Amiriah Kriti
Amiriah Kriti (Arab: إماراة إقريطش, rumi: Imārat Iqrīṭisy , Yunani: Εμιράτο της Κρήτης, rumi: Emiráto tēs Krētēs ) ialah sebuah negara Muslim yang wujud di pulau Kriti di kawasan laut Mediterranean dari akhir 820-an hingga penaklukan semula Byzantin pulau itu pada 961. Walaupun amiriah itu mengiktiraf pertuanan Kerajaan Bani Abbasiyah dan mengekalkan hubungan rapat dengan Mesir yang diperintah Ibn Tulun, ia bebas secara de facto.
Amiriah Kriti إقريطش Iqriṭisy | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
824/827–961 | |||||||||
Status | Bebas secara De facto, di bawah pertuanan Kerajaan Bani Abbasiyah | ||||||||
Ibu negara | Chandax (Heraklion) | ||||||||
Bahasa yang umum digunakan | Bahasa Arab, bahasa Yunani | ||||||||
Agama | Islam Sunni | ||||||||
Kerajaan | Monarki | ||||||||
Amir | |||||||||
• 820s – c. 855 | Abu Hafs Umar I (pertama) | ||||||||
• 949–961 | Abd al-Aziz ibn Shu'ayb (terakhir) | ||||||||
Era Sejarah | Zaman Pertengahan | ||||||||
• Orang buangan Andalus mendarat di pulau itu | 824/827 | ||||||||
• Penaklukan semula oleh Byzantin | 961 | ||||||||
Mata wang | dinar, dirham | ||||||||
| |||||||||
Sekarang sebahagian dari | Greece |
Sekumpulan orang buangan al-Andalus menakluki pulau sekitar 824 atau 827/828, dengan pantas menubuhkan sebuah negara bebas. Banyak cubaan oleh Empayar Byzantium untuk menawan kembali pulau itu gagal teruk, dan selama lebih kurang 135 tahun kewujudannya, amiriah itu (yang dipanggil Iqritish atau Iqritiya oleh orang Arab[1]) adalah salah satu musuh ketat Byzantium. Kerajaan ini menguasai jalan kapal Mediterranean Timur dan berfungsi sebagai pangkalan hadapan dan tempat perlindungan yang selamat bagi armada Muslim yang menyerang pantai-pantai Laut Aegean yang dikawal Byzantin. Sejarah dalaman amiriah itu tidak banyak diketahui, tetapi semua laporan menunjukkan kemakmuran yang banyak tidak hanya diperolehi daripada hasil rampasan perang tetapi juga dari perdagangan dan pertanian besar-besaran. Amiriah itu berakhir di tangan Nikephoros Phokas yang melancarkan kempen besar-besaran ke atasnya pada 960–961.
Sejarah
suntingPulau Kriti telah menjadi sasaran serangan Muslim sejak gelombang pertama penaklukan Muslim pada pertengahan kurun ke-7. Ia pertama kali diserang pada 654 dan lagi pada 674/675,[2] dan sebahagian daripada pulau itu dikuasai sementara semasa pemerintahan Khalifah Bani Umayyah,al-Walid I (r. 705–715).[1] Pun begitu, pulau itu tidak pernah ditakluki dan di sebalik serangan sekali-sekala pada kurun ke-8, ia kekal selamat di tangan Byzantine;[3] Ia sangat jauh daripada pangkalan tentera laut Arab di Syam menjadikan sebarang ekspedisi ke atas kurang berkesan.[4]
Penaklukan Kriti
suntingPada suatu ketika di separuh kedua pemerintahan Maharaja Michael II (r. 820–829), sekumpulan orang buangan dari al-Andalus mendarat di Kriti dan memulakan penaklukannya.