Abdul Aziz bin Haji Jaafar

(Dilencongkan dari Abdul Aziz Bin Haji Jaafar)

Laksamana (B) Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Haji Jaafar dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-15, Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1 April 2008 sehingga bersara pada 15 November 2015. Beliau yang dilahirkan di Sungai Udang, Melaka pada 7 Mei 1956, menyertai TLDM pada 3 Disember 1974 dan seterusnya ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 1 Mei 1977.

YBhg Laksamana (B) Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Haji Jaafar
Kelahiran
Abdul Aziz bin Haji Jaafar

(1956-05-07) 7 Mei 1956 (umur 68)
Warganegara Malaysia
Pusat pendidikanSekolah Kebangsaan Sungai Udang, Sekolah Menengah Masjid Tanah, Maktab Tentera Diraja, US Naval Command College
Terkenal keranaPanglima Tentera Laut ke-15, Tentera Laut Diraja Malaysia
PasanganPuan Sri Datin Seri Hajah Sarah bte Tun Abdul Ghafar
Ibu bapaHaji Jaafar bin Alang (03.10.1913 - 25.01.1979) dan Hajah Tijah bte Baba (1918 - 16.07.1991)

Beliau mempunyai rekod kerjaya yang unik kerana terpilih menjadi anak kapal pentauliahan sebanyak empat kali iaitu ketika pentauliahan kapal KD PAUS (1976), KD SRI INDERA SAKTI (1982), KD KASTURI (1984) dan KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN (1999).

Lt Abdul Aziz telah melakar sejarah kerana telah menjadi pegawai TLDM pertama yang diperjawatkan sebagai Aid-de-Camp (ADC) atau Juruiring kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketika itu disandang oleh Jeneral Tan Sri Ghazali bin Dato' Mohd Seth (PAT ke-6). Beliau menjawat jawatan ADC PAT ini dari 14 April 1982 sehingga 1 Ogos 1983 apabila beliau dipilih menjadi kru pertama KD KASTURI sebagai Pegawai Navigasi.

Pada 19 Ogos 1996 pula, Kdr Abdul Aziz telah diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan TLDM untuk berkhidmat sebagai Pembantu Tentera Laut 1 (Naval Assistant - NA 1) kepada Panglima Tentera Laut ketika itu iaitu Laksamana Madya Dato' Seri Ahmad Ramli bin Mohd Noor (PTL ke-9).

Beliau juga telah dilantik menjadi Pegawai Memerintah sebanyak tiga kali iaitu KD BAUNG, KD MUSYTARI dan akhir sekali KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN. Ketika di KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN pada 5 Disember 2000, Kept. Abdul Aziz telah diberi tugas sebagai Senior Officer Afloat atau Pegawai Kanan Armada.

Pada 1 Julai 2001, Kept. Abdul Aziz akhirnya dipilih sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) apabila dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama. Bersesuaian dengan pangkat yang disandang, pada 27 Julai 2001 Laksma Abdul Aziz telah dilantik sebagai Ketua Staf merangkap Timbalan kepada Panglima Armada ketika itu iaitu Laksdya Dato' Ilyas bin Haji Din (bersara sebagai Laksamana, Tan Sri, PTL ke-13). Pada tanggal 7 Ogos 2002 pula, Laksma Datuk Abdul Aziz telah diperintahkan untuk menerajui Markas Wilayah Laut 2 sebagai Panglima Wilayah Laut 2 yang ketika itu berpangkalan di Labuan.

Seterusnya pada 4 Julai 2005, beliau telah dipanggil balik ke Markas Tentera Laut untuk menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia dan telah dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Muda pada 1 Oktober 2005. Laksda Datuk Abdul Aziz semakin mengorak langkah apabila pada 27 Januari 2006, beliau telah diperjawatkan sebagai Panglima Armada iaitu jawatan ketiga terkanan di dalam TLDM selepas Panglima Tentera Laut dan Timbalan Panglima Tentera Laut.

Bagi melengkapkan pengalaman Laksda Datuk Abdul Aziz, pucuk pimpinan ATM telah menugaskan beliau di Markas ATM sebagai Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan Pertahanan (BOLP) pada 31 Julai 2006.

Walau bagaimanapun selepas hanya 3 bulan, khidmat Laksda Datuk Abdul Aziz telah kembali ditagih oleh TLDM untuk diamanahkan jawatan Timbalan Panglima Tentera Laut pada 15 November 2006 bagi menggantikan Laksamana Datuk Ramlan bin Mohamed Ali yang telah dilantik sebagai Panglima Tentera Laut yang baharu. Juga pada hari yang sama, Laksda Datuk Abdul Aziz telah dinaikkan pangkat ke Laksamana Madya bersesuaian dengan jawatan baharu beliau.

Akhirnya pada tanggal 1 April 2008, Laksdya Datuk Abdul Aziz pada usia 51 tahun 11 bulan telah dinaikkan pangkat sebagai Laksamana dan dilantik oleh pucuk pimpinan ATM untuk menerajui pemerintahan TLDM sebagai Panglima Tentera Laut ke-15 bagi menggantikan Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali.

Setelah 7 tahun 7 bulan 17 hari menakhodai TLDM dan keseluruhannya 41 tahun kerjaya di dalam TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz akhirnya bersara pada 15 November 2015 dan secara tidak langsung merupakan penyandang jawatan PTL yang ketiga terlama dalam sejarah TLDM selepas Laksda Tan Sri K. Thanabalasingam (PTL-5 : 1 Disember 1967 - 31 Disember 1976) dan Laksdya Dato' Mohd Zain Salleh (PTL-6 : 1 Januari 1977 - 31 Januari 1986)

Laksamana Tan Sri Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Datin Sri Hajah Sarah binti Tun Abdul Ghafar, anakanda kepada Tun Abdul Ghafar bin Baba mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tanggal 22 November 1985. Mereka berdua adalah bersepupu di mana ayah Laksamana Tan Sri Abdul Aziz iaitu Haji Jaafar bin Alang merupakan abang kepada ibu Puan Sri Sarah iaitu Toh Puan Hajah Asmah bte Alang. Walau bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak dikurniakan sebarang cahayamata.

Selepas menamatkan kerjaya di dalam sektor awam, pengalaman Laksamana Tan Sri Abdul Aziz sebagai pentadbir ditagih pula oleh sektor swasta dan beliau telah dilantik oleh beberapa syarikat swasta dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) sebagai Pengerusi dan juga ahli Lembaga Pengarah mereka.


Penyandang Terdahulu Panglima Tentera Laut
1 April 2008 – 2016
Penyandang Kemudian
Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali Laksamana Tan Sri Dato' Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin