Ahmad Awang

ahli politik Malaysia

Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang adalah ahli politik Malaysia dan agamawan berbangsa Melayu dari Parti Amanah Negara. Di peringkat parti, beliau merupakan Penasihat Umum Parti Amanah Negara.

Ahmad Awang
DGSM (Mel); DPMP (Prk)
Penasihat Umum
Parti Amanah Negara
Menyandang jawatan
2016
TimbalanAbdul Ghani Samsudin
Didahului olehJawatan baharu
Naib Presiden
Parti Islam Se-Malaysia
Dalam jawatan
2007–2009
Berkhidmat with Husam Musa dan Mohamad Sabu
Didahului olehHasan Mohamed Ali
Digantikan olehMahfuz Omar
Pesuruhjaya PAS Perak
Dalam jawatan
2003–2009
Didahului olehSabran Asmawi
Digantikan olehAbu Bakar Hussian
Yang Dipertua
Persatuan Ulama Malaysia
Dalam jawatan
1981–1999
Didahului olehNik Mohd Mohyideen Wan Musa
Digantikan olehAbdul Ghani Samsudin
Maklumat peribadi
Lahir1936
Gunung Semanggol, Perak

Pendidikan

sunting

Setelah 4 tahun belajar di sekolah Melayu, beliau memulakan pengajian agama di Maahad Al-Ehya Al Shariff, Gunung Semanggol bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah atas (Thanawi Rabi’). Sekolah Agama Rakyat ini ketika itu bukan sahaja terkenal sebagai pusat pendidikan, tetapi juga dikenali sebagai sebuah institusi gerakan Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang ditakuti oleh penjajah. Dato’ Onn Jaafar yang menjadi Presiden UMNO yang pertama pernah mengungkapkan kata-kata “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”. Ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang ditahan oleh penjajah Inggeris adalah terdiri daripada lepasan maahad ini. Di sinilah ditanam semangat perjuangan Islam dalam setiap diri pelajarnya.

Kemudian Ahmad Awang menamatkan pendidikan peringkat tinggi di Kolej Islam Malaya. Selepas itu menyambung pelajaran dalam bidang perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana di samping Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Ahmad Awang memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama kementerian di Sekolah Menengah St David High School, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1963 dengan Biasiswa Kementerian Pelajaran. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Ahmad Awang bertugas menjadi guru semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai Pegawai Perancang Agama Dewasa. Kemudian,beliau bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974, beliau dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, selepas itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM, kini dikenali sebagai JAKIM, sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam dan akhir sekali menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Islam sehingga bersara pada 1991.

Pertubuhan

sunting

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, Ahmad Awang aktif menyertai dan menerajui pertubuhan-pertubuhan NGO di pelbagai bidang khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan. Di antaranya beliau menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun, dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Lain-lain pertubuhan yang pernah beliau pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad, Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.

Penglibatan politik

sunting

Penglibatan Ahmad Awang dalam bidang politik bermula pada tahun 1984 dengan menyertai PAS. Beliau bergerak aktif setelah menjadi AJK PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak pada tahun 1999 iaitu semasa reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim.

Ahmad Awang bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bagan Serai dalam PRU ke-10 tetapi tewas kepada Datuk Zainal Abidin Zin. Dalam PRU ke-11 sekali lagi tewas ketika bertanding sebagai calon Parlimen bagi kawasan yang sama dan calon DUN Selinsing. Kini beliau bergerak aktif kembali di dalam politik berhaluan islamik progresif dan memegang jawatan sebagai Penasihat Umum Parti Amanah Negara. [1] [2]

Tewas 2015

sunting

Pada 4 Jun 2015, Ustaz Ahmad Awang tewas kepada penyandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Presiden Pas . Abdul Hadi menyandang jawatan itu sejak 2002 memperoleh 928 undi manakala Ahmad 233 undi.Sebanyak 1,165 perwakilan mengundi. Bagaimanapun jumlah kertas undi yang dipulangkan ialah 1,141. Muktamar PAS 2015 telah diadakan di Kuala Selangor, Selangor.[3]

Rujukan

sunting
  1. ^ Laman web Ustaz Ahmad Awang
  2. ^ Zainal Abidin bukan orang baru dalam politik
  3. ^ "Hadi tewaskan Ahmad Awang". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-06-07. Dicapai pada 2015-06-05.