[5] Orang-orang buangan ini memiliki sejarah panjang dalam perantauan. Mereka adalah orang-orang yang terselamat dalam pemberontakan yang gagal terhadap Amir Al-Hakam I di Cordoba pada tahun 818. Akibat daripada tertumpasnya pemberontakan itu, penduduk al-Rabad di subbandar Cordoba dibuang negara secara en masse. Sebahagiannya menetap di Fes, Maghribi, namun yang lain, berjumlah lebih daripada 10,000 orang, menjadi lanun, mungkin disertai oleh orang Andalus yang lain. Sebahagian daripada kumpulan kedua ini, di bawah pimpinan Umar ibn Hafs ibn Shuayb ibn Isa al Balluti, yang biasa dikenali sebagai Abu Hafs, mendarat di Iskandariah dan menguasai bandar itu hingga tahun 827, apabila mereka dikepung dan diusir keluar oleh panglima Bani Abbasiah, Abdullah ibn Tahir al-Khurasani.[6][7][8] Kronologi yang tepat mengenai pendaratan mereka di Kriti tidak dapat dipastikan. Menurut sumber Muslim, ia biasanya ditarikhkan pada 827 atau 828, selepas pengusiran orang-orang al-Andalus itu dari Iskandariah.[9] Bagaimana pun, sumber Byzantin kelihatan berlawanan dengan ini, dengan mentarikhkan pendaratan mereka sejurus selepas penumpasan pemberontakan besar Thomas the Slav (821–823). Pertimbangan lanjut mengenai bilangan dan kronologi kempen ketenteraan Byzantin yang dilancarkan untuk menentang mereka dan soalan prosografik para panglima Byzantin yang mengetuai mereka membawa sarjana-sarjana lain seperti Vassilios Christides dan Christos Makrypoulias untuk mencadangkan tarikh yang lebih awal, sekitar 824.[10]
Di bawah terma-terma perjanjian mereka dengan Ibn Tahir, orang-orang Andalus itu dan keluarga mereka meninggalkan Iskandariah dengan 40 buah kapal. Sejarawan Warren Treadgold menganggarkan mereka seramai 12,000 orang, kira-kira 3000 daripada mereka adalah pejuang.[11] Menurut sejarawan Byzantin, orang-orang Andalus itu sudah biasa dengan Kriti, mereka pernah menyerangnya pada masa lalu. Mereka juga mendakwa bahawa pendaratan Muslim itu pada asalnya direncanakan sebagai satu serangan, dan kemudian berubah kepada arahan menakluk apabila Abu Hafs sendiri membakar kapal-kapal mereka. Bagaimana pun, dengan orang-orang Andalus itu membawa bersama keluarga mereka, ini mungkin rekaan kemudiannya.[9] Tempat pendaratan orang-orang Andalus itu juga tidak diketahui; sebahagian sarjana menganggarnya di pantai utara, di Teluk Suda atau berhampiran lokasi bandar dan kubu pertahanan utama mereka Chandax (Arab: ربض الخندق , rabḍ al-kḫandaq, "Istana kota Parit",[9][12] tetapi yang lain menganggarkan bahawa mereka kemungkinan besar mendarat di pantai selatan pulau itu dan kemudian berpindah ke kawasan pedalaman yang berpopulasi lebih padat dan pantai utara.[13][14]
Sebaik sahaja Maharaja Michael II mengetahui pendaratan orang-orang Arab itu, dan sebelum orang-orang Andalus itu mengukuhkan penguasaan mereka ke atas seluruh pulau itu, dia bertindak dan menghantar ekspedisi bersiri untuk merebut kembali pulau itu.[15] Kehilangan yang dialami semasa pemberontakan Thomas si Slav bagaimana pun, menghalang keupayaan Byzantium untuk bertindakbalas, dan jika pendaratan itu berlaku pada 827/828, pelencongan kapal dan tentera untuk menghadapi penaklukan Sicily beransur-ansur oleh Bani Aghlab dari Tunisia juga terganggu.[16] Ekspedisi pertama, di bawah pimpinan Photeinos, strategos Anatolic Theme, dan Damian, Pembesar Kandang, ditewas dalam pertempuran terbuka, tempat Damian terbunuh.