Universiti Amerika di Beirut

universiti di Lubnan

Universiti Amerika di Beirut (American University of Beirut, disingkat AUB; Arab: الجامعة الأميركية في بيروت) adalah universiti swasta bebas di Beirut, Lubnan. Universiti ini diasaskan sebagai Syrian Protestant College oleh mubaligh Amerika Daniel Bliss. Nama American University of Beirut digunakan sejak 18 November 1920.

Pada bulan Jun 2004, universiti ini mendapat akreditasi dari Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Middle States Association of Colleges and Schools.[1] Ijazah yang diberikan oleh AUB secara rasmi didaftarkan di Kementerian Pendidikan Tinggi Lubnan dan Dewan Pendidikan Negeri New York. Ijazah profesional mendapat akreditasi dari badan akreditasi yang diiktiraf oleh Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat,[2] Lubnan, dan negara-negara lain. Sehingga Jun 2006, universiti ini telah menganugerahkan sebanyak 72,838 ijazah dan diploma.[3]

Pada 21 Mac 2008, Lembaga Pengawas memilih Peter F. Dorman sebagai presiden ke-15 AUB menggantikan John Waterbury, yang menjadi presiden dari 1998 hingga 2008.[4] Dorman adalah penyelidik dalam bidang ilmu Mesir kuno dan ketua Fakulti Bahasa dan Kebudayaan Timur Dekat Universiti Chicago.[5]

Sejarah

sunting

Pada tahun 1862, mubaligh Amerika di Syam yang berada di bawah Lembaga Komisaris Misi Luar Negeri Amerika meminta Dr. Daniel Bliss untuk menghentikan pekabaran injil di Syam. Bliss diminta mendirikan kolej dengan sistem Amerika, termasuk pendidikan perubatan yang berdikari dan pentadbiran berasingan dari misi penyebarluasan agama Kristian. Seperti halnya mubaligh Amerika di Timur Tengah pada masa itu, Bliss menyedari pentingnya institusi sekular untuk menyampaikan gagasan patriotisme, republikanisme, dan perlindungan kebebasan individu. Menurut sejarawan Arab bernama George Antonius, kolej ini telah memberikan "gelora intelektual" untuk kebangkitan Arab, dan nantinya mengubah percaturan politik serantau.[6]

Pada musim panas 1862, Bliss mengadakan perjalanan ke Amerika Syarikat dengan tujuan mengumpul dana. Sehingga Ogos 1864, dana sebanyak AS$100,000 dikumpulkan Bliss dari sejumlah penderma Amerika dan Inggeris, termasuk Puan Franklin H. Delano, ibu saudara kepada Presiden Franklin D. Roosevelt.[7] Semasa Bliss berada di Amerika Syarikat, negeri New York secara rasmi menerima penubuhan Syrian Protestant College pada 24 April 1863. Penurunan nilai dolar akibat Perang Saudara Amerika menyebabkan Bliss perlu mengumpul sumbangan di Inggeris dalam mata wang pound sterling sebelum dapat beroperasi. Dana dalam dolar disimpan sehingga nilainya membaik. Setelah mengumpul £4,000 di Inggeris, Bliss tiba kembali di Beirut pada bulan Mac 1866. Kolej yang dibina oleh Bliss mula beroperasi pada 3 Disember 1866 dengan pelajar angkatan pertama seramai 16 orang.[8]

Majlis peletakan batu asas College Hall—bangunan pertama di kampus Ras Beirut—dilakukan pada 7 Disember 1871 oleh William E. Dodge, Sr. yang pada masa itu merupakan bendahari lembaga komisaris. College Hall dan bangunan pertama fakulti perubatan siap dibina dan mula digunakan pada tahun 1873. Perasmian loceng di menara College Hall dilakukan pada bulan Mac 1873. Pada awal pagi 8 November 1991, College Hall mengalami kerosakan teruk akibat letupan, dan akhirnya harus dirobohkan. Setelah dibina semula, bangunan baru College Hall dirasmikan pada musim bunga 1999.

Sejak diasaskan, universiti ini terus berkembang dan membuka fakulti/program baharu. Setelah Sekolah Perubatan dibuka pada tahun 1867, AUB empat tahun kemudian (1871) membuka Sekolah Farmasi dan Sekolah Persediaan. Pada tahun 1960, Sekolah Persediaan AUB berpisah, dan kini dikenali sebagai International College. Sekolah Perdagangan ditubuhkan pada tahun 1900, dan kemudiannya digabungkan ke dalam Fakulti Seni dan Sains. Setelah hospital (kini AUB Medical Center) dibuka pada tahun 1905, AUB membuka Sekolah Kejururawatan. Sekolah Pergigian dibuka pada tahun 1910, dan beroperasi selama 30 tahun sebelum ditutup.

Lembaga Pemegang Amanah Universiti New York menukar nama Syrian Protestant College kepada American University of Beirut pada 18 November 1920 setelah penubuhan negara Lebanon Raya pada Ogos 1920. Sejak tahun 1924, pendidikan di universiti ini sepenuhnya terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan, tanpa mengenal perbezaan jantina. Kecuali semasa Perang Saudara Lubnan, semua presiden AUB tinggal di dalam kampus, tepatnya di kediaman rasmi bernama Marquand House yang siap dibina pada tahun 1879.

Pada awal tahun 1950-an, AUB membuka beberapa program baharu. Sekolah Pertanian ditubuhkan pada tahun 1950, dan menjadi Fakulti Pertanian dan Sains Makanan pada tahun 1979. Sekolah Kejuruteraan ditubuhkan pada tahun 1951, dan menjadi Fakulti Kejuruteraan dan Seni Bina pada tahun 1966. Sekolah Sains Kesihatan ditubuhkan pada tahun 1954, dan namanya ditukar menjadi Fakulti Sains Kesihatan pada tahun 1978.

Kampus

sunting

Universiti ini menduduki kampus seluas 29.54 hektar di sebuah bukit yang menghadap Laut Mediterranean. Kampus AUB dipagari, dan hanya boleh dimasuki melalui beberapa pintu gerbang. Pintu gerbang utama terletak di tengah Jalan Bliss, Medical Gate di Hospital Universiti Amerika, Sea Gate (di kaki bukit), Peripheral Gate di bangunan asrama lelaki, dan pintu kecil di asrama wanita.

Rujukan

sunting
  1. ^ "American University of Beirut". Middle States Commission on Higher Education. Dicapai pada 20 November 2008.
  2. ^ "Statement of Accreditation Status". Middle States Commission on Higher Education. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-03-28. Dicapai pada 20 November 2008.
  3. ^ AUB Undergraduate Catalogue 2007-08, p. 25.
  4. ^ "AUB Board of Trustees selects Peter F. Dorman as 15th president of the University". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-06-08. Dicapai pada 20 November 2008.
  5. ^ "Peter F. Dorman: Professor of Egyptology". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-24. Dicapai pada 20 November 2008.
  6. ^ Michael Oren (2007). Power, Faith, and Fantasy: America in the Middle East 1776 to the Present (New York: W.W. Norton & Company) p. 218.
  7. ^ Michael Oren (2007). Power, Faith, and Fantasy: America in the Middle East 1776 to the Present (New York: W.W. Norton & Company) p. 217.
  8. ^ Kaplan, Robert D. The Arabists: The Romance of an American Elite. New York: The Free Press, 1993. ISBN 0-02-916785-X p. 35.