Wikipedia:Gunakan bahasa Melayu piawai
Laman ini mendokumenkan garis panduan Wikipedia Bahasa Melayu. Ia merupakan piawai yang umumnya dipersetujui dan hendaklah diikuti oleh para penyunting, namun gunakan akal budi dan mungkin terdapat pengecualian. Perubahan yang dibuat terhadapnya hendaklah menunjukkan sepersetujuan; apabila ragu, bincangkan idea anda di laman perbincangan. |
Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang indah dan kaya dengan pelbagai kosa kata hasil daripada pertembungannya dengan pelbagai tamadun dunia sejak bermulanya zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Pada masa itu, pedagang dari serata dunia telah membawa bahasa mereka, yang berjumlah sekurang-kurangnya 80 bahasa, ke Tanah Melayu dan hasilnya lahirlah bahasa tempatan yang kaya, indah dan berseri mengandungi pelbagai perkataan dari bahasa Arab, bahasa Portugis, bahasa Belanda, bahasa Cina, bahasa Sanskrit, bahasa Tamil dan bermacam-macam lagi bahasa lain. Atas dasar nilai kekayaan inilah membuatkan, pengguna Wikipedia bahasa Melayu berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan pengarangan rencana yang baik dan tersusun, selain daripada ketepatan dan kepadatan maklumat yang cuba diusahakan, mereka juga cuba sedaya upaya untuk memastikan rencana yang ditulis mencerminkan keindahan dan kekayaan bahasa Melayu. Dalam usaha mereka ini, mereka dipandu piawai yang ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB), iaitu sebagai penjaga rasmi bahasa Melayu khususnya di Malaysia di samping bergantung kepada karya-karya terkemuka penulis bahasa Melayu lain (seperti Ungku Aziz) dan kamus-kamus dan tesaurus-tesaurus keluaran penerbit berwibawa seperti penerbit Oxford-Fajar. Bahasa sebegini bukan sahaja cuba diterapkan dalam pembikinan rencana, malah juga dalam perbualan antara pengguna seperti yang di Kedai Kopi dan laman perbincangan rencana dan pengguna. Hal ini demikian kerana para pengguna sedar bahawa berbudi bahasa bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang baik dan harmoni antara manusia sesama manusia, tetapi juga mampu menerapkan keindahan bahasa Melayu piawai di Wikipedia Melayu juga.
Namun sejak dekad-dekad kebelakangan ini, bahasa Melayu yang digunakan di persekitaran masyarakat Melayu secara khususnya dan Malaysia secara amnya sudah kehilangan piawainya. Anak-anak muda Melayu mula menggunakan bahasa Pasar dan bahasa Rojak bukan sahaja dalam perbualan harian mereka bahkan juga dalam penulisan (lihat ilustrasi di rencana bahasa Rojak). Perkataan-perkataan seperti "balak", "awek", dan "poyo" bukan sahaja kedengaran tidak bertamadun, malah merosakkan kesinambungan intonasi bahasa Melayu, yang pada asalnya memang menarik. Satu lagi masalah adalah dalam perhubungan antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu, perkataan-perkataan seperti "gua", "lu" dan "kasi" tidak cuba untuk dilenyapkan malah dikekalkan penggunaannya. Campuran bahasa Melayu dengan satu bahasa lain secara berlebihan seperti bahasa Inggeris seperti penggunaan perkataan "best" menggantikan perkataan "bagus" sama sekali tidak membantu.
Selain daripada kerosakan-kerosakan terhadap bahasa Melayu yang diterima dan dipakai masyarakat, pengguna Wikipedia bahasa Melayu juga sedar bahawa kerosakan juga boleh datang dalam bentuk rasmi yang diterima oleh penjaga bahasa Melayu itu sendiri seperti DBP. Hal ini jelas kelihatan apabila kamusnya dilihat mengimport secara berlebihan daripada bahasa Inggeris istilah-istilah baru seperti "sukses", "famili", "tem", "gem", "frod" dan sebagainya meskipun perkataan "kejayaan", "keluarga", "masa", "permainan" dan "penipuan" cukup memadai. Pemimpin kerajaan Malaysia pada suatu ketika dahulu juga pernah menggalakkan masalah ini (seperti kontroversi perkataan infotainmen dan penciptaan istilah bajet) dan lebih membimbangkan adalah penerimaan dan penggunaan istilah-istilah ini secara meluas dalam media massa Melayu di Malaysia misalannya.
Kesemua warga Wikipedia bahasa Melayu tidak kira yang datang dari pelbagai negara dan ras yang kekal menjadikan bahasa ini sebagai bahasa pertuturan dan penghantar akan menyayangi dan menyokong bahasa Melayu piawai yang asal dan tidak ingin turut berkerjasama dalam kerosakan dan pencemaran bahasa sistematik yang diteruskan masyarakat dan badan-badan yang disebutkan di atas.
Atas sebab kebimbangan masalah ini mungkin akan turut melanda ke dalam Wikipedia bahasa Melayu, suatu garis panduan gunakan bahasa Melayu piawai telah diwujudkan di Wikipedia versi bahasa Melayu bertujuan untuk mengharamkan penggunaan bahasa yang tidak piawai dalam rencana disamping menyekat penggunaan bahasa yang tidak piawai dalam perbualan antara pengguna. Ia juga digubal sebagai langkah jangka panjang bagi memelihara keaslian dan nilai-nilai keluhuran bahasa Melayu piawai itu sendiri dari diperlekehkan sesuka hati.