[5][15][17] Ekspedisi berikutnya dihantar setahun kemudian dan terdiri daripada 70 buah kapal di bawah pimpinan strategos Cibyrrhaeots Krateros. Pada mulanya mereka menang, tetapi tentera Byzantin yang terlalu yakin itu kemudian ditumpaskan dalam satu serangan malam. Krateros berjaya meloloskan diri ke Kos, tetapi di situ dia ditangkap oleh orang-orang Arab dan disalib.[18][19] Makrypoulias menyarankan bahawa kempen-kempen ketenteraan ini pasti berlaku sebelum orang-orang Andalus itu menyempurnakan pembinaan Chandax mereka, tempat mereka memindahkan ibukota dari Gortyn di kawasan pedalaman.[20]
Amiriah "lanun"
suntingAbu Hafs menangkis serangan awal Byzantin dan secara perlahan-lahan mengukuhkan penguasaan ke atas keseluruhan pulau itu.[19] Beliau mengiktiraf pertuanan Kerajaan Bani Abbasiah, tetapi memerintah sebagai amir de facto yang bebas.[9] Penaklukan pulau itu merupakan satu hal utama dengan ia mengubah kuasa keseimbangan angkatan laut di Mediterranean Timur dan mendedahkan pesisir Laut Aegean yang sehingga saat itu selamat pada serangan yang kerap dan membinasakan.[21]
Orang-orang Andalus itu juga menduduki beberapa pulau dalam gugusan Kyklades semasa tahun-tahun pertama ini, tetapi Michael II menyusun satu lagi ekspedisi berskala besar, dengan merekrut keseluruhan polis marin yang baru, Tessarakontarioi, dan membina kapal-kapal baru. Di bawah pimpinan panglima laut Ooryphas, angkatan laut ini berjaya mengusir orang-orang Arab itu dari pulau-pulau Aegean tetapi gagal menawan kembali Kriti.[22][23] Pengganti Michael II, Theophilos (r. 829–842) menghantar utusan kepada Abd ar-Rahman II di Cordoba bagi menawarkan tindakan bersama terhadap orang-orang buangan Andalus itu, sebelum Abd al-Rahman memberikan persetujuannya terhadap sebarang tindakan Byzantin ke atas Kriti, ini tidak menjadi.[9] Pada Oktober 829, orang-orang Kriti itu menghancurkan sebuah angkatan laut diraja di luar Thasos, merungkai banyak usaha Ooryphas dan membuka Aegean dan pantai-pantainya pada penjarahan.[24][25][26] Kemudiannya mereka menyerang Euboea (c. 835–840), Lesbos (837), dan pantai-pantai Thracesian Theme, di sana mereka memusnahkan pusat biara Gunung Latros.Bagaimana pun, mereka dikalahkan dengan teruk oleh strategos tempatan, Constantine Kontomytes.[9][27][28]
Selepas kematian Theophilos pada tahun 842, langkah-langkah baru diambil oleh rejim baru Byzantin untuk menangani ancaman orang Kriti: pada tahun 843 satu theme maritim baru, yang merupakan Laut Aegean, diwujudkan untuk menangani serangan orang-orang Arab dengan lebih berkesan, dan satu lagi ekspedisi untuk merebut kembali Kriti dilancarkan di bawah pimpinan peribadi logothetes dan pemangku yang berkuasa, Theoktistos. Meskipun ia berjaya menduduki kebanyakan pulau itu, Theoktistos terpaksa mengabaikan pasukan tentera itu disebabkan komplot politik di Constantinople, dan tentera yang ditinggalkan telah disembelih oleh orang-orang Arab.[29][30] Dalam usaha untuk melemahkan orang Arab pada tahun 853, beberapa buah armada Byzantin dikerahkan dalam operasi berselaras di Mediterranean Timur, yang menyerang pangkalan tentera laut Mesir di Damietta dan merampas senjata yang akan dihantar ke Kriti.[9][25] Di sebalik beberapa kejayaan Byzantin ke atas orang-orang Arab pada tahun-tahun berikutnya, orang Kriti itu kembali menyambung serangan mereka pada awal tahun 860-an, dengan menyerang Peloponnesos, Kyklades dan Athos.[9][31] Pada tahun 866, Kaiser Byzantin, Bardas mengumpulkan satu lagi pasukan tentera ekspedisi berskala besar untuk menundukkan Kriti, tetapi pembunuhannya oleh Basil orang Macedonia hanya dua minggu selepas armada itu belayar dari ibukota menghentikan usaha itu.[32][33]
