Oliver, James A. C.; Mellersh, Cathryn Suzanne (14 Disember 2020). "Genetics" [Genetik]. Dalam Cooper, Barbara; Mullineaux, Elizabeth; Turner, Lynn (penyunting). BSAVA Textbook of Veterinary Nursing [Buku Teks Kejururawatan Veterinar BSAVA] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Gloucester, United Kingdom: British Small Animal Veterinary Association. m/s. 131. ISBN 9781910443392. OCLC 1197697572.
- ^ Fernandez, Amy; Rhae, Kelly (1 Jun 1999). Hairless Dogs - The Naked Truth: The Chinese Crested, Xoloitzcuintli & Peruvian Inca Orchid [Anjing Botak - Kebenaran Terdedah: Anjing Berjambul China, Xoloitzcuintli, dan Orkid Inka Peru] (dalam bahasa Inggeris). Kelly Rhae. ISBN 9780967216010.
- ^ Strickland, Eliza (12 September 2008). "Hairless Dogs Give up the Genetic Secret of Their Bald Glory" [Anjing Botak Menyerahkan Rahsia Genetik Kebanggaan Botaknya] (dalam bahasa Inggeris). Discover. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 Ogos 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ a b Dickerson, S. M. Dick (23 September 2021). "Chinese Crested History: From Sailors' Sidekicks to Unique Companions" [Sejarah Anjing Berjambul China: Daripada Pembantu Kelasi hingga Pendamping Unik] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 21 Disember 2024.
- ^ "AKC MEET THE BREEDS®: Chinese Crested" [KENALI BAKA AKC: Anjing Berjambul China] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 September 2011. Dicapai pada 8 Februari 2024.
- ^ Englar, Ryane E. (3 Julai 2019). "Hypotrichosis and Alopecia" [Hipotrikosis dan Alopesia]. Common Clinical Presentations in Dogs and Cats [Perbentangan Klinikal Lazim pada Anjing dan Kucing] (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 68. doi:10.1002/9781119414612.ch5. ISBN 9781119414582. OCLC 1079848431.
- ^ "Under-bite helps Pabst become World's Ugliest Dog" [Underbite bantu Pabst jadi Anjing Terhodoh di Dunia] (dalam bahasa Inggeris). Boston.com. 28 Jun 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2014. Dicapai pada 8 Februari 2024.