Takrifan bahasa piawai
suntingBahasa piawai dalam maksud garis panduan ini adalah bahasa Melayu menurut huraian di bawah:
- Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Bahasa Melayu piawai ini juga wajib mengikut saranan dan ketepatan yang ditentukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Kosa kasa yang diterima dan diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan lain-lain lagi penerbit kamus bahasa Melayu yang berwibawa seperti Penerbit Oxford-Fajar adalah piawai. Perkataan lain yang tidak dijumpai dalam kamus-kamus terbitan penerbit-penerbit ini adalah tidak piawai.
- Jika kosa yang digunakan merupakan import daripada bahasa Inggeris dan perkataan Melayu yang lain wujud, perkataan lain itu dianggap piawai dan perkataan import daripada bahasa Inggeris dianggap tidak piawai. Demikian juga keadaannya meskipun perkataan ini telah diiktiraf DBP dan perkataan lain itu hanya wujud sebagai kebiasaan dalam masyarakat atau kamus bahasa Melayu lain yang diterbitkan penerbit yang kurang terkemuka. Namun dalam kes sebegini, pengguna yang menggunakan perkataan ini harus membuktikan kewujudan perkataan berkenaan sekiranya terdapat bangkangan.
- Bahasa Indonesia bukan bahasa Melayu piawai.
- Singkatan perkataan seperti "yg" atau "cth" tidak piawai.
- Dalam perbualan antara pengguna, rujukan diri sebagai "saya", orang kedua sebagai "anda" atau "awak" dan orang ketiga sebagai "dia" dianggap piawai. Rujukan diri sebagai "aku" dan orang kedua sebagai "kau" meskipun piawai dianggap kasar dan dianggap tidak piawai bagi tujuan garis panduan ini dan pemeliharaan budi bahasa di Wikipedia. Lihat Wikipedia:Etika Wikipedia untuk keterangan lanjut.
Larangan penggunaan bahasa tidak piawai dalam rencana dan halaman-halaman istimewa
suntingDengan ini adalah dikuatkuasakan yang mana-mana istilah atau perkataan yang tidak piawai dilarang penggunaannya dalam mana-mana rencana atau halaman istimewa Wikipedia Melayu, mulai tarikh kesan penguatkuasaan garis panduan ini, iaitu pada 1 September 2006. Pengguna dan penyelia dengan ini juga diberi kuasa melalui garis panduan ini untuk membuat apa jua tindakan yang dirasakan perlu bagi memelihara bahasa Melayu piawai di Wikipedia ini.
Garis panduan ini, di samping melarang penggunaan tidak piawai di Wikipedia bahasa Melayu, juga ingin menyatakan galakan penggunaan kosa kata yang lebih kaya seperti yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu yang berwibawa, seperti perkataan "absah", "bangat", "ghalib", "gharib" dan sebagainya. Penggunaan perkataan yang ditakrifkan sebagai jarang ini oleh mana-mana pengguna harus digalak sepenuhnya dalam usaha mencerminkan kekayaan perbendaharaan kata bahasa Melayu, dan perbuatan ini bolehlah menjadi alasan penganugerahan status Wikipedia:Pengguna aktif atau mana-mana pingat Wikipedia yang wujud.
Penggunaan bahasa tidak piawai dalam laman perbualan
suntingBahasa tidak piawai masih boleh terus digunakan dalam laman-laman perbualan di sekitar Wikipedia, termasuk Wikipedia:Kedai Kopi, mana-mana laman perbincangan rencana atau halaman istimewa dan juga laman perbincangan pengguna. Akan tetapi penggunaan bahasa sebegini amat tidak digalakkan. Sebarang pengguna berhak mengadu sekiranya beliau mendapati terdapat pengunaan bahasa tidak piawai secara berlebihan. Maksud "berlebihan" di sini adalah penggunaan bahasa tidak piawai yang, dalam pemikiran pengguna yang mengadu, tidak munasabah. Pengguna yang mengadu akan hal ini harus membuktikan i)Bagaimana bahasa yang digunakan tidak piawai dan; ii)Bagaimana bahasa yang digunakan dapat dipiawaikan. Pengguna mengadu yang memenuhi dua syarat ini dan masih menotakan penggunaan bahasa yang tidak piawai pengguna lain yang diaduinya bolehlah membuat pengaduan kali kedua, dan tindakan pengguna yang terus menggunakan bahasa tidak piawai dalam perbualan bolehlah dianggap sebagai melanggar garis panduan ini.
Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam perbualan, termasuk bahasa Indonesia sebaiknya dihadkan kepada urusan antara Wiki sahaja (InterWiki). Penggunaan bahasa lain dalam perbualan antara pengguna tempatan dibenarkan, tetapi tidak digalakkan. Jika adanya sebarang pengguna mengadu kepada anda kerana menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu dalam perbualan (tidak mengira sama ada pengguna itu adalah orang kedua dalam perbualan anda ataupun seorang pengguna lain yang membaca perhubungan anda) anda harus berhenti menggunakan bahasa itu dengan serta-merta dan menyambung perbualan dalam bahasa Melayu piawai. Sekiranya anda gagal berbuat demikian, anda bolehlah dianggap melanggar garis panduan ini.
Dengan ini dalam kedua-dua konteks di atas dikelaskan sebagai makruh di Wikipedia bahasa Melayu, akan tetapi boleh menjadi haram sekiranya ada pengguna yang mahukan sedemikian.
Lain-lain
suntingPenguatkuasaan garis panduan ini tidak akan menimbulkan kesan kepada mana-mana polisi atau garis panduan lain yang turut berkuatkuasa di Wikipedia bahasa Melayu.