Pada awal 870-an, serangan orang Kriti mencapai keamatan yang baru: armada mereka, yang sering diketuai oleh orang Byzantin yang murtad, merayau-rayau di Laut Agean dan lebih jauh, sehingga mencapai pantai Dalmatia.[9] Ada sekali pada sekitar tahun 873, hinggakan satu armada Kriti di bawah pimpinan si murtad Photios menembusi ke Laut Marmara dan menyerang Proconnesos namun gagal; kali pertama sejak Pengepungan Kedua Constantinople oleh Orang Arab pada 717-718 yang armada Muslim datang begitu hampir dengan ibukota Byzantin. Bagaimana pun, dalam perjalanan pulang, ia mengalami kekalahan teruk di tangan panglima laut Byzantin yang baru, Niketas Ooryphas, dalam Pertempuran Kardia. Tidak lama kemudian, Ooryphas sekali lagi menewaskan orang Kriti itu dalam suatu peperangan di Teluk Korinthos dan mengambil ramai tawanan perang, yang diseksanya dengan kejam sebagai membalas dendam terhadap serangan mereka.[9][34] Lebih kurang pada masa yang sama, armada Muslim Tarsus yang diketuai Yazaman al-Khadim dimusnahkan dalam satu serangan ke atas Euripos.[35] Kemenangan-kemenangan Byzantin ini nampaknya membawa pada kedamaian sementara, dan ternyata bahawa Amir Kriti Shu'ayb ibn Umar terpaksa membayar ufti kepada Byzantium selama sedekad.[36]
Serangan disambung semula tidak lama selepas itu, kali ini orang-orang Kriti itu disertai oleh armada dari Afrika Utara dan Syria.[37] Peloponnese khususnya mengalami banyak serangan daripada mereka, begitu juga Euboea dan Cyclades: pulau-pulau Patmos, Karpathos danSokastro berdekatan jatuh ke penguasaan orang Kriti itu, dan pemerintahan Kriti menjangkau sehingga ke utara seperti Aegina di Teluk Saron, dan sehingga ke Elafonisos dan Cythera di luar pantai selatan Peloponnese; pulau besar Cyclades, Naxos, mungkin bersekali dengan pulau-pulau berjiranan, Paros dan Ios, dipaksa membayar jizyah. Dengan kehadiran Muslim kurang meninggalkan kesan material atau sastera, senarai pulau-pulau yang pada suatu ketika pernah dikuasai atau diduduki mereka mungkin lebih panjang.[38][39] Pun begitu, impak gelombang baru serangan-serangan Arab itu dirasai di serata Laut Aegean, sesetengah pulau ditinggalkan sama sekali, dan di tempat lain kawasan-kawasan pantai ditinggalkan untuk mencari lokasi pedalaman yang mempunyai perlindungan yang lebih baik.[40] Athens mungkin pernah diduduki pada sekitar tahun 896–902,[3] dan pada tahun 904, satu armada Syria yang diketuai oleh Leo dari Tripoli menjarah kota kedua Empayar Byzantin, Thessalonica. Orang-orang Arab Kriti bekerjasama dengan erat dengan rakan mereka dari Syria, yang sering menjadikan Kriti sebagai pangkalan atau perhentian, sebagaimana semasa kepulangan armada Leo dari Tripoli dari Thessalonica, apabila lebih daripada 20,000 orang tawanan orang Thessalonica dijual atau dihadiahkan sebagai hamba di Kriti.[38][41] Demikian juga amiriah Kriti itu mendapat sokongan yang kukuh daripada gabenor Mesir dari Bani Ibn Tulun (868-905), tetapi pengganti mereka daripada Bani Ikhshid mengabaikan bantuan kepada Kriti.[42] Pada tahun 911, satu lagi ekspedisi berskala besar dengan kekuatan 100 buah kapal dilancarkan ke atas Kriti, yang diiketuai oleh panglima tentera laut Himerios, tetapi ia terpaksa meninggalkan pulau itu selepas beberapa bulan. Dalam perjalanan pulang, armada Himerios dimusnahkan dalam pertempuran di luar Khios oleh armada Syria.[38][43][44][45]
Penaklukan semula oleh Byzantine
suntingPelanunan Kriti mencapai kemuncak lagi pada tahun 930-an dan 940-an, yang membinasakan selatan Greece, Athos dan pantai barat Asia Kecil. Akibatnya, Maharaja Constantine VII (r. 913–959) menghantar satu lagi ekspedisi pada tahun 949. Ini juga ditewaskan dalam satu serangan mengejut, satu kekalahan yang disandarkan penulis babad Byzantin kepada ketidakcekapan dan kekurangan pengalaman ketuanya, ketua sida-sida Constantine Gongyles.[38][46][47] Constantine VII tidak berputus asa, dan semasa tahun-tahun terakhir pemerintahannya, dia memulakan satu lagi persediaan ekspedisi. Ia kemudiannya dilancarkan oleh penggantinya, Romanos II (r. 959–963), yang mengamanahkan kepimpinannya kepada panglima yang berkebolehan, Nikephoros Phokas. Sebagai ketua sebuah armada dan tentera yang besar, Phokas belayar pada Jun atau Julai 960, mendarat di pulau itu, dan menewaskan penentangan awal Muslim. Diikuti dengan pengepungan Chandax yang panjang, yang berlanjutan hingga musim sejuk pada 961, apabila kota itu digempur pada 6 Mac.[38][48]
Kota itu dijarah, dan masjid dan temboknya dirobohkan. Penghuni Muslim samada dibunuh atau dijadikan hamba, manakala amir terakhir pulau itu Abd al-Aziz ibn Shu'ayb dan puteranya al-Nu'man menjadi tawanan perang dan dibawa ke Constantinople, di sana Phokas meraikan kemenangan Rom.[38][49] Pulau diubah menjadi theme Byzantin, dan Muslim yang tersisa dimurtadkan menjadi orang Kristian oleh pendakyah seperti Nikon "the Metanoeite". Di kalangan orang murtad itu ialah putera al-Nu'man, yang berkhidmat dengan Byzantin dan gugur diDorostolon, dalam perang 970-971 menentang Rus'.[49][50][51]
Kesan
suntingZaman Arab di Kriti masih secara relatifnya kabur disebabkan kurangnya bukti yang masih wujud mengenai sejarah dalamannya. Tambahan lagi, selain daripada sebilangan kecil nama tempat yang mengimbas kembali kehadiran orang-orang Arab itu, tiada tinggalan arkeologi utama dari zaman itu yang terselamat, kemungkinan disebabkan pemusnahan disengajakan oleh Byzantin selepas 961.[52] Ini mempengaruhi cara amiriah itu dipandang secara amnya: para sarjana, yang terpaksa bergantung banyak kepada catatan Byzantin, secara tradisinya melihat Amiriah Kriti menerusi kacamata Byzantin sebagai satu "sarang lanun" yang unggul, yang bertahan dengan pelanuan dan perdagangan hamba.[53][54]
Di satu sudut yang lain, gambaran yang dilukis oleh sebilangan kecil rujukan yang berselerakan dari dunia Islam tentang Amiriah Kriti memaparkannya sebagai sebuah negara yang tersusun dengan ekonomi kewangan yang tetap dan jaringan perdagangan yang luas, dan terdapat bukti bahawa Chandax merupakan sebuah pusat kebuadayaan yang agak penting.[55][56] Peninggalan banyak duit syiling emas, perak dan tembaga, dengan berat dan komposisi yang hampir seragam, membuktikan ekonomi yang kukuh dan taraf hidup yang tinggi di kalangan populasinya.[57] Ekonominya dikukuhkan oleh perdagangan meluas dengan dunia Islam yang lain, terutamanya dengan Mesir, dan oleh pertanian yang rancak: keperluan untuk menampung sebuah negara bebas, dan juga jalan masuk ke pasaran dunia Islam, membawa pada penanaman yang bertambah hebat. Kemungkinan juga tebu diperkenalkan ke Kriti pada masa itu.[58]
Tidak jelas apa yang berlaku kepada orang Kristian pulau itu selepas penaklukan oleh Muslim; pandangan tradisional adalah bahawa kebanyakan mereka ditukar agama atau diusir keluar.[19] Bagaimana pun, terdapat bukti daripada sumber Muslim, tentang kelangsungan orang Kristian di Kriti, walaupun menurut sumber Muslim yang sama, samada keturunan orang Andalus, penghijrah yang terbaharu, atau orang murtad (atau sebarang kombinasi mereka ini) membentuk kumpulan majoriti.[59] Terdapat juga sebilangan bukti mengenai pecahan-pecahan saingan di pulau itu, samada Kristian atau Muslim, dengan ketika Theodosius the Deacon melaporkan "penghuni batuan terjal dan gua" di bawah pimpinan Karamountes turun dari gunung-gunung semasa pengepungan Chandax oleh Nikephoros Phokas.[60] Kelihatannya bahawa populasi di pedalaman dibiarkan begitu sahaja, manakala unsur Muslim (termasuklah penduduk asal yang memeluk Islam) mendominasi kawasan bandar.[56]
Senarai amir
suntingPewarisan amir-amir Kriti disebutkan dalam sumber Arab dan Byzantin, tetapi sebahagian besarnya menerusi duit-duit mereka. Jadi tarikh pemerintahan mereka sebahagian besarnya adalah anggaran:[61][62]
Nama | Nama dalam sumber Yunani | Pemerintahan |
---|---|---|
Abu Hafs Umar I al-Iqritishi | Apohaps/Apohapsis (Ἀπόχαψ/Ἀπόχαψις ) | 827/828 – ca. 855 |
Shu'ayb I ibn Umar | Saipes/Saet (Σαΐπης/Σαῆτ ) | ca. 855–880 |
Umar II ibn Shu'ayb | Babdel (Βαβδέλ ) | ca. 880–895 |
Muhammad ibn Shu'ayb al-Zarkun | Zerkounes (Ζερκουνῆς ) | ca. 895–910 |
Yusuf ibn Umar | ca. 910–915 | |
Ali ibn Yusuf | ca. 915–925 | |
Ahmad ibn Umar | ca. 925–940 | |
Shu'ayb II ibn Ahmad | 940–943 | |
Ali ibn Ahmad | 943–949 | |
Abd al-Aziz ibn Shu'ayb | Kouroupas (Κουρουπᾶς ) | 949–961 |
Lihat juga
suntingRujukan
sunting- ^ a b Canard (1986), p. 1082
- ^ Treadgold (1997), pp. 313, 325
- ^ a b Miles (1964), p. 10
- ^ Treadgold (1997), p. 378
- ^ a b Makrypoulias (2000), pp. 347–348
- ^ Canard (1986), pp. 1082–1083
- ^ Miles (1964), pp. 10–11
- ^ Christides (1981), pp. 89–90
- ^ a b c d e f g h i j Canard (1986), p. 1083
- ^ cf. Makrypoulias (2000), pp. 348–351
- ^ Treadgold (1988), pp. 251, 253
- ^ Treadgold (1988), p. 253
- ^ Makrypoulias (2000), p. 349
- ^ Miles (1964), p. 11
- ^ a b Christides (1981), p. 89
- ^ cf. Treadgold (1988), pp. 250–253, 259–260
- ^ Treadgold (1988), pp. 253–254
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 348, 351
- ^ a b c Treadgold (1988), p. 254
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 349–350
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 347, 357ff.
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 348–349, 357
- ^ Treadgold (1988), pp. 255, 257
- ^ Miles (1964), p. 9
- ^ a b Christides (1981), p. 92
- ^ Treadgold (1988), p. 268
- ^ Christides (1981), pp. 92, 93
- ^ Treadgold (1988), pp. 324–325
- ^ Makrypoulias (2000), p. 351
- ^ Treadgold (1997), p. 447
- ^ Treadgold (1997), p. 451
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 351–352
- ^ Treadgold (1997), p. 453
- ^ Wortley (2010), pp. 147–148
- ^ Christides (1981), p. 93
- ^ Canard (1986), pp. 1083–1084
- ^ Miles (1964), pp. 6–8
- ^ a b c d e f Canard (1986), p. 1084
- ^ Christides (1981), pp. 95–97
- ^ Christides (1981), p. 82
- ^ Treadgold (1997), p. 467
- ^ Christides (1981), p. 83
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 352–353
- ^ Christides (1981), p. 94
- ^ Treadgold (1997), p. 470
- ^ Makrypoulias (2000), pp. 353–356
- ^ Treadgold (1997), p. 489
- ^ Treadgold (1997), pp. 493–495
- ^ a b Treadgold (1997), p. 495
- ^ Canard (1981), pp. 1084–1085
- ^ Kazhdan (1991), p. 96
- ^ Miles (1964, pp. 11, 16–17
- ^ cf. Canard (1986), p. 1083
- ^ Christides (1981), pp. 78–79
- ^ Miles (1964), pp. 15–16
- ^ a b Christides (1981), p. 98
- ^ Christides (1984), pp. 33, 116–122
- ^ Christides (1984), pp. 116–118
- ^ Christides (1984), pp. 104–109
- ^ Miles (1964), p. 15
- ^ Miles (1964), pp. 11–15
- ^ Canard (1986), p. 1085
Sumber
sunting- Canard, M. (1986). "Iḳrīṭis̲h̲". The Encyclopedia of Islam, New Edition, Volume III: H–Iram. Leiden and New York: BRILL. m/s. 1082–1086. ISBN 90-04-08118-6.
- Christides, Vassilios (1981). The Raids of the Moslems of Crete in the Aegean Sea: Piracy and Conquest. Byzantion. 51. m/s. 76–111.
- Christides, Vassilios (1984). The Conquest of Crete by the Arabs (ca. 824): A Turning Point in the Struggle between Byzantium and Islam. Academy of Athens. OCLC 14344967.
- Gardiner, Robert, penyunting (2004). Age of the Galley: Mediterranean Oared Vessels since pre-Classical Times. Conway Maritime Press. ISBN 978-0-85177-955-3.
- Kazhdan, Alexander (1991). "Anemas". Dalam Kazhdan, Alexander (penyunting). Oxford Dictionary of Byzantium. New York and Oxford: Oxford University Press. m/s. 96. ISBN 978-0-19-504652-6.
- Lilie, Ralph-Johannes; Ludwig, Claudia; Zielke, Beate; Pratsch, Thomas, penyunting (2013). Prosopographie der mittelbyzantinischen Zeit Online. Berlin-Brandenburgische Akademie der Wissenschaften. Nach Vorarbeiten F. Winkelmanns erstellt (dalam bahasa German). De Gruyter http://www.degruyter.com/view/db/pmbz. Missing or empty
|title=
(bantuan)CS1 maint: unrecognized language (link) - Makrypoulias, Christos G. (2000). Byzantine Expeditions against the Emirate of Crete c. 825–949. Graeco-Arabica. 7–8. m/s. 347–362.
- Miles, George C. (1964). Byzantium and the Arabs: Relations in Crete and the Aegean Area. Dumbarton Oaks Papers. 18. m/s. 1–32. doi:10.2307/1291204. JSTOR 1291204.
- Treadgold, Warren T. (1988). The Byzantine Revival, 780–842. Stanford, CA: Stanford University Press. ISBN 0-8047-1462-2.
- Treadgold, Warren T. (1997). A History of the Byzantine State and Society. Stanford, CA: Stanford University Press. ISBN 0-8047-2630-2.
- Wortley, John, penyunting (2010). John Skylitzes: A Synopsis of Byzantine History, 811-1057. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-76705-7.CS1 maint: ref=harv (link)